Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Penipu kantoi!

Posted: 12 Jun 2013 09:11 AM PDT

Shangdong: Seorang lelaki China dicop penipu selepas mendakwa menyimpan satu mayat makhluk asing di dalam petik sejuknya.

Li Kai mencetuskan kegamatan apabila memuat naik beberapa gambar yang didakwanya mayat makhluk asing itu.


Bagaimanapun, penipuannya itu terbongkar selepas polis melancarkan siasatan berhubung cerita luar biasanya.

Li, dari Binzhou di wilayah Shangdong menulis dengan panjang lebar di dalam Sino Weibo, laman seperti Facebook di China, mengenai penemuan luar biasanya. Dia menceritakan bagaimana dia menemui makhluk bintang Marikh selepas mengekori beberapa pesawat UFO sepanjang Sungai Kuning di China.


Dia mendakwa melihat lima makhluk asing itu, termasuk seorang yang terhempas ke tanah selepas terkena perangkap arnab bervoltan tinggi yang dipasangnya.


Li seterusnya berkata, dia mengambil mayat itu dan membawanya pulang serta menyimpannya dalam peti sejuk.

Foto

LI menyimpan makhluk asing itu di dalam peti sejuknya.

Foto

LI menunjukkan tempat dia menjumpai mayat makhluk asing.

Foto

TANGAN makhluk asing.

Gambar itu menunjukkan wajah makhluk asing berkenaan dengan mata besar dan tangan yang kelihatan berurat serta sebungkus rokok merah pada tapak tangannya.


Gambar lain pula menunjukkan kaki makhluk itu diikat.

Bagaimanapun, kesangsian mengenai cerita Li itu timbul dan dia dipanggil oleh polis untuk disoal siasat.


Dia bertegas mendakwa ceritanya itu benar dan berkata ujian DNA membuktikan 'makhluk asing' itu memang datang ke bumi.


Li kemudian memberitahu pengikutnya bahawa polis menyekat berita itu dan mendesak supaya dia berdiam diri.


Bagaimanapun temberangnya terbongkar apabila polis mengumumkan penemuan menakutkan itu sebenarnya ialah 'makhluk asing' getah yang dibuat sendiri.


Polis Shandong semalam berkata, Li mengaku bahawa ceritanya itu palsu.


Menurut pegawai, lelaki itu membelanjakan lebih 120 yuan (RM65) untuk membuat 'makhluk asing' itu dengan getah dan bahan lain yang dibeli dari sebuah pasar tempatan berdekatan. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Lapan bulan zakar pesakit tegang, doktor disaman

Posted: 12 Jun 2013 09:03 AM PDT

Wilmington: Seorang pemandu trak menyaman seorang doktor selepas kemaluannya tegang selama lapan bulan dan kantung buah zakarnya membesar seperti bola tampar setelah menjalani pembedahan implan kemaluan.

Daniel Metzgar, 44, menjalani pembedahan itu pada 2009. Mahkamah Agung New Castle County di Wilmington, semalam diberitahu, pembedahan itu gagal dilakukan dengan sempurna.


Peguam pemandu trak itu, Michael C Heyden, memberitahu mahkamah, kegiatan harian Metzgar seperti menunggang motosikal atau mengambil surat khabar, menjadi masalah kerana kemaluannya yang sentiasa tegang.

Lelaki itu memasukkan tiga implan kemaluan boleh kembung dan ia dilakukan oleh Dr Thomas J Desperito.


Bagaimanapun, peguam pakar urologi itu yang menolak tuduhan bertanggungjawab terhadap masalah menimpa Metzgar berkata, kesan perubatan yang buruk boleh berlaku tanpa kesilapan sesiapa.


Mereka berkata, Metzgar sepatutnya menyedari kesilapan berlaku apabila kantung buah zakarnya membengkak sehingga sebesar bola tampar selepas pembedahan pada Disember 2009 itu.

Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai masalah itu sehingga April 2010.


Colleen D Shields yang mewakili Desperito memberitahu mahkamah, doktor itu menasihatkan pesakitnya menjalani pembedahan kedua empat bulan selepas pembedahan pertama mengeluarkan implan apabila dia mengadu berlaku jangkitan dan kemaluannya tegang berterusan.

Meskipun diberi amaran, Metzgar enggan bertindak sehingga beberapa bulan kemudian.


Kemaluan palsu itu akhirnya dikeluarkan pada 2010. Metzgar memberitahu mahkamah, dia terpaksa memencilkan diri dan mengelak majlis sosial kerana malu dengan kedudukan kemaluannya.


"Saya langsung tidak boleh menari dengan keadaan kemaluan yang tegang mencucuk teman saya," katanya.


Metzgar dan isteri, Donna, menuntut bayaran ganti rugi yang tidak disebut jumlah daripada Desperito dan kumpulan perubatannya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Drebar akui bunuh jutawan

Posted: 12 Jun 2013 08:55 AM PDT

Bangkok: Pemandu kepada ahli perniagaan yang hilang Akeyuth Anchanbutr, malam semalam mengakui membunuh lelaki berkenaan, kata bekas jurucakap polis, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri dalam akaun Twitter miliknya.

Dua lagi suspek yang didakwa membantu Santiparb Pengduang masih bebas, kata sumber itu tanpa menyatakan peranan setiap suspek dan bagaimana pembunuhan dilakukan.


Setakat ini, motif pembunuhan berdasarkan pengakuan dibuat Santiparb ialah kerana Akeyuth memecat teman wanitanya. Suspek turut menunaikan cek 5 juta baht (RM506,057) yang ditandatangani oleh taikun berkenaan.

Komisioner polis Bangkok, Leftenan Jeneral Comronwit Toopgrajank berkata, tiga lelaki semalam membawa polis ke kubur di kawasan pergunungan dipercayai tempat ahli perniagaan dan juga pengkritik utama kerajaan itu ditanam selepas dilaporkan hilang seminggu lalu.


Comronwit berkata, pemandu yang bekerja dengan mangsa dan dua rakan subahatnya membawa mereka ke kubur yang terletak di wilayah selatan Phatthalung. Suspek mengaku membunuh mangsa untuk mendapatkan wangnya.


Akeyuth adalah pengkritik utama Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan abangnya Thaksin.

Sementara itu, peguam Akeyuth, Suwat Apaipak berkata, dia percaya pelanggannya itu menjadi sasaran penentang politiknya. Pada Februari tahun lalu, Akeyuth mendedahkan kepada media maklumat terperinci mengenai pertemuan peribadi antara Yingluck dan kumpulan ahli perniagaan serta menuduh pemimpin terbabit mendapat faedah daripada pertemuan itu. Kerajaan berkata, Yingluck memang mengadakan pertemuan itu, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya. Akeyuth melarikan diri dari Thailand pada 1983 selepas disabitkan dengan skim pelaburan piramid. Dia kembali ke negara itu selepas undang-undang statut berakhir. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Benigno ikrar pertahan wilayah

Posted: 12 Jun 2013 08:41 AM PDT

Manila: Presiden Filipina Benigno Aquino III, semalam berikrar negaranya tidak akan berundur daripada sebarang cabaran mempertahan kedaulatan dan wilayahnya ekoran perbalahan kawasan perairan dengan China.

Benigno dalam ucapan menandakan ulang tahun ke-115 kemerdekaan negara itu dari Sepanyol berkata, Filipina tidak menuntut wilayah yang jelas milik negara lain, tetapi hanya menuntut "wilayah, hak dan maruah kita" agar di hormati. "Kekerasan tidak berakar umbi dalam darah kita, tetapi kita tidak akan berundur daripada sebarang cabaran," katanya kepada penjawat awam, diplomat dan penyokong di dataran awam yang dinamakan sempena nama pemimpin revolusi, Andres Bonifacio, di mana dia turut mengetuai upacara menaikkan bendera.


Benigno berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, 75 bilion peso (RM5.44 bilion) akan dibelanjakan bagi memodenkan kelengkapan angkatan tentera.

Dia tidak menyebut secara khusus nama China, tetapi dua negara itu berdepan perbalahan wilayah secara berterusan merebut kepulauan Spratly. Bulan lalu, Filipina membantah kehadiran kapal perang, dua kapal pengawasan dan bot nelayan China di luar beting yang ditakluki tentera Filipina di Spratly dalam ketegangan merebut wilayah antara dua negara Asia itu.


Beting Ayungin terletak 196 kilometer dari Palawan di barat daya Filipina. Ia dikawal oleh unit marin Filipina dalam kapal perang usang yang terdampar di terumbu karang beberapa tahun lalu. Beting itu terletak berhampiran Terumbu Mischief yang dituntut oleh Filipina tetapi dijajah oleh China pada 1995, mencetuskan bantahan keras dari Manila. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

9,300 warga Singapura hidap denggi

Posted: 12 Jun 2013 08:41 AM PDT

Singapura: Singapura berusaha menentang wabak denggi yang semakin buruk dengan mengedarkan bahan pencegah serangga kepada setiap isi rumah dan merekrut ratusan pegawai pengawal penyakit, kata pihak berkuasa semalam.

Dua rakyat republik itu maut akibat wabak itu setakat tahun ini dan kes mingguan mencatat jumlah tertinggi 820 dalam tempoh berakhir 8 Jun, kata Agensi Persekitaran Nasional (NEA) dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat kelmarin. Lebih 9,300 orang dijangkiti tahun ini sehingga kelmarin, menghampiri jumlah 13,984 pada 2005, tahun paling buruk dalam rekod, dedah data rasmi.


NEA berkata, pegawainya dan sukarelawan akan mengagihkan 1.2 juta bahan pencegah serangga kepada semua isi rumah di pulau yang dihuni lima juta orang itu mulai Julai ke Ogos tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Thai timbang serah kuasa

Posted: 12 Jun 2013 08:41 AM PDT

Bangkok: Selepas hampir sedekad konflik yang menyebabkan beribu-ribu terkorban, Thailand menimbang menyerahkan kuasa terhad kepada wilayah selatan dihuni majoriti umat Islam dalam usaha memujuk pemisah meletak senjata.

Pegawai kerajaan Thai akan bertemu dua pemimpin utama kumpulan pemisah di Kuala Lumpur untuk pusingan ketiga rundingan yang setakat ini gagal mengakhiri keganasan di wilayah bersempadan dengan Malaysia itu. Dalam usaha memecahkan kebuntuan dalam perang yang dilupakan dunia luar itu yang mencatat lebih 5,500 kematian sejak 2004, pihak berkuasa Thai menimbang menyerahkan beberapa keputusan agar dibuat kerajaan tempatan di tiga wilayah selatan didominasi etnik Melayu Islam. "Kami bukan bercakap mengenai autonomi, tetapi mengenai pentadbiran tempatan," kata perunding utama Bangkok, Paradorn Pattanatabut yang juga Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan kepada media minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Salman pula disyaki terbabit

Posted: 12 Jun 2013 08:40 AM PDT

Mumbai: Hari demi hari kes bunuh diri aktres Bollywood Jiah Khan menyaksikan pendedahan yang mengejutkan.

Selepas surat enam halaman Jiah didedahkan kepada umum oleh ibunya, Rabiya Khan dan anak lelaki Aditya Pancholi, Suraj ditahan kerana dakwaan mendorong kepada tindakan bunuh diri, lagi pendedahan baru dibuat ibunya.


Dalam satu wawancara dengan tabloid India, Rabiya berkata, aktor Salman Khan cuba memujuk Suraj agar memutuskan hubungan dengan Jiah. Dia juga berkata, bapa Suraj, Aditya berang apabila mendengar anak lelakinya menjalin hubungan dengan Jiah dan meminta bantuan Salman untuk menyelesaikan perkara itu.

"Saya tahu dia (Aditya) meradang apabila mendapat tahu mengenai hubungan anak lelakinya dengan anak perempuan saya. Malah, dia juga memberitahu Salman agar menasihati Suraj mengenainya," lapor tabloid itu memetik kenyataan Rabiya. Tetapi Rabiya menjelaskan bahawa apabila Suraj memberitahu aktor itu dia mencintai Jiah, Salman memahami perasaannya dan dapat menerima hakikat itu. Syarikat penerbitan Salman akan menampilkan Suraj dalam pembikinan semula filem "Hero" dan Suraj turut menjadi pembantu pengarah dalam filem arahan Salman, "Ek Tha Tiger". Rabiya juga mendakwa tingkah laku Suraj berubah selepas dia menanda tangani filem baru dengan syarikat penerbitan Salman.


Dengan keadaan yang sudah berubah, tidak diketahui sama ada Salman masih membela Suraj atau dia perlu memikirkan semula mengenai keputusannya.


Tetapi, buat masa ini yang pasti nama Salman turut dikaitkan dengan episod bunuh diri Jiah Khan. - Bollywood Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Ratu mahu bantu orang kurang upaya

Posted: 12 Jun 2013 08:39 AM PDT

Des Moines: Nicole Kelly, ratu cantik Miss Iowa yang baru merancang menggunakan gelaran diraihnya bagi membantu menyokong orang kurang upaya, lapor akhbar DesMoines Register.

Nicole, 23, dilahirkan tanpa lengan bawah kiri, menurut biografinya dalam laman MissIowa.com. Selepas memenangi gelaran itu, Kelly bercakap kepada Berita CBS-4: "Ia mengejutkan dan menggembirakan, seolah-olah kehidupan anda berubah," katanya. "Ketika membesar, saya belajar menerima pandangan yang biasa saya terima daripada orang lain yang mempunyai personaliti menarik," tulis Kelly. "Ini bermakna saya perlu mencuba segala-galanya. Daripada sukan besbol, menari hingga menyelam, tiada apa yang saya tidak pernah cuba." Menurut biografi Kelly, dia kini belajar pengurusan pengarahan dan teater di Universiti Nebraska di Lincoln. "Jika anda memberitahu saya setahun lalu 'ratu cantik' masa depan saya, saya akan ketawa," tulisnya. Kelly akan bertanding dalam pertandingan ratu cantik Amerika pada 15 September di Atlantic City, New Jersey. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

Puteri Kuwait ketepi kemewahan, keluarga

Posted: 12 Jun 2013 08:38 AM PDT

Bandar raya Kuwait: Seorang puteri Kuwait mengetepikan harta dan meninggalkan negara untuk kekal menetap di Arab Saudi bagi merasa dekat dengan makam Nabi Muhammad SAW, mengatakan ia menjadi impiannya sejak bertahun-tahun lamanya, lapor akhbar kelmarin.

Puteri Aisha Mubarak Al Sabah, ahli keluarga keluarga pemerintah negara teluk yang kaya dengan minyak itu berkata, dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat Kuwait dalam satu kenyataan ringkas diterbitkan kebanyakan akhbar tempatan.


Aisha berkata, dia secara kekal meninggalkan Kuwait untuk menetap di bandar Madinah, di barat Arab Saudi, tempat di mana terletaknya makam Nabi.

"Selepas berserah kepada Allah, saya memutuskan untuk meninggalkan negara sendiri dan tinggal di Madinah agar dapat dekat dengan Nabi serta memenuhi impian yang menghantui diri selama bertahun-tahun," katanya.


Aisha berkata, dia sudah mendapatkan keizinan untuk meninggalkan negara itu daripada Emir Kuwait sendiri, Sheikh Sabah Al Ahmed Al Sabah.


"Saya mengucapkan terima kasih kepada Emir atas sokongan dan simpatinya serta berdoa kepada Allah agar menjadikan Madinah tempat tinggal saya sebagai bukti ketaatan dan tempat pengebumian saya kelak," katanya. - Gulf News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/12

No comments:

Post a Comment