Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rumah 'sampah'

Posted: 27 Jun 2013 10:14 AM PDT

London: Seorang tuan rumah terkejut mendapati rumah yang dibelinya dengan harga £450,000 (RM2.25 juta) menerusi satu lelongan berisi sampah sarap setinggi lebih satu meter setengah yang berlonggok selama bertahun-tahun.

Pemaju hartanah Mehmet Koch, 33, membeli rumah teres empat tingkat itu di utara London untuk dijadikan pelaburan bersama adiknya, Abbas.


Pasangan tua yang tinggal di situ sebelum ini tidak membenarkan Mehmet memasuki rumah itu sebelum dia membelinya. Apabila dia memperoleh kunci baru-baru ini, Mehmet terkejut mendapati rumah itu begitu semak sehingga dia tidak boleh menaiki tangga ke tingkat atas.

Mehmet yang syarikatnya, Kaya Properties memiliki 10 rumah di sekitar London, terkejut apabila membuka pintu rumah yang terletak di Finsbury Park itu.


"Saya sangka saya bermimpi. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Kami berkata sesama sendiri, Bagaimana kami hendak membersihkannya," kata Mehmet.


Setiap bilik penuh dengan baju lama, beg beli-belah, pembungkus yang terbiar dan surat khabar lama setinggi paras bahu.

Foto

KEADAAN rumah yang dibeli Mehmet penuh dengan sampah-sarap.

Foto

BAHAGIAN luar rumah Mehmet.

Mehmet tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas kerana ia juga penuh dengan sampah.


Lebih buruk lagi, rumah empat tingkat berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik atau gas dan berbau busuk.

"Kami simpati kepada mereka yang menetap di rumah ini sebelum ini. Bagaimana mereka boleh tinggal dengan keadaan seperti ini dalam abad ke-21?" kata Mehmet.


Menurut jiran, sepasang suami isteri berusia 70-an yang tidak bergaul dengan orang ramai menetap di rumah itu sejak 1960-an.


"Kami menjenguk rumah itu dari luar tetapi pasangan berkenaan yang tinggal di dalam tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya mengguna satu atau dua bilik rumah itu. Taman di luar dah macam hutan," katanya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Gadis mengalir air mata darah

Posted: 27 Jun 2013 09:51 AM PDT

Purranque (Chile): Doktor di Chile bingung apabila seorang wanita mengalirkan air mata darah.

Yaritza Oliva ketakutan apabila kejadian ganjil itu mula menimpanya awal bulan ini.


Sejak itu, tanpa sebarang amaran, mata wanita berusia 20 tahun itu mengalirkan darah beberapa kali sehari.

Yaritza mengunjungi doktornya tetapi apabila tiada tanda jangkitan ditemui, dia disuruh pulang dengan diberikan ubat titis mata untuk menangani kesakitan yang menurutnya, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Ibu bapa Yaritza meminta rakan dan jiran di Purranque untuk membantu mereka mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan wanita itu dirawat pakar mata.


Bapanya, Jose yang bekerja sebagai tukang kayu, merayu dalam satu rancangan televisyen tempatan dengan berkata: "Letakkan tangan di dada anda, lihat keadaan kami dan bantu anak kami." Yaritza mungkin menghidap penyakit yang jarang berlaku yang dikenali haemolacria. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya mengalirkan air mata mengandungi darah.

Setakat ini hanya terdapat tiga kes yang dicatatkan yang mungkin menjadi tanda kepada penyakit lebih serius atau ketumbuhan atau berpunca daripada paras hormon yang tinggi pada wanita subur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Penapis rokok dari darah babi

Posted: 27 Jun 2013 09:50 AM PDT

Banjarmasin: Ketua Suruhanjaya Pengendalian Tembakau Nasional berkata, penapis rokok yang digunakan secara meluas di Indonesia mengandungi bahan berasal daripada darah babi.

Dr Hakim Sarimuda Pohan berkata, hemoglobin atau protein darah babi digunakan dalam penapis rokok untuk menyaring racun kimia agar tidak masuk ke dalam paru-paru perokok.


Bercakap pada dialog mengenai bahaya merokok di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, semalam, Hakim berkata, beliau yakin penapis yang diimport untuk digunakan pada rokok di Indonesia adalah komponen daripada darah babi.

Katanya, perkara itu diketahui apabila ia didedahkan oleh Profesor Kesihatan Masyarakat dari Universiti Sydney, Simon Chapman.


Chapman dilaporkan mengingatkan perkara itu kepada golongan agama tertentu dengan merujuk kajian yang dilakukan di Belanda yang mendedahkan bahawa 185 syarikat menggunakan hemoglobin babi sebagai bahan membuat penapis rokok.


Hakim berkata, sudah sepatutnya umat Islam di Indonesia menjauhi barang yang jelas haram di sisi agama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

NHK disaman kerana guna banyak bahasa asing

Posted: 27 Jun 2013 09:49 AM PDT

Tokyo: Seorang pesara menyaman Badan Penyiar Kebangsaan Jepun (NHK) atas dakwaan mengalami tekanan emosi dengan mendakwa penggunaan terlalu banyak kata pinjam daripada bahasa asing menjadikan sebahagian besar programnya tidak dapat difahami.

Hoji Takahashi, 71, menuntut ganti rugi sebanyak 1.41 million yen (RM42,000) kerana penggantungan badan penyiar itu kepada perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, tidak daripada rakan tradisional Jepun.


"Asas kebimbangannya ialah Jepun kini menjadi terlalu Amerika. Terdapat krisis perasaan bahawa negara ini akan menjadi sebuah wilayah Amerika," kata peguam Takahashi, Mutsuo Miyata.

Jepun kaya dengan perbendaharaan kata tempatan tetapi mempunyai tradisi meminjam perkataan daripada bahasa lain sehingga kadangkala mengubah maksudnya.


Kebanyakan penduduk Jepun tidak berfikir dua kali dalam menggunakan perkataan dalam bahasa asing seperti 'trouble,' dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan kepada 'toraburu.' - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Pemimpin militan dijel 10 tahun

Posted: 27 Jun 2013 09:49 AM PDT

Jakarta: Mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang militan yang mempunyai hubungan dengan pemimpin terkenal sebuah kumpulan pelampau kerana merekrut anggota baru untuk menjalani latihan di sebuah kem militan.

Badri Hartono mengetuai kumpulan pelampau yang digelar Al-Qaeda Indonesia dan didapati bersalah menghantar rekrut ke kem militan di sebuah pulau.


Badri juga dituduh memberi perlindungan kepada Noordin Mohammed Top, ketua kumpulan serpihan rangkaian Jemaah Islamiah yang melakukan serangan ke atas sasaran Barat, kata pendakwa raya.

"Badri merekrut anggota baru dan menghantar mereka ke Poso," kata hakim Musa Arif Ani kepada mahkamah, merujuk kepada kawasan di Pulau Sulawesi, tempat terletaknya kem latihan militan itu. "Dia terbukti bersalah terbabit dalam menguji bahan letupan dan latihan militan. Kumpulannya juga merancang serangan ke atas pasukan keselamatan," kata Musa.


Penganalisis berkata, setakat ini tidak jelas sama ada kumpulan yang diketuai Badri mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda sebenar memandangkan banyak kumpulan menggunakan nama pertubuhan yang diasaskan oleh Osama bin Laden itu.


Noordin yang mengisytiharkan dirinya 'Pemimpin Al-Qaeda Gususan Kepulauan Melayu,' dituduh merancang serangan terhadap Hotel Marriott di Jakarta yang mengorbankan 12 orang serta pengeboman di Bali pada 2005 yang meragut 20 nyawa.

Selepas diburu sekian lama, dia akhirnya ditembak mati dalam serangan di bandar Solo, Jawa Tengah pada September 2009.


Pada perbicaraan sebelum ini, Badri menafikan dia mengetuai Al-Qaeda Indonesia tetapi mengaku mengenali Noordin. Dia menerima keputusan mahkamah semalam dan tidak akan membuat rayuan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Singapura rancang buka sekolah Isnin

Posted: 27 Jun 2013 09:48 AM PDT

Singapura: Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan berkata semalam, sekolah di republik ini boleh dibuka semula Isnin depan sekiranya Indeks Standard Pencemaran (PSI) terus berada pada paras sederhana.

"Sekiranya keadaan seperti sekarang berterusan, saya tidak akan teragak-agak menasihatkan Menteri Pelajaran bahawa adalah selamat untuk membuka semula sekolah Isnin depan," katanya.


Bagaimanapun, menurut menteri itu, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan dan kementeriannya akan mengawasi keadaan dan pada masa sama menyelaraskan pemerhatian itu dengan Kementerian Pelajaran.

Menurutnya, Kementerian pelajaran akan memaklumkan kepada ibu bapa pada beberapa hari akan datang sama ada sekolah akan dibuka selepas cuti pertengahan tahun.


Dalam pada itu, Kementerian Pelajaran akan menerima nasihat daripada pihak berkuasa kesihatan dan bekerjasama rapat dengan sekolah bagi mengadakan langkah perlu untuk memastikan kesihatan pelajar dan kakitangan tidak terjejas.


Singapura yang dilanda jerebu paling teruk dalam sejarahnya minggu lalu, mencatatkan PSI sederhana, antara 51 hingga 100 sejak Isnin lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Filipina teruskan rancangan bina pangkalan tentera di Teluk Subic

Posted: 27 Jun 2013 09:48 AM PDT

Manila: Filipina menghidupkan semula rancangan untuk membina pangkalan tentera udara dan laut yang baru di Teluk Subic, bekas pangkalan tentera laut Amerika yang boleh digunakan untuk menangani kehadiran China yang agresif di Laut China Selatan.

Cadangan itu dibuat secara kebetulan dengan kehadiran semula kapal perang, pesawat dan pegawai Amerika Syarikat di rantau itu ketika Washington mengalihkan perhatian terhadap tindakan China yang semakin agresif dan menganjakkan dasar luar, ekonomi dan keselamatan ke arah Asia. Pangkalan itu akan membolehkan Filipina menempatkan kapal perang dan jet pejuangnya hanya 124 batu nautika dari Beting Scarborough, kawasan yang menjadi rebutan di Laut China Selatan. Ia kini dikuasai oleh China selepas berlaku ketegangan tahun lalu.


Tentera Laut Filipina yang aset dan keupayaan peperangannya tidak setanding dengan kekuatan tentera China, masih belum mengemukakan rancangan pembangunan pangkalan itu yang dijangka menelan belanja 10 bilion peso (RM690 juta) kepada Presiden Benigno Aquino. Bagaimanapun, pegawai kanan berkata, mereka percaya ia mempunyai peluang besar untuk diluluskan kerana hasrat Benigno untuk menaikkan taraf pasukan tentera negara itu.

Kongres Filipina tahun lalu meluluskan bajet berjumlah RM5.4 bilion untuk permodenan angkatan tentera negara itu dengan sebahagian besar diperuntukkan untuk membeli kapal, pesawat dan kelengkapan seperti radar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

No comments:

Post a Comment