Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Remaja tetak bapa hingga putus kepala

Posted: 16 Jun 2013 08:49 AM PDT

Port Moresby: Seorang remaja perempuan menetak kepala bapanya hingga putus dengan pisau memburu selepas lelaki terbabit memperkosanya di kediaman mereka di kawasan tanah tinggi di Papua New Guinea.

Kejadian itu mendorong penduduk di desa itu membentuk rangkaian perlindungan bagi remaja berusia 18 tahun berkenaan serta enggan menyerahkan mangsa kepada polis kerana percaya bapanya yang jahat itu memang patut mati. Pemimpin gereja tempatan, Paderi Lucas Kumi dari Desa Rang di Western Highlands berkata, masyarakat enggan membenarkan remaja itu disiasat pihak berkuasa. Menurutnya, penduduk dan pemimpin di kawasan itu pergi melihat mayat tanpa kepala bapa mangsa selepas remaja terbabit melaporkan kejadian kepada mereka dan menjelaskan alasan dia membunuh bapanya.


Kumi memberitahu akhbar Post Courier, bapa mangsa berusia pertengahan 40-an merogol anak perempuannya ketika mereka tinggal berdua di rumah selepas isteri dan dua lagi anaknya melawat saudara mereka pada malam kejadian. "Bapa mangsa memasuki biliknya pada tengah malam dan merogolnya berulang kali. "Bapanya mahu merogol mangsa sekali lagi pada waktu pagi dan ketika itu mangsa mengambil pisau memburu dan menetak kepala bapanya," kata Paderi Kumi. "Kami semua bersetuju remaja itu bebas untuk tinggal di sini kerana bapanya memang patut mati. "Mangsa melakukan pembunuhan kerana dia trauma dan tidak suka perbuatan jahat bapanya. Sebab itu kami setuju dia diberi perlindungan," katanya.

Menurutnya, remaja itu diletakkan dalam rangkaian perlindungan dan dia disembunyikan daripada pihak berkuasa.


Sementara itu, mayat bapa mangsa juga tidak akan dikebumikan mengikut adat. - Daily Mail

Foto

PENDUDUK Desa Rang enggan membenarkan polis menyoal siasat remaja yang membunuh bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Paris kecewa Prince bukan abang kandung

Posted: 16 Jun 2013 08:45 AM PDT

Los Angeles: Cubaan Paris Jackson untuk membunuh diri berlaku beberapa hari selepas diberitahu bapanya dengan bapa abangnya, Prince, adalah orang yang berlainan.

Paris, 15, yang menurut sumber sudah sekian lama mengetahui bahawa Michael Jackson bukan bapa kandungnya begitu yakin dia dan Prince adalah abang kandungnya atau setidak-tidaknya mempunyai bapa yang sama.

Dia percaya Debbie Rowe adalah ibunya dan seorang lelaki yang namanya tidak diketahui adalah bapanya.

Tetapi selepas diberitahu perkara sebenar, pertengkaran berlaku antara Paris dengan Prince, 16.


Remaja itu dilanda kekecewaan dan sehingga ini masih dirawat di sebuah hospital di Los Angeles selepas dilapor mengelar pergelangan tangannya dan makan ubat berlebihan pada 5 Jun lalu.


"Paris sentiasa mahu percaya bahawa Michael adalah bapanya. Tetapi dia sedar, ia bukan kenyataan. Namun, dia yakin Prince abang kandungnya dan mereka mempunyai bapa yang sama. Dia sentiasa memujanya.

"Paris amat kecewa apabila mengetahui bapanya bukan bapa Prince. Dia kini semakin pulih, tetapi akan terus menetap di hospital hingga 30 hari sebelum menghabiskan masa bersama ibunya.

"Dia tidak suka menetap di rumah keluarga Jackson walaupun rapat dengan neneknya, Katherine," kata satu sumber, semalam. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Basikal guna enjin jet

Posted: 16 Jun 2013 08:44 AM PDT

London: Seorang tukang paip mendakwa membina basikal paling berbahaya di dunia dikuasai oleh enjin jet buatan sendiri dan mempunyai kelajuan hingga 80 kilometer sejam.

Colin Furze yang memegang tiga gelaran Rekod Dunia Guiness kerana ciptaannya termasuk skuter mudah alih terpantas dunia yang diubah suai daripada basikal Raleigh milik ibu kawannya.


Lelaki berusia 32 tahun terbabit memberi nama samaran Norah kepada basikal itu yang dilengkapi enjin jet di belakang yang dipanjangkan agar kedudukan penunggang jauh daripada enjin.

Bagaimanapun foto di sebelah menunjukkan Fruze dan rakannya tidak memakai pakaian atau peralatan keselamatan ketika mencuba basikal berkenaan. Pencipta Britain itu sangat dikenali di dunia maya kerana lagak ngerinya yang cukup luar biasa. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Jakarta siap sedia hadapi kekacauan

Posted: 16 Jun 2013 08:43 AM PDT

Jakarta: Polis di bandar raya ini sudah bersedia melaksanakan Operasi Dian Jaya 2013 sebagai persiapan menghadapi kekacauan menjelang kenaikan harga minyak bersubsidi.

"Operasi Dian Jaya sudah mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 10 Jun lalu," kata jurucakap polis, Rikwanto di Jakarta, semalam.


Menurutnya, unit detektif bagi jenayah khas dan semua balai polis sudah meningkatkan operasi bagi menghalang gangguan penghantaran minyak.

Ia termasuk menempatkan dua hingga lima anggota polis di setiap stesen minyak.


Operasi itu juga bertujuan menghalang jenayah berkait dengan minyak seperti menyorok dan mengubahsuai tangki minyak.


"Kami sudah meningkatkan aktiviti pengawasan bagi menghadapi kemungkinan kegiatan menyorok minyak di kawasan pinggir dan sempadan daerah seperti Bekasi, Depok dan Tangerang," kata Rikwanto.

Katanya, polis juga bersiap sedia menghadapi tunjuk perasaan kerana membantah rancangan kerajaan menaikkan harga bahan itu.


"Kami menerima beberapa notis tunjuk perasaan oleh beberapa kumpulan untuk mengadakan tunjuk perasaan hari ini," katanya.

Mesyuarat pegawai kanan polis Jakarta sudah diadakan untuk membincangkan lokasi perhimpunan, jumlah yang akan hadir dan penempatan anggota bagi menghalang tunjuk perasaan itu bertukar ganas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Harga baru minyak diumum hari ini

Posted: 16 Jun 2013 08:42 AM PDT

Jakarta: Kerajaan Indonesia dijangka mengumumkan harga baru minyak bersubsidi hari ini selepas mesyuarat pleno Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

"Selepas mesyuarat esok (hari ini), kenaikan harga minyak akan diumumkan," kata Menteri Perusahaan Negara, Dahlan Iskan semalam, seperti yang dipetik agensi berita Antara.


Dengan simpanan minyak Indonesia semakin merosot dan peningkatan import kerana penggunaan tinggi, Dahlan berkata, rancangan kerajaan menaikkan harga bahan itu tidak boleh ditangguhkan lagi.

Menurutnya, setiap tahun sejuta kereta baru dan lapan juta motosikal baru dijual menyebabkan permintaan terhadap minyak meningkat di negara itu.


"Harga minyak perlu dinaikkan. Meskipun ada pihak menolak rancangan itu, ia mesti dilakukan juga. Nilai rupiah merudum kerana jumlah import minyak yang tinggi," katanya.


Beberapa parti, termasuk Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA), Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dan Parti Hati Nurani Rakyat (HANURA) menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan itu.

Sementara itu, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang mulanya menentang cadangan itu mengubah pendirian mereka selepas Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengancam menyingkirkannya daripada kerajaan campuran.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga baru minyak akan ditetapkan antara Rp6,000 (RM1.90) dan Rp6,500 (RM2.05) seliter. Harga subsidi bahan itu ketika ini ialah Rp4,500 (RM1.42) seliter. Pada masa lalu, setiap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak akan mencetuskan kekacauan di seluruh negara itu.- Antara

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Manila rancang beli misil

Posted: 16 Jun 2013 08:41 AM PDT

Manila: Jabatan Pertahanan Kebangsaan Filipina merancang membeli peluru berpandu antipesawat yang akan ditempatkan di Laut Filipina Barat (Laut China Selatan) sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan peluru berpandu pertama negara itu.

Setiausaha Penerangan Ricky Carandang mendedahkan, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Istana Malacanang dan menjadi tajuk perbincangan di kalangan anggota Kabinet.

"Ia menjadi tajuk bualan, tetapi saya tidak pasti sama ada keputusan sudah dibuat," kata Carandang yang sering menghadiri mesyuarat Kabinet mengenai keselamatan.

Jurucakap istana Abigail Valte enggan mengesah atau menafikan perkara itu ketika ditanya dalam wawancara radio.

Beliau juga enggan mengesahkan laporan bahawa Setiausaha Pertahanan Goltaire Gazmin akan ke Israel minggu depan untuk berunding mengenai pembelian peluru berpandu itu.

Bagaimanapun, katanya, rancangan Jabatan Pertahanan menaikkan taraf kelengkapan tentera sebahagian daripada program memodenkan Angkatan Tentera Filipina yang sudah sekian lama tertangguh.

Beliau berjanji mengkaji senarai yang disediakan tentera berhubung senjata yang ingin diperoleh sebelum mengulas mengenai laporan berhubung sistem pertahanan peluru berpandu.

Laut Filipina Barat yang juga dikenali Laut China Selatan oleh dituntut pelbagai negara.

Dalam ucapannya pada Hari Kemerdekaan, Presiden Beningno Aquino berikrar mempertahankan kedaulatan negara itu sebagai peringatan ditujukan kepada China yang kelengkapan senjata tenteranya dengan mudah dapat menewaskan kelengkapan tentera Filipina yang jauh ketinggalan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Kurang keganasan hanya persetujuan

Posted: 16 Jun 2013 08:40 AM PDT

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra, semalam berkata, pengurangan keganasan ketika bulan Ramadan bukan perjanjian rasmi.

Menurutnya, ia hanya hanya permintaan wakil pemimpin Islam dan kerajaan Thai untuk membawa keamanan. Pasukan perunding kerajaan diketuai Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) Paradorn Pattanatabut dan pemimpin Barisan Revolusi Nasional (BRN) mewakili kumpulan pemisah bersetuju pada rundingan damai pusingan ketiga di Kuala Lumpur untuk mengurangkan keganasan ketika Ramadan bermula pada 9 atau 10 Julai di negara itu. Yingluck berkata, pada tahap ini, dia tidak boleh memberitahu jika keadaan di selatan sudah semakin baik selepas tiga pusingan rundingan antara NSC dan BRN. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Seorang maut polis serbu pemisah

Posted: 16 Jun 2013 08:39 AM PDT

Bandar Muang: Seorang anggota pemisah terbunuh dalam pertempuran dengan polis dan tentera di Pattani, awal pagi semalam.

Tentera menyerbu sebuah kediaman di Tambon Talubo selepas menerima maklumat terdapat kumpulan lelaki bersenjata bersembunyi di situ.

Ketika terserempak dengan pihak berkuasa, kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan dan tembak-menembak berlarutan selama 15 minit.

Seorang anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Ameen Daleng, 31, terbunuh.

Pihak berkuasa turut menemui pistol 9mm dekat mayatnya.

Anggota keselamatan juga menahan Sagariya Tohtayong, 31, ketua Runda Kumpulan Kecil (RKK).

Kumpulan terbabit diburu kerana mempunyai kaitan dengan pembunuhan enam orang di kedai runcit di Pattani baru-baru ini.

Menurut polis, Sagariya juga dikehendaki atas tuduhan membunuh seorang hakim di Pattani pada 2004. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Adios, Mahmoud Ahmadinejad

Posted: 16 Jun 2013 08:38 AM PDT

Teheran: Sambutan liar berlaku di jalan raya sekitar bandar raya ini yang empat tahun lalu menjadi medan pertempuran selepas calon yang disokong kumpulan pembaharuan, Hassan Rowhani diisytihar memenangi pilihan raya Presiden Iran yang diadakan Jumaat lalu.

Kemenangan itu sekali gus membuka lembaran baru sejarah politik Iran selepas kumpulan konservatif gagal bersatu dan meneruskan cengkaman kuasa mereka.


Hassan diisytihar sebagai pemenang mutlak selepas meraih 50.68 peratus undi.

Pencabar terdekatnya, Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf, hanya memperoleh 15.6 peratus undi. "Hidup Hassan," laung puluhan ribu penyokongnya ketika mereka berarak meraikan kemenangan bekas perunding nuklear negara itu tanpa sebarang usaha pihak keselamatan untuk mengawal mereka.


Dalam kenyataan pertamanya selepas keputusan kemenangannya diumumkan, Hassan berkata: "Satu peluang baru sudah diwujudkan bagi mereka yang menghormati demokrasi, interaksi dan dialog bebas." Berucap menerusi televisyen, Hassan, 64, satu-satunya calon berhaluan sederhana bertanding untuk menggantikan Mahmoud Ahmadinejad berkata: "Saya tidak pernah menyokong dasar ekstrim. Saya menyokong kesederhanaan.


"Syukur kepada Allah kerana sekali lagi kerasionalan dan kesederhanaan menyinari Iran. "Ini kemenangan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kemenangan komitmen ke atas dasar ekstrim." Bagi penyokongnya, mereka melihat keputusan pilihan raya itu sebagai penolakan terhadap dasar tidak tolak ansur yang menyebabkan negara itu tersisih dan tertekan akibat sekatan Barat.

Meskipun pernah memegang jawatan dalam kerajaan, khususnya sebagai perunding nuklear Iran, Hassan bersikap tegas dalam membantah dasar keras Presiden Mahmoud Ahmadinejad. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

Israel tetap mahu sekatan ke atas Teheran

Posted: 16 Jun 2013 08:37 AM PDT

Baitulmaqdis: Seorang pegawai kanan Israel berkata, sekatan antarabangsa masih diperlukan untuk menekan Iran berhubung program nuklearnya.

Menteri Hal Ehwal Perisikan dan Strategik, Yuval Steinitz berkata, langkah itu tetap diperlukan walaupun calon berhaluan sederhana, Hassan Rowhani terpilih menjadi presiden baru Iran.


Menurutnya, Iran tidak akan mengubah program nuklearnya memandangkan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei masih berkuasa dalam menentukan dasar negara itu.

Steinitz bertanggungjawab mengawasi program nuklear Republik Islam itu.


Meskipun Hassan akan menjadi presiden Iran selepas menang pilihan raya Jumaat lalu, semua keputusan penting, termasuk program nuklear, hal ehwal pertahanan dan luar masih ditangan kumpulan ulama yang dilindungi oleh pasukan bersenjata yang berpengaruh - Pengawal Revolusi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/16

No comments:

Post a Comment