Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta pesawat jadi rebutan

Posted: 18 Jun 2013 09:56 AM PDT

Los Angeles: Perang bidaan tercetus antara jutawan terkenal dalam usaha untuk mendapatkan kereta pesawat pertama di dunia yang ditawarkan untuk dijual pada harga kira-kira RM3 juta.

Dengan kereta dan kesesakan jalan raya kian menjadi-jadi pada 1940-an, pereka Moulton Taylor menghasilkan cara untuk mengatasi masalah itu. Pereka warga Amerika itu membina kereta pesawat, Aerocar yang pertama pada 1949 dan membuktikan bahawa dengan sayap yang boleh dilipat untuk membolehkannya bergerak di jalan raya, ia boleh dilakukan.


Aerocar dijangka mendapat sambutan hangat ketika itu tetapi selepas 25 tahun berkempen, Taylor masih gagal untuk mencapai persetujuan, termasuk dengan syarikat pembuat kereta terkenal, Ford.

Bersama-sama dengan prototaip asal, hanya empat Aerocar dibina dan pengumpul berebut-rebut untuk memiliki bahan sejarah kejuruteraan yang menakjubkan itu, yang masih boleh terbang dengan kelajuan 176 kilometer sejam.


Peminat aviasi, Greg Herrick berkata: "Ini ialah kemuncak rekaan abad yang ke-20 ketika itu dan begitu hampir untuk menjadikan imaginasi dunia menjadi kenyataan. "Tidak ada sesuatu yang sama dengannya ketika itu dan rekaan itu menarik begitu banyak perhatian. Ia begitu menakjubkan.


"Berita mengenainya tersiar di muka depan akhbar, majalah, buku dan rancangan televisyen di seluruh dunia. Tidak ada yang popular sepertinya sebelum itu.

Foto

AEROCAR ketika ujian penerbangan.

"Bagaimanapun, ketika harga minyak merudum pada 1970-an serta kekurangan semangat ahli perniagaan untuk melabur dalam industri terbabit, menyebabkan minat terhadap Aerocar juga terhakis." Kenderaan sepanjang enam meter itu mempunyai dua tempat duduk yang terletak bersebelahan, empat roda, sayap selebar 10 meter dan dilengkapi dengan enjin Lycoming 0-320 yang dipasang di atas tayar belakangnya.


Kipas pula dipasang pada hujung ekor yang diletakkan pada sudut menegak untuk membolehkan kipas itu mempunyai ruang secukupnya untuk berpusing. Bukan saja ia boleh diubah daripada sebuah pesawat menjadi sebuah kereta, tetapi sayapnya juga boleh dilipat ke sisi dan tangkinya ditanggalkan serta ditarik di belakang kenderaan seperti sebuah treler. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Ribery, Benzema dituduh laku seks dengan remaja

Posted: 18 Jun 2013 09:09 AM PDT

Paris: Bintang bola sepak Bayern Munich, Frank Ribery dibicarakan semalam atas tuduhan melakukan seks dengan seorang pelacur bawah umur yang dilanggannya sebagai 'hadiah hari jadi untuk dirinya.'

Ribery, 30, pemain bahagian tengah yang sudah berkahwin berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah atas tuduhan membawa pelacur bernama Zahia Dehar ke bilik hotelnya di Jerman ketika gadis itu berusia 17 tahun dan membayarnya RM3,000 untuk seks.


Bintang Real Madrid Karim Benzema juga berdepan dengan tuduhan mengadakan seks dengan pelacur berambut perang itu yang kini berusia 21 tahun.

Ribery yang memeluk Islam selepas berkahwin, mengaku mengadakan seks dengan Zahia, pelacur kelahiran Algeria tetapi mendakwa dia tidak tahu pelacur itu bawah umur.


Usia mengadakan seks dengan kerelaan di Perancis ialah 15 tahun. Bagaimanapun, umur yang ditetapkan untuk bekerja sebagai pelacur ialah 18 tahun.


Enam lelaki lain yang menguruskan rumah pelacuran di Paris tempat Zahia bekerja juga didakwa.

Zahia sebelum ini bercakap mengenai bagaimana Ribery membayar tambang penerbangan kelas pertama berharga RM25,000 dan bilik di hotel lima bintang untuk melangganya selama semalam pada hari jadinya ke 26 pada 7 April 2010.


Zahia menjadi selebriti di Perancis sejak kejadian itu terbongkar dan melancarkan laman web porno serta baju dalam jenama sendiri.

Dia memberitahu majalah Paris Match: "Saya adalah hadiah hari jadi Ribery. Kami berkenalan di sebuah kelab di Paris. Dia menempah saya dan membawa saya ke Munich untuk meraikan hari jadinya yang ke-26. "Dia menempatkan saya di hotel mewah di Munich. Kami mengadakan seks dan dia membayar saya. Saya menjadi hadiah istimewa untuknya." Ribery mulanya didakwa pada Julai 2010 atas tuduhan melanggan pelacur bawah usia untuk seks. Bagaimanapun, kes itu diketepikan selepas pendakwaraya gagal membuktikan dia mengetahui usia sebenar Zahia. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Harga minyak Indonesia naik

Posted: 18 Jun 2013 09:07 AM PDT

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia tidak mempedulikan kemarahan rakyat apabila mengambil keputusan untuk menaikkan harga minyak, yang pertama sejak 2008.

Keputusan dibuat sehari selepas polis bertempur dengan ribuan penunjuk perasaan di luar Parlimen.


Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang bersenjatakan bom api lewat kelmarin ketika anggota Parlimen meluluskan langkah itu, sekali gus membuka jalan kepada pengurangan subsidi minyak.

Ketika polis bersiap menghadapi ratusan penduduk yang merancang berhimpun di Parlimen buat hari kedua bagi membantah kenaikan sebanyak 30 peratus harga minyak itu, anggota Kabinet berkata, kerajaan tidak akan menarik balik keputusan berkenaan.


"Harga minyak akan naik. Langkah itu amat penting kerana ketidaktentuan ekonomi global," kata Menteri Kewangan, Chatib Basri.


Menurutnya, kerajaan kini dalam peringkat terakhir kajian sebelum membuat pengumuman, yang dijangka dilakukan dalam masa beberapa hari lagi.

Naib Presiden, Boediono menggesa orang ramai bertenang dan tidak menyorok bahan itu ekoran laporan penduduk mula menyimpan minyak bersubsidi sebelum harganya melambung.


Polis di Jawa Barat dan Lampung merampas ribuan liter minyak yang didakwa dibeli sebagai menghadapi kenaikan harga dan menahan beberapa orang.

Sementara itu, syarikat minyak Indonesia, Pertamina berkata, jualan meningkat tiga hingga empat peratus sejak beberapa hari lalu.


Harga bahan itu dijangka meningkat 33 peratus dengan petrol naik daripada 4,500 rupiah (RM1.44) seliter kepada 6,500 rupiah (RM2.07) sementara diesel daripada 4,500 rupiah (RM1.44) kepada 5,500 rupiah (RM2.77) seliter.


Anggota Parlimen yang bersidang kelmarin turut bersetuju mengkaji bajet yang termasuk beberapa langkah untuk membantu jutaan penduduk miskin yang akan teruk terjejas dengan kenaikan harga minyak itu.


Keluarga miskin akan menerima bantuan RM45 sebulan selama empat bulan akan datang bagi mengimbangi kenaikan harga minyak yang dijangka menyebabkan semua barangan keperluan harian turut naik kerana kos pengangkutan yang lebih mahal.


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mencadangkan langkah itu sebelum harga minyak dinaikkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

32 haiwan liar dirampas dalam rumah pangsa

Posted: 18 Jun 2013 09:07 AM PDT

Singapura: Lebih 30 haiwan liar, termasuk ular sawa, kura-kura, kokang dan seekor monyet kecil berekor panjang dirampas dari sebuah rumah pangsa, semalam.

Pemilik binatang itu yang menyimpan haiwan berkenaan di sebuah apartmen perumahan awam berdepan dengan hukuman penjara dua tahun dan denda sehingga S$500,000 (RM1.15 juta), kata Lembaga Makanan Pertanian dan Veterinar (AVA) dalam satu kenyataan.


Kesemua 32 binatang itu, termasuk seekor kokang, dan tiga ular sawa amat popular di pasar haiwan peliharaan kerana sifat semula jadi mereka yang mudah dipelihara.

Terdapat juga tiga anjing prairie berekor hitam, beberapa kura-kura, lima katak bertanduk ukir, seekor iguana, cicak tokek dan degu, sejenis tikus kecil yang biasa terdapat di tengah Chile.


"Ia adalah rampasan hidupan liar yang terbesar dilakukan AVA sejak 2002. Seorang lelaki kini membantu kami melakukan siasatan," kata agensi itu.


Penduduk di perumahan awam, tempat kebanyakan rakyat Singapura tinggal, hanya dibenar memelihara haiwan seperti burung yang tidak berdepan dengan kepupusan, ikan dalam akuarium dan seekor anjing kecil bagi setiap keluarga.

Haiwan itu kini di bawah jagaan sebuah syarikat yang menguruskan Zoo Singapura. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Anggota polis Islam ditembak mati militan

Posted: 18 Jun 2013 09:04 AM PDT

Yala: Seorang anggota polis beragama Islam ditembak mati oleh seorang lelaki disyaki anggota militan ketika dia bersolat di sebuah masjid di daerah Raman, semalam.

Pembunuhan berlaku jam 7 malam di masjid Kampung Ban Mai Kan di Nern Ngarm, kata Ketua Inspektor Balaik Polis Muang Kotabaru, Prach Kanlakanon.


Sarjan Mejar Abdulkarim Patali sedang menunaikan solat Maghrib bersama penduduk kampung apabila seorang lelaki bersenjata menembaknya tiga kali di kepala dengan pistol 9mm ketika dia rukuk.

Penyerang kemudian melarikan diri sementara jemaah lain yang terkejut hanya memerhatikan kejadian berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

5 askar Filipina diculik pemberontak komunis

Posted: 18 Jun 2013 09:03 AM PDT

Manila: Pemberontak komunis yang menyamar anggota tentera menculik lima askar Filipina di pinggir bandar raya Davao, semalam.

Gerila Tentera Rakyat Baru yang berpakaian seragam tentera menahan askar yang menunggang dua motosikal pada satu sekatan jalan raya, kata jurucakap tentera tempatan Kapten Raul Villegas.


Menurutnya, anggota tentera itu yang berpakaian preman dan tidak bersenjata dalam perjalanan ke pasar untuk membeli bekalan bagi satu program bantuan makanan komuniti.

Menyedari lelaki bersenjata yang membuat sekatan jalan itu bukan anggota tentera, ketua kumpulan askar Filipina terbabit melompat dari motosikalnya untuk melarikan diri, meninggalkan lima rakannya.


Pemberontak biasanya membebaskan askar yang mereka tawan selepas memastikan mereka tidak terbabit dalam pencabulan hak asasi manusia atau pencabulan lain. Usaha untuk mendapatkan pembebasan anggota tentera itu sudah dilakukan.


Parti Komunis Filipina terbabit dalam satu daripada pemberontakan paling lama di Asia. Rundingan untuk menamatkan pemberontakan menemui jalan buntu sejak dua tahun lalu kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai pembebasan pemimpin pemberontak yang menjalani hukuman penjara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Polis siasat SRK

Posted: 18 Jun 2013 09:00 AM PDT

Mumbai: Pihak berkuasa India semalam berkata, mereka menyiasat dakwaan bintang Bollywood Shah Rukh Khan dan isterinya tahu mereka akan menimang bayi lelaki.

Ujian untuk mengetahui jantina anak yang dikandung diharam di India.

Media tempatan sejak beberapa hari lalu melaporkan, Shah Rukh, 47, dan isterinya, Gauri bakal mendapat anak ketiga melalui khidmat ibu tumpang.

Ketika ini pasangan itu mempunyai sepasang anak remaja.


Pasangan itu belum memberi pengesahan terhadap berita berkenaan.


Hasil laporan media itu, Persatuan Radiologi Dan Pengimejan India (IRIA) membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan di negeri Maharashtra dan menuntut siasatan dijalankan.

"Kami mahu tahu sejauh mana pasangan suami isteri itu tahu jantina anak mereka dan siapa yang memaklumkannya," katanya.

Peraturan itu dibuat kerana kecenderungan masyarakat untuk mendapat anak lelaki menyebabkan berlaku pengguguran apabila diketahui janin dikandung adalah perempuan.

Amalan itu juga mendorong berlaku masalah kelahiran bayi lelaki dan perempuan tidak seimbang.

Secara tradisional, wanita berkahwin menghadapi tekanan untuk melahirkan anak lelaki kerana dianggap dapat mencari rezeki untuk keluarga, terutama apabila ibu bapa sudah tua.

India menguatkuasakan undang-undang melarang ujian jantina janin itu sejak 1996. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Budak perempuan mati dipijak gajah

Posted: 18 Jun 2013 08:59 AM PDT

Kathmandu: Seekor gajah memijak mati seorang kanak-kanak perempuan selepas mengheret mangsa dari rumahnya di kawasan terpencil di tenggara Nepal, kata polis semalam.

Pegawai polis tempatan, Pralhad Keshari berkata, tiga anggota keluarga mangsa sempat melarikan diri apabila gajah itu merempuh rumah mereka di kawasan pertanian di Dholbazar, malam kelmarin.


"Malangnya kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya. Menurut Keshari, polis menghalau gajah itu. Kampung Dholbazar terletak berhampiran sempadan dengan India, kira-kira 370 kilometer di tenggara Kathmandu. Kejadian serangan ganas gajah ke atas manusia terus meningkat di Nepal dan ia dikaitkan dengan penebangan hutan berleluasa di negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

12 maut tanah runtuh di Nepal

Posted: 18 Jun 2013 08:58 AM PDT

Kathmandu: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat berpanjangan sejak tiga hari lalu di kawasan terpencil Nepal, kata pihak berkuasa semalam.

Seramai tujuh orang dari satu keluarga, termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, terbunuh apabila rumah mereka tertimbus di sebuah perkampungan barat laut Nepal.


Pegawai polis tempatan, Prakash Gharti berkata, sebahagian daripada tanah tinggi di Kampung Malika runtuh dan menimpa rumah mangsa kelmarin.

"Semua ahli keluarga terbabit terbunuh," katanya. Di daerah Baitadi di barat Nepal pula, lima orang terbunuh pada pagi semalam.


Inspektor Manoj Kumar Shahi berkata, rumah berkenaan terletak di kawasan gaung di kawasan perkampungan Siddheswar.


"Dua wanita, seorang budak lelaki berusia 12 tahun dan dua bayi terbunuh," katanya. Ratusan orang maut akibat bencana banjir dan tanah runtuh ketika Nepal dilanda hujan monsun setiap tahun. Hujan lebat turut melanda kawasan sempadan India, menyebabkan banjir kilat dan sekurang-kurangnya 60 orang dikhuatiri terbunuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

No comments:

Post a Comment