Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kami serius!

Posted: 11 Jun 2013 09:26 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada penjelasan konkrit dinyatakan Kelab Bolasepak Canberra (Canberra FC) berhubung penggunaan pemain sambilan ketika menentang skuad kebangsaan di Stadium Deakin, Khamis lalu.

Kelab divisyen dua liga Australia itu sebaliknya melahirkan kekecewaan terhadap media Malaysia apabila dimaklumkan melabel pemain kelab mereka sebagai juruelektrik, mekanik dan tukang paip.


Presiden Canberra FC Marco Vrkic menerusi kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, menyatakan kelab mereka sangat serius terhadap sukan itu dan sudah menghasilkan ramai pemain seperti Ned Zelic, Josip Simunic, Tony Popovic dan Ante Milicic.

"Kelab ini amat bangga membangunkan pemain muda. Malangnya tidak semua pemain berhasrat menjadikan bola sepak sebagai karier sekali gus menyebabkan mereka memilih untuk mengekalkan status amatur. "Mereka menikmati sukan ini dan tetap bermain secara serius. Mereka pemain amatur berbakat dan menjalani latihan seperti pemain profesional," kata Vrkic mengenai kelab dikuasai komuniti Croatia di Canberra itu.


Media tempatan di Australia, The Canberra Times menerusi tajuk 'pemain sambilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan' (part-timers steal win over internationals) dilihat memperlekehkan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal selepas kemenangan 3-2 yang dicatat mereka.


"Majoriti pemain yang beraksi menentang Malaysia membabitkan pemain yang sedang dan akan menjalani ujian pemilihan dengan beberapa kelab A-League (liga utama Australia), sesetengahnya pula sudah beraksi di Asia dan seorang lagi kembali ke England untuk menjalani ujian pemilihan buat kali kedua.

Foto

PEMAIN Canberra sekat Nor Shahrul Idlan Talaha (tengah).

"Selain itu kami turut menjemput lima pemain terbaik di Canberra bagi memastikan kami mampu menghasilkan pasukan lebih kuat." Kunjungan hampir dua minggu ke Australia menjadi pilihan skuad negara selepas dua perlawanan persahabatan berstatus A menentang Singapura dibatalkan namun ia mendapat kritikan pelbagai pihak yang melihat tiga pertemuan yang diatur menentang kelab divisyen dua di Canberra dan Sydney itu tidak memberi faedah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Merion gamit memori Woods

Posted: 11 Jun 2013 09:21 AM PDT

Ardmore, Pennsylvania: Kelab Golf Merion dikaitkan dengan beberapa detik menarik dunia golf dan Tiger Woods (gambar) berusaha menambah koleksinya apabila bertanding sebagai pilihan utama pada Terbuka Amerika Syarikat (AS), bermula esok.

Beberapa pemain ternama kini boleh menjadi pencabar merebut kejuaraan utama kedua tahun ini namun Woods dilihat sebagai bakal pemenang berdasarkan rekod menakjubkan dan dominasinya musim ini.


Sekalipun Woods tidak bermain dengan baik pada kejohanan terakhir, menghuni tangga ke-65 daripada 73 pemain pada Kejohanan Memorial sembilan hari lalu, dia berjaya menang empat kali dalam Jelajah PGA 2013 dan menjadi pemain yang perlu ditewaskan di Merion.

Pemain nombor satu dunia dari AS itu mengembalikan semula memori kegemilangannya pada hujung 1990-an dan awal 2000 dan dia tidak sabar menamatkan kemarau kejuaraan utama sejak kemenangan playoff pada Terbuka AS 2008.


"Saya berasa selesa dengan peningkatan permainan," kata juara tiga kali Terbuka AS itu mengenai perkembangan dilakukannya dengan jurulatih Sean Foley selepas menukar corak hayunan buat kali keempat dalam kariernya.


"Saya bertindak baik buat beberapa tahun, beberapa kejohanan. Saya berasa bagus berjaya mengubah hayunan.

"Ia mengambil sedikit masa dan saya kini berjaya melakukannya. Tahun ini saya lebih tepat dan mampu memperbaiki beberapa aspek permainan serta memantapkannya." Woods agak kecewa dengan keseluruhan permainannya pada Kejohanan Memorial, terutama putt dan tahu apa yang perlu dilakukan di Merion.


"Anda mahu semuanya berjalan lancar, terutama pada Terbuka AS kerana setiap perkara diuji di kejohanan ini," kata juara 14 kejuaraan utama itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Federer harap tuah gelanggang rumput

Posted: 11 Jun 2013 09:20 AM PDT

Halle, Jerman: Roger Federer berharap memulakan musim gelanggang rumput di Halle minggu ini ketika memburu kemenangan pertama pencetus semangat musim ini.

Pilihan utama berusia 31 tahun itu tidak memenangi sebarang trofi musim ini namun masih muncul pemain paling berjaya dalam sejarah 20 tahun kejohanan ATP Halle itu.


Federer memenanginya lima kali hingga 2003, tahun sama dia meraih kejuaraan pertama Wimbledon.

"Saya mahu meraih trofi pertama musim ini di Halle dan bakal meningkatkan keyakinan," kata bintang Switzerland itu.


Namun kempennya dalam acara beregu berakhir pada hari pertama kejohanan selepas gandingannya dengan Tommy Haas dari Jerman tumpas di tangan juara Wimbledon 2010, Jurgen Melzer dari Austria dan Philipp Petzschner dari Jerman 6-7 (3/7), 4-6.


"Ia menyeronokkan tapi kecewa kami kalah. Jurgen dan Philipp bermain bagus dan melakukan hanya sedikit kesilapan," kata Federer yang beraksi acara beregu pertama dalam ATP sejak Indian Wells 2011, apabila bergandingan dengan rakan senegara, Stanislas Wawrinka.

Bersama Wawrinka, Federer memenangi satu-satunya pingat emas Olimpik pada temasya Beijing 2008.


Haas yang menundukkan Federer pada final perseorangan tahun lalu berkata, kekurangan persiapan menjadi punca kekalahan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Mercedes, Pirelli jawab pertuduhan 20 Jun

Posted: 11 Jun 2013 09:20 AM PDT

Montreal: Ketua Mercedes dan Pirelli perlu menjawab pertuduhan di Mahkamah Antarabangsa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) di Paris pada 20 Jun ini mengenai sesi ujian persendirian di Barcelona bulan lalu.

Pencabar Mercedes, Red Bull mengadu kepada bos FIA mengenai ujian itu sebaik ia didedahkan menjelang Grand Prix Monaco dua minggu lalu.


FIA mengumumkan tarikh pendengaran kes kelmarin, sehari selepas Grand Prix Kanada di Montreal.

Mahkamah Antarabangsa akan mengumumkan keputusannya sehari selepas pendengaran kes itu.


Bertindak selepas permintaan Pirelli, Mercedes menghabiskan tiga hari menguji tayar baru di Barcelona dari 15 hingga 17 Mei pada minggu selepas Grand Prix Sepanyol di litar sama.


Pirelli bercadang memperkenalkan tayar baru itu musim depan.

Prinsipal Red Bull Christian Horner mendakwa ujian itu melanggar peraturan dan Pirelli turut menawarkan ujian kepada pasukannya namun mereka menolak kerana "kami berasa ia menyalahi peraturan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Haizal julang Sky Kick

Posted: 11 Jun 2013 09:20 AM PDT

Johor Bahru: Aksi matang kedua-dua finalis, Sky Kick dan Nibong FC memaksa gelaran juara kategori Bawah 16 Tahun Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 (KFMHB) di Sports Prima Centre, Johor Bahru ditentukan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Penjaga gol kedua, Haikal Kamaruzaman muncul wira Sky Kick dari Muar selepas berjaya menafikan dua sepakan pemain Nibong FC bagi menjadikan kedudukan akhir 2-1.


Pada separuh akhir, Sky Kick dicabar hebat Khaizar Sports A sebelum menang tipis 1-0 manakala Nibong FC dari Taman Daya mengecewakan Kick FC dari Klang, juga dengan jaringan sama.

BETA United B dari Kulaijaya pula mengungguli saingan Bawah 12 Tahun selepas menumpaskan PDO A dari Masai, 1-0 hasil jaringan Muhammad Harith Hazami.


Pasukan itu melangkah ke final selepas mengalahkan Soccer Extreme, 2-1 pada separuh akhir manakala PDO A tidak menghadapi masalah mengecewakan Absolute Junior B, 3-1.


Sky Kick, Nibong FC, BETA United B dan PDO A layak bersaing ke peringkat grand final di Kuala Lumpur pada 7 Julai.

Hadiah disampaikan Pengurus Acara/Sampling Nestle Kawasan Selatan Soo Mey Chan sambil diiringi Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Kerwin Lim.


Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong berkata, program tahun ini memperlihatkan sambutan hebat setiap negeri dan peningkatan kualiti permainan futsal bagi kedua-dua kategori.

KFMHB siri ke-13 diteruskan di Ampang Sports Planet, Sabtu ini. Sebanyak empat pasukan terbaik bagi kedua-dua kategori bakal mewakili Kuala Lumpur ke Grand Final.Untuk maklumat lanjut boleh layari www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

PLBNS tetap tuntut velodrom

Posted: 11 Jun 2013 09:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) masih tidak mahu mengalah dan bertegas meminta pembinaan velodrom kelas satu tetap dibangunkan di negeri itu biarpun dilaporkan persetujuan membangunkan hanya satu velodrom sudah dicapai.

Arena Metro kelmarin melaporkan velodrom tertutup kelas satu hanya akan dibangunkan di Cheras oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi persetujuan yang dicapai hasil daripada pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Bagaimanapun perkara itu masih belum berakhir apabila PLBNS menerusi Presiden Datuk Jamlus Abd Aziz masih tetap mahukan pihak berkaitan menimbang semula keputusan membina velodrom tertutup kelas satu itu di Cheras dan bukannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru itu berharap kenyataannya sebelum ini, berhubung pembinaan velodorm itu tidak disalah anggap oleh segelintir pihak hingga boleh menimbulkan pertelingkahan.


Apa yang disuarakan, menurutnya, hanyalah pandangan peribadi demi kepentingan sukan itu dan bukannya mempunyai agenda tersendiri.


"Saya tegaskan tidak perlu ada dua velodrom dan Negeri Sembilan tidak boleh memikirkan kepentingan diri sendiri kerana kami di PKBM menyuarakan pandangan berdasarkan kepentingan pelumba kebangsaan.

"Saya harap pandangan saya berhubung pembinaan velodrom itu tidak disalah anggap kerana kesudahannya keputusan itu terletak di tangan menteri. Biar satu atau dua, apa saya katakan sebelum ini hanya pandangan yang mungkin logik untuk dipertimbangkan," katanya. Kerajaan menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013, memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi tujuan pembinaan velodrom tertutup itu. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian mencadangkan supaya velodrom kelas satu itu dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras.


Bagaimanapun, perkembangan terbaru dari Negeri Sembilan semalam menunjukkan isu berkenaan masih belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Saingan kini lebih panas

Posted: 11 Jun 2013 09:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Muar, Johor, kelmarin dilihat menjadi titik tolak kepada pertembungan lebih menarik musim ini.

Perlumbaan terakhir di Muar turut menyaksikan ketiadaan beberapa pencabar utama kejuaraan termasuk bagi kategori CP130 dan CP115 yang menyaksikan berlaku perubahan dalam senarai keseluruhan.


Dalam kelas CP130, juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman yang juga pendahulu keseluruhan selepas Pusingan 3 di Melaka terpaksa menarik diri berikutan kecederaan ketika menjalani latihan bagi menghadapi Kejuaraan Suzuka 8-hour Endurance awal minggu lalu.

Tanpa kehadiran Azlan, Mohd Zamri Baba berjaya menjuarai perlumbaan itu sambil pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin merampas kedudukan pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 64 mata.


Situasi berbeza pula berlaku dalam kelas CP115. Pelumba meningkat naik, Fakhrusy Syakirin Rostam tidak dapat beraksi buat kali kedua selepas mengalami kemalangan pada sesi 'Shoot-Out' akibat kecederaan lama kakinya berulang.


Tanpa kehadiran Fakhrusy, juara pusingan 2 dan pusingan 3 di Melaka dan Terengganu, pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran (gambar) yang menjuarai perlumbaan di Muar terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan perbezaan 31 mata.

Pada masa sama, Honda dilihat sukar meneruskan penguasaan seperti ditunjukkan sepanjang musim 2012. Yamaha dilihat mula bangkit terutama selepas mewujudkan pasukan berstatus 'factory' pertama pada musim ini, PETRONAS Yamaha-CKJ. Selepas empat perlumbaan, kedua-dua pengeluar utama itu terikat dengan dua kemenangan dalam saingan kategori utama.


"Sebagai promoter kejuaraan, kami harap situasi ini berterusan hingga ke penghujung musim. Saingan seperti ini dapat menjadikan kejuaraan semakin menarik buat peminat dan pada masa sama, menjadi medan latihan baik untuk pelumba. "Pada masa sama, kami juga berharap pasukan Suzuki dan Modenas berupaya menterjemah keupayaan sebenar agar pemburuan lebih terbuka kepada empat pengeluar berbanding dua pengeluar saja setakat ini," kata Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd Ronn Hogg.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

FAM nafi kaut untung

Posted: 11 Jun 2013 08:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan ada pihak dalam badan induk itu yang mengaut keuntungan dengan mengatur program latihan serta perlawanan persahabatan skuad kebangsaan di Australia.

Menurut kenyataan media dikeluarkan pihak sekretariat FAM semalam, segala urusan program selama hampir dua minggu skuad kendalian Datuk K Rajagobal di Canberra dan Sydney itu bermula 3 Jun lalu mengikut prosedur ditetapkan.


"Permohonan untuk kem latihan di luar negara akan dikemukakan ketua jurulatih dengan persetujuan pengurus pasukan (Datuk Seri Subahan Kamal) kepada Sekretariat FAM. "Sekretariat FAM kemudian mempersembahkan permohonan serta anggaran perbelanjaan kepada Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan untuk mendapatkan kelulusan bersesuaian dengan kemampuan kewangan FAM.

"Sama sekali tidak berasas untuk mana-mana pihak mendakwa ada individu atau pihak tertentu membuat keputusan sendiri," menurut kenyataan itu.


Sebelum ini segelintir pihak, termasuk wakil PFSLJ Alfadli Awaludin kurang senang dengan keputusan FAM menolak aksi persahabatan dengan Singapura semata-mata untuk mengadakan perlawanan di Australia menentang pasukan bertaraf Liga Perdana sekali gus mendakwa ada kemungkinan pihak tertentu mengaut keuntungan daripada program itu.


Subahan dalam laporan Arena Metro semalam sudah menafikan dakwaan itu dan mahu mana-mana pihak tidak menimbulkan isu itu memandangkan pemergian skuad Harimau Malaya dibiayai wang penaja Telekom Malaysia.

Pada perlawanan pertama menentang Canberra FC, skuad kebangsaan tumpas 2-3 sebelum bangkit mencipta kemenangan ke atas Sydney Olympic FC, 4-0 dan akan menutup kunjungan ke Australia dengan menentang Marconi Stallion, esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

Bayaran akan dilunaskan: Hamidin

Posted: 11 Jun 2013 08:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Bayaran imbuhan siaran langsung akan dilunaskan dalam masa terdekat.

Itu perkembangan positif disuarakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung pembayaran kepada pasukan Liga Malaysia yang terbabit dalam penyiaran siaran langsung di kaca televisyen.


Perkara terbabit antara yang ditegur Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan sebelum ini apabila beliau menyatakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) masih belum menerima bayaran walaupun dimaklumkan mendapat RM15,000 setiap kali menjadi tuan rumah.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan berkata, beliau sudah mendapat pengesahan daripada pihak sekretariat mengenai pembayaran itu.


"Saya anggarkan bayaran itu mencecah jutaan ringgit. Namun ingin saya jelaskan bayaran hanya dibuat untuk musim 2012 terlebih dulu manakala bayaran siaran langsung bagi musim ini hanya akan dilakukan apabila tamat saingan," katanya.


Hamidin berkata, sekretariat FAM kini mengumpulkan maklumat bagi menyelesaikan kemelut bayaran itu secepat mungkin.

FAM sebelum ini mengumumkan imbuhan RM15,000 kepada pasukan tuan rumah dan RM5,000 buat pasukan pelawat setiap kali terbabit dengan siaran langsung.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

'Ini peraturan gila'

Posted: 11 Jun 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (gambar) berjanji akan terus 'menyerang' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dianggapnya tidak mengenang budi.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu yang masih tidak puas hati berikutan digantung 30 bulan dan denda RM39,000, Februari lalu mendakwa, badan induk bola sepak kebangsaan itu tidak bersikap adil dalam menguatkuasakan peraturan.


"(Tan Sri) Annuar Musa keluar kenyataan setiap hari, dia (FAM) tak kata apa, kemudian Datuk K Rajagobal tak kena gantung, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim gantung sikit. Apabila saya, macam-macam kena, ingat saya rakyat marhain (mereka) boleh buat sesuka hati.

"Saya akan minta rakyat Malaysia mengkritik perangai FAM, orang tolong dia tapi terima kasihpun tidak, sebaliknya nak hukum. Ini undang-undang tidak siuman," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Taklimat Ahli Parlimen, semalam.


Shahidan sebelum ini didapati bersalah atas empat pertuduhan, termasuk mengeluarkan kenyataan menyalahi Artikel 88 FAM.


Berikutan hukuman itu, beliau hilang status sebagai presiden PFA, Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan Ahli Jawatankuasa Kewangan FAM hingga September 2015. Namun, andai tidak digantung, beliau tetap kehilangan semua jawatan kerana tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan selepas dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini. Sementara itu, Shahidan mencabar badan induk berkenaan menggantungnya seumur hidup kerana enggan lagi 'diganggu' PFA.

Beliau mendakwa, persatuan bola sepak negeri itu kini menghadapi masalah kewangan hingga tidak memiliki dana untuk membayar gaji pemain.


Dakwanya lagi, PFA sudah mengambil wangnya hingga ratusan ribu ringgit namun FAM hanya menutup mata.

"PFA kacau saya sebab FAM tak tolong. PFA datang minta duit daripada saya setiap bulan, malah setiap minggu dan setiap perlawanan sebanyak RM11,000.


"Sepatutnya FAM ucap terima kasih kerana saya sudah bantu tapi mereka hanya tahu gantung tanpa mengkaji." Sehubungan itu, beliau mahu PFA tidak lagi mengganggunya kerana persatuan itu tiada kena mengena lagi dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/11

No comments:

Post a Comment