Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Flat senget

Posted: 12 Jun 2013 11:05 AM PDT

Dengkil: "Saya terkejut apabila melihat dinding dapur retak dan rumah pula tiba-tiba senget selepas bunyi pelik menyebabkan kami sekeluarga bergegas keluar," kata M Saraswaty, seorang daripada 266 penghuni Blok 5 Flat Taman Permata, di sini, yang terpaksa berpindah selepas bangunan itu didapati tidak selamat didiami berikutan keretakan sejak petang kelmarin.

Saraswaty, 49, yang sudah tinggal di situ sejak 16 tahun lalu berkata, dia mula menyedari kejadian itu kira-kira jam 6 petang kelmarin ketika sedang berehat bersama anak, menantu dan cucu di rumah.


"Sebelum ini, ada beberapa rumah di flat ini mengalami keretakan, tetapi tidak seteruk kali ini dan terasa senget sehingga pintu bilik pun tidak boleh ditutup.

"Kami tidak mahu tinggal di sini lagi kerana flat ini tidak lagi selamat. Mahu duduk setengah jam dalam rumah pun bimbang, apatah dalam tempoh lama. Kami tidak sanggup," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa rumah di blok itu mengalami keretakan agak teruk, jubin bertaburan di lantai manakala keadaan flat empat tingkat itu pula mendap.


Saluran air bawah tanah di penjuru flat didapati mengalirkan air terus ke longkang dan ia dipercayai penyebab berlakunya mendapan berkenaan.

Foto

KEADAAN tanah mendap di Blok 5 Flat Taman Permata.

Foto

MICHAEL menunjukkan jubin dinding dapur yang pecah.

Disebabkan keadaan bangunan yang tidak selamat, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengarahkan semua penduduk berpindah sementara waktu bagi membolehkan mereka membuat pemantauan terhadap keselamatan flat.


Seorang lagi penduduk, M Kalimah, 39, berkata dia menyedari kejadian itu apabila terasa rumah seolah-olah bergegar sebelum mendengar jiran menjerit meminta mereka turun segera kerana unit kediaman retak teruk.

"Ketua blok terus menghubungi polis dan bomba sebelum diminta mengosongkan rumah dengan segera akibat keretakan itu. "Malam tadi (kelmarin) kami tidur di khemah yang disediakan dan ada di kalangan penduduk tinggal di Dewan Serbaguna Dengkil, semua tidak berani masuk ke rumah kerana bimbangkan keselamatan," katanya.


Penduduk, Michael Dass, 24, berkata jubin dinding dapur rumahnya 'luruh' secara tiba-tiba dan beberapa bahagian dinding rumahnya retak akibat kejadian itu. Menurutnya, ibunya paling sedih akibat kejadian itu kerana sudah menghabiskan RM40,000 untuk mengubah suai kediaman yang diduduki sejak 16 tahun lalu.


"Ibu sangat sedih kerana dia ingat boleh tinggal dengan selamat dan selesa selepas mengubah suai rumah, tiba-tiba kejadian ini berlaku sedangkan wang simpanan sudah banyak habis dibelanjakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Semua penduduk diminta berpindah

Posted: 12 Jun 2013 11:01 AM PDT

Dengkil: Semua penduduk di Blok 5 Flat Taman Permata di sini, diminta berpindah sementara waktu ke dewan orang ramai atau rumah saudara-mara sebagai langkah keselamatan berikutan keretakan pada bangunan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Sayuti Bakar berkata, pemindahan penduduk itu sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu keputusan pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk membuat penilaian ke atas struktur bangunan sama ada ia selamat atau sebaliknya.


"Kami sedang menunggu nasihat pakar sebelum membuat sebarang keputusan sama ada membenarkan penduduk pulang atau sebaliknya, keputusan mungkin diketahui secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

"Punca kejadian belum dikenal pasti memandangkan kita masih menunggu keputusan pakar yang menjalankan siasatan, namun secara mata kasarnya bangunan itu tidak terlalu merbahaya cuma memerlukan kerja membaikpulih," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Mohd Sayuti berkata, beliau turut difahamkan flat itu sudah beberapa kali dibaik pulih akibat beberapa kerosakan, bagaimanapun ia bukan di bawah bidang kuasa MPSepang memandangkan ia dibangunkan pihak swasta.


Pada masa sama, beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa bekerjasama dengan MPSepang dan mematuhi arahan dikeluarkan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

"Apabila kita mendapat pandangan daripada pakar kelak, kita akan maklumkan kepada penduduk. Jika perlukan kerja-kerja baik pulih ia akan dijalankan nanti, semuanya bergantung kepada siasatan JKR dan IKRAM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

4 hari ditawan kekasih jahanam

Posted: 12 Jun 2013 11:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Mereka baru kenal, tetapi kerana terlalu mengikut rasa hati, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akhirnya melalui hari gelap dalam hidupnya apabila menjadi hamba seks kekasih dan dua lagi lelaki ketika dikurung selama empat hari.

Dalam kejadian 28 Mei lalu, remaja berkenaan diajak teman lelaki baru dikenali berusia 20-an itu keluar bersiar-siar di ibu negara. Lelaki itu beriya-iya memujuk teman wanitanya itu bersiar-siar dan berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah di Cheras selepas itu.


Bagaimanapun, menurut sumber, selepas menjemput mangsa pada jam 5 petang, lelaki terbabit mula mencari helah kononnya mahu berehat dan membawa remaja itu ke rumah sewanya di Pantai Dalam, di sini. Katanya, mangsa tidak mengesyaki akan berlaku perkara buruk kerana dua rakan lelaki terbabit ada bersama dalam rumah berkenaan.

"Sebaik duduk di ruang tamu, mangsa diajak lelaki itu melakukan hubungan seks dalam bilik. Namun, mangsa menolak pelawaan berkenaan menyebabkan lelaki terbabit tidak puas hati lalu menarik mangsa masuk ke dalam biliknya.


"Mangsa mendakwa diperkosa lelaki itu sebelum dia dikurung dalam bilik berkenaan," katanya yang memberitahu mangsa kini trauma dengan tragedi hitam itu.


Sumber berkata, lebih malang apabila mangsa turut diperkosa dua rakan serumah lelaki itu secara bergilir-gilir.

Menurutnya, tidak tahan dijadikan mangsa pemuas nafsu, mangsa berikhtiar pelbagai cara untuk lolos dan akhirnya berjaya melarikan diri selepas empat hari dikurung teman lelakinya itu.


Difahamkan, mangsa melarikan diri sebelum menaiki teksi untuk pulang ke rumahnya dalam keadaan trauma, namun takut menceritakan apa yang berlaku kepada keluarganya.

Sumber memberitahu, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kelmarin selepas dipujuk keluarga yang menyedari perubahan sikapnya dan dia kemudian dibawa membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

'Biarlah dia...saya doa terbaik'

Posted: 12 Jun 2013 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Ibu kepada pelakon Diana Danielle, Norsiah Ramli, 50, menerima dengan hati terbuka kenyataan berbaur sindiran dikeluarkan menantunya, pelakon dan pengarah Farid Kamil di laman sosial Twitter, Isnin lalu.

Norsiah ketika dihubungi berkata, dia enggan memanjangkan perkara itu walaupun kenyataan Farid menerusi akaun Twitter miliknya itu kelihatan agak melampau dan seakan mengiyakan desas-desus mendakwa hubungan mereka berantakan sebelum ini.


"Biarlah dia (Farid) nak kata apa, saya senyum saja. Doakan yang baik-baik untuk mereka, itu saja yang mampu saya lakukan," katanya.

Farid menerusi akaun Twitter pada Isnin lalu menulis kenyataan seolah-olah satu sindiran kepada ibu mentuanya itu. Dia dilihat memberi reaksi kepada pertanyaan bagaimana dia meneruskan kehidupan dengan ibu mentuanya itu.


Dalam hari yang sama menerusi Twitter, Farid turut membuat kenyataan dia sudah bersabar selama empat tahun dan ia dipercayai merujuk kepada kehidupannya dengan ibu mentuanya itu. Norsiah berkata, pada awalnya dia langsung tidak tahu-menahu mengenai perkara itu sehingga dimaklumkan.


"Selepas baca di sebuah blog, baru saya tahu (kenyataan Farid). Biarlah dia (Farid) yang nak petik. Saya okay saja," katanya.

Bagaimanapun, cubaan Harian Metro menghubungi Farid bagi mendapatkan komennya gagal apabila telefon bimbitnya ditutup. Terdahulu, pada Ahad lalu, industri hiburan digemparkan dengan gambar memperlihatkan Farid mengucup bayi yang baru dilahirkan sehingga menimbulkan salah faham.


Dalam kenyataan balas, Farid menjelaskan bayi dalam gambar itu adalah anak saudaranya yang baru dilahirkan dan bukannya anaknya bersama Diana.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Drebar nyawa panjang

Posted: 12 Jun 2013 11:00 AM PDT

Alor Gajah: Seorang pemandu bas ekspres yang sedang memeriksa kerosakan pada enjin kenderaan dipandunya nyaris maut apabila dirempuh sebuah lori sejuk beku di Kilometer 193.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, K Aridas, 46, yang berada di bahagian belakang enjin bas dikatakan sempat melompat ke tebing selepas menyedari kehadiran lori berkenaan dari arah sama.


Difahamkan, pemandu lori, Sudirman Mohd Yatim, 30-an, hilang kawalan lalu merempuh bahagian kanan belakang bas itu menyebabkan bas berkenaan bergerak sejauh 15 meter.

Bas berkenaan membawa 14 penumpang dan seorang pemandu kedua dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.


Menurut Aridas, dia memberhentikan bas di lorong kecemasan dan sudah menghidupkan lampu kecemasan sebelum memeriksa dan meletakkan kon.


"Bas terpaksa berhenti sebentar di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Bemban kerana mengalami kerosakan dan sudah dibaiki sebelum rosak kali kedua.

"Ketika melakukan pemeriksaan di belakang bas, terdetik hati saya untuk menoleh dan tergamam apabila melihat lori berkenaan semakin hampir lalu merempuh bas. "Saya pula tanpa berfikir panjang terus melompat ke tebing curam untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, akibat rempuhan itu, beberapa penumpang yang berdiri untuk turun ke tebing terpelanting atas lantai manakala rakan sekerjanya, S Marimuthu, 48, yang tidur di tempat duduk paling belakang cedera ringan di kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

No comments:

Post a Comment