Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Bukan tanggungan kami!'

Posted: 13 Jun 2013 08:53 AM PDT

Kelana Jaya: "Bukan tanggung jawab FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) jaga dapur rumah orang lain." Itu kenyataan tegas Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad yang tidak senang dengan tindakan segelintir pihak mengecam badan induk itu seperti bersikap lepas tangan dengan membiarkan pasukan mereka dihimpit masalah kewangan.

Menurut Azzuddin, FAM sudah menghulurkan geran tahunan RM350,000 kepada setiap pasukan Liga Super dan RM250,000 (Liga Perdana) dan tuduhan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim, badan induk bola sepak tanah air itu langsung tidak membantu, silap.


Shahidan yang sebelum ini digantung 30 bulan dan didenda RM39,000 selain dilucutkan status sebagai Presiden PFA mengeluarkan kenyataan itu kerana didorong rasa kecewa apabila terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai gaji pemain skuad Singa Utara.

"FAM ada memberikan peruntukan tahunan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana, selain itu setiap pasukan ada pengurusan sendiri dan sudah menjadi tugas mereka mencari dana," kata Azzuddin.


Selain itu sidang media 'khas' Azzuddin selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA semalam turut hangat dengan isu kedudukannya sebagai peneraju utama sekretariat dipersoal kerana didakwa gagal menguruskan dengan baik hingga FAM menjadi mangsa kecaman pelbagai pihak.


Bagaimanapun Azzuddin yang mengisi kerusi panas itu pada September 2007 atas lantikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah menyatakan pendiriannya untuk tidak berundur selagi terus mendapat kepercayaan pemimpin tertinggi.

Foto

Datuk Azzuddin Ahmad

"Tiada pihak boleh paksa saya berundur kerana saya berada di sini mengikut statut FAM. Selagi Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) tidak bertitah untuk berundur, selagi itu saya akan terus berkhidmat.


"Tugas di sekretariat hanyalah melaksanakan keputusan dibuat jawatankuasa tertentu dan saya tidak terbabit membuat keputusan," katanya.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menerusi laporan akhbar tempatan sebelum ini menyifatkan kewibawaan FAM semakin dikecam dan mendakwa Azzuddin sebagai punca masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Tunku Anum pengeluar atlet Kedah

Posted: 13 Jun 2013 08:50 AM PDT

Jitra: Kemudahan sukan yang sempurna dan terbaik menjadikan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMKTATAR) sebagai 'sekolah sukan' di Kedah.

Pengetua Sahabudin Ariffin berkata, antara kemudahan sukan disediakan ialah astaka, padang bola sepak, trek sintetik 400 meter, gimnasium dan gelanggang serba guna.


"Sekolah ini berjaya melahirkan ramai atlet sukan berbakat dan secara tidak langsung menaikkan nama sekolah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

"Kemudahan itu memudahkan pelajar menjalani latihan secara sistematik. Tahun ini, kami mendapat tiga jurulatih tetap yang menguruskan sukan bola sepak, olahraga dan sepak takraw," katanya.


Sahabudin berkata, tiga jurulatih itu dari SMK Pulau Nyior (sepak takraw), SMK Mergong (bola sepak) dan SMKTATAR (olahraga).


"Saya harap Jabatan Pelajaran Kedah menyediakan jurulatih untuk sukan bola jaring.

"Majoriti anggota pasukan olahraga Kedah dari SMKTATAR manakala pasukan bola sepak yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) juga dari sekolah ini.


"Selain itu, kebanyakan pemain sepak takraw dan bola jaring yang mewakili MSSM dan SUKMA negeri ini juga dari sekolah ini," katanya sambil memberitahu tujuh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMKTATAR diambil bermain untuk pasukan bola sepak Piala Presiden Kedah.

Pada tahun lalu, SMKTATAR muncul juara Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)/Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Bawah 14 dan 17 Tahun di samping Johan Liga KPM Bawah 14 Tahun.


Sekolah itu turut muncul juara Liga Remaja KPM/FAM Bawah 17 Tahun, naib juara Piala Sumbangsih Bawah 14 Tahun dan juara Karnival Sekolah-Sekolah Sukan Malaysia Peringkat Kebangsaan Bawah 13 Tahun tahun lalu.


Pada 2011, SMKTATAR muncul naib juara Piala Sumbangsih Liga KPM Bawah 14 Tahun dan tahun ini, menjuarai Piala Sumbangsih Liga KPM Bawah 14 Tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Skuad hoki Perak pamer belang

Posted: 13 Jun 2013 08:50 AM PDT

Melaka: Perak muncul juara keseluruhan Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Hoki Bukit Serindit, baru-baru ini.

Pencapaian muncul juara B-12 lelaki dan naib juara B-12 perempuan membolehkan Perak unggul menewaskan 14 pasukan lain termasuk tuan rumah, Melaka.


Selangor pula menduduki tangga kedua keseluruhan selepas menjuarai kategori B-18 perempuan dan tempat ketiga perempuan B-12 serta keempat B-18 lelaki.

Lebih manis buat pasukan terbabit apabila Sazaumira Mohamad Ismail dan Ellya Shahirah Ellias diumum penjaga gol terbaik dan penjaring terbanyak perempuan B-18 manakala Muhamad Haikal Zamri muncul penjaring terbanyak lelaki B-18.


Tempat ketiga milik Kuala Lumpur yang menjuarai acara lelaki B-18 dan keempat perempuan B-12.


Terengganu turut ceria meraih tempat keempat keseluruhan selepas muncul naib juara lelaki B-18 dan tempat keempat lelaki B-12.

Melaka sekadar meraih tempat ketiga lelaki dan perempuan B-18.


Hadiah disampaikan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Datuk Md Yunos Husin dan Timbalan Md Rawi Mahmud.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

'Cukup satu velodrom': Naim

Posted: 13 Jun 2013 08:49 AM PDT

Kuala Lumpur: "Cukuplah satu velodrom kelas satu ketika ini. Serahkan keputusan ini kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan)," kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad ketika mengulas isu pembinaan velodrom kelas satu yang belum mencapai kata persetujuan setakat ini.

Ketika Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) menerusi Presiden Datuk Jamlus Aziz turus mahukan velodrom itu kekal dibina di lokasi asal di Nilai, Naim berkata, biar apapun keputusan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan tetap dengan keputusan mereka membina satu velodrom kelas satu di Kuala Lumpur. "Saya harap semua orang hentikan perkara ini. Dalam hal ini saya harap semua pihak jangan menjadikan ia perbalahan atau isu kerana ini peruntukan kerajaan yang diserahkan kepada KBS dan apa saja menteri dan KBS putuskan, kita perlu akur. "Masing-masing boleh memberi pandangan demi kebaikan kerana kita akan melaksanakan kajian iaitu daripada segi kepentingan kebangsaan kerana banyak perkiraan perlu dibuat sebelum buat keputusan demi kebaikan negara. "Saya cadangkan supaya kita serahkan kepada menteri dan KBS membuat penelitian dan mengkaji untuk memutuskannya, janganlah kita timbulkan masalah ini lagi kerana akhirnya kita mahukan negara yang untung bukannya mana-mana puak yang mempunyai kepentingan kecil "Sama ada di Nilai atau Kuala Lumpur, yang pasti keputusan akan diputuskan menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar). "DBKL juga tetap dengan keputusan untuk terus membina velodrom tertutup ini tanpa mengambil kira apa yang berlaku dengan keputusan berhubung pembinaan velodrom di Nilai," katanya yang ditemui di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur sempena Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2013, semalam.


Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan velodrom kelas satu pada Bajet 2013.

Namun perkara itu turut mendapat perhatian DBKL yang berhasrat mahu meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velodrom tertutup bernilai RM80 juta yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras. Namun semalam, PLBNS tetap bertegas mahukan KBS terus dengan rancangan asal untuk membinanya di Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Jupha pamer kayuhan bertenaga

Posted: 13 Jun 2013 08:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba elit wanita Perlis, Jupha Som Net paling menyerlah pada hari kedua Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2013 yang berlangsung di velodrom Cheras, Kuala Lumpur selepas merangkul dua pingat emas dan satu perak, masing-masing dalam acara scratch, 3 kilometer kejar-mengejar dan pecut berpasukan.

"Saya cuba dapatkan empat emas sebab itu sasaran saya kali ini. Tapi mungkin rezeki tidak memihak kepada saya dalam acara pecut berpasukan," katanya.


Hasrat Jupha yang juga Olahragawati SUKMA 2011 untuk merangkul emas ketiga tidak kesampaian apabila sekadar membawa pulang perak dalam pecut berpasukan apabila dia yang bergandingan dengan Lauretta Eva Adrian tewas kepada pasangan Terengganu, Fatehah Mustapa dan Ummi Hamimah Mohamad. Meskipun hasrat pelumba berusia 21 tahun itu yang mahu menamatkan kejohanan kebangsaan dengan menghadiahkan empat emas buat Perlis tidak kesampaian, dia tetap menaruh harapan untuk mengutip sebutir lagi emas menerusi acara perlumbaan mata hari ini. Sementara itu, dalam acara pecut berpasukan elit lelaki, emas milik Selangor yang dibarisi Rizal Tisin, Hamdan Hamidun dan Muhammad Elmi Jumari selepas menewaskan pelumba Perak, Muhamad Edrus Md Yunos, Muhamad Zawawi Azman, Muhammad Najib Zainul Zaman dalam acara akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Skuad lelaki mara ke suku akhir

Posted: 13 Jun 2013 08:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan skuasy lelaki Malaysia mara ke suku akhir kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) di Mulhouse, Perancis selepas mengalahkan Amerika Syarikat, 2-0 kelmarin.

Juara Asia empat kali, Ong Beng Hee memulakan rentak kemenangan dengan mengalahkan Christopher Gordon 7-11, 11-5, 11-4, 11-8 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam tujuh minit.


Muhd Asyraf Azan kemudian menumpaskan Dylan Murray 8-11, 12-10, 11-2, 11-8 dalam masa 38 minit.

Perlawanan antara Mohd Nafiizwan Adnan dan Gilly Lane bagaimanapun tidak dilangsungkan.


"Saya dan Chris bermain dalam kumpulan sama sebelum ini dan ketika itu saya mengalahkannya membuatkan saya lebih yakin. Kami di tempat kelima tahun lalu tapi tahun ini Mohd Azlan Iskandar tidak ada dan agak sukar untuk mengecapi pencapaian sama kali ini," kata Beng Hee dipetik menerusi blog kejohanan www.squashsite.co.uk.


Malaysia akan bertemu Perancis di suku akhir.

Pemain Perancis, Gregory Gaultier, Gregoire Marche dan Mathieu Castagnet menempah tempat ke suku akhir selepas menyingkirkan Mexico, 3-0.


Mesir, India, Australia, Jerman, England dan Afrika Selatan turut layak ke suku akhir. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Balbir tempelak Nadzmi

Posted: 13 Jun 2013 08:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Tuduhan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh yang mendakwa Malaysia tidak memiliki pakar psikologi sukan bertaraf dunia dinafikan sekeras-kerasnya Pensyarah Kanan/Ahli Psikologi Universiti Malaya Dr Balbir Singh Gill yang menganggap badan induk badminton itu sekadar mencari alasan.

Beliau berkata, ramai pakar psikologi berkelayakan di negara ini namun tidak diberi peluang dan tidak diberi pengiktirafan sewajarnya, baik oleh persatuan sukan mahupun Institut Sukan Negara (ISN).


"Badan induk sukan negara menyedari kehadiran kami namun mereka tidak beri peluang. Saya pernah dipanggil tapi kami tidak diiktiraf. Mereka mahukan khidmat kami tanpa mahu membayar," kata Balbir di Pusat Sukan Universiti Malaya semalam.

"Persatuan dan ISN juga tidak pernah berbincang dengan kami secara profesional. Mereka sepatutnya membentangkan keperluan mereka kepada pakar psikologi, menyatakan masalah dihadapi tapi sebaliknya mereka mahukan jalan pintas.


"Jika Nadzmi cari di seluruh dunia, beliau tidak akan jumpa pakar psikologi sukan badminton kerana kami semua ahli akademik." Beliau menyebut beberapa pakar psikologi sukan di negara ini seperti Dr Lim Bun Hooi (Timbalan Pengarah Akademik Pusat Sukan UM), Dr Ong Kong Swee (Institut Perguruan Rajang), Dr Hairul (HUSM Kubang Kerian), Dr Nel Fianty (UPSI) dan Profesor Hafidz Omar (UTM Skudai).


Balbir yang kini Pengerusi Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Malaysia (AKKM) pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Persatuan Hoki Malaysia (PHM) pada 2009-2010, ahli Majlis Fizikal dan Sains Sukan Asia 2007, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Universiti) serta pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kejurulatihan Hoki 1998-2004.

Mengulas keperluan psikologi atlet, beliau berkata, ahli psikologi tempatan boleh menangani masalah dengan mengenalpasti gangguan dalaman dan luaran atlet serta mencari cara memotivasikan atlet.


"Apa yang berlaku sekarang, kita tidak memperkenalkan latihan psikologi kepada pemain untuk mereka terjemahkan di gelanggang.

"Daripada segi saintifik, kita perlukan pendekatan menyeluruh, bagaimana jurulatih melatih fizikal, teknikal, taktikal dan psikologikal pemain.


"Pendekatan psikologi sukan bukan hanya digunakan apabila pemain itu kalah. Butir-butir psikologi perlu direkod ketika latihan namun yang berlaku di BAM sekarang berbeza.


"Mereka menyebut perkataan psikologi apabila keadaan terdesak, baru mahukan pakar psikologi.


"Keperluan psikologi sukan sama pentingnya dengan latihan fizikal yang memerlukan latihan berpanjangan tanpa henti. "Jika perlukan sangat pakar psikologi, mengapa mereka tidak bersungguh mencari seseorang sebelum Olimpik London, selepas Frederick Tan tidak lagi sedia membantu? "Nadzmi sebagai presiden sepatutnya berusaha melengkapkan pasukan badminton. Adakah kaedah digunakan dalam sistem kejurulatihan itu betul sebelum mereka salahkan ketahanan mental Chong Wei sebagai punca kekalahan kepada Lin Dan?" Balbir juga menganggap tindakan Nadzmi melantik Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai sebagai pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) juga satu tindakan tidak tepat.


"Tindakannya itu tidak guna, setiap tutur kata dikeluarkannya kosong. Saya hairan mengapa Nadzmi tidak berani melantik Razif Sidek memegang jawatan dalam BAM. Razif bertaraf dunia, beri dia masa dua tahun jika tidak berjaya tukar.


"Sebagai presiden, beliau tidak boleh letakkan perbezaan falsafah sebagai penghalang kemajuan sukan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

BAM perlu cari pengganti Kim Her

Posted: 13 Jun 2013 08:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendakwa tiada pakar psikologi sukan bertaraf dunia di Malaysia tapi pakar psikologi Universiti Malaya Dr Balbir Singh Gill menempelak sambil berkata, badan induk badminton negara itu tidak memiliki jurulatih bertaraf dunia kerana barisan jurulatih yang ada tidak memiliki lesen tahap tiga, termasuk Tan Kim Her yang dilantik menggantikan Rexy Mainaky.

"Bagi saya Kim Her tidak bagus tapi mereka mempertahankan jurulatih itu, biarpun tiada keputusan yang baik," kata Balbir.


Berdasarkan kenyataan Balbir itu, tiada alasan kukuh untuk BAM terus menaruh harapan kepada jurulatih yang pernah mencari pengalaman di Korea dan lebih buruk lagi, sejak kembalinya Kim Her ke dalam kem kejurulatihan kebangsaan, masalah pemain beregu makin bertambah.

"Sewaktu di Korea, beliau hanyalah menjadi bayangan kepada kemajuan dihasilkan jurulatih lain." Justeru beliau mahu BAM fokus memulihkan setiap kerosakan yang berlaku dan melupakan jurulatih itu serta gandingan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.


"Sekarang lebih baik fokus kepada pemain dan saya berpendapat Kien Keat-Boon Heong perlu dipisahkan. Jika masih gagal menunjukkan prestasi mantap, gugurkan saja.


"Kita perlu fokus dan mula bergantung kepada pemain muda. Memang terpaksa menanggung derita setahun dua sementara menanti kejayaan tapi sudah tiba masanya BAM memikirkan masa depan," kata Balbir.

Tanpa mahu menyalahkan Kim Her semata-mata, Balbir meletakkan kesalahan besar terhadap BAM kerana tidak memastikan pendidikan berterusan dalam kalangan jurulatih mereka.


"BAM sudah melantik jurulatih tanpa meletakkan garis panduan memiliki lesen mengikut tahap tertentu. Mereka mesti meletakkan tahap kelayakan jika mahu menyatakan mereka memiliki jurulatih bertaraf dunia, bagaimana melaksanakannya terpulang kepada cara sendiri."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Kien Keat-Boon Heong tersingkir awal di Terbuka Indonesia

Posted: 13 Jun 2013 08:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Taring Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mungkin sudah tinggal gusi di Siri Super Premier Terbuka Indonesia apabila kecundang seawal pusingan kedua kepada pemain profesional Indonesia, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido 21-23, 15-21.

Pilihan ketiga kejohanan yang juga gandingan nombor tiga dunia itu masih gagal meletakkan matlamat kemenangan dalam permainan selepas terganggu apabila tewas set pertama hingga membawa kepada kekalahan mudah di set kedua.


"Kedudukan mata dius set pertama menjadi detik penentuan, siapa lebih berani akan menang. Kekalahan itu faktor tewas set kedua kerana pada awal permainan mereka asyik memikirkan punca kalah set pertama lalu lambat untuk bangkit," kata jurulatih Paulus Firman.

"Apabila gagal fokus, lawan mula mendapat keyakinan dan berjaya bermain di tahap terbaik." Begitupun beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir apabila menewaskan pasangan Korea, Yoo Yeon Seong-Eom Hye Won 22-20, 21-16 dan berdepan pilihan kedua tuan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

Harimau gigit jari

Posted: 13 Jun 2013 08:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan jentera serangan memanfaatkan peluang terhidang menyumbang kekalahan skuad kebangsaan pada perlawanan terakhir di Australia apabila kecundang 0-2 kepada kelab Liga Perdana New South Wales (NSW), Marconi Stallions FC di Stadium Marconi semalam.

Tanpa Safee Sali yang sudah pulang ke tanah air susulan kematian ahli keluarganya, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha ditugaskan mengetuai jentera serangan selain dibantu Mohd Amri Yahyah serta Azamuddin Md Akil bagi merobek gawang tuan rumah kendalian Jean Paul de Maringy yang turut menampilkan tujuh pemain jemputan Liga A.


Kelab Australia itu tampil tenang membuat kejutan dengan jaringan minit ke-15 menerusi percubaan dari luar kotak penalti Milorad Simonovic untuk menewaskan Mohd Farizal Marlias di pintu gawang negara sebelum pemain pertahanan, Wade Ostendorp menggandakan jaringan pada minit ke-29.

Tersentak dengan dua jaringan lawan, ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan Farizal, Nik Shahrul Azim Ab Halim dan S Kunanlan bagi menguatkan cabaran skuad negara terutamanya di babak kedua namun tidak membuahkan hasil walaupun menguasai perlawanan.


Bagi bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, kekalahan terbaru ini menimbulkan persoalan selepas mencatatkan kemenangan besar sebelum ini.


"Sebagai peminat dan individu yang sudah lama berkecimpung, saya tertanya-tanya, adakan pasukan ini hanya mempamerkan kebangkitan apabila dikritik? "Andai benar, pengurusan perlu memilih pemain dengan terperinci selepas ini kerana cabaran sebenar, perlawanan kelayakan Piala Asia sudah hampir. Tidak perlu lagi panggil pemain yang tidak komited kerana tumpuan perlu diberikan kepada pemain yang benar-benar mahu menyumbang kepada negara," katanya.

Kekalahan ini menyentap semangat skuad negara untuk meneruskan aksi cemerlang selepas membuat kejutan membelasah Sydney Olympic FC, 4-0 beberapa hari lalu menerusi jaringan hatrik Amri dan Safiq.


Skuad negara membuka aksi persahabatan di Australia dengan tewas kepada Canberra FC 2-3 yang dilaporkan menggunakan pemain sambilan sebelum bangkit membelasah Sydney Olympic FC.

Tiga aksi persahabatan menentang kelab divisyen dua Australia selama dua minggu menjadi ganti kepada skuad kebangsaan selepas dua perlawanan persahabatan berstatus A menentang Singapura dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/13

No comments:

Post a Comment