Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Johor DT tekad sekat LionsXII

Posted: 16 Jun 2013 11:48 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) mahu melupakan seketika bahang final Piala FA, 29 Jun ini sebaliknya tumpuan terarah kepada persiapan menentang LionsXII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini yang dianggap misi memburu kejuaraan liga dan usaha menyekat piala itu menyeberangi Tambak Johor.

Malah penolong jurulatih Ismail Ibrahim yang mengambil alih tugasan daripada Fandi Ahmad yang berada di Argentina atas urusan keluarga mengakui latihan di padang rumput sintetik amat penting bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan padang.


Beliau juga mengesahkan pemain tengah Jazsarin Jamaluddin terpaksa diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan dan tempatnya bakal diisi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang baru kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Australia.

"Buat masa ini kita tumpukan pada aksi liga kerana perlawanan itu juga penting bagi mencari kemenangan ke atas LionsXII dan latihan lebih kepada kekuatan fizikal manakala taktikal akan dilakukan oleh Fandi (Ahmad) sebaik pulang dari Argentina dan kemungkinan kita akan menjalan latihan selama empat hari di Stadium Kluang atau di Singapura yang memiliki padang rumput sintetik.


"Apa yang penting kita perlukan komitmen Safiq dalam mengimbangi kekuatan barisan tengah LionsXII dan saya yakin latihan di Australia itu memberi keyakinan pemain itu membantu Johor DT.


"Final Piala FA juga penting tetapi kita ambil pendekatan perlawanan satu demi satu tanpa menjejas konsentrasi pemain dan seterusnya baru kita fikirkan Piala FA," katanya pada majlis pelancaran majalah rasmi Harimau Selatan di Persada Johor, kelmarin.

Foto

SAFEE pamer peningkatan aksi pada perlawanan persahabatan di Australia.

Johor DT kini berada di tangga kedua liga ketinggalan empat mata di belakang LionsXII yang tampak masih gah mengungguli tangga teratas selepas mengumpul 38 mata selain masih mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri.


Ismail juga menegaskan kemungkinan khidmat Safee Sali yang menunjukkan peningkatan di Australia bakal tersenarai dalam kesebelasan utama namun apa jua keputusan terletak kepada percaturan taktikal Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Dharma bakal kena pecat

Posted: 16 Jun 2013 09:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad remaja negara Muhammad Dharma Raj Abdullah jelas kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Majid Manjit Abdullah yang bersedia untuk memecatnya dalam usaha memujuk semula Paul Revington menarik balik hasratnya daripada meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad senior.

Nama Dharma serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan tiba-tiba menjadi hangat selepas dikaitkan menjadi punca kepada keputusan Revington meletak jawatan.


"Secara jujur, saya benar-benar rasa kecil hati dengan kenyataan itu sebab tiba-tiba saya nama saya dikaitkan dengan isu ini.

"Pihak Jawatankuasa Kejurulatihan juga tidak ada menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan sehinggalah hari ini (semalam).


"Malah saya sendiri tahu perkara ini melalui berita di televisyen," katanya.


Jelas Dharma, beliau sedia untuk mengadakan perbincangan dengan Revington serta beberapa pihak yang berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

"Pada pertemuan itu, saya ingin tahu apakah salah saya sebab rasanya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan ke atas Revington.


"Perkara ini boleh selesai hanya dalam masa lima minit sekiranya semua pihak bekerjasama. Jika benar saya ada buat kesalahan, saya sendiri sedia untuk melepaskan jawatan ini," katanya.

Dharma bagaimanapun mengakui kadang kala berlaku salah faham antaranya bersama Revington tetapi beliau sama sekali tidak menyangka ia akan mengheret kepada masalah lebih besar.


"Saya tetap akan menjalankan tugas sebagai jurulatih seperti biasa selagi belum dapat apa-apa arahan kerana ini adalah satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Revington menghadap Tengku Abdullah

Posted: 16 Jun 2013 09:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Sama ada Paul Revington akan menarik semula keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih hoki negara seperti diputuskan kelmarin masih menjadi tanda tanya selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak semalam.

Revington pada sebelah pagi bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah sebelum bertemu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sebelah petang.


Difahamkan pengendali berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai masa depannya dan akan terus mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak hari ini dan esok sebelum membuat keputusan muktamad.

Difahamkan esok Revington serta beberapa pengurusan kanan MHC akan bertemu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.


Namun khabar angin kuat menyatakan Revington yang membimbing skuad negara sejak Ogos tahun lalu, sedia untuk menarik balik keputusan awalnya selepas bertemu dengan Tengku Abdullah sendiri semalam.


"Saya percaya beliau belum buat keputusan lagi. Revington hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dengan pelbagai pihak," kata sumber.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad meluahkan rasa kesal ke atas Jawatankuasa Kejurulatihan yang dipengerusikan oleh Majid kerana mengadakan sidang media tanpa pengetahuan pihak atasan kelmarin.


Jelas Nur Azmi, isu seperti itu sepatutnya diumumkan oleh Presiden MHC atau pun MSN diketuai Zolkples sebagai pihak yang menggaji jurulatih itu.

"Bagi saya apa yang dinyatakan pada sidang media itu adalah pendapat peribadi (Majid) saja, bukan mewakili kata putus semua anggota MHC.


"Saya kecewa kerana perkara ini sepatutnya dibincangkan terlebih dulu, bukan Jawatankuasa Kejurulatihan terus buat kenyataan," katanya.


Nur Azmi juga tidak faham mengapa perlu dengan tiba-tiba Jawatankuasa Kejurulatihan membuat kenyataan sedia untuk menyingkirkan ketua jurulatih skuad remaja Muhammad Dharma Raj Abdullah serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan dalam usaha memujuk Revington kembali membimbing skuad negara.


"Dharma umpamanya sudah membantu pasukan meraih banyak kejayaan, malah banyak pemain sedia ada yang berada dalam skuad senior sekarang ini adalah di bawah didikannya dulu.


"Jadi kenapa perlu membuang seorang jurulatih yang bagus? Bukankah perkara seperti ini boleh dibincangkan terlebih dulu?" katanya.


Azmi berkata, beliau sudah berbincang dengan Revington dan jurulatih itu juga katanya tidak bersetuju dengan keputusan untuk memecat Dharma serta Lim.


Ditanya apakah kedudukan sebenar Revington ketika ini, Nur Azmi sekadar berkata: "MHC masih amat memerlukan khidmatnya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Isu peletakan jawatan kejutkan hoki

Posted: 16 Jun 2013 09:26 AM PDT

Kangar: Tindakan ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan Paul Revington yang menimbulkan kejutan apabila mahu meletakkan jawatan walaupun mempunyai kontrak berbaki tiga tahun perlu diperhalusi sebelum tindakan susulan dilakukan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah secepat mungkin sebelum menerima sepenuhnya keputusan peletakan jawatan Revington. "Kita akan berbincang mengenai masa depan jurulatih dari Afrika Selatan itu dan mengambil keputusan sewajarnya dengan 'gangguan' seperti yang didakwa beliau.


"Saya kecewa dengan keputusannya di saat kita dalam persiapan memburu kejuaraan dalam pusingan separuh akhir Liga Dunia di Johor Bahru, hujung bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sumbangan kepada keluarga Mohd Akmal Daniel Che Azni, 11, yang terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari latihan hoki di Kampung Tanjong Santan, semalam.


Zolkples mengakui gandingan Revington dan pembantunya Arul Selvaraj banyak melakar kejayaan sepanjang melatih pasukan hoki negara.


"Gandingan mereka cukup berkualiti. Kita berusaha mengambil beliau (Revington) daripada membimbing skuad Ireland dari 2009-2012.

"Malah, pemain di bawah bimbingannya juga berasa gembira dan berkata mereka menikmati latihan yang diberikan sebaiknya," katanya.


Bagaimanapun, Zolkples berkata, beliau terpaksa menerima hakikat jika Revington masih kekal dengan keputusannya itu.

Akhbar kelmarin melaporkan MHC menerima perletakan jawatan melalui e-mel daripada Revington kerana tidak boleh bekerjasama dan sering 'diganggu' jurulatih skuad remaja, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan 1MAS, Lim Chiow Chuan.


Dalam pada itu, Zolkples berkata, Dharma dan Chiow Chuan seharusnya tidak mencampuri urusan Revington sebaliknya melatih skuad masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Strategi baru Jang

Posted: 16 Jun 2013 09:22 AM PDT

Seremban: Gandingan penyerang tiga serangkai menjadi strategi baru yang akan diketengahkan Negeri Sembilan sebaik turun berdepan PKNS FC, dalam usaha melakar kemenangan pada saingan Liga Super, yang kembali bersambung Sabtu ini.

Tiga pemain itu membabitkan penyerang import Leandro Barbosa Fabio, Mohd Nazrin Mohd Nawi dan Ahmad Shakir Md Ali, yang diyakini mampu untuk mengemudi barisan depan pasukan itu ketika menghadapi misi getir untuk mempertahankan maruah yang kian tercalar selepas sekadar meraih satu kemenangan daripada 16 perlawanan.


Jurulatih Ridzuan Abu Shah berkata, Fabio sudah kembali cergas sepenuhnya selepas penyerang dari Brazil itu tidak diturunkan dalam tiga perlawanan terakhir sebelum saingan ditangguhkan, berikutan mengalami kecederaan.

Katanya, sebelum ini tugas di barisan depan terpaksa digalas Mohd Nazrin, Ahmad Shakir dan Shahurain Abu Samah, tetapi dengan kehadiran semula Fabio dalam kesebelasan utama pasukan itu nanti, diharap masalah penyudah tumpul yang dihadapi selama ini akan dapat diatasi.


"Dalam empat perlawanan persahabatan yang kita adakan sepanjang rehat, Fabio menunjukkan persembahan yang baik dan saya yakin dia sudah cergas sepenuhnya serta boleh diturunkan dalam tempoh 90 minit perlawanan.


"Saya bercadang untuk menggunakan sepenuhnya khidmat penyerang import itu untuk bergandingan dengan Mohd Nazrin dan Ahmad Shakir bagi baki empat perlawanan liga bermula 22 Jun ini, yang diharap mereka dapat membentuk satu gandingan lebih mantap dalam merealisasikan kemenangan yang disasarkan," katanya semalam.

Begitupun, bekas pembantu jurulatih FELDA United FC itu mengakui sedikit resah dengan prestasi anak buahnya berikutan keputusan dalam empat perlawanan persahabatan yang diadakan sekadar hanya satu saja yang berpihak kepada Negeri Sembilan termasuk tewas 3-0 kepada Selangor, pada aksi terakhir, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Tok Gajah sasar tiga teratas

Posted: 16 Jun 2013 09:21 AM PDT

Kuantan: Pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh percaya sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga terbaik bukan mustahil walaupun sedar pemainnya bakal melalui lawan cukup sengit.

Justeru, beliau mengingatkan semua pemain supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada baki empat perlawanan lagi.


"Sasaran ini boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa dan jika terlaksana, pasti akan mengubat kekecewaan kami yang gagal ke final Piala FA. Pada pendapat saya, sasaran jurulatih (Dollah Salleh) untuk memastikan Pahang berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik musim ini mampu menjadi kenyataan.

"Tetapi, ia tidak akan sesekali berlaku andai pemain tidak berada pada prestasi terbaik dan sebab itu saya mahu mereka memberikan komitmen 100 peratus terhadap pasukan," katanya semalam.


Che Nasir juga percaya tiga pemain iaitu Azamuddin Mohd Akil, Mohd Fauzi Rozlan dan Saiful Nizam Miswan yang menjalani latihan bersama Harimau Malaya di Australia mampu memberi kekuatan kepada pasukan.


"Apa yang kami harapkan ialah Pahang tidak akan kehilangan sebarang mata jika mahu mencapai sasaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Gelaran bersejarah

Posted: 16 Jun 2013 09:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Gelaran kelima Terbuka Indonesia yang dilakar Datuk Lee Chong Wei (gambar) bukan calang-calang pencapaian apa lagi rekod yang menyamai pencapaian Taufik Hidayat itu di lakar di stadium keramat, Istora Senayan selepas menewaskan Marc Zwiebler dari Jerman, 21-15, 21-14 semalam.

"Saya tidak pernah sangka akan menang kejuaraan kali kelima dan saya tahu sejak dulu susah untuk pemain kita memenangi Terbuka Indonesia," kata Chong Wei yang menang kejohanan Siri Super Perdanar ketiga tahun ini.


"Dalam fikiran saya tidak pernah terlintas mahu melakar kejayaan kelima apa lagi tidak mengambil bahagian tahun lalu. Namun setiap kali saya mengambil bahagian, sasaran saya adalah untuk memenanginya," tegasnya.

Dalam pada itu Chong Wei berharap rakan baiknya dari Indonesia, Taufik yang menjadikan Terbuka Indonesia sebagai kejohanan terakhir sebelum bersara, terus berjaya dan membantu negara itu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sepertinya.


Mengulas mengenai peluangnya di Kejohanan Dunia, Chong Wei berkata: "Selepas rehat dua minggu selepas Piala Sudirman, kejohanan ini (Terbuka Indonesia) menjadi pemanas badan untuk Kejohanan Dunia.


"Saya menyertai kejohanan ini juga untuk mendapatkan rentak dalam kejohanan. Di Kejohanan Dunia nanti saya tidak fikir menang atau kalah kerana bagi saya pada peringkat ini, melakukan persiapan terbaik amat penting bagi mencapai sasaran memburu kejuaraan." Kekalahan Zwiebler menyaksikan Jerman hanya meraih dua tempat naib juara selepas Juliane Schenk juga tewas di final.

Foto

CHONG Wei samai rekod Taufik.

Indonesia meraih satu gelaran menerusi beregu lelaki Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang menewaskan Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae, manakala China, menang tiga gelaran menerusi beregu wanita, campuran dan perseorangan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Beasley harap velodrom di setiap negeri

Posted: 16 Jun 2013 09:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Gembira dengan perkembangan sukan berbasikal di negara ini, ketua jurulatih basikal negara, John Beasley berharap velodrom dapat dibina di setiap negeri kerana ia mampu menjana lebih banyak bakat yang boleh diketengahkan sebagai pengganti kepada Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

Katanya, beliau menimbang untuk membawa isu pembinaan velodrom ke setiap negeri kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika Perlis mengharapkan sokongan kerajaan persekutuan untuk membina velodrom baru sempena Sukan Malaysia 2014.


"Di Australia, sukan berbasikal ini begitu popular dan menjadi satu budaya yang sihat dan hampir setiap daerah memiliki velodrom jadi jika semua negeri di Malaysia memiliki velodrom sudah pasti mudah bagi pelumba mengadakan latihan. "Dengan adanya velodrom bakat terpendam tidak akan sia-sia yang boleh diserapkan ke dalam skuad kebangsaan sekiranya dapat membuktikan keupayaan masing-masing. Biarpun ia memakan masa namun sekurang-kurangnya setiap negeri mampu membangunkan sukan ini dari akar umbi," katanya.

Mengambil contoh dua pelumba remaja negara yang bakal beraksi di Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia, Muhammad Firdaus Mohd Zonis, Muhammad Shah Firdaus Shahrom, Beasley berkata ia adalah contoh terbaik perkembangan sukan basikal di negara ini.


"Saya gembira dengan program pelapis yang semakin menampakkan hasil. Ia adalah contoh terbaik. Mereka yang akan beraksi di Kejohanan Remaja Dunia mempunyai potensi untuk mengorak langkah lebih jauh sekiranya terus berusaha keras dan memberi komitmen yang jitu dalam latihan masing-masing.


"Saya percaya jika mereka terus berusaha, satu hari nanti pasti mampu untuk menjadi juara seperti Azizul yang turut berkongsi teknik atau cara bergelar seorang juara," katanya. Justeru seperti yang diperdebatkan ketika ini berhubung isu pembinaan velodrom, Beasley berharap Khairy dapat mempertimbangkan pembinaan velodrom di semua negeri.

Biarpun tidak mampu untuk membuat velodrom berkelas dunia di setiap negeri, cukup hanya sekadar menyediakan perkara asas yang membolehkan atlet menjalani latihan seperti yang diminta oleh Perlis dengan dianggarkan pembinaan bernilai RM9 juta mengikut piawaian Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

'Kim Her patut letak jawatan'

Posted: 16 Jun 2013 09:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Razif Sidek menasihatkan Tan Kim Her supaya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana enggan bertanggungjawab atas prestasi pemain beregu lelaki negara.

Bekas ketua jurulatih BAM itu terkejut apabila Kim Her menafikan beliau bertanggungjawab ke atas prestasi beregu lelaki negara sambil mengalihkan perhatian kepada kegagalan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di pentas antarabangsa perlu dituju kepada jurulatih beregu Paulus Firman.


"Sebelum Paulus tiba lagi sudah terserlah kegagalan, terima sajalah kenyataan yang berlaku. Isu di sini bukan saja membabitkan Kien Keat-Boon Heong tapi juga Hoon Thien How-Tan Wee Kiong. Mereka di tempat ke tujuh dunia tapi tiada kejuaraan," kata Razif.

Razif juga mempersoalkan tugas Kim Her yang gagal menyerlahkan juara remaja dunia yang berada dalam kem kebangsaan.


"Kita memiliki juara remaja dunia tapi sehingga hari ini mereka belum menyerlah, apakah program yang dibuatnya, adakah beliau suka menyimpan kualiti yang kita ada sehingga berkarat?" soal Razif.


Justeru Razif berharap agar BAM memantau rapat KPI jurulatih mereka.

"Keputusan beliau menyerahkan Kien Keat-Boon Heong kepada Paulus sudah salah. Apa standard Paulus untuk melatih dan menjaga pasangan kelas dunia seperti Kien Keat-Boon Heong? Beliau (Kim Her) kembali dengan latar belakang pernah melatih Korea dan England, jadi tunjukkan kualiti yang ada tapi kalau benar beliau bagus, tentu Korea mahupun England tidak akan lepaskannya," kata Razif.


Sebelum ini BAM menjelaskan pendirian tidak akan menyambung kontrak jurulatih itu sekiranya masih gagal menunjukkan prestasi namun Kim Her membawa isu beliau tidak bertanggungjawab ke atas kegagalan Kien Keat-Boon Heong kerana tidak melatih pemain itu secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

Bincang isu berbangkit

Posted: 16 Jun 2013 09:16 AM PDT

Kangar: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) membuat usul agar Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) diadakan bagi membincangkan kelemahan pengurusan serta isu-isu berbangkit dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengembalikan semula badan induk itu ke landasan sebenar.

Timbalan Presiden PFA Azahar Ahmad berkata, usul itu diluluskan selepas Mesyuarat Agung persatuan itu semalam dengan ahli korporat Datuk Rozabil Abd Rahman dilantik sebagai presiden baru.


EGM itu wajar diadakan dengan kehadiran bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

"Mereka adalah individu yang berani berkata benar sehingga terpaksa mengalami penggantungan dan denda daripada FAM," katanya.


Sementara itu, kemelut melanda PFA berhubung kedudukan jawatan presiden yang dikosongkan berakhir dengan pelantikan Rozabil.


Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas mesyuarat agung selain nama beliau turut dicadangkan oleh Shahidan.

Sebelum ini, Menteri Besar Azlan Man pernah ditawarkan menerajui PFA, namun beliau menolak kerana tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pasukan bola sepak.


Menurut Azahar lagi, pemilihan Rozabil dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan ahli majlis PFA bagi memastikan pasukan negeri mampu meneruskan persaingan dalam saingan domestik.

"Ramai yang menolak memegang jawatan berkenaan atas beberapa alasan menyebabkan kami berbincang dan menetapkan kriteria bagi mencari peneraju lebih sesuai.


"Justeru, selepas perbincangan bersama tokoh bola sepak dan kerajaan negeri, kami mengambil keputusan memilih tokoh korporat itu sebagai peneraju pasukan Perlis dan lega beliau menerima jawatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/17

No comments:

Post a Comment