Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Satu das lawan cakap

Posted: 14 Jun 2013 01:17 PM PDT

Petaling Jaya: Akibat enggan bekerjasama dengan seorang penyamun, seorang pemilik kedai tayar yang sedang melepak di premis jirannya ditembak di paha kiri dalam kejadian di Jalan 8/3b , Bandar Damansara Perdana, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 28 tahun itu sedang melepak di premis jirannya bersama seorang pekerja dan pelanggan.


Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika sedang melepak tiba-tiba datang seorang lelaki berpakaian gelap dan bertopi keledar berpenutup penuh memasuki premis.

"Pada mulanya kami menyangka lelaki itu adalah pelanggan manakala rakannya pula sedang menunggu di motosikal.


"Selepas mendekati kami, lelaki itu terus meminta kami menyerahkan barang berharga dengan mengacu sepucuk pistol," katanya yang masih trauma akibat kejadian itu.


Menurutnya, mereka cuba berunding, namun lelaki itu yang naik berang apabila mereka melawan cakapnya bertindak melepaskan satu das tembakan dan mengenai paha kiri mangsa.

Foto

ANGGOTA polis menyiasat di tempat kejadian, semalam.

Katanya, lelaki itu yang panik kemudian melarikan diri dengan rakannya yang sedia menunggu dengan motosikal di luar premis.


Beliau berkata , mangsa yang cedera dihantar ke sebuah pusat perubatan swasta dan kini dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian cubaan samun itu dan memaklumkan suspek tidak sempat mengambil sebarang barangan berharga daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Status kediaman diketahui Ogos

Posted: 14 Jun 2013 01:14 PM PDT

Shah Alam: Kira-kira 1,000 penduduk Pangsapuri Indahria, di sini, yang menghadapi masalah mendapan serius hanya dapat mengetahui status struktur kediaman mereka selewat-lewatnya Ogos ini.

Ini kerana Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hanya akan menerima laporan lengkap daripada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) yang sudah menjalankan pemantauan geoteknikal di kawasan mendapan berkenaan.


Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama penghuni untuk menerangkan keadaan terkini pangsapuri itu dalam tempoh terdekat.

"Kami akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah mendapan di pangsapuri berkenaan," katanya.


Bagaimanapun penduduk perlu faham bahawa kajian membabitkan bidang geoteknikal ini tidak boleh tergesa-gesa.


"Sebab itu MBSA mengambil tempoh yang agak lama untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah yang menimpa penduduk di Pangsapuri Indahria agar tidak berulang pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menemani Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim dalam siri lawatan di Wisma MBSA, di sini, semalam.


Mohd Jaafar berkata, pihak IKRAM sudah memasang peralatan memantau pergerakan tanah di kawasan pangsapuri itu untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan tanah di kawasan pangsapuri itu.

"Keadaan tanah yang dilihat menggunakan mata kasar adalah berbeza dengan kajian yang dilakukan. IKRAM akan membentangkan keseluruhan kajian yang sudah dibuat selewat-lewatanya Ogos ini," katanya.


Katanya, maklumat terkini mengenai keadaan tanah di pangsapuri itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam tempoh terdekat.


Harian Metro semalam melaporkan kira-kira 20 keluarga yang menetap di Pangsapuri Indahria, di sini, nekad untuk berpindah kerana bimbang tragedi 'Highland Towers' berulang selepas buntu memikirkan masalah mendapan di pangsapuri itu masih gagal diselesaikan sejak 2009 sehingga kini.


Pangsapuri 15 tingkat yang didiami kira-kira 1,000 penduduk itu kini semakin kritikal kerana struktur bangunan yang condong akibat rekahan tanah teruk yang berpunca daripada laluan air bawah tanah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

Bawa memorandum isu flat retak ke Kabinet

Posted: 14 Jun 2013 01:13 PM PDT

Putrajaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet minggu depan berhubung isu keretakan Flat Taman Permata, Dengkil, dekat sini, baru-baru ini.

Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, siasatan awal KPKT mendapati hanya satu blok flat berkenaan yang mengalami keretakan.


"Hasil lawatan menunjukkan wujud keretakan di sekitar aras bawah bangunan selain keretakan luaran yang berlaku pada struktur tiang aras bawah dan beberapa unit rumah. "Selain itu, di sekitar kawasan blok juga berlaku mendapan tanah. Bagaimanapun, bangunan itu disahkan selamat diduduki IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, siasatan juga mendapati masalah yang dihadapi penduduk berkenaan membabitkan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terletak di bawah tanggungjawab kerajaan Selangor.


"Justeru, saya meminta kerajaan Selangor bersama-sama dengan kerajaan pusat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berkenaan," katanya.


Kementerian Kerja Raya kelmarin mengesahkan Flat Taman Permata selamat untuk diduduki berdasarkan keputusan siasatan pasukan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan kira-kira 300 penduduk di Flat Taman Permata terpaksa berpindah sementara waktu selepas bangunan terbabit mengalami keretakan serius disebabkan berlaku mendapan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

2 isteri kembali 'power'

Posted: 14 Jun 2013 01:13 PM PDT

Kuala Lumpur: Dua isteri yang sebelum ini hilang sinar kebahagiaan dalam rumah tangga masing-masing disebabkan berat badan berlebihan tidak menyangka kunci untuk menyelesaikan masalah itu sebenarnya ialah aktiviti senaman.

Mahu dikenali sebagai Deja, 34, dan Nor, 39, kedua-duanya kini hidup lebih bahagia selepas hubungan komunikasi dan intim bersama suami tercinta menjadi lebih positif berbanding sebelumnya.


Deja berkata, mungkin ramai wanita yang mengalami masalah berat badan hingga menjejaskan perhubungan dengan suami, lebih cenderung mengambil jamu atau 'ubat kurus' sebagai jalan penyelesaian. "Tapi, bagi saya itu semua kurang berkesan, sebaliknya bersenam secara konsisten dan mengikut teknik betul adalah kaedah paling baik kerana ia bukan saja mampu menguruskan badan, tapi juga memberi tenaga untuk 'bersama' dengan suami," katanya.

Menceritakan pengalamannya, Deja berkata, selepas lebih dua tahun melakukan senaman dengan tunjuk ajar jurulatih bertauliah, rumah tangganya yang sebelum ini suram akibat hubungan dengan suami sudah dingin, kini bertukar ceria.


"Dulu saya gemuk dan berat badan saya mencecah 80 kilogram terutama selepas melahirkan anak (kini berusia enam tahun). Akibatnya, hubungan intim dengan suami turut terjejas kerana saya mudah penat.


"Keadaan itu yang berlarutan beberapa bulan akhirnya mempengaruhi hubungan komunikasi kami hingga keharmonian rumah tangga mula terjejas," katanya.

Berikutan itu, kata Deja, dia mula rasa bersalah terhadap suami dan bertekad melakukan sesuatu bagi memastikan hubungan mereka kembali pulih dan rumah tangga tidak berantakan.


"Selepas mendapat nasihat, saya akhirnya ambil keputusan untuk ke gimnasium dan bersenam ikut cara yang betul. Matlamat asal saya hanyalah untuk kurus, tapi tak sangka pula senaman juga mampu membantu meningkatkan prestasi saya apabila bersama suami," katanya.

Deja yang kini memiliki berat badan kurang 70 kilogram berkata, dalam tempoh sebulan selepas bersenam dia berjaya menurunkan berat badan lima kilogram, menyebabkan suaminya teruja dengan perubahan itu.


Menurutnya, perubahan ketara dirasai di bahagian bawah tubuh badan terutama perut yang membantu otot wanita lebih anjal dan perubahan itu membuatkan dirinya lebih bertenaga. Rakan baiknya, Nor pula berkata suaminya banyak memberi galakan untuk dia meneruskan aktiviti kecergasan itu dan tidak kisah biarpun dia berbelanja besar kerana rumah tangga mereka kini lebih bahagia.


"Kalau orang kata wanita berkahwin jaga penampilan fizikal saja, pada saya, itu silap kerana sebagai isteri kita punyai tanggungjawab untuk memenuhi keperluan batin suami," katanya.


"Dan untuk melaksana tugas itu kita perlu ada stamina dan cergas. Kedua-dua keperluan itu hanya mampu kita miliki dengan mengamalkan kaedah senaman yang betul, bukannya dengan makan jamu atau buat kurus," katanya. Nor yang bekerja sebagai setiausaha turut menasihatkan pasangan muda agar tidak kedekut untuk mengambil jurulatih kecergasan peribadi sekiranya benar-benar mahu membina kehidupan berkeluarga yang bahagia.


"Saya sendiri sudah membelanjakan lebih RM3,000 untuk jurulatih kecergasan peribadi. Apa salahnya kalau hasilnya benar-benar berbaloi.


"Tak perlu malulah sebab kita nak cantik dan sihat untuk suami juga," katanya yang mempunyai dua anak berusia enam dan 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

10 senaman naikkan 'mood' pasangan

Posted: 14 Jun 2013 01:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Hampir 10 senaman khas yang membentuk dan menguatkan otot paha, pinggul, punggung dan perut berupaya merembes beberapa hormon bagi menaikkan 'mood' dalam hubungan suami isteri.

Biarpun senaman itu sebenarnya sebahagian pergerakan dalam pengurusan berat badan, ia turut mampu meningkatkan hormon seperti endorphine, adrenalin, oxytocin dan testosterone di kalangan wanita.


Jurulatih Kecergasan Celebrity Fitness, Dzullidain Razali berkata, tanggapan pihak tertentu bahawa senaman akan meletihkan mereka sebenarnya salah berikutan peningkatan hormon berkenaan menyebabkan mereka bertenaga untuk melakukan hubungan intim.

"Senaman antaranya squat, lunges, kettlebell swing, bridge pose, sumo squat dan kagel akan membantu meningkatkan rembesan semua hormon berkenaan yang kebanyakannya terbit ketika melakukan hubungan seks.


"Seperti endorphine akan mengurangkan rasa sakit sebaliknya memberi rasa nikmat, adrenalin pula membantu meningkatkan prestasi seseorang malah memberi keyakinan.


"Bagi oxytocin atau dikenali 'cuddle hormone' memainkan peranan menaikkan emosi antara pasangan dan testosterone yang turut terdapat di bahagian ovari akan mendorong wanita cergas dan aktif seks," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/15

No comments:

Post a Comment