Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masjid diceroboh, diconteng lambang Nazi

Posted: 26 Jun 2013 12:24 PM PDT

London: Polis memburu samseng yang memecah masuk sebuah masjid awal pagi semalam dan membuat contengan lambang Nazi pada bangunan itu.

Kebiadapan itu dikesan pada Masjid Redditch Central di Worcestershire selepas anggota polis menyiasat laporan berlaku pencerobohan di situ jam 4.30 pagi.


Penceroboh dipercayai memecah masuk ke kawasan masjid yang masih dibina itu kira-kira jam 2 pagi sebelum menggunakan cat yang ada untuk menyembur mesej kebencian.

Polis masih mengawal masjid di Jalan Jinnah itu ketika anggota forensik menjalankan siasatan.


Tidak dapat dipastikan jika ada barang lain dicuri ketika kejadian. Sementara itu pegawai polis West Mercia, Kevin Purcell berkata selama ini hubungan antara komuniti Muslim dan penduduk setempat berlangsung dengan amat baik.


"Disebabkan beberapa kejadian seperti ini berlaku di seluruh negara, anggota polis diarah berkawal dengan lebih ketat dan kejadian sebegini tidak boleh diterima," katanya.

Foto

KEBANYAKAN grafiti kebencian disembur di kawasan yang akan menjadi ruang solat di tingkat bawah Masjid Redditch Central.

Foto

PEKERJA membersihkan grafiti.

Purcell berkata, dia akan mengatur mesyuarat dengan pengerusi masjid, pemimpin setempat dan Kumpulan Penasihat Bebas bagi memastikan semua pihak komited mengelak sebarang serangan seumpama itu berulang.


Grafiti kebencian perkauman itu bukan yang pertama berlaku di masjid berkenaan.

Pada Julai 2006, Masjid Redditch Central dibakar dan menyebabkan kerosakan bernilai £3,000 (RM14,760).


Pengkhianat turut cuba membakar masjid sama pada Januari lalu tetapi api yang dihidupkan pada pintu depan bangunan itu tidak merebak.


Tiada sesiapa yang cedera atau berlaku kerosakan serius dalam insiden itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Budak 2 tahun lebih cerdik daripada Obama

Posted: 26 Jun 2013 12:10 PM PDT

London: Seorang budak berusia dua tahun menjadi ahli termuda Mensa Britain selepas menjalani ujian kecerdasan yang meletakkan dia lebih cerdik daripada Barack Obama dan David Cameron.

Ketika kebanyakan budak sebayanya sibuk belajar berjalan dan menconteng dinding, Adam Kirby lebih gemar membaca karya William Shakespeare, belajar bahasa Jepun, Sepanyol dan Perancis, malah mampu menguruskan diri sendiri di tandas. Berasal dari Mitcham, London selatan, Adam mengambil ujian IQ Stanford-Binet dan memperoleh markah 141 atau 10 mata lebih lebih tinggi daripada dua pemimpin utama dunia - Obama dan Cameron.


Markah itu adalah dua mata saja daripada mencapai tahap genius dan dicapai Adam ketika dia masih belum mampu bercakap dengan ayat lengkap. Bapa Adam, Dean, 33, berkata dia dan isterinya, Kerry-Ann, 31, menyedari kelebihan kanak-kanak itu apabila melihat dia mampu membersihkan diri di tandas selepas membaca sebuah buku.

Kata Dean, kejadian itu berlaku ketika Adam baru berusia setahun. "Ketika berusia 29 bulan, Adam mampu mengeja sehingga 100 perkataan, menghafal sifir serta mahir mencantumkan teka-teki bergambar untuk orang dewasa," katanya. Selepas memperoleh kejayaan dalam ujian IQ, Adam dipelawa pula menyertai Mensa Britain yang dikhaskan untuk seseorang yang memiliki kecerdasan sangat tinggi.


Sebelum Adam, rekod berkenaan dipegang Elise Tan-Roberts - kini berusia enam tahun yang menyertai kelab itu ketika berusia dua tahun empat bulan pada 2009.


Adam mengatasi Elise apabila menjadi ahli ketika berusia dua tahun lima bulan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Syarikat tembakau Jepun saman Thailand

Posted: 26 Jun 2013 12:07 PM PDT

Tokyo: Syarikat Tembakau Jepun menyaman kerajaan Thai berhubung rancangan untuk mengadakan amaran lebih besar dan lebih jelas pada bungkusan rokok.

Tindakan itu dibuat ketika syarikat rokok Philip Morris juga berikrar untuk mengambil langkah serupa.


Syarikat itu yang berpusat di Tokyo, antara syarikat rokok terbesar dunia dengan jenama termasuk Winston dan Benson & Hedges berkata, rancangan Kementerian Kesihatan Thailand itu akan mengganggu operasi syarikat itu di negara berkenaan.

Thailand mengambil keputusan untuk meluaskan amaran kesihatan daripada 50 kepada 85 peratus pada kedua-dua belah bungkusan rokok yang dijual di negara terbabit.


Peraturan baru akan berkuatkuasa pada Oktober tetapi Syarikat Tembakau Jepun berkata, perubahan itu akan 'memberi kesan tidak sesuai terhadap persaingan yang sah, hak intelektual dan kebebasan bersuara.' "Dalam usaha untuk melindungi keupayaan untuk terus menggunakan jenamanya di Thailand, JTI (Japan Tobacco International) mengambil tindakan undang-undang mencabar langkah kerajaan Thai," kata kenyataan syarikat itu, merujuk kepada saman yang difailkan di Thailand pada 19 Jun.


Syarikat itu bersetuju perokok dewasa perlu dimaklumkan secara sesuai sebelum mengambil keputusan untuk merokok dan perokok perlu diingatkan secara berterusan mengenai risiko kesihatan.

"JTI bagaimanapun tidak percaya dengan membesarkan saiz grafik amaran kesihatan untuk meliputi 85 peratus pada bungkusan rokok akan berkesan atau sesuai," kata kenyataan itu.


Philip Morris yang mengeluarkan jenama Marlboro dan ratusan penjual rokok Thai sebelum ini memberi amaran, mereka akan menyaman pihak berkuasa kesihatan negara itu dan mendakwa industri rokok tidak dibawa berunding mengenai rancangan perubahan berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Cholnan Srikaewmenolak ancaman Philip Morris dengan berkata: "Kami mempunyai kuasa untuk melakukannya. Undang-Undang membenarkan kementerian melakukannya." Beliau juga berkata, pihaknya berharap imej amaran yang lebih besar akan membuat perokok baru berfikir dua kali sebelum mengambil keputusan untuk merokok. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

6 petani ditahan buat pembakaran haram

Posted: 26 Jun 2013 12:06 PM PDT

Pekanbaru: Pihak berkuasa Indonesia menahan enam petani kerana melakukan pembakaran haram untuk membersihkan ladang mereka selepas beberapa kebakaran menyebabkan jerebu yang melanda Singapura, Malaysia dan sebahagian Indonesia.

Petani terbabit ditangkap pada Isnin dan Selasa selepas ditangkap ketika melakukan pembakaran itu, kata jurucakap polis Leftenan Kolonel Hermansyah.


Dia bagaimanapun tidak memberitahu sama ada mereka bekerja dengan syarikat yang dituduh memulakan pembakaran itu.

1,100 penduduk terpaksa meninggalkan Kampung Rantau Bais dan Bangko Pusako di Riau semalam apabila asap tebal dari kawasan tanah bakau dan ladang kepala sawit menyebabkan mereka sukar bernafas, kata Hermansyah.


"Asap itu menyebabkan mereka mengalami sakit tekak dan mata. Jarak penglihatan di kawasan berkenaan begitu buruk," katanya.


Sehari selepas meminta maaf kepada Singapura dan Malaysia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengerahkan 2,000 anggota untuk memadamkan kebakaran yang menjejaskan kualiti udara dan menyebabkan masalah pernafasan di kalangan orang ramai.

Beliau mengarahkan siasatan dilakukan tetapi berkata, ia kelihatan seperti kebakaran itu berpunca daripada faktor semula jadi dan manusia.


Menteri Alam Sekitar Balthasar Kambuaya memberitahu wartawan sebelum ini, pihak berkuasa menyiasat lapan syarikat perladangan yang mungkin memulakan kebakaran itu.

Setiap tahun, kebakaran hutan di Sumatera dan kepulauan Borneo menyebabkan jerebu di Singapura dan Malaysia. Kerajaan Indonesia biasanya mendakwa pemilik ladang dan petani tradisional bertanggungjawab kerana melakukan pembakaran sebagai cara murah untuk membersihkan ladang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Pegawai kanan wajib naik bas pergi kerja

Posted: 26 Jun 2013 12:06 PM PDT

Bangkok: Pegawai kanan di Kementerian Pengangkutan diarah meninggalkan kereta masing-masing di rumah sekurang-kurangnya sekali seminggu dan menaiki bas ke tempat kerja.

Arahan itu yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Chadchat Suttipunt akan berkuatkuasa selama dua bulan bermula 1 Julai ini.


Menurut Chadchat, ia adalah cara terbaik bagi pegawai kementerian mengetahui secara langsung masalah pengguna yang menggunakan bas yang disediakan oleh Lembaga Transit Massa Bangkok (BMTA).

Kementerian itu sebelum ini menerima banyak aduan daripada pengguna yang terpaksa menanti begitu lama di perhentian bas, khususnya pada waktu puncak.


"Arahan ini bukan lawak. Saya mahu semua pegawai di peringkat pengurusan mendapatkan pengalaman ini dan mengetahui masalah yang ada dan kembali untuk berbincang bagi mencari jalan untuk menyelesaikannya secara menyeluruh," kata Chadchat dalam satu kenyataan media. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Pacquiao paling banyak ponteng sidang Parlimen

Posted: 26 Jun 2013 12:06 PM PDT

Manila: Bintang tinju dan wakil Parlimen Sarangani, Manny Pacquiao menduduki tangga teratas yang mungkin tidak boleh dipintas oleh anggota Parlimen Filipina yang lain.

Rekod kehadiran anggota Parlimen negara itu menunjukkan Pacquiao mencatatkan jumlah ketidakhadiran paling banyak.


Dia bersama-sama dengan anggota Parlimen dari Negros Occidental, Julio Ledesma IV, tidak hadir selama 60 hari daripada 168 hari persidangan, berdasarkan rekod kehadiran anggota Parlimen.

Ketidakhadiran Pacquiao bersamaan dengan lima bulan sesi persidangan sedangkan Parlimen hanya bersidang tiga hari seminggu. Namun, gaji dan faedah yang diterimanya sebagai anggota Parlimen tidak dipotong.


Hanya 21 daripada 290 anggota dewan itu mencatatkan kedatangan penuh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Oprah selebriti paling berpengaruh

Posted: 26 Jun 2013 12:05 PM PDT

New York: Selepas dua tahun berada di kedudukan kedua, Oprah Winfrey dinamakan sebagai selebriti paling berpengaruh semalam dan mengatasi lima wanita dan empat lelaki lain dalam senarai 10 teratas majalah Forbes.

Pencapaian itu adalah yang kelima untuk bekas hos rancangan bual bicara dan pemilik sebuah saluran televisyen itu.


Penyanyi Lady Gaga berada di tempat kedua, diikuti pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Beyonce dan Madonna.

Pegawai Forbes.com, Dorothy Pomerantz berkata, tiada selebriti lain yang memiliki daya tahan dan pengaruh seperti Oprah.


"Hanya ada tiga tokoh yang sentiasa ada dalam setiap senarai kami keluarkan sejak 1999, iaitu Oprah, Howard Stern dan Spielberg." katanya.


Penyanyi dan pelakon Jennifer Lopez yang menduduki tempat teratas tahun lalu, kini jatuh ke tempat 12. Dengan perolehan AS$77 juta (RM246.7 juta) antara Jun 2012 hingga 2013, Oprah bukan selebriti yang mendapat bayaran tertinggi kerana kedudukan itu dimiliki Madonna.

Bagaimanapun, Forbes berkata, kedudukan Oprah di Hollywood dan kemunculannya di media, televisyen dan media sosial membolehkan dia diberi penghormatan sebagai selebriti paling berpengaruh kali ini. Dorothy berkata, Oprah masih memiliki pengaruh besar seperti yang diingini penilai.


Katanya, Oprah menjadikan saluran televisyennya berjaya dengan kesungguhan, rangkaian kenalan dan kemampuannya sendiri. Lady Gaga pula memperoleh AS$80 juta (RM256.3 juta) dalam tempoh 12 bulan lalu walaupun terpaksa memendekkan siri konsert jelajahnya kerana menjalani pembedahan pangkal pinggul.

Kata Dorothy, Lady Gaga tetap mengecap populariti di kalangan peminat serta media sosial. "Lady Gaga tetap kuasa besar dalam muzik pop dan orang memperkatakannya walaupun dia tidak membuat persembahan," katanya.


Spielberg berada di tempat ketiga dan menjadi selebriti lelaki paling berpengaruh mengatasi bintang rock Bon Jovi di tempat ketujuh, Roger Federer dan Justin Bieber. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

4 warga China dibunuh, seorang dipenggal kepala

Posted: 26 Jun 2013 12:05 PM PDT

Sydney: Empat warga China dibunuh di Port Moresby dengan seorang daripada mereka dilaporkan dipenggal kepala dalam serangan dianggap "kejam dan pengecut" semalam.

Sambil mengutuk pembunuhan itu, Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O'Neill berkata, orang ramai diminta bertenang dan memberi jaminan akan memburu penjenayah terbabit untuk dikenakan tindakan.


"Saya mengutuk serangan ganas dan pengecut ke atas empat warga China ini," katanya.

Kejadian berlaku di kawasan Koki di ibu negara Papua New Guinea pada malam kelmarin. Mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.


Media melaporkan, mereka dicekik dan ditikam berkali-kali oleh sekumpulan penyerang yang melompat pagar sebuah kilang roto diusahakan mangsa berhampiran pasar di Koki. Memetik sumber polis, Radio Radio New Zealand melaporkan seorang daripada mangsa dipenggal kepalanya, manakala yang lain dicincang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Warga Amerika cuba seludup heroin lebih 1kg ke Australia

Posted: 26 Jun 2013 11:30 AM PDT

Hanoi: Seorang lelaki Amerika Syarikat mungkin dijatuhi hukuman mati di Vietnam selepas cuba menyeludup lebih satu kilogram heroin dari negara itu ke Australia.

Akhbar Thanh Nien semalam melaporkan, warga Amerika Syarikat berasal dari Vietnam itu cuba meninggalkan Ho Chi Minh melalui penerbangan ke Sydney kelmarin.


Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang berusia 40 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Tan Son Nhat dan pihak berkuasa menemui satu kilogram heroin dalam bagasinya. Undang-undang antidadah Vietnam adalah antara yang paling berat di dunia.

Di samping itu, seseorang yang didapati memiliki lebih daripada setengah kilogram heroin boleh dihukum mati. Pada Oktober tahun lalu, seorang wanita warga Filipina dihukum mati selepas cuba menyeludup lebih lima kilogram syabu ke negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Wartawan popular Honduras diculik

Posted: 26 Jun 2013 11:25 AM PDT

Tegucigalpa (Honduras): Polis berkata, mereka giat mengesan seorang wartawan televisyen popular di San Pedro Sula, utara Honduras selepas dia diculik sekumpulan lelaki bersenjata, semalam.

Jurucakap polis, Elvis Guzman berkata Anibal Barrow dilarikan lewat malam kelmarin bersama tiga anggota keluarganya.


"Mangsa diculik ketika memandu kenderaannya," katanya.

Bagaimanapun, semua anggota keluarga Barrow dibebaskan kemudian.


Penyiasat menemui trak Barrow dengan satu kesan tembakan serta darah yang ditinggalkan di sebuah kawasan lain.


Barrow, 62, mengendalikan program harian setiap pagi, Anibal and Nothing More di stesen televisyen Globo. Anaknya juga bernama Anibal bakal bertanding untuk kerusi kongres mewakili pembangkang, Parti Liberal November ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

No comments:

Post a Comment