Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kecoh di Stadium Perak

Posted: 25 Jun 2013 03:26 PM PDT

Ipoh: Pasukan dari Singapura, LionsXII FC semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama walaupun terikat 1-1 pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Keputusan seri itu meletakkan anak didik V Sundramoorthy terus unggul di persada Liga Super dengan kutipan 40 mata, kelebihan empat mata ke atas Selangor yang merampas tangga kedua dari Johor Darul Takzim (DT), dengan saingan liga berbaki dua perlawanan.


Bagaimanapun kekecohan berlaku apabila pemain Perak Khairi Kiman diarah keluar padang oleh pengadil kerana mengutip kad kuning kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Situasi itu menyebabkan kem Perak yang tidak berpuas hati menyerbu masuk ke padang dan cuba berdepan dengan pengadil sehingga berlaku kekecohan apabila pemain LionsXII turut bertindak balas sehingga memaksa pegawai keselamatan dan pegawai kedua-dua pasukan meleraikan mereka.


Pada perlawanan di Ipoh itu, skuad Seladang berada di depan menerusi jaringan Paulo Rangel pada minit ke-58 sebelum Shahfiq Ghani menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-75.

Foto

PEMAIN Perak dan LionsXll terbabit dalam pergaduhan pada masa kecederaan babak kedua sehingga terpaksa dileraikan pegawai keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Rayuan ditolak!

Posted: 25 Jun 2013 03:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemain Johor Darul Takzim (Johor DT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak sah tidak akan beraksi pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini apabila hukuman penggantungan dua perlawanan dikekalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, penggantungan akibat dikenakan kad merah terus itu tidak boleh dirayu kerana ia hukuman yang berkuat kuasa serta-merta.


"Keputusan pengadil melayangkan kad merah itu muktamad. Jawatankuasa Tatatertib tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menggubal atau meminda undang-undang kad merah dilayangkan secara terus pada perlawanan itu memandangkan ia keputusan dibuat pengadil perlawanan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"Hukuman itu termaktub dalam Perkara di bawah 35.3 (2) Kod Tatatertib yang menyatakan mana-mana pemain menerima dua kuning dan dilayangkan kad merah akan kekal menjalani hukuman penggantungan automatik," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib mengenai hukuman kad merah di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.


Aidil, tonggak pertahanan Johor DT dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Zam Zaidi pada aksi Liga Super menentang Lions XII yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, minggu lalu.


Aidil dikenakan kad merah itu berikutan terjahan keras dilakukannya terhadap Irwan Shah pada penghujung babak perlawanan. Johor Darul Takzim (DT) sebelum ini membuat rayuan rasmi kepada FAM agar kad merah Aidil itu ditarik balik bagi membolehkannya beraksi di final Piala FA.

Selain penggantungan menentang Kelantan, Aidil turut digantung daripada beraksi pada perlawanan menentang Felda United malam tadi.


Mengikut peraturan pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setiap pemain dilayangkan kad merah terusakan dikenakan penggantungan dua perlawanan dalam semua pertandingan sama ada Liga Super atau Piala FA. Pada masa sama, FAM mengurangkan hukuman dikenakan terhadap pemain Terengganu, Ismail Faruqi daripada enam bulan kepada tiga bulan dan didenda RM5,000 atas kesalahan menyondol kepala kepada pengadil dan mengeluarkan kata-kata kesat sewaktu Terengganu menentang Pahang pada Liga Super sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

TRW mudah benam Pahang

Posted: 25 Jun 2013 03:22 PM PDT

Kota Bharu: Kelantan melaungkan amaran awal betapa mereka sudah bersedia mempertahankan kejuaraan Piala FA, Sabtu ini apabila mudah menewaskan Pahang, 2-0 pada aksi Liga Super di laman sendiri malam tadi.

Kemenangan itu tonik terbaik buat anak buah Bojan Hodak yang bakal berdepan Johor Darul Takzim (DT) pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Insiden kekecohan penyokong gagal membeli tiket perlawanan final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV pada sebelah pagi tidak melunturkan semangat penyokong setia The Reds Warriors untuk memberikan sokongan meskipun jumlah yang hadir tidak ramai seperti biasa.

Meskipun aksi final Piala FA, Sabtu ini menggamit pemain tuan rumah namun Hodak tetap menurunkan kesebelasan utama apabila hanya merehatkan tonggak utama Dickson Nwakaeme dan Indra Putra Mahyuddin.


Ketiadaan kedua-dua penyerang utama itu nyata memberi kesan apabila deretan peluang yang dicipta dilepaskan begitu saja.


Bermula dengan sepakan Ahmad Fakri Saarani yang tersasar di tepi tiang gol seawal minit pertama, Kelantan pula menyaksikan sepakan kapten Mohd Badri Radzi dihalang pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan di atas garisan gol.

Sebelum itu Pahang yang dikendalikan Dollah Salleh hanya menguji kubu Kelantan menerusi sepakan percuma pemain tengah Azidan Sarudin di minit ke-19 namun dinafikan palang gol.


Lebih 5,000 penyokong Kelantan semakin resah apabila melihat gelagat Obinna Nwaneri yang melepaskan peluang terbaik untuk mencipta gol menerusi sepakan penalti selepas Ahmad Fakri dijatuhkan R Gopinathan.

Pemain pertahanan import itu secara bersahaja melambungkan bola namun sepakan itu yang dapat dibaca penjaga gol skuad Tok Gajah, Khairul Azhar Khalid di minit ke-38.


Bagaimanapun gol dicari Kelantan muncul di hujung babak pertama selepas Badhri melepaskan rembatan kencang menerjah ke gawang untuk kembali menceriakan penyokong.


Bersambung babak kedua, Kelantan juara bertahan yang memerlukan kemenangan untuk memintas Pahang di tangga kelima liga semakin agresif.


Mereka berjaya menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi sepakan jarak jauh Mohd Zamri Ramli selepas Khairul meninggalkan gawang bagi menghalang percubaan awal Mohd Nor Farhan Muhammad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Peluang Johor DT masih terbuka

Posted: 25 Jun 2013 03:21 PM PDT

Johor Bahru: Peluang masih terbuka buat Johor Darul Takzim (DT) untuk mengungguli saingan Liga Super meskipun sekadar seri 1-1 ketika bertemu FELDA United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Keputusan itu pastinya cukup mengecewakan untuk Johor DT menjelang pertemuan final Piala FA bertemu Kelantan, Sabtu ini, tapi Harimau Selatan juga wajar berasa lega kerana pendahulu liga LionsXII turut seri 1-1 dengan Perak sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan masih kekal dipisahkan dengan empat mata ketika saingan berbaki dua perlawanan.


Selangor pula merampas tangga kedua dari Johor DT selepas mengalahkan 'adik' mereka, Selangor PKNS FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Shah Alam.

PKNS FC terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Raimi Mohd Nor meledak dengan dua gol masing masing pada minit ke-62 dan 70.


Penyerang Leonel Nunez hampir meletakkan Johor DT di depan pada minit ke-18 tapi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti ditampan penjaga gol FELDA United, Mohd Anis Faron Ahmad.


Ketika babak pertama hampir tamat, berlaku insiden pergaduhan antara pemain Johor DT dan FELDA selepas Emmanuel Mazowa Nsumbu mengasari Nurul Azwan Roya sekali gus menyaksikan pemain import FELDA itu dilayangkan kad kuning.

Sebaliknya Johor DT yang meraih gol pertama pada minit ke-64 menerusi sumbangan Muhd Haidin Azman selepas menerima hantaran cantik Nurul Azwan selepas baru tiga minit dimasukkan sebagai pemain gantian.


Rudie Ramli akhirnya menyamakan kedudukan untuk FELDA pada minit ke-83 selepas bola tandukannya menewaskan penjaga gol Johor DT Muhd Al Hafiz Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Bukan lawan mudah

Posted: 25 Jun 2013 08:34 AM PDT

Belo Horizonte, Brazil: Brazil mungkin mudah melepasi peringkat kumpulan untuk layak ke separuh akhir Piala Konfederasi namun mereka perlu berhati-hati dengan keupayaan pencabar Uruguay, awal pagi esok.

Malah Uruguay mencetus kekalahan paling mengaibkan dalam bola sepak Brazil apabila mereka gagal memenangi final Piala Dunia 1950 di stadium terkenal Rio, Maracana, dengan stadium yang dibaik pulih itu akan menjadi hos perlawanan akhir awal pagi Isnin ini ketika juara dunia Sepanyol atau Itali menanti.


Kekalahan 'Maracanazo' itu mengecewakan seluruh rakyat Brazil dan mereka hanya berjaya membalas dendam lapan tahun kemudian dengan pemain remaja Pele berada dalam pasukan. Mereka akhirnya menjulang trofi itu buat julung kali di Sweden.

Terbaru, Uruguay turut membuktikan mereka boleh mencabar negara jiran yang lebih kuat apabila negara yang mempunyai penduduk sekitar 3.5 juta itu menjulang trofi Copa America 2011 di Argentina, manakala Brazil tumpas pada suku akhir di tangan Paraguay.


Penjaga gol Brazil Julio Cesar melaungkan amaran tuan rumah itu perlu berhati-hati jika mereka tidak mahu kecewa di Belo Horizonte.


Uruguay tidak begitu mengancam pada kelayakan Piala Dunia namun juara Amerika Selatan 2011 itu bertindak baik di Brazil dengan kemenangan ke atas Nigeria selepas membelasah pasukan kerdil Tahiti.

Malah Cesar menekankan dengan kehadiran Edinson Cavani, Diego Forlan, yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Nigeria dengan rekod 34 gol buat Celeste dan Luis Suarez bermakna Uruguay tidak ketandusan penyerang berbisa.


"Mereka kuat di bahagian serangan dan boleh memutuskan keputusan perlawanan," kata penjaga gol itu.

Trio itu dijangka kembali selepas direhatkan ketika membenam Tahiti 8-0.


"Saya amat mengenali mereka dan kami perlu berhati-hati. Satu perkara kecil boleh menentukan keputusan perlawanan," kata Cesar.


"Tiada siapa pasukan pilihan. Mereka pasti yakin kerana menjuarai Copa America pada 2011." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Balotelli pulang awal

Posted: 25 Jun 2013 08:33 AM PDT

Fortaleza, Brazil: Penyerang Itali Mario Balotelli tidak akan bermain lagi pada Piala Konfederasi dan pulang ke negaranya untuk menerima rawatan kerana kecederaan paha, umum doktor pasukan Enrico Castellacci semalam.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) sebelum ini mendedahkan Balotelli tidak akan beraksi pada separuh akhir menentang Sepanyol awal pagi Jumaat ini selepas imbasan menunjukkan otot paha kirinya koyak.


Itali berharap dia akan kembali bagi sama ada perlawanan akhir atau penentuan tempat ketiga awal pagi Isnin ini, namun Castellacci menolak kemungkinan itu dan berkata penyerang berusia 22 tahun itu kini kembali ke AC Milan.

"Pagi ini kami melakukan beberapa ujian, tapi keadaan kesihatannya tidak memuaskan dan pemain itu tidak boleh pulih antara sekarang dan final. Kami lebih suka tidak mengambil sebarang risiko," katanya.


"Dalam persetujuan dengan jurulatih (Cesare Prandelli) diputuskan untuk menghantarnya pulang ke Milan selepas bercakap dengan kakitangan perubatan di AC Milan yang akan menangani kecederaan itu." Prandelli berkata, tiada tekanan dari Milan untuk membenarkan Balotelli pulang dan enggan memberikan butiran lanjut apabila ditanya siapa yang akan mengambil alih tempatnya dalam kesebelasan utama.


"Tanpa Mario, kami perlu bekerja lebih secara kolektif," katanya.

"Kami mempunyai ramai pemain dengan karakter berbeza tapi sasaran utama adalah untuk memastikan pasukan ini lebih mantap." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Fabregas, Soldado tak cergas

Posted: 25 Jun 2013 08:33 AM PDT

Fortaleza, Brazil: Pemain tengah Cesc Fabregas dan penyerang Roberto Soldado mungkin tidak dapat diturunkan Sepanyol pada perlawanan separuh akhir Piala Konfederasi menentang Itali kerana masalah kecederaan otot, menurut Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) kelmarin.

Fabregas digantikan pada minit ke-54 ketika Sepanyol menang 3-0 ke atas Nigeria di Fortaleza Ahad lalu, manakala Soldado dikeluarkan enam minit kemudian.


"Cesc dan Soldado dihantar menjalani imbasan MRI untuk menilai tahap kesakitan otot berikutan perlawanan Sepanyol-Nigeria," kata RFEF dalam satu kenyataan.

"Berdasarkan keputusan ujian, kedua-dua pemain terpaksa diketepikan bagi pertemuan separuh akhir, namun pembabitan mereka bergantung kepada tahap kesakitan itu." Selepas perlawanan itu, jurulatih Sepanyol Vicente Del Bosque melahirkan keyakinan mengenai tahap kecergasan Fabregas.


"Saya agak sesuatu berlaku, dia berasa sakit sedikit dan dia dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga," kata Del Bosque.


"Kini terpulang kepada doktor untuk menilainya. Ia tidak kelihatan terlalu serius tapi kami perlu berhati-hati." Sepanyol dan Itali akan bertembung di Stadium Castelao di Fortaleza awal pagi Jumaat ini dalam ulangan final Euro 2012 yang dimenangi Sepanyol 4-0. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Teraju baru Real

Posted: 25 Jun 2013 08:33 AM PDT

Madrid: Real Madrid melantik Carlo Ancelotti dari Itali sebagai jurulatih baru mereka dengan kontrak tiga tahun, menurut kelab Sepanyol itu semalam.

Bekas pengurus Paris St-Germain itu akan diperkenalkan hari ini dan menggantikan Jose Mourinho yang meninggalkan kelab itu hujung musim lalu untuk kembali menyertai Chelsea.


"Biasa dengan tekanan menguruskan pasukan hebat di benua ini (Juventus, AC Milan, Chelsea dan PSG) pengendali dari Itali ini adalah pilihan terbaik menguruskan satu projek menarik," kata Real dalam laman web rasmi mereka.

Ancelotti, 54, sudah dikaitkan dengan jawatan itu sejak pemergian Mourinho dan meminta meninggalkan PSG namun dilaporkan ia ditangguhkan hingga juara Perancis itu menemui pengganti.


PSG mengumumkan mereka bersetuju dengan perjanjian dua tahun dengan bekas jurulatih Perancis Laurent Blanc serentak ketika sama Real mengumumkan persetujuan mereka dengan Ancelotti semalam.


Media Sepanyol melaporkan Real akan membayar PSG sekitar 4 juta euro (RM16.6 juta) sebagai pampasan kerana baki setahun kontraknya bersama kelab Perancis itu.

Keputusan Presiden Real Florentino Perez melantik Ancelotti dilihat sebagai satu tindakan untuk meredakan suasana tegang di kelab itu yang dicetus Mourinho.


Pengendali berbangsa Portugis itu mengemudi kelab memenangi Piala Raja Sepanyol dan La Liga dalam tempoh tiga tahun di Madrid namun musim terakhirnya dibayangi dengan pertelingkahan di bilik persalinan dan perbalahan dengan pemain secara khalayak.

Antara tugasan langsung Ancelotti di Real adalah memantapkan hubungan kerja dengan bekas pemain tengah Perancis Zinedine Zidane.


Pemain muda Malaga Isco pula dikenal pasti untuk dibeli dalam masa terdekat dan bintang serangan dari Argentina Gonzalo Higuain dikaitkan dengan kemungkinan perpindahan ke Itali atau England. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Blanc ambil alih PSG

Posted: 25 Jun 2013 08:30 AM PDT

Paris: Paris St-Germain menamatkan spekulasi berminggu-minggu mengenai siapa yang akan menggantikan Carlo Ancelotti apabila juara Ligue 1 Perancis itu melantik Laurent Blanc sebagai jurulatih baru mereka menerusi kontrak dua tahun, semalam.

Blanc, 47, yang melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Perancis selepas tewas pada suku akhir Euro 2012, sebelum ini pernah mengemudi Girondins Bordeaux memenangi kejuaraan Perancis pada 2009.


"Paris St-Germain dengan penuh gembira mengumumkan pelantikan Laurent Blanc sebagai jurulatih bagi dua tahun akan datang," kata PSG dalam satu kenyataan.

Blanc akan memulakan tugasnya pada latihan pramusim, menurut kelab itu.


Bekas kapten pasukan Perancis itu menggantikan Ancelotti, yang meninggalkan kelab itu selepas mengemudi mereka memenangi kejuaraan pertama Perancis sejak 1994, dengan pengendali berbangsa Itali itu bersetuju menyertai Real Madrid semalam.


Blanc, yang pernah beraksi di Montpellier, Marseille dan Manchester United, dan sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998, bukanlah pilihan utama PSG berdasarkan mengisi kekosongan itu berdasarkan laporan media tempatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

TSG sedia takluk

Posted: 25 Jun 2013 08:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Pentas saingan Jelajah 1Malaysia 2013 sudah bersedia untuk disingkap dan atas kertas, pasukan profesional benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) dilihat mampu mengulangi kejayaan cemerlang menguasai peringkat perlumbaan.

TSG menang lima daripada enam peringkat dipertandingkan edisi lalu dan dengan laluan landai tapi sedikit beralun kali ini, dijangka tiada masalah buat pasukan kendalian Sebatien Duclos itu mengulangi prestasi membanggakan itu.


Persembahan cemerlang di JM tahun lalu turut mengangkat TSG muncul juara berpasukan dalam kalendar Jelajah Asia UCI dan kali ini, pakar pecut Mohd Harrif Saleh berharap dapat mengulangi aksi sama. ketika memenangi dua peringkat tahun lalu.

"Semua pelumba TSG berada pada tahap terbaik selepas menyertai Kejohanan Kebangsaan beberapa hari lalu dan kami akan cuba mengekalkan momentum itu sekali gus membantu meraih mata ranking maksimum untuk membantu kedudukan kami dalam senarai Jelajah Asia UCI.


"Tapi saya tidak meletakkan sasaran peribadi untuk mana-mana peringkat kerana abang saya (Zamri) dan juara kebangsaan, Shahrul Mat Amin juga mampu memenangi peringkat," kata Harrif selepas majlis pengenalan pasukan dan pelumba Jelajah 1Malaysia 2013 di sebuah hotel, hari ini.


Majlis disempurnakan Pengarah Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Musa Yusof yang mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohamad Taiyab. Turut hadir Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah 1Malaysia Datuk Naim Mohamad.

Sebanyak 20 pasukan membabitkan 116 pelumba akan memulakan cabaran Peringkat 1 dari Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil ke Jelebu, sejauh 187.7 kilometer. Harrif turut berkata, pelumba pasukan Huon Salmon-Genesys Wealth, Anthony Giacoppo juga mampu memberi cabaran kerana mempunyai kepakaran dalam henjutan beramai-ramai ke garisan penamat.


Namun, katanya, strategi pasukan akan digarap satu demi satu peringkat oleh Duclos kerana TSG juga berharap memenangi jersi hijau Raja Pecut.

Antara pelumba tempatan yang perlu diberi perhatian ialah dua pelumba OCBC Singapore, Ahmad Haidar Anuawar dan Loh Sea Keong, Ahmaf Fauzan Lutfi (Polis Diraja Malaysia) dan pelumba yang menyarung jersi pasukan kebangsaan, Adiq Husainie Othman.


Juara bertahan berpasukan keseluruhan, Putra Perjuangan Bandung yang masih menggunakan kudrat pelumba tertua jelajah kali ini, Tonton Susanto juga dilihat antara pasukan yang akan bersaing bagi perebutan jersi kuning.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

No comments:

Post a Comment