Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bayi berkepala dua

Posted: 28 Jun 2013 08:49 AM PDT

Jogjakarta: Sepasang suami isteri tetap reda menerima ketentuan Ilahi apabila dikurniakan anak istimewa yang memiliki dua kepala.

Menurut bapa bayi terbabit, Usman, pada peringkat awal dia memang terkejut dan panik apabila mengetahui keadaan fizikal anaknya itu tidak normal.


"Saya tidak pernah mendapat sebarang firasat dan tidak menyangka keadaan ini berlaku.

"Bagaimanapun saya dan isteri ikhlas menerima keadaan anak ini kerana ia adalah takdir Tuhan," katanya.


Anak lelaki Usman itu dilahirkan di Hospital Bersalin Duta Mulya di Majenang, Cilacap, Jawan Tengah kira-kira jam 9.30 malam pada Rabu lalu dengan berat 4.2 kilogram.


Pengarah hospital, Tatang Mulyana berkata, bayi itu sihat dan dilahirkan melalui pembedahan.

Foto

ANAK istimewa pasangan Usman dan Munjiah masih dirawat di hospital.

Kata Tatang, ia adalah anak kedua kepada pasangan Usman, 36, dan Munjiah, 27, yang menetap di Purwosari.


Menurut Usman, dia berharap bayi itu selamat dan sihat. Pada masa sama, Usman mengakui dia bingung apabila memikirkan jika anaknya itu terpaksa dirawat lebih lama di hospital. "Rumah saya jauh dan tentu memerlukan perbelanjaan tinggi untuk berulang-alik," katanya. Sementara itu, Tatang berkata, anak Usman tidak dianggap kembar siam kerana hanya memiliki dua kepala, sedangkan organ dalaman lain normal selain sepasang tangan dan kaki.

"Dalam istilah perubatan, ia dikenali sebagai 'dicephalus parapagus on joined twins' atau kembar mulai dari leher hingga kepala.


"Ia mungkin berlaku akibat perubatan genetik ketika janin berusia dua minggu," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Bayi 3 ibu bapa lahir pada 2015

Posted: 28 Jun 2013 08:43 AM PDT

London: Bayi pertama yang dihasilkan melalui campuran benih tiga ibu bapa mungkin dapat lahir seawal 2015 selepas mahkamah membuat keputusan penting membenarkan rawatan genetik kontroversi.

Britain mungkin menjadi negara pertama meluluskan kelahiran bayi daripada tiga ibu bapa genetik itu walaupun dikhuatiri ia bakal mewujudkan 'bayi rekaan.' Kerajaan akan menerbitkan peraturan draf itu akhir tahun ini dan membolehkan teknik menghasilkan bayi seperti itu semakin hampir.


Pada umumnya, peraturan itu membolehkan seseorang wanita menghidap penyakit keturunan berpeluang memperoleh anak. Teknik itu membabitkan penggantian DNA rosak pada telur ibu dengan bahan dari telur penderma, membolehkan seorang bayi dilahirkan hasil gabungan benih dua wanita dan seorang lelaki.

Untuk kali pertama, benih genetik daripada seorang ibu akan diubah suai dalam proses dianggap pengkritik sebagai titik penting kepada etika amalan bayi tabung uji. Bagaimanapun, ketua pegawai perubatan kerajaan, Prof Dame Sally Davies berkata, pengubahsuaian itu tidak memberi kesan kepada DNA asas yang menentukan kewujudan seseorang seperti ciri pada wajah dan warna mata. Dame membandingkan teknik baru dengan dengan penggantian pek bateri rosak dalam sel yang mengelak seseorang bayi mewarisi penyakit berbahaya. "Saintis membangunkan prosedur baru yang mungkin dapat menghalang sesuatu penyakit diwarisi sekali gus memberi harapan kepada orang ramai," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Lelaki tukar wajah tunjuk proses pemulihan mengagumkan

Posted: 28 Jun 2013 08:42 AM PDT

Baltimore: Lelaki yang menjalani pembedahan menukar wajahnya pada tahun lalu kini menunjukkan proses pemulihan mengagumkan.

Richard Lee Norris kehilangan rahang atas dan bawah, selain bibir, gigi dan lidah dalam kemalangan berlaku pada 1997.


Sejak itu Norris, kini 38, menjalani hidup amat sukar sebelum menerima wajah baru daripada penderma dalam pembedahan pada Mac tahun lalu di Pusat Perubatan Maryland di Baltimore. Dalam tempoh seminggu, Norris mampu memberus gigi dan bercukur. Doktor yang mengetuai pembedahan itu, Dr Eduardo Rodriguez berkata, prosedur dilakukan ke atas Norris adalah satu daripada yang paling sukar kerana membabitkan lidah dan gigi.

"Proses pemulihan wajah itu berada jauh di dalam bahagian muka Norris serta ia tidak boleh dilihat," katanya. Kini Norris mampu merasa melalui mukanya, boleh tersenyum dan pertuturan pula kian pulih. Dia juga sedang mengikuti pembelajaran dalam bidang sejarah seni melalui Internet. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Jatuh ketika lakukan seks

Posted: 28 Jun 2013 08:41 AM PDT

Wuhan: Sepasang kekasih dipercayai jatuh apabila tingkap tempat mereka mengadakan seks pecah.

Saksi berkata, pasangan itu jatuh sambil berpelukan. "Dengan berpelukan, mereka jatuh ke bawah," kata saksi itu.


Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan mayat pasangan berkenaan dilitupi selimut oleh anggota forensik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Budak genius beli 3 Ferrari

Posted: 28 Jun 2013 08:41 AM PDT

London: Kepintaran seorang budak lelaki berusia 12 tahun membolehkan dia menikmati kekayaan tidak diduga dan sebahagian daripada wang itu digunakan untuk membeli tiga buah kereta Ferrari.

Sebelum itu, budak terbabit - hanya dikenali sebagai Callum - berjaya mencipta satu aplikasi dan dijual kepada Google pada harga AS$13 juta (RM 41 juta).


Aplikasi itu diciptanya ketika dia baru berusia sembilan tahun. Kata Callum, tiga kenderaan mewah yang dibelinya ialah Ferrari 458 Italia, 599 GTO dan 335 yang pernah terbabit dalam satu daripada film James Bond. "Kereta yang pernah digunakan dalam filem James Bond itu sangat unik dan saya sangat menyukainya," katanya dalam satu kenyataan media.

Namun, di sebalik pemilikan kereta itu, Callum masih terpaksa bergantung kepada bapanya untuk menjadi pemandu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Keganasan berterusan

Posted: 28 Jun 2013 08:39 AM PDT

Beijing: Keganasan baru meletus di Xinjiang semalam, dua hari selepas 35 orang terbunuh dalam apa yang disifatkan oleh kerajaan sebagai 'serangan pengganas.'

Keganasan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam itu juga berlaku seminggu sebelum ulang tahun pertempuran 2009 yang menyaksikan kira-kira beratus-ratus orang mati.

Keganasan di bandar Hotan semalam menyusuli rusuhan Rabu lalu, yang terburuk sejak rusuhan 5 Julai 2009.

"Keganasan meletus semula petang ini menyebabkan kecederaan dan kematian," lapor agensi penyiar tempatan di Internet.


Usaha untuk mendapatkan pengesahan kerajaan dan polis di Hotan gagal.

Penduduk bangsa Uighur berkata kekacauan yang berlaku di wilayah berkenaan berpunca daripada penindasan terhadap kaum itu, baik dari segi ekonomi mahupun agama oleh kerajaan China.

Beijing bagaimanapun menolak dakwaan itu, sebaliknya menyalahkan 'pengganas.'
Agensi berita Xinhua melaporkan semalam, rusuhan di Turpan bermula apabila penyerang bersenjatakan pisau menyerang balai polis dan membakar kereta sebelum polis melepaskan tembakan.

Pertempuran itu menyebabkan 35 orang mati, termasuk 11 perusuh.

"Ia serangan pengganas. Penduduk tempatan masih menyiasat mereka yang merancangnya," kata jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying, semalam.

Laporan media tempatan tidak menyebut bangsa penyerang atau menjelaskan punca serangan di wilayah yang penduduknya sering menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penindasan oleh suku Han, kaum pendatang di wilayah itu.

Laporan itu juga menyebut empat penyerang yang cedera ditangkap.

Radio Free Asia yang berpangkalan di AS melaporkan angka kematian lebih tinggi iaitu 46 orang.

Jurucakap Kongress Dunia Uighur, kumpulan yang dikendalikan oleh komuniti itu yang hidup dalam buangan berkata, 67 orang ditangkap berhubung kejadian di Luqkun.

Dalam kenyataannya, kumpulan itu menyifatkan keganasan berkenaan sebagai kegagalan dasar China terhadap masyarakat Uighur. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Myanmar nafi kerajaan terbabit keganasan agama

Posted: 28 Jun 2013 08:37 AM PDT

Yangon: Myanmar semalam menafikan dakwaan bahawa kerajaan dan tentera bertanggungjawab terhadap keganasan agama yang menyasarkan umat Islam negara itu baru-baru ini.

Kumpulan hak asasi manusia sebelum ini menyelar polis dan tentera negara itu kerana gagal mengekang keganasan berkenaan.


Kemusnahan yang berlaku dengan pantas dan disokong oleh laporan saksi mengenai kehadiran penghasut untuk mencetuskan keganasan membawa kepada spekulasi bahawa wujud elemen terancang di kalangan tentera dalam kejadian kejadian.

"Ada spekulasi mengenai siapa yang bertanggung jawab dalam konflik berkenaan. "Bagaimanapun, saya dengan tegas berkata, setakat ini, adalah kesilapan besar untuk menyatakan kerajaan merancang keganasan itu dan tentera yang melaksanakannya," kata jurucakap pejabat presiden, Ye Htut. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

'Ibu saya rompak bank'

Posted: 28 Jun 2013 08:36 AM PDT

Kent County: Biro Siasatan Persekutuan semalam berkata, seorang lelaki mengenal pasti ibunya dalam gambar yang dirakam dalam kejadian rompakan bank dan memanggil polis untuk menangkap wanita itu.

MLive.com berkata, lelaki itu memberitahu polis bahawa wanita yang merompak cawangan Bank of America itu 'berada di rumahnya' dan meminta mereka datang untuk menangkapnya.


Dalam kejadian berkenaan, seorang pekerja berkata, perompak itu menyerahkan nota menuntut wang AS$2,500 (RM7,500) untuk perbelanjaan anak dan cucunya.

Bagaimanapun, dia hanya menyerahkan wang berjumlah AS$1,092 (RM3,276). - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Ulama sokong kurang jemaah

Posted: 28 Jun 2013 08:35 AM PDT

Riyadh: Pihak berkuasa ulama Arab Saudi menyokong keputusan kerajaan negara itu untuk mengurangkan jumlah jemaah yang dibenarkan menunaikan haji tahun ini kerana kerja meluaskan Masjidil Haram.

Keputusan mengurangkan jumlah jemaah luar negara sebanyak 20 peratus dan tempatan 50 peratus dibuat ketika kerajaan berusaha mengekang merebaknya wabak jangkitan pernafasan MERS yang sudah meragut lebih 30 nyawa. Bagaimanapun kerajaan Saudi tidak pernah mengaitkan kedua-dua isu berkenaan.


Pihak berkuasa Saudi sudah membelanjakan berbilion dolar sejak beberapa tahun lalu untuk projek meluaskan Masjidil Haram dan meningkatkan keselamatan jemaah.

Bagaimanapun, pengkritik menyelar kerajaan kerana merobohkan kawasan bersejarah, termasuk yang wujud ketika zaman Nabi Muhammad (SAW) semata-mata untuk memudahkan pelaksanaan projek berkenaan.


Dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Saudi semalam, majlis ulama negara itu berkata, pengurangan jumlah jemaah adalah wajar bagi memastikan keselamatan ketika kerja pembinaan dilakukan bagi membolehkan kehadiran lebih ramai jemaah pada masa depan. Kenyataan serupa dibuat beberapa ulama di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah.


Sementara itu, Arab Saudi setakat ini mencatatkan 62 kes MERS yang sudah meragut 34 nyawa.

Sabtu lalu, pakar kesihatan antarabangsa yang bermesyuarat di pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Kaherah berkata, negara yang dilanda wabak itu perlu merancang untuk menghadapi perhimpunan besar-besaran.


Musim tahun haji akan datang ialah pada Oktober. Bagaimanapun, ramai jemaah dijangka melawat Makkah ketika bulan puasa bulan depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

105,000 boleh tawaf sejam

Posted: 28 Jun 2013 08:34 AM PDT

Makkah: Kerja meluaskan kawasan tawaf di sekeliling Kaabah akan meningkatkan kapasiti kawasan itu daripada 48,000 kepada 105,000 jemaah sejam apabila siap tiga tahun lalu.

Ia akan memuatkan lebih ramai jemaah di bahagian lain Masjidil Haram sehingga 2.5 juta orang apabila projek meluaskan masjid itu siap sepenuhnya Oktober 2015.


Berdasarkan filem dokumentari mengenai projek itu yang disiarkan Saluran 1 televisyen Saudi malam tadi, jumlah tiang di dalam masjid berkenaan juga akan berkurangan sebanyak 44 peratus Tiang di tingkat bawah dan besmen dikurangkan sebanyak 30 peratus sementara di tingkat satu, 75 peratus.

Kelebaran bumbung kawasan tawaf pula akan diluaskan daripada 20 meter yang ada sekarang kepada 50 meter untuk membantu mengurangkan kesesakan ketika tawaf.


Bagaimanapun, projek itu akan mengekalkan warisan dan cara pembinaan Masjidil Haram. Ketika ini, kawasan tawaf itu hanya boleh memuatkan 22,000 jemaah setiap jam selepas fasa pertama dilancarkan pada November tahun lalu dan usaha sementara untuk meningkatkannya kepada 35,000 dijalankan sebagai persediaan untuk menghadapi kedatangan jemaah umrah ketika Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

No comments:

Post a Comment