Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rancang pengebumian sendiri

Posted: 25 Jun 2013 09:03 AM PDT

London: Ketika orang biasa sibuk merancang sambutan hari lahir atau merancang percutian apabila berusia 40 tahun, Angelica Bull pula memilih merangka pelan pengebumiannya sendiri.

Di sebalik usia yang masih awal dan tidak menghidap sebarang penyakit, Angelica mula membuat perancangan itu tiga tahun lalu. Katanya, semua butiran pengebumian itu dicatatkan, termasuk jenis bunga yang akan dijadikan hiasan, lagu yang akan dimainkan serta jenis keranda yang diingini.


"Tidak ketinggalan, tempat saya dibaringkan untuk diberi penghormatan terakhir serta jenis hidangan kepada tetamu," katanya.

Menurut Angelica, 43, dia menyimpan wang bernilai £6,000 (RM29,498) untuk menampung kos menguruskan mayatnya.


Kata pekerja pentadbiran itu, pengebumian berkenaan menggambarkan bagaimana dirinya mahu dikenang.


Sebagai seorang yang sentiasa membuat perancangan awal dalam semua perkara, sesetengah kawannya menganggap dia aneh. "Tetapi mereka tidak akan menganggap saya pelik jika saya mati esok," katanya,. Wanita berasal dari Bermondsey di Tenggara London itu berkata, dia memikirkan perancangan untuk mati ketika berusia 40 tahun.

Foto

ANGELICA mencuba keranda yang dipilihnya.

Foto

BUTIRAN pengebumian dicatatkan supaya ia dapat berjalan lancar.

"Semua orang berkata, hidup bermula pada usia 40 tahun, tetapi saya asyik terfikir jika keadaan sebaliknya berlaku," katanya. Angelica mula mengumpul katalog dari syarikat menguruskan mayat untuk mencari keranda yang sesuai serta kelengkapan lain. Untuk muzik, Angelica memilih tiga lagu, iaitu The Sheik Of Araby oleh Louis Prima, One nyanyian U2 dan Gimme Shelter (Rolling Stones). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Flo Rida berhabis wang demi kereta

Posted: 25 Jun 2013 08:51 AM PDT

Miami: Memiliki kereta bernilai AS$1.7 juta (RM5.4 juta) ternyata tidak memadai bagi penyanyi rap Flo Rida apabila dia menghabiskan lebih banyak wang untuk menghiasi kenderaan itu.

Bagi Flo Rida, kereta Bugatti Veyron itu hanya kelihatan sempurna apabila dihiasi dengan pelbagai ciri kemewahan. Dia mempamerkan kemegahan itu ketika berdepan masalah kewangan. dan tahun lalu hak pemilikan rumahnya dilucutkan kerana terbabit dalam tunggakan cukai bernilai AS$1 juta (RM3.2 juta).


Flo Rida memilih syarikat Metro Wrapz untuk menghias kereta itu.

Katanya, warna asal kereta itu ialah putih sebelum ditukar menjadi krom. "Nampaknya Flo Rida mahu memiliki kenderaan yang lain daripada lain," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Heroin dalam seluar sendat

Posted: 25 Jun 2013 08:50 AM PDT

New York: Seorang penari bogel ditahan pihak berkuasa selepas polis menemui sejumlah dadah disembunyikan dalam seluar pendeknya, semalam.

Jurucakap polis berkata, Tiffany Evans, 20, menumpang sebuah kereta yang ditahan kerana melanggar lampu isyarat merah di Springfield, New York.


"Apabila polis memeriksa pemandu dan penumpang kereta itu, mereka terkejut menemui 50 bungkusan heroin yang disembunyikan dalam seluar pendek sendat Tiffany," katanya. Jurucakap itu berkata, Tiffany baru saja bekerja di kelab tarian bogel itu dan tidak mempunyai pakaian mencukupi bagi menyembunyikan dadah berkenaan. "Dia tiada seluar panjang.

"Dia cuma ada seluar pendek sendat dan cuba menyumbat dadah itu ke dalamnya tetapi gagal," katanya. Tiffany kemudian dibebaskan dengan ikat jamin dan dijangka didakwa di mahkamah Ogos depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

PM Thai tolak tuntutan BRN

Posted: 25 Jun 2013 08:49 AM PDT

Bangkok: Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawatra semalam menolak semua tuntutan dan syarat yang ditetapkan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk mengurangkan keganasan di selatan negara itu sepanjang Ramadan.

Perkara itu dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Thanathip Sawangsaeng.

Menurutnya, Yingluck, dalam mesyuarat Kabinet semalam, mengarahkan Menteri Pertahanan Sukampol Suwanatat mengeluarkan kenyataan menolak semua tuntutan berkenaan.

Wakil BRN ke rundingan damai, Hassan Taib kelmarin menuntut kerajaan Thai mengundurkan tenteranya dari Pattani, Yala, Narathiwat dan lima daerah di Songkhla sebagai jalan mengurangkan keganasan.


BRN juga menuntut supaya sukarelawan pertahanan wilayah yang terdiri daripada penduduk Islam diberi cuti sepanjang bulan berkenaan supaya mereka boleh menghadiri kegiatan keagamaan dan menghabiskan masa bersama keluarga.


Tuntutan dan syarat itu dibuat menerusi video yang dimuat naik ke Youtube.

Menurutnya, BRN bersetuju menghentikan operasi ketenteraannya sepanjang Ramadan seperti yang dijanjikan kepada pasukan perunding Thai ketika rundingan damai 13 Jun di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Chalerm Yubamrung berkata kerajaan tidak akan melayani tuntutan dan syarat BRN, khususnya mengenai pengunduran askar.

"Tidak semestinya kerajaan melayan semua tuntutan yang dibuat oleh BRN," kata Chalerm.

Menurutnya, kebanyakan penduduk tempatan di ketiga-tiga wilayah berkenaan Pattani, Yala dan Narathiwat juga menolak tuntutan seumpama itu.

Menurut Chalerm, Pusat Pelaksanaan Dasar dan Strategi yang bertanggung jawab menyelesaikan masalah di wilayah berkenaan akan memutuskan apabila masanya tiba untuk mengundurkan tentera dan polis dari wilayah itu.

Chalerm menegaskan kerajaan Thai tidak akan menggunakan keganasan untuk mengatasi kekacauan di wilayah itu, khususnya pada bulan Ramadan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Perunding kecewa letak jawatan

Posted: 25 Jun 2013 08:45 AM PDT

Manila: Pegawai kerajaan yang mengetuai rundingan damai Filipina dengan pemberontak komunis semalam meletak jawatan kerana kecewa terhadap kebuntuan proses itu.

Ketua panel perunding Alexander Padilla (gambar) berharap kerajaan dapat melantik tokoh lain yang mungkin mampu menghidupkan semula proses damai berkenaan. "Rundingan damai dengan Barisan Demokratik Nasional terhenti sejak beberapa lama dan mungkin ia perlukan muka dan pelan baru," katanya.


Keputusan Padilla itu diumumkan ketika pemberontak komunis kian meningkatkan serangan di kawasan luar bandar di Filipina. Ditanya sama ada pemberontak mahu dia diketepikan, Padilla berkata, dia tidak pasti ia adalah proses membabitkan kedua-dua pihak.

"Tetapi kami tidak mencapai sebarang kemajuan," katanya. April lalu, Padilla berkata rundingan dengan komunis gagal dan berharap mencapai keamanan sebelum penggal pentadbiran Presiden Benigno Aquino berakhir pada 2016. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Pemilik sekolah pondok ditembak mati

Posted: 25 Jun 2013 08:45 AM PDT

Pattani: Seorang pemilik sekolah pondok terbunuh sementara isterinya cedera parah selepas di tembak di daerah Yarang, di sini, semalam.

Menurut saksi, dua lelaki tiba di sekolah berkenaan dengan menunggang dua motosikal.


Mereka memanggil pemilik sekolah itu, Isma-air Maoh-mani, dan isterinya, Farisa Wanyen keluar untuk berbincang.

Bagaimanapun, seorang daripada lelaki itu mengeluarkan pistol lalu menembak pasangan berkenaan sebelum dia dan rakannya meninggalkan tempat kejadian.


Isma-air ditembak pada bahagian perut dan mati di tempat kejadian sementara Farisa yang cedera dibawa ke hospital. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

'Kenyataan tak bantu selesai masalah jerebu'

Posted: 25 Jun 2013 08:44 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kecewa beberapa kenyataan pihak tertentu mengenai jerebu tidak membantu mengatasi masalah itu, sebaliknya cuma menyulitkan keadaan.

"Mereka tidak sepatutnya berkata begitu dan kesahihan kenyataan itu boleh dipertikaikan," katanya semalam.


Susilo membuat kenyataan itu bagi mengulas tindakan beberapa individu atau pertubuhan yang tidak senang dengan pendirian kerajaan dalam isu jerebu semasa. Kata Susilo, Singapura dan Malaysia menyatakan kebimbangan apabila pegawai kerajaan Indonesia memberi pandangan berbeza antara satu sama lain. Justeru, kata Susilo, dia melarang mana-mana pegawai memberikan komen provokatif dalam isu jerebu.

"Misalnya, menuduh syarikat tertentu di Indonesia, Malaysia atau Singapura bertanggungjawab menyebabkan kebakaran, atau lebih serius, mengaitkan nama syarikat tertentu," katanya. Menurut Susilo, kerajaan akan menggunakan jalan perundangan bagi mencari dalang yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran meluas di negara itu. "Tugas itu biar dijalankan polis dan pihak berkuasa berkaitan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Terkilan Susilo mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

Posted: 25 Jun 2013 08:43 AM PDT

Jakarta: Permohonan maaf Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kepada Malaysia dan Singapura dalam isu jerebu kelmarin melukakan hati penduduk Riau.

Aktivis Forum Alam Sekitar Riau, Indra Jaya berkata, penduduk setempat tidak dapat menerima tindakan Susilo itu ketika mereka sendiri turut merasai kesan jerebu secara langsung.


"Presiden seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan penduduk Riau.

"Sepatutnya Susilo meminta maaf kepada rakyat sendiri, terutama di Riau, sebelum membuat tindakan sama kepada negara lain," katanya. Indra berkata, masalah pembakaran terbuka dan jerebu tidak boleh dipisahkan daripada aktiviti pelabur asing di daerah berkenaan.


Sebelum ini, kerajaan mengaku mengenal pasti syarikat perusahaan yang terbabit dalam pembakaran terbuka di Riau.


Daripada 14 syarikat yang dikenal pasti, lapan akan didakwa di mahkamah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Russia tiada kaitan dengan Snowden

Posted: 25 Jun 2013 08:42 AM PDT

Moscow: Russia semalam menafikan pembocor rahsia AS Edward Snowden pernah menyeberangi sempadannya dan mengecam Washington atas pembabitan negara itu ketika misteri kehilangan perisik berkenaan semakin mendalam.

Menteri Luar Russia Sergei Lavrov berkata, Moscow sama sekali tidak mempunyai kaitan sama ada dengan Snowden, hubungannya dengan agensi perundangan AS atau pergerakannya di seluruh dunia.


"Snowden memilih laluan yang diingininya sendiri dan kami mengetahui perkembangannya seperti kebanyakan orang lain melalui media massa.

"Dia juga tidak menyeberangi sempadan Russia," katanya. Sebelum itu, AS mendesak Moscow menggunakan segala cara untuk mengusir Snowen yang diburu kerana membocorkan rahsia program perisikan Washington kepada media dunia.


Dia dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Sheremetyevo di Moscow menaiki pesawat dari Hong Kong Ahad lalu, tetapi pegawai Russia bertegas menafikan lelaki terbabit pernah meninggalkan zon transit di situ.


Tidak dapat dipastikan sama ada Snowden masih bersembunyi di lapangan terbang berkenaan.

Lavrov tidak mengesah atau menafikan berita bekas juruteknik Agensi Keselamatan Kebangsaan itu tiba di Sheremetyevo.


Sementara itu, menurut satu sumber, Snowden menghabiskan sekurang-kurangnya satu malam di hotel kapsul yang disediakan di kawasan transit Lapangan Terbang Sheremetyevo.

"Justeru dia tidak perlu melepasi pos kawalan pasport atau memiliki visa Russia," katanya. Snowden dijangka meneruskan perjalanannya ke Havana menaiki pesawat Aeroflot tetapi dia tidak muncul dalam penerbangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

Matador ditanduk di punggung

Posted: 25 Jun 2013 08:41 AM PDT

Madrid: Seorang matador ditanduk di punggungnya beberapa minggu selepas kembali aktif dalam sukan berkenaan.

Rafael Cerro melambung ke udara selepas dirempuh oleh lembu jantan seberat 476 kilogram itu sebelum ditanduk di punggungnya di depan ratusan penonton di arena laga lembu Las Ventas, Madrid.


Cerro, antara matador baru paling berbakat kemudian memberitahu, kejadian itu adalah cabaran terbesar dalam hidupnya.

Pada April lalu, Cerro, 23, menjalani pembedahan selepas ditanduk oleh haiwan itu dalam satu acara lain.


Dia terpaksa dirawat selepas tanduk lembu itu menusuk kantung zakar hingga ke rongga perutnya, menurut laporan.


Kejadian itu bagaimanapun tidak membuat dia serik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25

No comments:

Post a Comment