Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Edar katrij dakwat tiruan

Posted: 18 Jun 2013 10:52 AM PDT

Shah Alam: Sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar kegiatan sindiket mengedar katrij pencetak pelbagai jenama disyaki berisi dakwat tiruan dianggarkan bernilai RM500,000 dalam tiga serbuan di Seksyen U5, di sini, semalam.

Sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan mengedarkan katrij itu untuk pasaran tempatan dan luar negara. Dalam serbuan berkenaan, sebanyak 3,525 katrij dirampas sebelum ia sempat diedarkan.


Ketua Penguat kuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata, dalam serbuan bermula jam 12 tengah hari itu, seramai 15 anggota penguat kuasa KPDNKK diketuai Shahran Arshad menyerbu tiga premis iaitu sebuah kilang yang dijadikan tempat penghasilan produk, sebuah kedai untuk pembungkusan dan sebuah rumah teres untuk dijadikan stor. Semua premis itu terletak berdekatan.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua bulan bersama ejen risikan pemilik dagang sebelum mengenal pasti sebuah unit perumahan dan dua unit premis perniagaan yang dipercayai menjadi pusat terbesar operasi sindiket itu.


"Premis perniagaan pertama yang diserbu membabitkan dua blok kedai dijadikan kilang memproses dakwat kerana mempunyai pelbagai mesin, pemampat, serbuk dakwat dan katrij yang kosong serta serbuk dakwat dirampas selain menahan dua pekerja tempatan berusia 20-an.


"Seterusnya, serbuan dijalankan ke atas sebuah rumah teres yang dijadikan tempat menyimpan barangan yang sudah siap untuk dieksport ke negara jiran serta diedarkan di pasaran tempatan. Serbuan terakhir dilakukan ke atas sebuah kedai yang dijadikan tempat pembungkusan dan merampas pelbagai peralatan membungkus.

Foto

OTHMAN menunjukkan barangan yang dirampas.

"Dalam premis itu, kami merampas katrij pelbagai jenama seperti Samsung, Canon, HP dan Brothers," katanya, semalam.


Othman berkata, katrij berkenaan dijual dengan harga minimum RM50 sehingga RM180 seunit manakala bagi seunit katrij kosong tanpa dakwat dijual dengan murah serendah RM5 hingga RM12 untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, harga katrij berkenaan akan mencecah sehingga ratusan ringgit apabila menembusi pasaran negara jiran iaitu RM200 hingga RM300 seunit.


"Ini rampasan terbesar di Selangor hasil kerjasama dengan polis," katanya.


Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2012 kerana mengedar barangan tiruan dan sabit kesalahan setiap unit katrij yang dirampas akan dikenakan denda RM15,000 maksimum untuk syarikat manakala RM10,000 untuk individu atau tiga tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Ditahan jual spesimen hidupan liar

Posted: 18 Jun 2013 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan tiga lelaki warga India menjual pelbagai spesimen hidupan liar di sekitar Jalan Pasar, Pudu mengundang padah apabila ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang mengadakan serbuan mengejut di kawasan itu, semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan jam 12.30 tengah hari ketika sedang menjual kuku, gigi harimau, kaki dan kulit harimau; kuku dan kepala serigala; kuku burung helang dan bulu gajah.


PERHILITAN dalam satu kenyataan media memberitahu, ketiga-tiga suspek ditahan selepas melakukan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu seksyen 87.

Menurutnya, individu yang didapati menjual hidupan liar dilindungi boleh didenda maksimum RM20,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Peniaga bengang diarah pindah kali ke-2

Posted: 18 Jun 2013 10:46 AM PDT

Rawang: "Sejak berpindah ke sini pada 2003, kami terpaksa bersusah payah selama tiga tahun sebelum kawasan ini mula dikunjungi ramai, tetapi kini Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mahu kami berpindah ke tempat lain pula," rintih 13 peniaga dan penjaja gerai makanan medan selera di tapak Pasar Malam Bandar Tasik Puteri dekat sini.

Mereka tidak berpuas hati dengan arahan MPS yang mahu mereka menghentikan operasi dan berpindah ke Taman Green Valley.


Bendahari Persatuan Kebajikan Peniaga-Peniaga Bumiputera dan Penjaja-Penjaja Pasar Malam Bandar Tasik Puteri, Hazram Kahar berkata, tindakan itu seolah-olah tidak adil bagi peniaga terbabit kerana terpaksa bermula dari bawah semula selepas mereka berjaya menarik orang ramai termasuk pelanggan tetap untuk berkunjung ke kawasan terbabit.

"Pada awalnya MPS bersetuju memindahkan kami di tapak meletak kenderaan ini pada 2003 kerana tidak membenarkan kami berniaga di tepi jalan raya.


"Ketika itu pendapatan kami hanya cukup-cukup makan kerana kawasan ini belum membangun sepenuhnya, tetapi kini ia menjadi tumpuan penduduk Bandar Tasik Puteri.


"Bagaimanapun, pada 2010, MPS mengarahkan kami untuk berpindah ke medan selera di Taman Green Valley yang terletak 3 kilometer dari sini. Sejak itu juga, MPS tidak menyambung permit sementara peniaga menyebabkan kami mula dianggap menceroboh tanah milik Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan beroperasi secara haram," katanya.

Tambahnya, tindakan MPS yang mahu memusatkan gerai makanan di Taman Green Valley tidak relevan memandangkan kawasan itu berbeza dengan Bandar Tasik Puteri.


"Mengapa mereka tidak mewujudkan dua pusat medan selera bagi memenuhi keperluan orang ramai terutamanya penduduk di dua kawasan terbabit.

"Medan selera di Green Valley untuk penduduk di sana, manakala gerai kami pula untuk memenuhi keperluan penduduk di sini.


"Malah, kami juga sudah menghantar memorandum tandatangan penduduk kepada MPS dan kerajaan negeri yang membantah penutupan kawasan ini, sekali gus menyokong kami untuk terus beroperasi di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

KEMAS wujud tabung khas

Posted: 18 Jun 2013 10:44 AM PDT

Pasir Mas: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Rantau Panjang menyediakan satu tabung khas bagi membantu seorang kakitangannya, Nor Asikin Abdul Rahman, 41, yang kematian tiga anak serentak dalam tragedi lemas di Sungai Golok, kelmarin.

Penyelia Kanan KEMAS Rantau Panjang, Mukhtar Mustapa berkata, tabung khas itu disediakan membantu meringankan beban keluarga Nor Asikin. "Selain tabung khas, kami turut menghulurkan bantuan sebanyak RM500 kepada Nor Asikin," katanya ketika melawat Nor Asikin, semalam.


Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi II KEMAS Negeri, Rokhzaidi Othman dan kakitangan KEMAS lain.

Menurutnya, KEMAS Kelantan turut mengeluarkan arahan kutipan derma kilat dilakukan bagi disalurkan kepada keluarga Nor Asikin.


Mukhtar berkata, Nor Asikin adalah seorang guru KEMAS yang mengajar di Tabika Nurbaya, Kampung Rahmat, Rantau Panjang, di sini.


"Saya mewakili KEMAS mengucapkan takziah kepada keluarga Nor Asikin dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

'Tiada lagi suara lantang'

Posted: 18 Jun 2013 10:44 AM PDT

Pasir Mas: "Tiada lagi suara lantang yang bersemangat menyanyikan lagu Negaraku di sekolah," kata guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Rahmat, Rantau Panjang, Dzukieman Yusoff, 44.

Dzukieman berkata, walaupun tidak mengajar Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, dia mengenali kanak-kanak itu kerana sering bersemangat menyanyi lagu Negaraku ketika perhimpunan sekolah.


"Dia (Muhammad Zulhilmi) kelihatan begitu yakin dan bersemangat setiap kali menyanyikan lagu Negaraku di perhimpunan sekolah sehingga dia dikenali ramai," katanya.

Sementara itu, guru kelas Muhammad Zulhilmi, Norma Ismail, 44, berkata, kanak-kanak itu pendiam ketika di dalam kelas tetapi disenangi semua guru dan rakan kerana tidak pernah menimbulkan masalah.


Katanya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Zulhilmi ketika mengajarnya dari jam 10.45 pagi hingga 1.15 petang kelmarin. "Pada mulanya Muhammad Zulhilmi tidak mahu masuk ke kelas dengan alasan dia bergaduh dengan rakan sekelas yang juga sepupunya, namun selepas dipujuk dia masuk ke kelas dan belajar seperti biasa.


"Dia memang manja dan suka mengadu selain bercerita keakraban hubungannya dengan dua adiknya yang turut terkorban dalam kejadian itu," katanya sebak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

No comments:

Post a Comment