Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kokain dalam kaki palsu

Posted: 14 Jun 2013 09:07 AM PDT

Madrid: Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyeludup kokain ke Sepanyol menggunakan kaki palsunya.

Lelaki warga Peru yang berkelakuan mencurigakan di Lapangan Terbang Barajas di Madrid itu ditahan pihak berkuasa sebaik dia sampai dengan pesawat dari Panama. Apabila pegawai kastam memeriksanya, mereka menemui 750 gram dadah dengan nilai jalanan £40,000 (RM 195,387) disembunyikan dalam kaki palsunya.


Sementara itu, dalam satu lagi serbuan terhadap pesawat yang sampai dari Peru, 11 kilogram dadah turut disita. Barajas ialah lapangan terbang paling sibuk di Sepanyol. Tahun lalu polis merampas dua tan dadah kokain, selain menahan 461 suspek penyeludup di lapangan terbang berkenaan. - Agensi

Foto

TAKTIK baru sembunyikan dadah dalam kaki palsu.

Foto

KOKAIN ditemui dalam kaki palsu seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Gara-gara nak pinggul besar

Posted: 14 Jun 2013 08:44 AM PDT

Miami Dade: Polis melancarkan siasatan selepas seorang wanita yang menjalani prosedur pembesaran dan pemejalan pinggul mati setelah menerima suntikan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya doktor dari Venezuela.

Suyima Torres, 28, mati April lalu dan polis menganggap kematiannya sebagai kes bunuh berikutan pusat kesihatan yang dikunjungi mangsa beroperasi tanpa lesen.

Suyima dilaporkan mengunjungi pusat kesihatan dan estetik Cuerpos untuk menjalani prosedur berharga AS$1,500 (RM4,686) di mana cecair kuning disuntik di kedua belah pinggulnya, menurut dokumen mahkamah.

Beberapa minggu kemudian, dia menjalani satu pusingan suntikan lagi dan berasa pening sejurus selepas prosedur itu. Dia mati 10 jam kemudian.


Dia membayar $2,300 (RM 7,186) secara tunai untuk kedua-dua suntikan itu. Walaupun punca kematiannya tidak diketahui, polis menyifatkan ia sebagai pembunuhan.


Polis Miami Dade merampas rekod, perubatan dan komputer dari pusat kesihatan itu. Tiada dakwaan difailkan tetapi pihak berkuasa masih mengumpul maklumat lanjut daripada ahli keluarga suspek dipercayai terbabit dalam kes itu. Suspek dipercayai sudah melarikan diri meninggalkan negara berkenaan.

"Kematian Suyima berlaku hanya 16 hari selepas Dailen Garcia, 20, mengatakan dia menerima suntikan pinggul di pusat sama sebelum menghadapi masalah penglihatan dan pendarahan di paru-paru.

Dailen dirawat di unit rawatan rapi di hospital, lapor NBCMiami.

Kes pembesaran dan pemejalan pinggul paling terkenal ialah yang membabitkan wanita yang mendakwa pakar kosmetik, Oneal Morris yang menyuntik 'bahan toksik' yang digunakan untuk menampal tayar dan gam Super Glue ke punggung pelanggannya.

Seorang pelanggan Oneal maut selepas menerima suntikan serum toksik di pinggul, pinggang dan payudaranya.

Shatarka Nuby, 31, adalah pesakit pertama Oneal mati kesan daripada prosedur itu. Dia sempat memberitahu rakannya, kawasan yang disuntik menjadi tegang dan panas.

Oneal, 32, kini berdepan dengan beberapa tuduhan membunuh di Florida selepas pesakit lain mendakwa kesihatan mereka terjejas selepas dia menyuntik bahan kimia pada pinggul mereka.

Oneal menjalankan rawatan itu di bilik hotel dan rumah pelangganya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Tak sedar anjing kunyah dua jari kaki

Posted: 14 Jun 2013 08:42 AM PDT

Indiana: Seorang lelaki Roger Brown yang bangun pagi kelmarin mendapati anjingnya menjilat kakinya sebelum menyedari haiwan itu turut mengunyah dua jari kakinya.

Menurut laporan Wish TV, anjing pit bull berusia enam bulan bernama Bo itu membaham ibu jari dan jari kelengkeng kaki kirinya sebelum Brown bangun jam 4.30 pagi. Brown yang menghidap diabetes dan mengalami jangkitan kaki tidak berasa sakit ketika Bo membaham jari kakinya.


Polis tidak menganggap kejadian itu sebagai serangan.

Brown memberitahu WTH ITV kejadian itu berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana tidak membungkus jangkitan di kakinya. Menurut laporan New York Daily News, doktor percaya Bo mungkin cuba untuk membantu tuannya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Putera William berdarah India

Posted: 14 Jun 2013 08:40 AM PDT

London: Putera William akan menjadi raja Britain pertama yang memiliki darah keturunan India.

Analisis terbaru DNA membantu penyelidik membuktikan keturunan nenek moyang Duke of Cambridge, Eliza Kerwark ada mewarisi darah India.

Eliza yang juga leluhur kepada ibu William dan Harry, Puteri Diana selama ini dipercayai berasal dari Armenia.

Bagaimanapun, ujian terbaru terhadap sampel air liur diberikan keturunannya, termasuk ibu saudara Diana menunjukkan Eliza sekurang-kurangnya mempunyai separuh darah India.


Penemuan itu kelihatannya menjadikan William pewaris kedua takhta, bakal ketua negara Komanwel pasti melonjakkan popularitinya di kalangan 1.1 bilion penduduk India.


Dia belum lagi mengunjungi negara itu, tetapi ibu bapanya, Charles dan Diana pernah melawat India pada 1992 dengan aksi Diana duduk bersendirian di depan Taj Mahal.

William dan isterinya, Kate Middleton digalakkan melakukan kunjungan ke India selepas kelahiran anak pertama mereka bulan depan.

Penyelidik sebelum ini menjejaki salasilah keluarga Diana kepada enam generasi hingga pada Eliza Kerwark yang dilahirkan di barat India sekitar 1790 dan dipercayai berkahwin dengan pedagang Scotland Theodore Forbes pada 1812.

Bapa Eliza ialah pedagang Armenia, tetapi tiada rekod mengenai ibunya. Kini analisis genetik menunjukkan bahawa ibu Eliza pastinya berketurunan India.

Ibu saudara Diana, Mary Roach, seorang daripada penyumbang DNA berkata: "Saya selalu menyangka saya berketurunan separuh Armenia, jadi saya gembira kerana saya juga memiliki darah keturunan India." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

'MJ hidup bagai gelandangan'

Posted: 14 Jun 2013 08:39 AM PDT

Los Angeles: Michael Jackson mendakwa dia berdepan dengan masalah kewangan yang teruk hinggakan keluarganya 'hidup bagai gelandangan.'

Pengurus penganjur konsert terakhir Jackson berkata, superstar itu terdesak mendapatkan wang apabila dia bersetuju mengadakan konsert Arena 02 di London. Pengerusi Eksekutif konsert secara langsung AEG, Randy Phillips mengimbau bagaimana Jackson menahan sebak ketika meratapi musibah kewangan dihadapinya ketika pertemuan di parti Halloween di sebuah hotel. Phillips berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kematian Jackson di Los Angeles.


"Dia sangat emosi. Dia menangis ketika menceritakan mengenai keluarganya dan bagaimana dia ingin menjalani kehidupan yang baik bersama mereka dan tempat tinggal yang dapat dipanggil kediaman sendiri.

"Saya rasa sangat pelik kerana bintang hebat ini berdepan keadaan di mana dia tidak dapat membeli rumah dengan semua wang diperolehnya sebelum ini. Ia tidak masuk akal langsung," katanya Pendedahan itu dibuat sehari selepas gambar rumah agam, tempat ikon berusia 50 tahun itu mati akibat mengambil ubat berlebihan pada Jun 2009 disebarkan. Bilik tidurnya penuh dengan ubat yang bertaburan, bekas gas, alat perubatan dan kubur pelik untuk kanak-kanak.


Ibu Jackson, Katherine dan tiga anaknya menyaman AEG atas dakwaan cuai kerana mengupah Dr Conrad Murray yang didapati bersalah menyebabkan kematian bintang itu pada 2011. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

BRN minta semua pihak sabar

Posted: 14 Jun 2013 08:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Kumpulan pemisah selatan Thai semalam berkata, rundingan untuk menamatkan sengketa berdarah mungkin mengambil masa bertahun-tahun tetapi itulah satu-satunya cara untuk mewujudkan keamanan.

"Rundingan mungkin berlarutan selama dua atau tiga tahun atau lebih lama. Tidak ada tanda berapa lama ia akan berjalan. Kami berharap semua pihak bersabar dan berdoa semoga rundingan ini berjaya," kata wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) Hassan Taib di Kuala Lumpur.


Lebih 5,500 orang terbunuh dalam sengketa bersenjata di tiga wilayah selatan Thai sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Sementara itu, pihak berkuasa Thai dan kumpulan pemisah yang mengadakan perbincangan damai pusingan ketiga di Kuala Lumpur bersetuju untuk mengurangkan keganasan di wilayah berkenaan sepanjang Ramadan yang dijangka bermula 9 Julai depan.


Thailand sebelum ini menyuarakan rasa tidak sabar berhubung keganasan yang masih berlaku di ketiga-tiga wilayah itu - Pattani, Narathiwat dan Yala.


Ketua perwakilannya ke rundingan berkenaan, Paradorn Pattanatabut yang juga Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan berkata, beliau memerlukan hasil yang konkrit untuk mengurangkan keganasan supaya 'saya boleh menjawab kepada rakyat Thai'.

Meskipun sudah berbincang dua kali sejak Mac lalu, pertumpahan darah yang terus berlaku meningkatkan tanda-tanda mengenai pengaruh pemimpin pemisah ke atas militan radikal.


Hassan mengaku terdapat perpecahan di kalangan mereka dengan ada yang cuba untuk menggagalkan rundingan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Gabenor Riau berdepan tiga tuduhan rasuah

Posted: 14 Jun 2013 08:37 AM PDT

Jakarta: Badan antirasuah Indonesia semalam menangkap Gabenor Riau, Rusli Zainal selepas dia dinamakan suspek dalam tiga kes rasuah.

"Rusli akan ditahan selama 20 hari bermula hari ini (semalam)," kata jurucakap Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) Johan Budi, semalam.


Rusli berdepan dengan tiga tuduhan rasuah dengan yang pertama membabitkan Sukan Kebangsaan yang diadakan di Pekan Baru, ibu negeri Riau September lalu.

Dia didakwa menyokong langkah di Dewan Undangan Riau untuk meningkatkan pembiayaan bagi pembinaan tempat sukan itu.


Sebagai balasan, dia didakwa menerima wang sogokan berjumlah Rp500 juta (RM156,000) daripada pengurus sebuah syarikat pembinaan yang diberi kontrak membina kemudahan sukan.


Kes kedua terhadap Rusli, anggota Parti Golkar ialah pembabitannya mengagihkan wang rasuah berjumlah Rp1.8 juta (RM567) kepada anggota dewan tempatan supaya meluluskan pertambahan peruntukan untuk sukan itu. Kes ketiga ialah pemberian permit membalak antara 2001 dan 2006 di daerah Pelalawan, Riau.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Jokowi mahu Jakarta bersih seperti Kuala Lumpur

Posted: 14 Jun 2013 08:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Gabenor Jakarta, Joko Widodo (Jokowi) menyuarakan hasrat untuk menjadikan Jakarta bersih seperti Kuala Lumpur.

"Saya melihat jalan raya di Kuala Lumpur bersih kerana dikelola dengan baik, Saya ingin Jakarta juga bersih seperti ini," kata Jokowi yang ditemani Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno, menyusuri Jalan Bukit Bintang.


Ketika ditanya bila ia boleh dicapai, Jokowi berkata, ia sudah tentu memerlukan waktu kerana bukan mudah untuk mengubah budaya yang sudah sekian lama terbentuk.

Menurutnya, yang paling penting ialah mengubah budaya masyarakat di Jakarta supaya menjalani kehidupan yang bersih.


Sepanjang berada di Kuala Lumpur, Jokowi sempat mengunjungi prasarana monorel untuk mendapatkan pandangan lebih mendalam sebagai persiapan untuk menyediakan pengangkutan itu di Jakarta. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Warga Britain ludah anggota polis Singapura disaman

Posted: 14 Jun 2013 08:36 AM PDT

Singapura: Seorang pengarang majalah Britain disaman S$10,000 (RM24,874.25) kerana meludah seorang anggota polis di satu parti Krismas tahun lalu.

Pengarang majalah dalam penerbangan Tiger Airways, Forgan Duncan didenda oleh hakim mahkamah daerah selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.


"Dia membayar denda itu. Tidak ada perbicaraan susulan kecuali pihak pendakwa mahu merayu keputusan berkenaan," kata peguamnya, Terence Tan.

Dalam rayuannya, Terence memberitahu mahkamah, Duncan menyesal dan memohon maaf kerana bertindak melampau. "Dia mabuk di parti Krismas anjuran majikannya," kata Terence.


Menurut laporan akhbar Straits Times, dua anggota polis menemui Duncan, 34, terbaring di tepi jalan. Dia kemudian memaki hamun anggota berkenaan. Selepas digari, Duncan meludah muka seorang anggota polis itu, Sarjan Walid Jumblat Abdullah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

PKS yakin Susilo batalkan kenaikan harga minyak

Posted: 14 Jun 2013 08:36 AM PDT

Jakarta: Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yakin Presiden Susilo Bambang Yudhoyono akan membatalkan kenaikan harga minyak bersubsidi.

Keyakinan pemimpin parti berkenaan adalah berdasarkan pengalaman sebelum ini.


"Kemungkinan rancangan menaikkan harga minyak akan dibatal," kata anggota Majlis Syura, Idris Luthfi di Parlimen, semalam.

Menurutnya, Susilo sebelum ini pernah bertindak demikian. Tahun lalu, ada ura-ura kerajaan akan menaikkan harga minyak di negara itu tetapi ia tidak dilaksanakan dengan alasan yang tidak jelas.


Sebarang langkah untuk menaikkan harga minyak di Indonesia biasanya akan mencetuskan kekacauan besar-besaran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

No comments:

Post a Comment