Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pelajar ketagih ketum

Posted: 21 Jun 2013 02:55 PM PDT

Padang Rengas: Kepercayaan karut kononnya meminum air daun ketum boleh meningkatkan tumpuan belajar serta kecergasan ketika bersukan menyebabkan semakin ramai pelajar sekolah di daerah ini mengambil bahan terlarang itu hingga mengalami ketagihan.

Mereka dikatakan sanggup membazirkan RM4 sehari bagi membeli sebungkus air rebusan daun ketum dipercayai dicampur dengan ubat nyamuk ini yang dijual secara haram oleh beberapa penduduk kampung.


Ketagihan air daun ketum ini menyebabkan rata-rata pelajar ini hilang minat dan tumpuan pada pelajaran selain menyebabkan kesihatan mereka terjejas antaranya mengakibatkan mereka hilang berat badan, muka terbakar, anoreksia, sembelit dan sakit sendi.

Penularan gejala negatif itu didedahkan seorang penduduk kampung Sungai Ali, Ismail Harun, 47, selepas mendapati semakin ramai golongan pelajar sekolah menjadi penagih ketum.


Menurutnya, pelajar terbabit membeli air ketum daripada beberapa peniaga di daerah ini yang menjualnya secara sulit di rumah.


"Saya lihat ramai pelajar sekolah yang membeli air ketum. Penjual mengambil kesempatan meraih keuntungan lebih dengan hasil jualan air ketum kepada pelajar selain golongan dewasa dengan harga rendah.

Foto

AIR ketum yang dibungkus dan sedia untuk dijual.

"Pelajar yang gemar membeli berusia lingkungan 16 dan 17 tahun. Malah yang berumur bawah 15 tahun juga mula ketagih dengan air ketum," katanya Menurutnya, satu bungkus air ketum dijual dengan harga RM4 hingga RM10 untuk sebungkus. "Saya diberitahu ada di kalangan penjual air ketum terbabit boleh memperolehi pendapatan sehingga mencecah RM10,000 satu bulan.


"Saya amat berharap hukuman lebih berat dan serius dikenakan kepada penjual dan peminum air ketum kerana hukuman sekarang seolah-olah tidak berjaya menakutkan golongan penjual air ketum ini," katanya.

Menurutnya, kelakuan remaja yang menagih air ketum ini tidak ubah seperti penagih dadah apabila mereka tidak boleh tidur, mudah marah dan bergaduh selain tubuh mereka menjadi kurus kering.


"Ini mungkin berpunca dari bahan lain seperti ubat nyamuk yang dicampur di dalam rebusan daun ketum ini," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar Safuan Raba'ai menggesa pihak sekolah di daerah itu mengenal pasti pelajar yang terbabit dengan ketagihan air ketum dan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu.


"Kita tidak akan mengambil pendekatan menghukum pelajar berkenaan sebaliknya kita mungkin akan menjalankan beberapa aktiviti untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang bahayanya ketum," katanya.


Beliau juga berharap masyarakat turut memainkan peranan dalam membendung masalah ini dan bukan hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah.


Timbalan Ketua Polis Kuala Kangsar Deputi Superintendan Guan Beng Kang pula sentiasa mengambil tindakan bagi mengatasi isu penjualan air ketum di Padang Rengas.


Menurutnya, penjual air ketum didakwa mengikut Seksyen 30, Akta Racun dan boleh didenda sehingga RM3,000 jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Gembira hanya 2 jam

Posted: 21 Jun 2013 11:37 AM PDT

Ipoh: Kegembiraan dua penjenayah melarikan sebuah lori sejauh lebih 200 kilometer dari Gombak, Selangor ke bandar raya ini berakhir apabila mereka diberkas polis hanya kira-kira dua jam selepas melakukan jenayah itu.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi kelmarin, suspek yang memandu lori itu diberkas polis berhampiran susur keluar Tol Ipoh Selatan, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini.


Difahamkan, kenderaan berat itu dilaporkan hilang di Desa Amanpuri, Gombak, Selangor, kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin.

Kenderaan itu kemudian berjaya dikesan pasukan peronda polis dua jam kemudian sebaik melepasi susur keluar tol berkenaan.


Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, malah berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek ketika mereka menggunakan lebuh raya itu.


"Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri.

"Bagaimanapun, kecekapan empat anggota yang menaiki dua kereta peronda berjaya memaksa suspek memberhentikan kenderaan mereka.


"Dua suspek lelaki dengan seorang berusia 30 tahun berasal dari Bestari Jaya, Batang Berjuntai manakala rakannya yang berusia 34 dari Petaling Jaya.

"Suspek dipercayai cuba melarikan kenderaan berkenaan menerusi laluan lebuh raya itu. Suspek kemudian diserahkan kepada polis Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.


Sum berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tidak mengandungi sebarang muatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

MPS arah henti pembinaan projek kereta kabel

Posted: 21 Jun 2013 11:36 AM PDT

Selayang: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel di Batu Caves selepas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) negeri mengarahkan proses pemutihan ke atas semua bangunan yang berada di kawasan Tapak Warisan Kuil Sri Maha Mariamman.

Yang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain berkata tindakan tegas itu diambil selepas laporan Jawatankuasa Bebas Batu Caves mendapati 20 struktur termasuk bangunan dan kuil tidak mempunyai kelulusan kebenaran merancang.


"Daripada jumlah berkenaan pihak pengurusan hanya menghantar lima permohonan, tetapi tanpa dokumen lengkap menyebabkan MPS tidak mengeluarkan sebarang kelulusan.

"Ini termasuk bangunan hostel bersebelahan sekolah dan pintu masuk utama kuil, bangunan Kuil Perumal, bangunan pejabat tiga tingkat, tempat meletak kenderaan, bangunan gerai, struktur tangga serta Patung Dewa Murugan.


"MTES sudah mengarahkan pengurusan kuil Batu Caves mengemukakan pelan pembinaan 20 struktur bangunan berkenaan dalam tempoh enam bulan bagi membolehkan kerja pembinaan kereta kabel diteruskan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPS, di sini semalam.


Mohd Azizi juga meminta masyarakat India tidak salah faham dengan menganggap MPS cuba menyentuh sensitiviti masyarakat memandangkan tempat itu adalah kawasan ibadat.

"Dalam hal ini MPS lebih mengutamakan keselamatan awam memandangkan kawasan bawah Batu Caves tersebut juga agak lemah serta gua batu pula terdiri daripada batu kapur.


"Ini bermakna sekiranya terlalu banyak struktur dibina di atasnya tanpa mengambil kira kajian geologi dan pemetaan terperinci dilakukan, kami bimbang kawasan itu menjadi tidak stabil dan boleh runtuh terutama ketika musim perayaan," katanya.

Katanya lagi, pengurusan kuil tidak mempunyai pilihan selain menghantar pelan pembangunan yang lengkap sebagai syarat pembinaan kereta kabel diteruskan di situ.


"Kemudian kami akan melakukan siasatan terperinci termasuk kajian geologi dan jika terdapat struktur yang tidak stabil atau selamat, MPS terpaksa mengambil beberapa tindakan termasuk merobohkan struktur yang boleh mengancam keselamatan awam.


"Namun kerja meroboh itu bukanlah menjadi pilihan utama pihak kami kerana MPS sedar sensitiviti masyarakat dan berharap agar orang ramai memahami keselamatan awam lebih penting," katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis MPS G Gunaraj menyokong kenyataan Mohd Azizi dan berjanji akan bekerjasama untuk memberi penerangan lanjut kepada masyarakat India berhubung perkara ini.


"MPS sudah memberikan tempoh yang mencukupi kepada pengurusan kuil berkenaan untuk mengemukakan pelan bangunan di dalam kawasan tersebut, tetapi mereka gagal melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Ambil tindakan jika tak kosongkan tapak

Posted: 21 Jun 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan terhadap pengurusan Kuil Sri Muneswara Kaliyaman jika tidak mengosongkan tapak sebelum 26 Jun ini.

Ini kerana kuil yang terletak di Jalan P Ramlee itu dibina atas tanah kerajaan. Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Amin Nordin Abdul Aziz ketika dihubungi semalam berkata, pihak kuil akan diberi tempoh seminggu untuk mengosongkan tapak berkenaan. "Pengosongan tapak itu adalah untuk memberi laluan kepada pembangunan infrastruktur oleh pihak pemaju," katanya.


Mengulas lanjut, Amin Nordin berkata, jika pihak kuil masih lagi berdegil, operasi roboh terpaksa dijalankan oleh DBKL dan PTG. "Mahkamah sudah membuat keputusan akan mengambil tindakan ke atas pengurusan kuil jika mereka masih berdegil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

Berkesan seru jin berdamping

Posted: 21 Jun 2013 11:34 AM PDT

Alor Setar: Walaupun tidak melalui proses perguruan, sesuatu ayat atau mantera tetap akan berkesan asalkan ia mempunyai kandungan ke arah menyeru jin supaya berdamping, sekali gus menjadikan sesuatu ilmu itu mujarab.

Pengamal Perubatan Tradisional Islam Al-Banjary Nor Azman Md Derus Al-Banjary berkata, seseorang itu tidak boleh mengambil mantera atau ayat daripada Internet dan sumber lain kerana ia boleh memudaratkan pengamalnya.


Menurutnya, ayat atau mantera bersifat ilmu kebatinan ini mempunyai daya untuk menarik jin kerana dengan bantuan pihak ketiga yang membolehkan sesuatu ilmu itu berkesan.

"Apa yang dialami lelaki itu (Jefri) adalah kesan daripada gangguan jin. Kita lihat sekarang banyak ilmu sihir boleh dipelajari di Internet tanpa menuntut secara perguruan. "Boleh jadi ayat itu berkait ilmu kebatinan seperti yang dialami Jefri. Sebelum mengamalkan ayat tertentu, kita perlu tahu kegunaannya dan adakah ia bersifat mantera iaitu menyeru jin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Nor Azman menasihatkan Jefri atau sesiapa mengalami gangguan jin supaya kerap membaca surah al-Ikhlas, an-Nas dan al-Falaq sepanjang hari bagi mengusir jin yang berdamping dengannya sekali gus memulihkan keadaan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/22

No comments:

Post a Comment