Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita pontianak

Posted: 10 Jun 2013 08:56 AM PDT

Wilkes Barre (AS): Seorang ibu dua anak mendedahkan dia minum darah manusia dengan 'gaya pontianak,' kadang kala sehingga dua liter sebulan.

Julia Caples, 45, menghisap darah daripada penderma sukarela sejak lebih 30 tahun lalu.


Dia bertemu rakan peminat pontianak di satu majlis tempatan, tempat dia mengelar mereka dengan pisau ala zaman jahiliah sebelum menghisap darah mereka.

Julia percaya dengan berbuat demikian dia akan kekal muda dan bertenaga, seperti penghisap darah dalam filem seperti Twilight.


Bagaimanapun, dia berusaha menjauhkan minat peliknya itu daripada anaknya, Alexi, 11. Anak perempuannya, Ariel, 24, bencikan ketaksuban Julia dan mendesaknya supaya berhenti.


Wanita itu yang berasal dari Wilkes Barre, Pennsylvania, Amerika Syarikat berkata: "Apabila menghisap dan minum darah seseorang, saya berasa muda dan lebih sihat. Saya tahu secara saintifik, darah tidak mengandungi zat. "Bagaimanapun, mungkin ada khasiat lain yang kita belum temui. Saya berasa diri saya lebih cantik setiap kali minum darah. Saya juga amat sihat, tidak menghadapi masalah kesihatan dan sentiasa bertenaga. Ada ketikanya saya minum lebih dua liter sebulan." Minat Julia pada darah bermula sejak dia masih muda, ketika bercium kali pertama semasa berusia belasan tahun.

Foto

JULIA bersama Alexi dan Donald.

Foto

WESLEY membenarkan Julia minum darahnya.

"Saya terdorong untuk menggigit kekasih saya ketika kami bercium. Hasrat itu datang tiba-tiba dan saya sukakan rasanya. Saya tidak dapat menjelaskannya dengan kata-kata dan minat itu tidak pernah berhenti. Dan kekasih saya itu tidak pernah mencium saya lagi." katanya.


Bagaimanapun, Julia tidak minum darah sebegitu kerap sehingga menemui Donald, 49, lelaki yang kini bekas suaminya.

Mereka berkahwin dalam majlis yang bertemakan pontianak pada Oktober 2000 dan minum darah satu sama lain untuk meraikan upacara itu.


Pasangan itu menjadi sebahagian daripada budaya peminat pontianak yang mengunjungi kelab malam dan minum darah satu sama lain.


Tetapi apabila pasangan itu mempunyai anak, Alexi, Donald berikrar untuk tidak lagi minum darah.


Donald berkata: "Saya berhenti tetapi Julia tidak perlu berbuat demikian kerana kami bersetuju seorang daripada kami perlu berhenti dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.


"Julia masih berminat untuk minum, tetapi dia juga ibu yang baik dan memberi keutamaan kepada anak. Dia tidak membiarkan minatnya itu menyekatnya menjadi ibu." Meskipun wanita itu berusaha merahsiakan gaya hidupnya daripada Alexi, kanak-kanak itu sudah mula mengesyaki tabiat ibunya.


Alexi berkata: "Kami mempunyai pelbagai hiasan, seperti keranda dan anak patung di rumah. Saya mula berfikir dia ialah pontianak. Anak perempuannya, Ariel pula berkata: "Saya dapat merasakan dia terdedah dengan banyak masalah kesihatan. Saya bimbang dia akan dijangkiti penyakit daripada seseorang menerusi darah." Julia yang menulis dalam blognya mengenai pontianak dengan mengguna nama Lady DarkRose berkata, dia sedar bahaya yang dihadapinya. "Tetapi semua penderma diuji sebelum saya minum darah mereka. Saya berkenalan dengan beberapa penderma menerusi Internet. Tetapi saya pasti akan menemui mereka terlebih dulu. Mereka perlu menjalani ujian darah untuk memastikan mereka tidak menghidap AIDS atau HIV," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Filipina rancang serah Jamalul

Posted: 10 Jun 2013 08:48 AM PDT

Manila: Kesultanan Sulu semalam mendedahkan rancangan Istana Malacanang agar Jamalul Kiram III, keluarganya di bandar raya Taguig dan penyokong diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Mereka juga bakal berdepan pertuduhan cuba menawan Lahad Datu di Sabah oleh kira-kira 200 anggota Pasukan Keselamatan Diraja kesultanan itu (RSF) Mac lalu.

Bercakap kepada wartawan di kediaman Jamalul Kiram III, jurucakap kesultanan itu, Abraham Idjirani berkata, dia menerima maklumat daripada sumber "yang boleh dipercayai" dalam Malacanang bahawa Presiden Filipina, Benigno Aquino berhasrat untuk menyerahkan Jamalul, keluarga dan penyokongnya kepada Malaysia walaupun tiada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara itu. "Kami mendapat maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Malacanang mahu menyerahkan Kiram dan penyokongnya di Taguig kepada Malaysia," katanya.


Sementara itu, anak perempuan Jamalul, Jacel menambah bahawa tindakan Malacanang itu dibuat ekoran penemuan mengejutkan daripada siasatan dilakukan Biro Penyiasatan Nasional (NBI) mengenai pendaratan RSF di Sabah. "NBI pada mulanya berkata, mereka ke Sabah atas inisiatif sendiri. Kemudian NBI menyarankan agar dakwaan difailkan terhadap Jamalul kerana berkonspirasi agar penyokongnya ke Malaysia," katanya. Jacel turut menyuarakan kemusykilan bagaimana dia, bapanya, saudara-mara, dan penyokong mereka hendak diekstradisi ke Malaysia berdasarkan penemuan NBI yang menyatakan keluarga dan penyokongnya berkonspirasi mencetuskan peperangan dengan Malaysia.

"Jika kamu mahu diekstradisi ke Malaysia kamu perlu melakukan jenayah di negara itu. Tetapi kami membuat tuntutan secara sah dari segi sejarah," katanya. - Philippine Star

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Pemisah perlu 'rehat' ketika Ramadan

Posted: 10 Jun 2013 08:48 AM PDT

Bangkok: Pemimpin penduduk Islam, semalam berkata, mereka mahu pergerakan pemisah di selatan menghentikan kegiatan keganasan ketika bulan suci Ramadan yang bakal bermula bulan depan.

Imam daripada 634 masjid di seluruh wilayah selatan Narathiwat bertemu dengan Pengarah Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Kolonel Tawee Sodsong di pejabat Jawatankuasa Islam Narathiwat. Pertemuan itu diadakan bagi mendengar pendapat imam mengenai lima tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) terhadap penyelesaian perdamaian konflik di selatan menjelang rundingan damai antara kerajaan Thai dan BRN yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada Khamis ini.


Kumpulan itu menggesa Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) meminta BRN agar menamatkan semua bentuk keganasan ketika bulan puasa yang bakal bermula 8 Julai depan.

Presiden Gabungan Majlis Islam di lima wilayah selatan, Abdulrahman Abdulsamad berkata, Iran dan Iraq juga bersetuju mencapai perjanjian gencatan senjata ketika Ramadan pada 1988 selepas lapan tahun berperang dan dia berharap pejuang pemisah di selatan akan menerima rayuan kumpulan imam itu kerana kedua-dua belah pihak sama-sama saudara Islam.


Abdulrahman juga menyarankan supaya kerajaan Thai dan BRN masing-masing patut berundur selangkah ke belakang dengan segera bagi mencapai penyelesaian yang neutral dan konkrit ketika rundingan damai 13 Jun selain menggalakkan kedua-dua belah pihak agar terus berusaha mewujudkan perdamaian di selatan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Dua cedera nahas pesawat

Posted: 10 Jun 2013 08:47 AM PDT

Jakarta: Sebuah pesawat penumpang Indonesia yang membawa 52 orang terhempas ketika mendarat di lapangan terbang di timur negara itu semalam, mencederakan dua orang, kata pihak berkuasa. Ia adalah nahas terbaru yang berlaku dalam sektor penerbangan yang semakin berkembang di negara itu.

Pesawat MA-60 yang dikelola Penerbangan Merpati Nusantara ingin mendarat di Lapangan Terbang Nusa Tenggara Timur ketika nahas berlaku, kata jurucakap kementerian pengangkutan, Bambang Ervan.


Foto menunjukkan pesawat buatan China itu mendarat dengan bahagian perut dan enjinnya di landasan manakala sayapnya menunduk.

Nahas berlaku ketika pesawat domestik dari pulau Flores itu ingin mendarat di Lapangan Terbang El Tari di Kupang jam 9.40 pagi.


Terdapat 52 orang berada di atas pesawat itu, 46 penumpang dan enam kru kabin, kata jurucakap Merpati, Herry Saptanto.


"Dua penumpang mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan kaca tetapi mereka sudah keluar dari hospital dan dalam keadaan baik," katanya kepada media. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

4 keldai dadah kena tahan

Posted: 10 Jun 2013 08:46 AM PDT

Dubai: Empat keldai dadah ditahan dan kokain bernilai lebih DH1.25 juta (RM1.06 juta) dirampas pihak berkuasa di empat bandar raya berbeza selepas polis Dubai memberikan maklumat mengenainya.

Lebih 8.39 kilogram kokain dirampas daripada empat orang, kata Pengarah Jabatan Anti-Dadah Polis Dubai, Mejar Jeneral Abdul Jalil Mahdi Al Asmawi.


Suspek dari Afrika dan Asia itu menyembunyikan dadah dalam silinder dan tin. Dua daripada suspek tutut membawanya dalam perut mereka.

Mereka ditahan di lapangan terbang di Nigeria, Uganda, Ghana dan Malaysia.


Di lapangan terbang Ghana, seorang suspek warga Afrika dari Sao Paulo menuju ke Accra ditahan kerana menelan satu kilogram kokain. Seorang wanita yang menjemput suspek di lapangan terbang turut ditahan.


Seorang lagi penyeludup dari Afrika ditahan di Lapangan Terbang Addis Ababa bersama 600 gram kokain. Dia menyeludup dadah berkenaan dari Sao Paulo sebelum menuju ke Abuja di Nigeria. Lokasi persinggahannya termasuk Dubai dan Addis Ababa. Dalam satu lagi kes, polis Malaysia yang memperoleh maklumat daripada polis Dubai memberkas seorang suspek di Lapangan Terbang Kuala Lumpur selain turut merampas 1.795 kilogram kokain daripadanya. Suspek juga mendapatkan dadah itu dari Sao Paulo dan singgah di Dubai sebelum terbang ke Kuala Lumpur.

Polis menemui dadah itu disembunyikan dalam enam silinder alat ganti kenderaan. Sementara itu, seorang wanita Afrika ditangkap di Lapangan Terbang Entebbe di Uganda bersama lima kilogram kokain. Dia dalam perjalanan ke Rio de Janeiro. - Gulf News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Jiah hamil anak Sooraj

Posted: 10 Jun 2013 08:46 AM PDT

Mumbai: Keluarga Jiah Khan yang membunuh diri minggu lalu, semalam berkongsi surat enam halaman didakwa ditulis untuk Sooraj Pancholi yang mempunyai hubungan bermasalah dengan aktres itu.

Ahli keluarga berkata, mereka tidak gembira dengan siasatan polis. Ibu Jiah, Rabiya menyerahkan surat itu kepada polis Sabtu lalu.


Adik bongsu Jiah, Kavita yang pulang ke Mumbai dari London turut bercakap dengan Newsline. "Surat enam halaman sudah diserahkan kepada polis. Kami mahu suara Jiah didengari dunia," katanya.

Ahli keluarga berkata, terdapat beberapa petunjuk dalam surat Jiah mengenai hubungannya yang bermasalah dengan anak lelaki aktor Aditya Pancholi, Sooraj tetapi siasatan polis sangat lambat dan kurang cekap.


"Ibu dan kakak saya sudah merakamkan kenyataan kepada polis dan memberitahu mereka mengenai hubungan antara Jiah dan Sooraj," katanya.


Ditanya sama ada Sooraj hadir dalam upacara pengebumian Jiah, Kavita berkata, dia tidak hadir.

"Sooraj tidak diundang dan tiada sesiapa di antara kami mahu dia datang," katanya.


"Kami kini menunggu laporan forensik bagi mengesahkan tulisan tangan Jiah untuk melihat sama ada kes ini boleh berubah daripada "kematian akibat nahas" kepada "mendorong kematian", kata seorang pegawai polis. Surat enam halaman itu ialah luahan rasa hati Jiah terhadap hubungan cintanya bermasalah.

"Saya tidak punya alasan lagi untuk terus hidup. Apa yang saya inginkan ialah cinta. Saya lakukan apa saja untuk kamu. Saya gugurkan anak kita, ia amat menyedihkan. Kebahagiaan diragut daripada saya. Kamu tidak pernah menghargai cinta saya. Tendang saya di muka. Saya tiada keyakinan lagi. Apa juga bakat, apa juga impian, kamu ambil semuanya. Kamu musnahkan hidup saya.


"Apa yang kamu inginkan dalam hidup hanya berparti, wanita, sikap penting diri kamu. Apa yang saya mahu hanya kamu dan kebahagiaan. Kamu ambilnya daripada saya.


"Tiada apa lagi yang tinggal di dunia ini. Saya sangat berharap kamu mencintai saya seperti saya cintakan kamu. Saya tinggalkan tempat ini tanpa apa-apa kecuali impian yang musnah dan janji kosong. Apa yang saya inginkan sekarang ialah tidur dan tidak bangun lagi." - Indian Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Bakar sekolah agama: empat remaja dicekup

Posted: 10 Jun 2013 08:45 AM PDT

London: Empat remaja ditahan berhubung insiden kebakaran di sebuah sekolah berasrama penuh Islam di bandar raya ini, kata polis semalam ketika mereka memperketatkan kawalan di sekitar kawasan Islam di ibu negara Britain itu.

Kebakaran itu adalah yang kedua disyaki berlaku di institusi Islam di London ekoran pembunuhan seorang anggota tentera dekat bereknya di Woolwich pada 22 Mei lalu. Dua individu yang memeluk agama Islam didakwa melakukan pembunuhan itu.


Kebakaran dilaporkan berlaku lewat Sabtu di Sekolah Tinggi Islam Darul Uloom di tenggara London, dekat pinggir Chislehurst.

Dua remaja berusia 18 dan dua lagi yang berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kejadian itu dan mereka kemudian dibawa ke balai polis selatan London. Mereka direman hingga semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

No comments:

Post a Comment