Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Satu sahaja sudah cukup...'

Posted: 18 Jun 2013 08:39 AM PDT

"Ramai pembaca mungkin agak keliru dan salah faham mengenai pembinaan Velodorom Nasional yang berbangkit di media cetak dan elektronik baru-baru ini. Ingin saya jelaskan kedudukan saya yang sebenar.

Penggiat, pegawai dan pelumba basikal trek Malaysia sudah lama menyarankan supaya satu velodrom tertutup dibina di Malaysia. Perjuangan ini disambut pihak media selepas kejohanan di velodrom sering terpaksa ditangguh atau dibatalkan akibat cuaca.


Kami berterima kasih kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan begitu prihatin dengan masalah ini dan memperuntukkan sejumlah wang dalam bajet 2013 bagi pembinaan velodrom kategori satu yang boleh menjadi hos kepada siri Piala Dunia Klasik, Kejohanan Trek Dunia dan Olimpik selain pertandingan di peringkat serantau dan benua.

Walaupun sebelum itu, ada saya cadangkan supaya tanah velodrom yang sedia ada di Cheras diswastakan dan pemaju membina velodrom baru kategori satu, kita tidak dimaklumkan DBKL sudah menjual tanah velodrom itu dan akan menggantikannya dengan membina velodrom tertutup kategori satu yang baru.


Apabila maklumat ini kami terima, saya mencadangkan KBS mengaturkan perjumpaan segera dengan DBKL untuk mengetahui status sebenar pembinaan velodrom Kuala Lumpur oleh DBKL.


Pandangan dan cadangan saya adalah andai DBKL hendak membina velodrom dan peruntukkan sudah ada maka kita boleh fikir semula sama ada hendak teruskan cadangan pembinaan velodrom di Nilai. Peruntukan untuk Nilai boleh digunakan untuk membina velodrom terbuka konkrit untuk latihan dan pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan di Wilayah Utara, Timur dan Selatan dan juga di Sarawak dan Sabah.

Foto

VELODROM Cheras bakal berubah wajah.

Walau apa sekalipun, keputusan perlu dibuat pihak berwajib iaitu KBS dan juga DBKL. Saya hanya memberikan pandangan peribadi saya, Malaysia hanya perlu satu sahaja velodrom kategori satu buat masa ini dan kita perlu ada velodrom lain untuk latihan di negeri bagi pembangunan sukan berbasikal trek peringkat akar umbi.


Perlu dijelaskan, saya tidak berniat membuat keputusan bagi mana-mana pihak dan juga pandangan saya adalah wajar dan saya tahu apa yang saya katakan. (My view is not out of place and I don't jump the gun).

Saya terbabit secara langsung dalam Jawatankuasa Penyelarasan Pembinaan Velodrom Nasional dikelolakan KBS dan Jawatankuasa Teknikal Pembinaan Velodrom Nasional dikelolakan JKR.


Saya juga menyambut baik keputusan DBKL membina velodrom tertutup di Kuala Lumpur dan apa juga keputusan dicapai KBS mengenai peruntukan yang sudah diluluskan bagi pembinaan velodrom dicadangkan di Nilai.


Jika niat dan hasrat saya disalah fahamkan dan tersilap, saya mohon maaf. Saya sudah menghubungi Khairy Jamaluddin menjelaskan kedudukan saya dan beliau sudah jelas mengenai perkara itu.


Semoga penjelasan dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

'Saya kembali latih pemain'

Posted: 18 Jun 2013 08:31 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya akan kembali melatih pasukan negara esok (hari ini)." Demikian baris ayat pertama yang keluar sendiri daripada mulut pengendali skuad hoki negara Paul Revington selepas membisu sejak timbulnya isu beliau mahu meletak jawatan baru-baru ini.

Kenyataan itu juga mengesahkan bahawa beliau akan kembali membimbing skuad negara untuk menghadapi saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini dalam memburu tiket untuk ke Piala Dunia 2014.


Revington ditemui selepas mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bersama Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong di pejabatnya semalam.

Turut hadir ketua jurulatih skuad remaja negara Muhammad Dharma Raj Abdullah; Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan; pengurus skuad senior, George Koshy; pengurus skuad remaja Mirnawan Nawawi serta Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad.


Ditanya adakah beliau akan terus membimbing skuad negara selepas berakhir Liga Hoki Dunia, Revington sekadar berkata: "Kami akan membincangkannya selepas itu. Sekarang kita perlu fokus untuk Liga Hoki Dunia." Pengendali dari Afrika Selatan berusia 39 tahun itu turut mengesahkan hubungannya dengan Muhammad Dharma serta Chiow Chuan yang dikaitkan menjadi punca kepada keputusannya untuk meletak jawatan, sudah kembali pulih.


"Kami ada mengadakan perbincangan sebelum mesyuarat petang ini (semalam) dengan baik. Kami akan mengadakan beberapa lagi perbincangan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Lupakan sengketa: Zolkples

Posted: 18 Jun 2013 08:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Segera lupakan segala-galanya dan kembali beri tumpuan kepada tugas masing-masing.

Demikian nasihat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong kepada semua pihak yang terbabit dengan isu peletakan jawatan ketua jurulatih negara Paul Revington.


"Dalam perjumpaan tadi saya minta semua pihak lupakan apa yang berlaku dan tumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan pasukan masing-masing terutama pasukan kebangsaan untuk saingan Liga Hoki Dunia sementara (Muhammad) Dharma Raj yang bakal berdepan Piala Dunia Remaja, Disember ini.

"Saya tidak mahu mereka memikirkan perkara lain di luar daripada program termasuklah Lim Chiow Chuan (Pengarah Program Pembangunan 1MAS).


"Seperti semua sedia maklum, Revington setuju untuk terus membimbing skuad negara dan saya percaya lepas perjumpaan hari ini (semalam) beliau lebih jelas," katanya.


Zolkples berkata, beliau tidak mahu perkara sama berulang lagi sambil memberi nasihat kepada mana-mana pihak supaya tidak menyelesaikan masalah mereka secara bersendirian.

"Andai ada masalah jangan cuba selesaikan sendiri, saya sedia membantu mereka yang terbabit," katanya.


Beliau turut mengesahkan hubungan antara Revington, Dharma Raj serta Chiow Chuan yang sebelum ini dikatakan tegang kembali pulih selepas mereka bersemuka pada perjumpaan semalam.

"Saya harap mereka jujur. Saya menghargai sumbangan Dharma Raj yang sudah pun membantu skuad negara meraih banyak kejayaan, begitu juga Revington.


"Saya sendiri beritahu Revington tiada orang yang kata dia tidak bagus. Secara jujur saya fikir lebih mudah untuk mendapatkan jurulatih bola sepak berbanding hoki seperti Revington," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Manjit salah guna terminologi

Posted: 18 Jun 2013 08:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC Manjit Majid Abdullah memberi alasan pihaknya mungkin tersalah menggunakan terminologi ketika membuat kenyataan mencadangkan pemecatan Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Lim Chiow Chuan pada sidang media Sabtu lalu dalam usaha memujuk ketua jurulatih Paul Revington menarik semula keputusan meletak jawatan.

Sebaliknya Manjit berkata, pihaknya sepatutnya menggunakan ayat 'cadangan untuk mengambil tindakan' ke atas kedua-dua jurulatih itu.


"Kami akan menyerahkan keputusan selanjutnya kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah," jelas Manjit menerusi satu kenyataan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Gunners pikat Higuain

Posted: 18 Jun 2013 08:12 AM PDT

London: Arsenal di kedudukan terbaik untuk mengikat Gonzalo Higuain dari Real Madrid selepas Juventus mengalih tumpuan mendapatkan penyerang Manchester City, Carlos Tevez.

Kelab juara Itali itu sudah berunding dengan Real mengenai usaha membeli Higuain namun enggan meningkatkan bidaan £18.7 juta (RM92 juta) terhadap pemain berusia 25 tahun itu.


Real difahamkan meminta sekurang-kurangnya £25.5 juta (RM125.6 juta) dan sekalipun presiden Florentino Perez dipetik minggu lalu mendakwa tawaran Juve itu tidak mencukupi, sumber rapat menyatakan perjanjian boleh dimeterai di sekitar harga itu.

Gunners mempunyai peruntukan £70 juta (RM345 juta) untuk dibelanjakan membeli pemain dan boleh mengatasi Juve, yang kini tetap berminat mengambil penyerang Fiorentina, Stevan Jovetic selain mencari pemain lebih murah termasuk Tevez.


Pemain berusia 29 tahun itu berada di tahun terakhir kontrak di Stadium Etihad dan mungkin boleh dibeli dengan harga tidak lebih £10 juta (RM49 juta) sekiranya perbincangan dengan bos baru Manuel Pellegrini berakhir dengan penghijrahannya.


Ia menyebabkan Arsenal muncul pasukan tunggal yang serius membida untuk mendapatkan Higuain.

Arsene Wenger sudah membentangkan bidaan yang juga rekod kelab £20 juta (RM98 juta) dalam usaha menjadikan penyerang itu pembelian utama pertama Arsenal musim panas ini.


Jumlah itu mengatasi bayaran perpindahan termahal Arsenal sebelum ini, £15 juta (RM74 juta) dibayar kepada Zenit St Petersburg untuk membeli Andrey Arshavin pada Januari 2009 sekali gus menggambarkan keazaman kuat kelab itu.

Namun, situasi Higuain dirumitkan dengan ketidaktentuan mengenai kedudukan pengurus di Bernabeu.


Real masih belum mengesahkan pengganti Jose Mourinho dengan Paris St-Germain enggan membenarkan Carlo Ancelotti meninggalkan mereka hingga mendapat pengganti.


Ancelotti dijangka mengambil alih namun bekas pengurus Chelsea itu mahu menilai skuad barunya sebelum beliau membenarkan Higuain meninggalkan kelab. Arsenal berhasrat melengkapkan perjanjian sebelum pemain kembali bagi latihan pramusim pada 4 Julai ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Masa depan Tevez masih samar

Posted: 18 Jun 2013 08:12 AM PDT

Manchester: Penyerang Manchester City, Carlos Tevez mengaku tidak pasti mengenai masa depannya namun menyedari hakikat tidak akan beraksi bersama Boca Juniors musim depan.

Penyerang itu mempunyai baki setahun kontrak semasanya dan pengurus baru City Manuel Pellegrini dijangka memutuskan pemain mana yang kekal atau sebaliknya beberapa minggu lagi.


Spekulasi mengaitkan bintang Argentina itu dengan perpindahan ke kelab gergasi Itali, Juventus dan kelab mewah Ligue 1, Paris St Germain dan Monaco pada musim panas ini dan Tevez mengaku tidak pasti ke mana arah tujuannya.

"Saya tidak tahu mengenai masa depan saya dan perlu menunggu berita. Saya kini bercuti dan tiada sebarang maklumat yang saya dapat," katanya.


Tevez hadir di stadium Boca menyaksikan perlawanan menentang Arsenal de Sarandi dan meskipun kerap menyuarakan hasrat ingin kembali ke kelab pertamanya, dia sedar musim depan bukan masa sesuai.


"Penyokong Boca sedar saya mahu kembali, namun tahun ini bukanlah masanya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Hoki remaja tarik minat

Posted: 18 Jun 2013 08:11 AM PDT

Ipoh: Pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Sabah (SSB) antara pasukan terawal mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Hoki Remaja Perak Milo-MBI-MSN 2013 Sabtu dan Ahad ini di Padang Ipoh dan Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Setiausaha pengelola Jaswant Singh berkata, Kelab Hoki FTO dari Singapura turut menghantar pasukan untuk kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun pada kejohanan tahunan anjuran Persatuan Hoki Bandaraya Ipoh (PHBI) itu.
Sebanyak 150 pasukan diramal menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM8,450 itu.

Enam acara akan dipertandingkan meliputi tiga kategori peringkat umur iaitu B-12, 15 dan 18 lelaki dan perempuan.
Juara kategori lelaki B-18 akan menerima RM900, naib juara (RM650) dan ketiga (RM350). Manakala juara kategori B-15 RM700, naib juara RM550 dan ketiga RM350.
Juara kategori B-12 RM500, naib juara RM300 dan ketiga RM200. Juara B-18 perempuan RM800, naib juara RM550 dan ketiga RM300. Juara B-15 menerima RM650, naib juara RM450 dan ketiga RM250 manakala juara B-12 RM450, naib juara RM300 dan ketiga RM200.

Anugerah Milo juga diberikan kepada Pemain Harapan, Pemain Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik setiap kategori.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Karnival sukan Taman Bukit Kaya meriah

Posted: 18 Jun 2013 08:10 AM PDT

Seremban: Seramai kira-kira 350 peserta bawah 12 tahun pelbagai kaum menyertai Karnival Sukan Milo membabitkan pertandingan bola sepak, bola jaring dan bola keranjang Padang Sekolah Kebangsaan St Paul, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kaya itu menyaksikan bakat dan kemahiran tinggi kanak-kanak dalam ketiga-tiga bidang sukan itu.


Pengerusi KRT Bukit Kaya Looi Chan Mun diberi mandat pihak pengurusan Nestle Product Sdn Bhd untuk mengendalikan program itu.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong turun padang menyaksikan kemeriahan dan merasmikan program terbabit yang berjaya mencapai matlamatnya dalam usaha menggalakkan kanak-kanak menyertai aktiviti kecergasan.


Peserta diberikan kemeja-T Milo dan sijil penyertaan manakala empat pasukan terbaik dalam acara masing-masing menerima pingat dan produk Milo.


"Kami bangga dapat bekerjasama dengan KRT Taman Bukit Raya untuk menjayakan program ini dan amat puas hati kerana sambutan baik daripada peserta yang bukan saja datang dari kawasan berhampiran sekolah malah termasuk dari Sikamat dan Senawang.

"Lebih penting, kanak-kanak ini menunjukkan bakat serta semangat tinggi dalam sukan disertai," katanya. Turut hadir Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal.


Sementara itu, Chan Mun gembira diberi peluang oleh Milo untuk bersama menjayakan program itu.

"Saya yakin program ini bukan saja dapat mencungkil bakat baru sukan malah mampu membina keyakinan diri tinggi serta memupuk perpaduan di kalangan peserta berbilang kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Aksi bekas pemain negara jadi tarikan

Posted: 18 Jun 2013 08:10 AM PDT

Melaka: Dua gol bekas penyerang kebangsaan, Sapian Wahid membantu Kelab Bolasepak Bekas Pemain Negeri Melaka (KBPM) menewaskan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, 6-2 pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah baru-baru ini.

Perlawanan yang turut disertai bekas pemain Olimpik 1972 dan 1980, Datuk Soh Chin Aun itu membuktikan usia bukan halangan untuk legenda negara mempamerkan belang.


Malah bekas penyerang Sarawak, Samsurin Abd Rahman dan Mohd Noor Derus turut meledak satu gol manakala Musafar Shah Dawood Shah juga dua gol.

Turut beraksi Penolong Pengarah JBS Zailaini Siran selain bekas pemain Negeri Sembilan Ching Hong Aik, Sazali Wahid, S Sugumaran dan Ng Joon Tai.


Zailani berkata, perlawanan bertujuan mengeratkan hubungan kakitangan JBS dan bekas pemain negeri serta kebangsaan.


"Pengalaman dan kemahiran tinggi bekas pemain nyata memberi kelebihan kepada KBPM.

"Sokongan bekas pemain negara kepada pembangunan bola sepak negeri amat diperlukan bagi melonjak kembali prestasi pasukan negeri dan negara di persada antarabangsa," katanya.


"Lebih banyak perlawanan persahabatan dirancang JBS dalam memastikan gaya hidup sihat menjadi amalan kakitangannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

Danial inspirasi Kartallar SC 'C'

Posted: 18 Jun 2013 08:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Kartallar SC C dari Sepang membuktikan mereka layak bergelar juara Bawah 16 Tahun apabila mempamerkan aksi konsisten sepanjang Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 siri ke-13 berlangsung di Ampang Sports Planet.

Mereka tidak menghadapi masalah membenam cabaran Khaizar Sports FC dari Johor Bahru, 4-0 di final.


Dua gol Muhammad Danial Amier Norhisham pada babak pertama menjadi inspirasi Kartallar SC C diikuti jaringan Raja Muhamad Fazikrilhakim Raja Adam dan Farid Ashraf Kamarozaman pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan.

Tempat ketiga bersama dimiliki skuad Court Soccer FC dari Kuala Lumpur dan Anak Kalumpang dari Selangor.


Kategori Bawah 12 Tahun juara milik Suara Muda A dari Kelantan selepas menang tipis 1-0 ke atas Pangsapuri Segar Ria (PPSR) dari Kuala Lumpur. Suara Muda B dan Absolute Mutiara Selatan dari Johor menduduki tempat ketiga bersama.


Kartallar SC C, Khaizar Sports FC, Court Soccer, Anak Kalumpang, Suara Muda A, Suara Muda B dan PPSR mewakili Kuala Lumpur bersaing ke peringkat grand final pada 7 Julai ini.

Siri ke-13 berjaya menggamit penyertaan 140 pasukan dan ia peningkatan membanggakan berbanding saingan tahun lalu, 120 pasukan.


Hadiah pemenang disampaikan Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd Ng Ping Loong.

Bagi mengetahui kedudukan kumpulan yang layak ke grand final, boleh layari laman web www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/18

No comments:

Post a Comment