Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tumpuan dua raja pecut

Posted: 19 Jun 2013 09:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Perlumbaan tertua negara, Jelajah Malaysia bakal membabitkan penyertaan 20 pasukan yang mengibarkan cabaran bermula dari 26 hingga 30 Jun dengan pertempuran juara pecut pasti terarah kepada kepada dua wakil negara, Anuar Manan dan Mohd Harrif Saleh.

Anuar bakal turun bersama pasukan berstatus benua, Synergy Baku Cycling Project manakala Harrif membawa nama TSG selepas kedua-dua pelumba ini berdepan kegagalan di Le Tour de Langkawi (LTdL) hujung Februari lalu.


Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad dalam sidang media Majlis Penyerahan Tajaan Jersi Pecut daripada Milo mengesahkan penyertaan sembilan pasukan berstatus benua, tiga kebangsaan, tiga kelab dan lima ahli gabungan PKBM.

Sembilan pasukan berstatus benua terdiri daripada TSG, OCBC Singapore Continental Cycling Team, Matrix Powertag (Jepun) dan Huon Salmon Genesys Wealth Advisers Pro Cycling Team (Australia), CCN Cycling Team (Brunei), Polygon Sweet Nice (Ireland), Team 7 Eleven (Filipina) dan Team LBC (Filipina).


Tiga pasukan kebangsaan pula adalah Bahrain, Malaysia dan Singapura manakala pasukan kelab pula Team Putra Perjuangan Bandung (Indonesia), Custom Cycling Club (Indonesia) dan Team Corbusier (Sarawak).


Pasukan gabungan PKBM turut mengambil bahagian termasuk dari Negeri Sembilan, Terengganu, Majlis Sukan Negara (MSN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naim berkata, Jelajah Malaysia memberi peluang kepada pelumba untuk memperbaiki ranking masing-masing dan ia adalah peluang terbaik untuk semua pelumba negara meraih mata bagi melayakkan diri ke Kejohanan Lebuhraya Dunia dan juga Sukan Olimpik Rio 2016 .


"Saya harap pelumba negara menggunakan Jelajah Malaysia ini sebagai medan memperbaiki ranking masing-masing terutama di negara Asia. Kejayaan mampu melonjakkan kedudukan mata sekali gus melayakkan diri ke Kejohanan Lebuh Raya Dunia di Florence, Itali September ini," katanya.

Malaysia setakat 25 Mei ini mengumpul 297 mata, manakala Hong Kong gah dengan 396 mata, sementara Iran pula memungut 319 mata. "Jika berjaya ke kejohanan dunia itu, peluang pelumba menambah pungutan mata seterusnya mencari slot ke Rio bagi mengulangi pencapaian 2012 adalah cerah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

'Kenangan paling indah'

Posted: 19 Jun 2013 09:01 AM PDT

Seremban: Kem Milo 'Go Further' siri kedua di padang Sekolah Kebangsaan St Paul, Seremban menjadi kenangan paling indah buat 350 kanak-kanak pelbagai kaum sekitar bandar itu.

Program bermula dengan kanak-kanak diajar kemahiran asas sukan bola sepak, bola jaring dan bola keranjang dikendalikan jurulatih bertauliah diikuti dengan pertandingan. Gabungan KRT Bukit Kaya dan SK St Paul dipengerusi bersama Looi Chan Mun dan Guru Besar SK St Paul, Wong Mei Peng bertanggungjawab menguruskan program itu. Kem sukan yang turut dimeriahkan kehadiran ibu bapa peserta berjalan lancar. Milo memuji komitmen semua pihak terbabit pada hari itu.


Semua peserta program mendapat kameja T dan sijil penyertaan. Empat pasukan terbaik tiga acara sukan turut menerima pingat dan produk Milo. Van Milo yang menyediakan minuman segar Milo sentiasa menjadi tumpuan kanak-kanak dan ibu bapa.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd Ng Ping Loong berkata, kem sukan itu inisiatif Milo untuk membudayakan nilai-nilai positif dalam jiwa kanak-kanak agar mereka membesar dengan penuh keyakinan. "Peserta berpeluang mempelajari nilai-nilai positif kehidupan dan menghayati semangat kesukanan, ketabahan, dedikasi, perpaduan dan disiplin," katanya.


Pertandingan bola sepak 7 sebelah diungguli SK Seremban 2A selepas mengalahkan St Wanderers, 1-0, acara bola keranjang 3 lawan 3 lelaki dimenangi SJKC Sam Min yang menumpaskan SJKC Ma Hwas, 4-2 manakala Paroi GS pula menjuarai kategori perempuan selepas menumpaskan SJKC Paroi A, 5-1.


Acara bola jaring diungguli SK Taman Tasik Jaya selepas membenam SK Sri Seremban, 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Perebutan juara makin sengit

Posted: 19 Jun 2013 09:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Garis pemisah hanya satu mata menyaksikan Sabtu ini penting buat UiTM Shah Alam dan UiTM Perlis untuk menentukan juara Divisyen Satu bola sepak Instiusi Pengajian Tinggi - Liga IPT.

Namun kedudukan ini tanpa mengambil kira peluang Universiti Kebangsaan (UKM) yang menentang Universiti Multimedia di Bangi. Jika skuad anak buah Sulaiman Hussin menang, mereka menyamai 27 mata milik UiTM Perlis dan perebutan gelaran akan membabit tiga penjuru.


Jika juara Piala Menteri Pengajian Tinggi 2012 itu tewas, persaingan tinggal antara 'dua beradik' yang berlangsung serentak jam 4.45 petang.

UiTM Shah Alam melayan kunjungan UKM manakala UiTM Perlis ke Stadium Mini Jitra, menentang Kolej Komuniti Kedah (KKK) yang dibimbing bekas pemain Kedah, Mohamad Ramlee.


Atas kertas, UKM dijangka mudah mengatasi MMU, pasukan corot Divisyen Satu. Ini bermakna UiTM Shah Alam bimbingan Wan Mustaffa Wan Ismail akan berdepan detik paling getir dalam sejarah untuk pasukan itu mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut.


"Selagi peluang masih ada dan terbuka, saya harap pemain tabah hadapi saat getir ini," kata Wan Mustaffa.

Bagi pengendali UiTM Perlis, Manja Man keadaan persaingan kembali tenang.


"Saya harap pemain sedar inilah detik terpenting dan peluang seperti ini tidak selalu datang. "Saya tidak suka menunggu keputusan perlawanan lain. Pemain harus berani dan berusaha keras meraih gelaran bukannya mengharapkan pasukan lain kalah untuk muncul juara."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

UTeM juara bowl MASUM

Posted: 19 Jun 2013 08:59 AM PDT

Melaka: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara kategori bowl Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Jemputan Kebangsaan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor baru-baru ini.

UTeM unggul selepas menewaskan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), 17- 0 pada perlawanan akhir.


Kejohanan anjuran MASUM dengan kerjasama UTM turut disertai pasukan terbaik Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

UTeM bermula garang menewaskan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), 19-7 di peringkat kumpulan namun tewas di tangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 0-12.


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menambah derita selepas menewaskan UTeM, 10-0 namun skuad terbabit layak menyertai kategori bowl.


Jurulatih UTeM Muhammad Afiz Ahmad memperkemas strategi pasukan bagi mengetepikan cabaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), 14-5.

"Kemenangan itu meningkatkan keyakinan pemain untuk menewaskan Universiti Malaysia Pahang (UMP), 19-5 di separuh akhir," katanya.


Sementara itu, pengurus pasukan Razali Yaakob berkata, pemain berazam mencipta kejayaan walaupun gugup pada awalnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Sasar rangkul tiga emas

Posted: 19 Jun 2013 08:45 AM PDT

Seremban: Atlet renang berirama dan polo air Negeri Sembilan sedia melakar kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 Kuala Lumpur 2013 dengan sasaran meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

Seramai 23 atlet dipilih menggalas cabaran untuk melengkapkan keseluruhan 338 atlet dalam kontinjen Negeri Sembilan.


Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Negeri Sembilan (PRANS) Andy Low Siak San (gambar) berkata, renang berirama membabitkan 10 atlet muda seawal usia 11 tahun dengan sasaran dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa bagi mengatasi pencapaian temasya dua tahun lalu dengan satu emas.

Katanya, polo air pula membabitkan 13 atlet dan sasaran ditetapkan ialah satu emas atau perak.


"Persiapan rapi kedua-dua acara itu sudah dilaksanakan sejak pertengahan tahun lalu di Pusat Akuatik Paroi dengan bimbingan jurulatih China, Hu Shu Xia dan hingga kini prestasi semua atlet amat memberangsangkan.


"Bagi renang berirama, saya yakin kami mampu mencatat keputusan lebih baik berdasarkan prestasi atlet yang meningkat dan sudah diuji dalam beberapa kejohanan tempatan sebelum ini.

"Bagaimanapun bagi polo air, pasukan belum begitu melonjak berbanding negeri lain tapi mereka mungkin boleh memberikan tentangan serta melakukan kejutan dengan meraih pingat perak.


"Pasukan polo air akan menyertai satu kejohanan di Melaka hujung minggu ini dan peluang itu bakal digunakan untuk menilai prestasi terkini sebelum SUKMA bermula," katanya di Pusat Akuatik Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

NS Wanderers tekad kekal kejuaraan

Posted: 19 Jun 2013 08:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Negeri Sembilan Wanderers Mohd Mazuri Sallehudin yakin pasukannya akan mengekalkan kejuaraan Power International Royal Sevens, 29-30 Jun ini.

Mohd Mazuri yang juga jurulatih 15 sebelah kebangsaan berkata, Wanderers membentuk pasukan terkuat dekad ini sejak lagenda Fiji, Waisele Serevi membantu mereka meraih gelaran pada 2004.


"Kami berjaya mengumpul kombinasi pemain terbaik terdiri daripada pakar tujuh sebelah berbanding mengadun pasukan 15 sebelah pada edisi lalu," kata Mohd Mazuri.

"Kami meminjam dua pemain antarabangsa Fiji iaitu dari Kelab Ragbi Westfield (Fiji) untuk kejohanan ini dan yakin mereka akan memberi dimensi baru.


"Pemain juga dahagakan kemenangan tahun ini, ketika kelab meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan selain sambutan ulang tahun ke-60 Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan." Dua pemain Fiji adalah Pio Tuwai dan Filipo Nakosi, pemain yang mewakili skuad kebangsaan Fiji yang muncul juara di Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Hong Kong tahun ini dan 2009.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Anggar belanja Sukan SEA

Posted: 19 Jun 2013 08:42 AM PDT

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) diminta menyediakan satu memorandum merangkumi anggaran kos penganjuran Sukan SEA 2017 untuk diserahkan kepada jemaah Menteri berikutan hasrat menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah bagi temasya sukan berkenaan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan menganjurkan Sukan SEA 2017 perlu dibuat menjelang akhir tahun ini iaitu sebelum penganjuran Sukan SEA Myanmar. "Penganjuran ini adalah mengikut giliran dan pusingan negara Asia Tenggara. Justeru, Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia menjadi tuan rumah atau sebaliknya. "Justeru, memorandum itu turut mengandungi anggaran kos secara terperinci dan saya tidak akan mendahului kajian dibuat MSN serta KBS kerana ia mengundang pelbagai implikasi lain," katanya pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan tajaan kepada penganjur SUKMA semalam. Kelmarin, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya bercadang bertemu Khairy selepas mesyuarat agung tahunan badan induk itu Sabtu ini untuk membincangkan penganjuran Sukan SEA 2017. Kok Chi berkata, Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar akan mengadakan pertemuan itu bagi membentang kertas cadangan penganjuran temasya berkenaan memandangkan tahun itu adalah giliran Malaysia menjadi tuan rumah. Khairy berkata, beliau turut menyambut baik hasrat MOM itu tetapi keputusan menjadi tuan rumah hanya boleh dibuat kerajaan. "Keputusan ini bukan keputusan orang lain tetapi kerajaan kerana pembiayaan datang daripada kerajaan. Saya menyambut baik semangat MOM untuk menganjurkan Sukan SEA 2017. "Kita pun mahu temasya sukan ini diadakan di Malaysia tetapi kita juga perlu memikirkan mengenai perbelanjaan duit rakyat kerana itu lebih penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Terengganu intai juara

Posted: 19 Jun 2013 08:41 AM PDT

Kuala Terengganu: Pasukan bola sepak pantai Terengganu berhasrat mahu memastikan acara itu akan menjadi milik mereka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur pada 28 Jun hingga 7 Julai depan.

Biarpun hanya meletakkan sasaran pingat perak, skuad kendalian Wan Adremy Indera Wan Adnan itu berpeluang cerah mencipta kejutan meraih pingat emas.


Ketua pasukan Mohd Fakhrul Izzat Ibrahim, 19, berkata meskipun ia penampilan pertama dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk menghadapi temasya itu.

"Saya tidak nafikan tekanan memang ada, tambahan pula sasaran kami pingat perak. Namun, saya dan rakan sepasukan tidak mahu menjadikan sasaran pingat ini sebagai tekanan, sebaliknya akan dijadikan satu cabaran buat kami.


"Selepas dua bulan menjalani latihan dan tunjuk ajar jurulatih menampakkan peningkatan dari segi keserasian serta kesefahaman kami. Apa pun kami berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan itu nanti," katanya ketika sesi latihan di Pantai Batu Buruk, semalam.


Mohd Fakhrul yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, meskipun pasukan baru dua bulan menjalani latihan pusat, mereka sudah mengenali corak permainan satu sama lain kerana pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan sebelum ini.

Sementara itu Wan Adremy yakin pasukan itu mampu menepati sasaran awal ke peringkat separuh akhir.


Bekas kapten futsal kebangsaan itu berkata, tidak mustahil buat pasukannya itu menepati sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri Terengganu selepas menjuarai kejohanan City Night Games, April lalu dan kejohanan bola sepak pantai terbuka di Pantai Batu Buruk, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Pahang guna jurulatih Brazil

Posted: 19 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuantan: Skuad bola sepak pantai Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang yang mendapat khidmat jurulatih dari Brazil berazam mencipta kejutan pada temasya sukan itu di Kuala Lumpur nanti.

Jurulatihnya, Julius Cesar ternyata teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan anak buahnnya berdepan lawan biarpun tidak mengetahui tahap dan keupayaan pasukan lain.


Biarpun baru seminggu mengendalikan pasukan itu, beliau gembira kerana pemainnya cepat belajar dan memahami serta mempelari kemahiran.

"Berikan mereka masa, tidak mustahil mereka boleh berjaya dan mencapai kemahiran seperti pasukan kelahiran saya (Brazil).


"Berdasarkan pemerhatian saya, mereka ada kemahiran sendiri cuma keyakinan diri dan semangat satu pasukan perlu dipertingkatkan lagi jika mahu meletakkan pasukan pada tahap terbaik," katanya.


Cesar ditemui selepas perlawanan persahabatan yang menyaksikan skuad kendaliannya itu menewaskan Pilihan Cherating, 5-3 di Pantai Cherating.

Hadir sama menyaksikan perlawanan itu pengurus pasukan, Kamarul Ariffin Mohd Shahar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong dan penduduk Kampung Cherating.


Cesar berkata, latihan pasukan akan berterusan setiap hari sehingga temasya berlangsung walaupun jadual perlawanan masih belum diketahui.

Namun, beliau mengakui sedikit bimbang dengan lawan yang bakal dihadapi kerana tidak mengetahui kemampuan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

Johor tekad robek gawang Sarawak

Posted: 19 Jun 2013 08:39 AM PDT

Johor Bahru: Johor tampak sudah memasang impian menggunung untuk merobek rekod tanpa kalah Sarawak apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), petang esok.

Skuad bergelar Merah Biru turut mengintai peluang memintas Sime Darby FC yang masih gah di tangga kedua namun menaruh harapan Kedah mampu menjinakkan anak didik Ismail Zakaria tatkala kedua-dua pasukan turut beraksi, petang esok.


Pengendali Johor Azmi Mohamad yakin kemenangan mampu dijelmakan apabila berdepan barisan kendalian Robert Alberts yang sudah layak ke Liga Super musim depan dan andai tiga mata diraih, peluang Johor tampak cerah untuk mengejar tangga kedua.

"Apapun semua bergantung kepada kemahuan pemain Johor, mereka harus beri lebih 100 peratus pada perlawanan itu malah saya juga berharap Kedah menewaskan Sime Darby pada aksi yang dijadualkan pada sebelah petang. Jika menjadi kenyataan tidak mustahil peluang merebut tangga kedua kembali terbuka.


"Reputasi Sarawak gah dengan rekod tanpa kalah sepanjang aksi liga namun tidak mustahil kita mampu menidakkan penguasaan mereka.


"Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik selepas semua pemain bebas daripada kecederaan dan tiada penggantungan. Gandingan Walter Silva Ariel dan Mohd Farid Ideris akan diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan," katanya.

Azmi juga mengulas posisi tengah akan kembali diperkuat Mohd Khairul Ismail yang bergandingan bersama See Kok Luen dan Ezequiel Gallegos manakala benteng pertahanan pasti menjadi tumpuan apabila Mohd Izuan Jarudin dan Mohd Hairul Nizam Hanif perlu mengekang kelicikan penyerang skuad Bujang Senang, Bobby Gonzales.


Walaupun terkilan hasrat beraksi di sebelah malam tidak kesampaian, bagi Azmi itu bukan alasan kerana Johor sudah serasi beraksi pada petang dan ia dianggap beri kelebihan buat skuad Merah Biru itu yang mahu mengambil kesempatan bermain di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/19

No comments:

Post a Comment