Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BAM tak mahu tuding jari

Posted: 21 Jun 2013 09:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Kenny Goh mengaku beregu lelaki negara kini berada dalam situasi getir seperti dinyatakan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei namun tidak setuju meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pihak.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, Malaysia melahirkan ramai juara remaja dunia namun beliau tidak tahu di mana silapnya apabila juara remaja ini seperti tiada dalam skuad senior.


"Bagi saya, selain Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, kita masih ada ramai pemain dan kini Goh V Shem-Lim Khim Wah meningkat naik. Semua pemain kita berpotensi tapi saya tidak tahu mengapa pemain tidak mampu mencapai tahap yang kami harapkan," kata Kenny.

Laporan Arena Metro semalam mengetengahkan cadangan Chong Wei sebagai pemain paling senior skuad kebangsaan supaya ketua jurulatih beregu Tan Kim Her menggalas tanggungjawab dengan lebih baik dan seharusnya jurulatih itu menjaga Kien Keat selain melahirkan rasa bimbang dengan situasi negara kehilangan taring dalam beregu lelaki biarpun melahirkan ramai juara remaja dunia.


"Bagi saya, kami sebagai pentadbir persatuan bukan mahu mencari salah tapi mahu mengenal pasti masalah dan mengatasinya.


"Cuma kami tidak tahu masalah sebenarnya datang daripada jurulatih ataupun pemain. Jika masalah potensi pemain dan tidak cukup latihan, bagi saya senang untuk diatasi, namun saya bimbang ada masalah lain yang membelenggu kem negara." Beliau berkata, setiap masalah yang timbul akan diketengahkan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) namun dalam jawatankuasa itu, pemain tidak terbabit sebaliknya hanya wakil jurulatih dan pengurusan.

Foto

V SHEM-Khim Wah antara pemain beregu negara yang menyerlah.

"Dalam C&T, kami terima laporan daripada jurulatih, begitu juga cadangan, jurulatih yang mencadangkan program atau apa juga bentuk tindakan.


"Saya harap jurulatih memberitahu C&T perkara sebenar dan tidak menyembunyikan isu penting membabitkan pemain. Jika ada jurulatih menyembunyikan sesuatu hingga menyebabkan perkara tidak elok berlarutan, bagi saya itu tindakan bodoh kerana akhirnya, perkara yang disembunyikan pasti terdedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Pahang tagih atlet menyerlah

Posted: 21 Jun 2013 08:55 AM PDT

Kuantan: Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pungutan pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVI, atlet Pahang tetap ditagih melakar kejayaan demi maruah kontinjen.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata, atlet Tok Gajah perlu memiliki kesungguhan tinggi untuk mencatat kejayaan.


Menurutnya, latihan pusat selain beberapa kejohanan disertai sebelum ini diharap mampu menghasilkan keputusan terbaik.

"Walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran emas, saya yakin atlet Pahang akan menyerlah. Saya harap pencapaian satu emas pada SUKMA 2011 berubah kali ini bagi memastikan imej kita tidak terus tercalar memandangkan penambahan tiga acara baru iaitu woodball, muay thai dan bola sepak pantai," katanya selepas mengadakan pertemuan singkat dengan atlet Pahang yang menyertai kem motivasi di Pusat Konvensyen Bukit Cherengin (CHCC), Janda Baik, Bentong selama empat hari, bermula kelmarin.


Pertemuan di perkarangan kompleks Majlis Sukan Pahang (MSP) Indera Mahkota itu turut dihadiri Pengarah MSP Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi.


Pahang menghantar 264 atlet bersaing dalam 16 daripada 20 acara dipertandingkan.

Mohd Johari berkata, kem motivasi itu diharap dapat membentuk jati diri dan semangat juang tinggi bagi memburu pingat emas kerana SUKMA 2013 lebih kepada acara berpasukan yang memerlukan kerjasama mantap atlet.


Katanya, imbuhan lumayan untuk atlet diharap dapat meningkatkan lagi semangat untuk berusaha lebih gigih, Pada SUKMA XVI, Pahang mengumumkan insentif RM3,000 dan RM1,000 untuk atlet yang membawa pulang emas individu dan berpasukan.

Selain itu, Kerajaan Pahang turut menyediakan insentif RM2,000 kepada atlet individu yang memenangi perak dan RM1,000 gangsa manakala atlet berpasukan yang memenangi perak dan gangsa akan menerima RM600 dan RM400.


SUKMA Kuala Lumpur berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

MBSA bapa angkat empat sukan SUKMA

Posted: 21 Jun 2013 08:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Dalam usaha memastikan Selangor menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2013, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipilih menjadi bapa angkat kepada pasukan polo air, bola tampar, bola tampar pantai dan renang berirama Selangor.

Pemilihan ini dianggap satu penghormatan kepada MBSA dalam usaha mendorong semangat atlet yang mewakili Selangor ke SUKMA pada akhir Jun hingga awal Julai ini.


MBSA selaku bapa angkat keempat-empat sukan itu meraikan atlet sukan berkenaan dalam majlis minum petang di Dewan Bankuet MBSA, baru-baru ini.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menyeru atlet berjuang bersungguh-sungguh dan tidak mudah menyerah kalah demi mencapai kemenangan.


Pada majlis ini juga, Mohd Jaafar menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit dan peralatan sukan kepada pasukan anak angkat MBSA yang diharap menyuntik semangat mereka untuk beraksi cemerlang di SUKMA.


Beliau juga menyerahkan bendera kepada kontinjen MBSA yang menyertai Kejohanan Sukan Persatuan Badan-Badan Berkanun (SUKANUN) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mulai 24 Jun hingga 2 Julai. MBSA menyertai kejohanan itu buat kali pertama sejak SUKANUN dipertandingkan lapan edisi lalu.

Dalam kejohanan ini MBSA akan menyertai 14 daripada 24 acara sukan dipertandingkan, antaranya sukan bola sepak, futsal, tenpin boling, dart, bola tampar, bola jaring dan golf. Kontinjen MBSA ke SUKANUN akan diketuai Timbalan Setiausaha MBSA Roslan Darus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Hadiah lumayan nanti peserta Langkawi 24 Hours

Posted: 21 Jun 2013 08:54 AM PDT

Langkawi: Lebih 200 atlet dari dalam dan luar negara memulakan cabaran sukan lasak 'Langkawi 24 Hours Iron Bound Challenge 2013' bagi merebut hadiah lebih RM60,000 petang semalam.

Pengarah Acara, Shamsuri Abd Latif, berkata daripada jumlah itu seramai 80 atlet menggalas cabaran untuk merebut juara kategori campuran, manakala bakinya peserta kategori lelaki.


Katanya, kedua-dua kategori menawarkan hadiah RM9,000 untuk juara, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,500 dan RM3,000.

"Dalam tempoh 24 jam, peserta perlu berlari, berkayak, menunggang basikal, skating bertali, mendaki bukit, meneroka gua, penyelesaian masalah dan meredah hutan. Cabaran merangkumi saingan di darat, laut dan kawasan berbukit yang pasti memerah kudrat sebelum peserta dinobatkan juara edisi kali ini," katanya pada sidang media di Langkawi, semalam.


Kejohanan yang memasuki edisi kelapan itu dianjurkan SNR Adventure Consultant dan disokong Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Kerajaan Negeri Kedah. Sebelum ini kejohanan sama diadakan di Pulau Pangkor, Perak.


Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Mohd Fadzli Ismayatim, berkata setiap pasukan yang diwakili empat peserta bukan saja perlu melepasi setiap halangan menerusi kekuatan fizikal, tapi mereka juga bakal berhadapan ujian getir yang memaksa bertindak bijak menggunakan pengalaman, pengetahuan dan cita rasa.

"Kita sengaja buat begitu kerana kejohanan ini semakin dikenali ramai sebagai acara sukan yang menampilkan cabaran paling lasak, selaras dengan keadaan persekitaran di Langkawi yang memiliki aset laut, pulau dan bukit," katanya.


Menurutnya, antara kawasan perlu dilalui peserta termasuk Pantai Tengah, Pulau Singa Besar, Tuba dan Dayang Bunting, Dataran Lang, Gunung Raya, Lubuk Semilang, Makam Mahsuri sebelum menamatkan cabaran di Cenang Mall, Pantai Cenang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

WUG medan uji atlet negara

Posted: 21 Jun 2013 08:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejohanan Sukan Universiti Dunia 2013 (WUG) atau Summer Universiade menjadi medan terbaik buat kontinjen atlet Malaysia menimba pengalaman berkualiti tinggi.

Pegawai Perhubungan Kontinjen Malaysia ke Sukan Universiti Dunia Nur Ekmal Buhary berkata, kejohanan berlangsung 6 hingga 17 Julai di Kazan, Russia memberikan pendedahan terbaik setanding Sukan Olimpik.


"Sebanyak 122 atlet menyertai 14 acara seperti bola sepak, hoki, ragbi 7 sebelah, lawan pedang, judo, catur, angkat berat, olahraga yang turut dipertandingkan di Sukan Olimpik.

"Bola sepak menampilkan skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee (gambar) yang bersaing dengan pasukan handalan antarabangsa. Mereka diletakkan dalam satu kumpulan bersama Itali, England serta Algeria dan menjadi wakil tunggal rantau Asia Tenggara. "Saya harap skuad bola sepak mampu menyerlah untuk terus mengekalkan kedudukan ranking 12 pasukan terbaik universiti dunia. Kedudukan 13 hingga 16 akan membabitkan perlawanan playoff sedangkan kedudukan 12 terbaik automatik bersaing dalam kejohanan itu," katanya.


Beliau turut positif dengan skuad hoki bimbingan Nor Azlan Bakar kerana turut mendapat suntikan semangat apabila tiga pemain skuad kebangsaan yang dilatih Paul Revington akan menyertai pasukan itu pada perlawanan kedua.


"Kehadiran tiga pemain itu membolehkan skuad hoki berada pada landasan terbaik meraih pingat. Paul tidak keberatan melepaskan pemain tapi buat masa ini, hanya tiga yang akan menyertai pasukan hoki di Kazan selepas saingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru berakhir pada 7 Julai." Tiga pemain akan menyertai perlawanan kedua menentang Russia itu membabitkan Muhamad Razi Rahim, Tengku Ahmad Tajudin dan Muhd Syukri Abd Mutalib yang bakal beraksi bertemu Itali dan Afrika Selatan.

Reputasi Sukan Universiti Dunia kini semakin mendapat perhatian dunia apabila banyak negara menjadikannya sebagai medan buat pelapis dan elit bersaing.


Dengan seramai 15,000 atlet daripada lebih 150 negara dan pertandingan acara Sukan Olimpik, ia juga membuka ruang buat atlet Malaysia yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyertainya lebih kerap.

"Jika Sukan Olimpik diadakan empat tahun sekali, Sukan Uni versiti Dunia dianjur dua tahun sekali. Ini bagus buat pembangunan atlet kita berusia 18 hingga 28 tahun kerana mereka boleh menyertainya lebih kerap dan mendapat pendedahan bersaing dengan gergasi sukan seperti China, Amerika Syarikat, Australia dan Russia yang menampilkan sekurang-kurangnya 40 peratus atlet elit mereka."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Rekod sembilan tahun lebur

Posted: 21 Jun 2013 08:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Hari pertama Kejohanan Olahraga Tertutup Junior dan Senior Kebangsaan menyaksikan rekod sembilan tahun acara lempar cakera lelaki lebur di tangan atlet Negeri Sembilan berusia 18 tahun, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Irfan melakar lemparan 49.81m, memadam rekod Ngu Kit Ming dari Sarawak, 49.33m untuk meraih pingat emas manakala perak dan gangsa milik atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Hafis Hashim (40.67m) dan Sharil Firdaus Basri (38.85m).


Biarpun berjaya mencatat rekod baru, Irfan masih belum melepasi had kelayakan ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini kerana tidak dapat mengawal rasa gementar semasa melempar sekali gus mengganggu tumpuannya hingga menyebabkan dia gagal melepasi jarak kelayakan 50.56m.

"Saya gembira namun sedikit tidak puas hati kerana mampu melakukan lebih baik sebab semasa balingan percubaan saya melakukan 50 ke 52 meter. "Rasa gementar ketika membuat balingan mengganggu saya. Apapun saya dapat pelajari sesuatu hari ini dan perkara itu akan saya perbaiki di kejohanan seterusnya," katanya. Mula terbabit dalam sukan ragbi sebelum beralih ke arena olahraga, Irfan yang dilatih Fero Petrovic dari Slovakia akan mencuba sekali lagi melayakkan diri ke Sukan SEA di Kejohanan Terbuka Hong Kong pada 29 Jun ini.


Sementara itu dalam acara 100m, dua nama baru mewarnai hari pertama kejohanan apabila dinobat raja dan ratu pecut. Sebastian Lee menghadiahkan Terengganu emas dengan catatan 10.67s, menewaskan pemenang Sukan SEA Korat 2007 acara 110m lari berpagar, Rayzhamsyah Wan Sofian (10.68m) di tempat kedua manakala gangsa milik Mohd Shahmini Azmi (10.74m).


"Ini bukan acara saya. Saya menyertai acara ini hanya sebagai latihan untuk mendapatkan kelajuan dan tenaga, tambahan pula saya baru tiba dari Jerman, Rabu lalu dan kini masih keletihan akibat penerbangan jauh," katanya.

Bagaimanapun saingan bagi gelaran ratu pecut agak sengit hingga terpaksa ditentukan menerusi foto finish dan emas akhirnya milik Zaidatul Husnia Zulkifli dari Pulau Pinang yang merekodkan 12.03s, menewaskan juara bertahan, R Komalan Shally, kedua (12.03s) dan Zaidatul Husna Zulkifli ketiga (12.08s).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Amira masih tak puas hati

Posted: 21 Jun 2013 08:51 AM PDT

Kuala Lumpur: Perasaan kecewa mengiringi kejayaan atlet lompat kijang wanita negara, Noor Amira Mohd Nafiah (gambar) biarpun berjaya mempertahan pingat emas dimenanginya di Kejohanan Olahraga Tertutup Junior dan Senior Kebangsaan 2013, semalam.

Tidak puas hati dengan catatan 13.11m yang memberikannya emas, Amira berkata, kecederaan tumit terus membelenggunya hingga menyebabkan dia gagal melakukan lompatan terbaik.


Mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amira bagaimanapun jauh meninggalkan pemenang perak, Nooraqilla Nasimin dari Sabah yang hanya mampu melakukan 10.85m manakala Norina Damnoen juga dari ATM, gangsa dengan 10.51m.

"Kecederaan saya ini memang masih sakit dan belum pulih sepenuhnya biarpun sudah enam bulan. Saya kecewa dengan jarak lompatan dan seperti mahu menangis.


"Namun saya tiada masa, saya tidak boleh berehat kerana mahu layak ke Sukan SEA. Jika menyertai pertandingan, kesakitan ini dapat saya kawal tapi ia amat mengganggu latihan dan itu yang menyebabkan saya gagal berlatih dengan sempurna," katanya.


Tahun lalu, Kejohanan Trek dan Padang Majlis Sukan Negara (MSN) menyaksikan kebangkitannya apabila memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 13.90m. Bagaimanapun Amira masih positif melayakkan diri ke Sukan SEA dan sekali lagi akan mencuba di Kejohanan Universiti Dunia di Russia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

200 pelumba sah beraksi

Posted: 21 Jun 2013 08:50 AM PDT

Kangar: Kira-kira 200 pelumba seluruh negara termasuk beberapa pasukan bertaraf profesional, TSG dari Terengganu mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan, hari ini.

Kejohanan itu anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Perlis (PBNPs), Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerajaan negeri Perlis.


Setiausaha PBNPs Maniam Manikkam berkata, kejohanan yang turut mengutip mata bagi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selama dua hari itu hanya mempertandingkan tujuh kategori iaitu empat di hari pertama hari ini dan tiga, esok.

Empat kategori hari ini membabitkan pelepasan beramai-ramai lelaki Bawah 17 Tahun, lelaki Bawah 18 Tahun dan wanita Terbuka manakala esok, ujian masa lelaki elit, lelaki remaja dan wanita terbuka.


"Yang menarik kejohanan kali ini ialah pemenang setiap kategori dipertandingkan bakal terpilih secara automatik disenaraikan mewakili skuad kebangsaan," katanya.


Maniam berkata, kejohanan kali ini turut menampilkan ramai pelumba hebat bagi kategori lelaki dan wanita.

Mohd Hariff Saleh (gambar), Mohd Zamri Saleh, Muhamad Saufi Mat Senan, Mohd Nur Umardi Rosdi dan Mohd Shahrul Mat Amin yang menggalas cabaran TSG Terengganu.


Turut beraksi, pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Fauzan Ahmad Lutfi, Mohd Salehuddin Mat Seman dan Nik Mohd Azuan Zulkifli, Mohd Zamri Saleh dan Mohd Adiq Husaini Othman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta Mohd Rauf Nur Misbah dan Mohd Elmi Juman (Selangor).

Pelumba wanita pula menyaksikan kelibat pelumba Perlis, Ju Pha Somnet dan Laureta Eva, Masziyaton Mohd Radzi dan Mardiana Mohd Radzi (Kedah), Jacklyn Diana Andrew dan Muslihah Salim (ATM) dan Grace Phang Cing Zhen dan Nurkhairunnisatul Aini Mohd Fadzil (Selangor).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Gurusamy pemusnah!

Posted: 21 Jun 2013 08:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaringan masa kecederaan separuh masa kedua K Gurusamy memastikan Selangor tidak berterusan mencatatkan keputusan seri apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hanya beraksi 10 pemain, 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak didik Irfan Bakti Abu Salim itu meraih tiga mata penuh namun kekal di kedudukan keempat liga dengan 33 mata berikutan ATM yang berada di kedudukan ketiga mempunyai kelebihan jaringan. Pelawat yang tampil dengan semangat memburu tiga mata bagi merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas, LionsXII dan Johor Darul Takzim tersentak pada minit ke-34 apabila penyerang berbisa, Marlon Alex James dilayang kad kuning kedua selepas menahan bola tinggi menggunakan tangan sekali gus memaksa pengadil perlawanan, Shamsuddin Ibrahim bertindak memerintahkannya keluar padang selepas pemain berkenaan dilayang kad kuning pertama pada minit ke-22.


Secara tidak langsung ia mengubah corak permainan pelawat, dilihat terpaksa lebih banyak bertahan hingga membolehkan skuad Merah Kuning menggunakan kesempatan itu untuk mendahului menerusi penyerang veteran, Mohd Amri Yahyah yang merembat kencang pada minit ke-40 untuk menggegar gawang Mohd Farizal Harun sekali gus menebus kehampaan selepas golnya pada minit keenam dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun terjahan keras pertahanan import Selangor dari Australia, Adam Griffiths ke atas Christie Jayaseelan dalam kotak penalti ketika perlawanan babak pertama hampir tamat menyebabkan ATM dihadiahkan sepakan penalti dan Bruno Martelotto tenang menyempurnakannya untuk menewaskan Norazlan Razali yang mengawal gawang tuan rumah.


Saingan babak kedua bersambung menyaksikan Selangor cuba mencari gol kemenangan dengan menggunakan kelebihan seorang pemain yang dimiliki namun buntu untuk memecahkan pertahanan ATM yang dikemudi pemain berpengalaman, Mohd Shukor Adan.


Ketika di ambang keputusan seri untuk kali ke-10, Gurusamy akhirnya muncul wira Selangor apabila sepakan percuma kencangnya memastikan tiga mata penuh berjaya diraih untuk menewaskan Farizal buat kali kedua.

Keputusan ini membuka peluang buat kedua-dua pasukan terus bersaing mencapai misi merebut sekurang-kurangnya kedudukan tiga teratas ketika saingan kini berbaki tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Thaore wira Sabah

Posted: 21 Jun 2013 08:48 AM PDT

Kota Kinabalu: Pemain import Sabah, Koh Thaore dijulang sebagai wira apabila menjaringkan lima gol untuk membantu tuan rumah menewaskan PDRM, 5-3 pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, petang semalam.

Thaore memulakan aksi dengan gol pertama pada minit ke-10 sebaik menerima lorongan Zainizam Marjam dan terus merembat menerjah gawang pasukan pelawat.


Kelekaan pertahanan tuan rumah membuka peluang buat Kaye Edrisar menyamakan kedudukan apabila berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Shahril Sa'ari pada minit ke-21.

Traore mengambil peluang menambah jaringan pada minit ke-32 hasil hantaran Alto Linus di dalam kotak penalti.


Empat minit selepas itu, Traore mencipta hatrik apabila merembat kencang bola ke gawang lawan pada minit ke-36 bagi membolehkan Sabah mendahului 3-1.


Kegagalan penjaga gol tuan rumah, Shahril Sa'ari menampan bola memberi peluang buat Khairul Izuan Abdullah menjaringkan gol kedua PDRM pada minit ke-41.

Pada babak kedua, Sabahawks menambah jaringan keempat hasil percubaan Thaore pada minit ke-57 yang menerima hantaran lintang Alto Linus dalam kotak penalti pelawat.


Tiga minit kemudian, kealpaan pertahanan Sabah memberi peluang buat PDRM menambah gol ketiga hasil percubaan Khairul Amar Kasim dari dalam kotak penalti.

Kesilapan penjaga gol lawan yang terlepas bola percubaan Alto Linus membuka peluang buat Traore menambah gol kelima pada minit ke-80.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

No comments:

Post a Comment