Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Siapa pilih Australia?

Posted: 09 Jun 2013 09:19 AM PDT

Kuala Lumpur: "Bukan soal menang atau kalah, tapi siapa sebenarnya yang ada kaitan dalam FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menguruskan latihan dan perlawanan persahabatan ke Australia.

"Apakah ada individu atau pihak tertentu yang mendapat keuntungan daripada program itu?" Demikian kenyataan wakil bagi kumpulan yang meng gelarkan diri mereka Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ) Alfadli Awaludin percaya ada individu meraih habuan dalam mengatur perlawanan ke Australia sehingga menyaksikan anak buah Datuk K Rajagobal dimalukan kelab yang diwakili pemain sambilan, Canberra FC pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Mempersoalkan mengapa FAM menolak mentah-mentah perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Singapura sebelum memutuskan untuk ke Australia, Alfadli yakin semua itu sudah dirancang kerana terang-terangan menolak perlawanan yang lebih berkualiti berbanding kelab tidak dikenali seperti Canberra FC.

"Sebagai wakil kepada peminat tempatan, saya tidak ter kejut kalau pasukan kita kalah sebab tewas kepada pasukan kelab sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru.


"Senario ini sudah berlaku sejak sekian lama. Kalau me nang pun dengan Canberra FC, orang akan pertikaikan juga, apatah lagi kalau kalah.


"Yang menjadi persoalan utama ialah siapa yang memutuskan lawatan ke Australia itu dan mengaturkan perlawanan untuk skuad negara? "Kalau fikir dengan fikiran yang waras, pasti kita persoalkan kenapa tidak pilih Thailand atau Vietnam selepas perlawanan dengan Singapura dibatalkan. Kenapa nak juga ke Australia bertemu pasukan kelab?," tanyanya.

Jelas Alfadli, rasa kecewa ke atas skuad negara sudah lama dirasai peminat setia tempatan, tetapi jelasnya apa yang pasti lebih mengecewakan ialah apabila individu yang diberi ke percayaan tidak menjalankan tugas dengan jujur.


"Perkara ini pun sudah kami sentuh pada sidang media sebelum ini, jadi sebenarnya isu ini sudah lapuk," katanya.

Skuad kebangsaan menerima aib cukup memalukan apa bila kecundang 2-3 kepada Canberra FC sehingga akhbar The Canberra Times memilih menggunakan tajuk 'pemain sam bilan raih kemenangan ke atas pasukan kebangsaan'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Maria tak kesal

Posted: 09 Jun 2013 09:14 AM PDT

Paris: Gelaran Terbuka Perancis dirampas daripadanya selain mengalami kekalahan keempat di final Grand Slam dan ke-13 berturut-turut kepada Serena Williams namun Maria Sharapova (gambar) berkata, dia meninggalkan Paris tanpa rasa kesal.

Itulah yang berada dalam fikiran pemain Russia itu selepas tewas 6-4, 6-4 kepada pemain AS itu pada perlawanan akhir di Roland Garros pada hari yang menyaksikan dia mendahului 3-0 di set pertama dan bangkit daripada ketinggalan mengikat kedudukan 4-4 di set kedua namun gagal untuk memanfaatkan peluang yang dimilikinya.


Bercakap mengenai apa yang berlaku, Maria berkata, tiada apa yang perlu difikirkan.

"Sebenarnya tidak banyak yang saya kesalkan dalam hidup saya. Saya cuba untuk tidak mempunyai apa-apa kekesalan. "Anda perlu memandang ke depan dan tidak kira berapa banyak kali saya kalah kepada lawan atau saya berada dalam apa keadaan sekalipun, sama ada saya berada di atas atau di bawah atau bagaimana ia berakhir atau bagaimana ia selesai.


"Anda perlu teruskan ke depan. Sudah tentu saya fikirkan saya berjaya menempah kedudukan ke final. Saya berusaha keras menentangnya namun ia tidak cukup.


"Dia mempamerkan aksi tenis yang hebat. Sudah tentu tidak perlu memberi sebarang alasan, tetapi dia bermain dengan sangat baik." Sementara itu Serena memberi amaran kepada musuhnya bahawa mereka perlu memberi perhatian kepada keupayaannya dan persaraan tidak berada dalam agendanya apabila meletakkan sasaran untuk menambah gelaran Grand Slam ke-16.

Bukti sudah menunjukkan selagi dia masih lagi cergas dan terus bermotivasi menjelang tiga dekad pembabitannya dalam siri jelajah, Maria dan pemain nombor tiga dunia, Victoria Azarenka, dua pemain yang mampu mencabar kekuasaan pemain Amerika yang akan terus berusaha keras memastikan kemenangan berpihak kepadanya.


"Saya amat tenang. Saya menikmati setiap detik berada di sana. Saya sentiasa berkata saya sentiasa berasa seperti saya tidak pernah mempamerkan aksi tenis terbaik saya," katanya, pemain tertua yang menang di Paris dalam era Terbuka. "Saya sudah mengatakannya untuk bertahun-tahun bahawa saya berasa seperti saya sentiasa mampu untuk melakukan lebih baik dan bermain dengan baik dan saya sentiasa mahu mencapai tahap itu. Mungkin saya cuba untuk berada di sana." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Murray tekad tebus kekecewaan

Posted: 09 Jun 2013 09:13 AM PDT

London: Andy Murray yakin kekecewaan kerana gagal beraksi di Terbuka Perancis dapat dilupakan apabila berazam melakarkan kemenangan di Queen's Club minggu depan.

Murray, pemain nombor dua dunia terpaksa menarik diri daripada aksi Grand Slam gelanggang tanah liat di Paris kerana kecederaan belakang.


Namun juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat dan juara Olimpik itu kini kembali pulih untuk beraksi dalam acara pemanas badan pra Wimbledon yang akan bermula di Queen's Club di London, Isnin ini.

Murray berlatih di atas gelanggang rumput dengan jurulatih Ivan Lendl dan rakannya yang juga bekas pemain nombor satu Britain, Tim Henman dalam usaha mereka mencari rentak menjelang Wimbledon yang akan berlangsung dua minggu lagi.


Ditanya jika terus beraksi di Terbuka Perancis boleh berubah memberi manfaat kepadanya, pemain berusia 26 tahun berkata, "Saya harap begitu. Itulah sikap yang anda perlukan.


"Saya tahu selepas Terbuka Perancis tahun lalu, saya rehat selama lima atau enam hari dan apabila saya memulakan latihan semula, saya merasa amat selesa di atas gelanggang rumput dan ia bukan satu perkara biasa. "Anda memerlukan satu tempoh untuk menyesuaikan diri di atas gelanggang rumput. Saya perlu berada di atas rumput untuk 10 hari dan mungkin seminggu lebih lama dan itu yang perlu saya lakukan jika saya terus beraksi di Terbuka Perancis.

"Ia lebih daripada apa yang saya tempuhi untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan saya bermain dengan lebih baik dan semakin baik setiap hari dalam sesi latihan jadi saya berharap ia akan bertukar kepada kejayaan.


Murray mara ke final Wimbledon buat pertama kali pertama tahun lalu sebelum tewas kepada Roger Federer, mengakui dia kekurangan latihan apabila memulakan kempen di Queen's. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Blake pamer aksi bertenaga

Posted: 09 Jun 2013 09:13 AM PDT

Kingston: Juara dunia 100m, Yohan Blake berhati-hati pada penampilan semula namun masih mampu meraih kejayaan kelmarin, apabila menjuarai acara 200m ketika berdepan pencabar kelas agak rendah di stadium nasional.

Blake yang berlari di lorong keenam, mendahului sejak awal perlumbaan sebelum menamatkan larian agak perlahan dengan catatan 20.72 saat menentang angin berkelajuan 1.6m sesaat.


Dia menewaskan pencabar terdekat yang juga juara remaja dunia, Delano Williams (20.74s). Ini adalah perlumbaan pertama Blake sejak menarik diri dalam acara 100m di UTech Klasik di trek sama 13 April lalu.

Lapan minggu lalu, Blake berjalan meninggalkan trek sambil memegang paha kanan sebelum menyebarkan mesej Twitter: "Saya baik saja cuma kekejangan".


Dua hari selepas itu jurulatihnya Glen Mills dalam media Jamaica berkata, kecederaannya serius dan Blake terpaksa berehat selama enam minggu.


Selepas melengkapkan perlumbaan kelmarin tanpa mengalami kecederaan, Blake sekali lagi mengepos Twitter.

"Terima kasih kepada tuhan kerana saya dapat menamatkan perlumbaan," katanya dalam Twitter diikuti satu lagi Twitter susulan: "Wow, saya juga rasakan kemahiran berlumba saya sudah berkarat." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

CBRE dominasi pusingan ketiga

Posted: 09 Jun 2013 09:12 AM PDT

Georgetown: Pasukan dari Australia, CBRE, mendominasi pusingan ketiga Kejuaraan Golf Dunia Amatur Antara Berpasukan (WAITGC) 2013 yang diadakan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

CBRE yang membariskan Michael Brislane, Ngat Doan, Paul Calderara dan James Richard, muncul juara bagi kategori Gross dengan mengumpul 984 pukulan, meninggalkan pasukan senegara, Ball Busters V2 di tempat kedua dengan 987 pukulan, manakala wakil Brunei, Kanak-Kanak II, berpuas hati di tempat ketiga dengan 1,039 pukulan.


Satu lagi wakil Brunei, Yu Yu Depenyu yang dibarisi Hariel Simpol, Ajaman Daud, Noorisman Tamit dan Lim Soon Bee, menebus maruah negara itu apabila muncul sebagai johan bagi kategori Stableford dengan 409 mata, manakala Thailand B di tempat kedua.

Kejohanan selama empat hari itu berlangsung di Penang Golf Resort Berhad dan Penang Golf Club, menyaksikan seramai 80 pemain golf dari 20 pasukan iaitu Malaysia, Australia, Thailand, Brunei dan India.


Sebelum ini, WAITGC diadakan di Johor Bahru dan Sabah, bagi mencari pasukan terbaik bagi berentap di pusingan akhir.


Hadiah kepada pemenang disampaikan Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia Saidi Bundan.

Hadir sama Presiden Persatuan Pengurus Kelab Golf Malaysia (GCMAM), Mohd Rom Muslim.


Sebelum ini, WAITGC diadakan di Johor Bahru dan Sabah, bagi mencari pasukan terbaik untuk berentap di pusingan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Ranhill Polo dinobat juara

Posted: 09 Jun 2013 09:12 AM PDT

Pekan: Pasukan Ranhill Polo dinobatkan selaku juara kejohanan polo Royal Pahang Classic 2013 selepas menewaskan wakil tuan rumah, KotaSAS-IBIL 9-8 pada saingan akhir di padang Kelab Polo Diraja Pahang, Pekan, kelmarin.

Ranhill Polo yang diketuai Tan Sri Hamdan Mohamad bersama Facundo Lloso, Gerardo Collardin dan Antonino Menard ternyata lebih bertenaga apabila mendahului lawan 1-0 selepas dua minit perlawanan bermula dan mereka terus menguasi permainan hingga ke chukka terakhir.


Pasukan KotaSAS-IBIL yang diketuai Tengku Amir Naseer, Datuk Zekri Ibrahim, Manuel Crespo dan Julio Novillo seolah-olah hilang tumpuan apabila lawan sentiasa mengasak menerusi pemain remaja Argentina, Facundo Lloso.

Walaupun tewas, pujian tetap layak diberikan kepada pasukan tuan rumah yang sentiasa memberi tentangan hingga ke chukka terakhir yang menyaksikan mereka hampir menyamakan kedudukan.


Hamdan berkata, selepas berhempas pulas sepanjang kejohanan akhirnya kejayaan membanggakan itu berjaya dicatat hasil kerja keras semua pemain yang beraksi dengan penuh semangat.


"Saya memuji corak permainan menarik yang dipamerkan Lloso. Aksi bertenaganya menjadi senjata utama pasukan Ranhill Polo. Kita berharap kejayaan kali ini menjadi landasan kepada pasukan untuk melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan yang akan disertai tahun ini," katanya.

Beliau berkata, rata-rata pasukan yang bersaing pada kejohanan polo Royal Pahang Classic kali ini mempamerkan persembahan menarik dan bertenaga namun setiap pasukan hanya dibezakan dengan pengalaman.


Pada saingan separuh akhir, Ranhill Polo menewaskan Royal Pahang Polo Club (RPPC) dengan keputusan 10 berbalas 6 1/2 sementara KotaSAS-IBIL menundukan Thai Polo 6-5.

Tempat ketiga berpihak kepada pasukan Thai Polo yang menang tipis 6-5 1/2 ke atas RPPC.


Sebanyak tujuh pasukan tempatan dan luar negara bersaing pada kejohanan tahun ini yang turut menampilkan beberapa pemain profesional dari Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

KBB B-12 tempat kedua terbaik sofbol

Posted: 09 Jun 2013 09:10 AM PDT

Sungai Petani: Pasukan lelaki bawah 12 tahun daerah Kulim/Bandar Baharu (KBB) tidak kecewa biar pun hanya mampu muncul kedua terbaik dalam negeri di Kejohanan Sofbol Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK), baru-baru ini.

Berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah, KBB sebenarnya menunjukkan peningkatan dalam sukan itu.


Guru jurulatihnya, Fauzi Ismail, berkata 2013 adalah aksi terbaik daripada pemainnya sehingga membolehkan mereka tampil sebagai finalis bertemu juara bertahan, Kuala Muda/Yan.

"Kami kalah tipis 7 larian berbanding lawan yang membuat 10 larian. Malah ada ketika kami di depan namun perlu diakui kegugupan pemain antara punca kami masih kempunan bergelar juara negeri.


"Bagaimanapun, KBB tetap berpuas hati dengan aksi pemain yang memberikan tumpuan melebihi seratus peratus. Bukan mudah sebenarnya berdepan dengan juara bertahan, KMY, katanya yang turut dibantu Syukri Hamid dan Nor Zainah Mat Desa.


KBB yang diletakkan satu kumpulan dengan KMY menang ke atas Langkawi 21-0 dan tewas 0-10 ke atas KMY sekali gus muncul naib johan Kumpulan B.

Status itu membolehkan mereka menempah tempat ke separuh akhir dan bertemu johan Kumpulan A, Kota Setar sebelum menang tipis 5-4.


Momentum semangat melawan KBB akhirnya dileburkan KMY di perlawanan akhir sekali gus menunda hasrat mereka menggenggam pingat kejuaraan negeri sekurang-kurangnya sehingga tahun depan.

"Pemain sudah menunjukkan aksi terbaik dan kami tidak berasa kecewa sebaliknya akan terus berusaha merebut kejuaraan edisi seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

'Raja perlu elak aib'

Posted: 09 Jun 2013 09:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Datuk K Rajagobal diminta merencanakan strategi terbaik untuk mengelakkan Harimau Malaya terus mendapat aib di bumi Australia apabila tampil menentang Sydney Olympic FC esok, lawan yang pada awalnya tiada dalam perancangan skuad negara.

Barisan Harimau Malaya menjadi tumpuan pada minggu lalu apabila ditewaskan pasukan kelab sambilan, Canberra FC 2-3 dalam aksi persahabatan pertama kem latihan dan persahabatan yang diadakan selepas pembatalan dua aksi persahabatan berstatus A menentang Singapura.


Ia adalah kekalahan kedua yang dialami skuad kebangsaan di negara kangaroo itu selepas dimalukan 0-5 oleh Socceroos dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 2011.

"Pada pandangan saya, lawan kedua ini lebih hebat berbanding Canberra FC. Jadi saya mengharapkan beliau (Rajagobal) dapat menurunkan barisan terbaik kerana lawan sememangnya mempunyai kelebihan dalam aspek teknikal dan saiz badan.


"Skuad negara mungkin akan tewas dengan jaringan besar jika tidak mengambil serius lawan kali ini namun saya juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pemain negara juga mampu untuk mencipta kejutan.


"Semuanya bergantung kepada fokus dan komitmen pemain ketika perlawanan berlangsung," kata bekas pemain negara yang pernah berkelana di Australia, Dali Omar.

Lawan skuad negara bukan calang-calang kelab kerana mereka pernah diberikan penghormatan untuk menentang skuad kebangsaan negara itu pada bulan lalu namun tewas 2-7 walaupun berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada separuh masa pertama.


Namun aksi menentang Sydney Olympic FC di Belmore Sports Ground pada awalnya tidak berada dalam perancangan skuad negara seperti yang diumumkan sebelum ini kerana dijadualkan menentang menentang Marconi Stallion dan Sydney United, dua pasukan yang beraksi di Liga Perdana New South Wales (NSW).

Skuad negara akan menamatkan kunjungan dua minggu itu menentang juara Liga Perdana NSW musim lalu, Marconi Stallion pada Khamis dan tidak akan menentang Sydney United.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Fokus Piala FA, Liga Super

Posted: 09 Jun 2013 09:08 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan tidak hanya memberi fokus kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) 29 Jun ini, malah akan menumpukan kepada saingan Liga Super yang masih berbaki empat perlawanan.

Jurulatih Bojan Hodak turut menuntut anak buahnya tidak melupakan saingan Liga Super walaupun The Red Warriors (TRW) mempunyai misi penting mempertahankan kejuaraan Piala FA.


Jurulatih berusia 41 tahun kelahiran Croatia itu berkata, baki empat perlawanan liga juga penting dalam usaha memburu kelompok lima pasukan terbaik.

"Bukan saja final Piala FA yang kita perlu fokus, malah saingan Liga Super juga penting untuk kita memperbaiki kedudukan.


"Walaupun peluang untuk kita mempertahankan kejuaraan liga semakin tertutup rapat, kita masih mampu berada pada kedudukan dalam kelompok lima pasukan teratas.


"Kita mahu mempertahankan Piala FA dan kita juga ingin berada pada kedudukan terbaik dalam liga terutama selaku juara bertahan Liga Super yang kita menangi musim lau," katanya.

Kelantan bakal berdepan pasukan jiran, Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 21 Jun ini.


Hodak berkata, beliau yakin anak buahnya sudah melupakan kekalahan 2-4 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terngganu 28 Mei lalu.

Katanya, beliau turut menuntut anak buahnya memburu kemenangan pertama ke atas Johor DT selepas dalam dua perlawanan sebelum ini mereka sekadar seri dan tewas kepada pasukan Harimau Selatan.


"Kami akan memperbaiki persembahan buruk ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA dan kami akan membalas dendam pada perlwanan Liga Super 21 Jun ini.


"Kita juga mahu memecahkan rekod tanpa kalah anak buah Fandi Ahmad kepada kita dan perkara itu akan dilakukan pada pentas final Piala FA nanti. "Mungkin banyak perubahan dari aspek taktikal yang akan dilakukan untuk semua perlwananan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

Laluan sukar skuad Hoben

Posted: 09 Jun 2013 09:08 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan yang berdepan laluan sukar untuk keluar daripada zon penyingkiran, berusaha keras memperkemaskan lagi jentera pasukan dengan menguji beberapa taktikal baru menjelang Liga Super yang bersambung, 22 Jun ini.

Pemain skuad berkenaan sudah diminta memperagakan aksi lebih mantap pada baki empat perlawanan dengan memastikan kemenangan dicapai, bagi menjamin kedudukan selamat untuk kekal dalam liga utama itu musim depan.


Bagi jurulatih Ridzuan Abu Shah, fokus diberikan kepada beberapa pemain berpengalaman seperti Eddy Helmi Manan, Shahurain Abu Samah dan Ahmad Shakir Md Ali, untuk membuktikan reputasi dan kehebatan masing-masing sebagai pemain yang begitu gah sebelum ini.

"Saya mahu melihat kelibat ketiga-tiga pemain itu memperagakan aksi berbisa mereka dalam perlawanan akan datang kerana sebelum ini mereka pernah digeruni pemain lawan, tetapi sekarang agak tenggelam, malah masih belum mampu menjaringkan gol buat pasukan.


"Jadi, pada baki empat perlawanan nanti, saya mengharapkan mereka dapat menunjukkan kemantapan dan ketajaman dalam menembusi benteng lawan untuk membantu pasukan menang.


"Sekalipun, saya akan menurunkan semula penyerang import, Leandro Barbosa Fabio, khidmat serta kepakaran ketiga-tiga tonggak berpengalaman tempatan ini amat diperlukan dan menjadi senjata penting dalam menentukan kejayaan pasukan nanti," katanya selepas tamat perlawanan persahabatan dengan Tentera yang berkesudahan Negeri Sembilan tewas 0-4di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Ini adalah perlawanan persahabatan kedua pasukan itu selepas menang 2-1 ke atas Pos Malaysia di gelanggang sama, Selasa lalu.


Ridzuan berkata, hakikatnya skuad bimbingannya itu masih banyak kelemahan terutama di barisan depan, namun yakin ia akan dapat diperbaiki menjelang pertemuan dengan PKNS FC, di Paroi, 22 Jun ini.

Menurut bekas pembantu jurulatih skuad FELDA FC itu, nasib skuad Hoben Jang Hoben yang berada di kedudukan tercorot mampu berubah andai setiap pemain dapat memberikan komitmen 100 peratus selain mengekalkan tahap disiplin tinggi ketika di padang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/09

No comments:

Post a Comment