Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tetap fokus

Posted: 23 Jun 2013 11:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee tetap fokus meneruskan perancangannya untuk memastikan skuad bawah 23 tahun negara mampu mengekalkan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan SEA Myanmar penghujung tahun ini.

Malah pengendali dari Melaka itu tidak sesekali terganggu dengan sebarang cubaan, pandangan atau kritikan dilontarkan terhadap skuad kendaliannya. yang kini sedang berkelana menimba pengalaman di Eropah sejak Mac lalu.


"Segala yang saya rancang dan laksanakan perlu dinilai selepas saingan Sukan SEA pada Disember nanti kerana itu matlamat ditetapkan. Apa yang dilakukan sehingga Disember seperti program latihan di Eropah, Sukan Universiti Dunia dan sebagainya akan terjawab (pada Disember) sama ada ia betul, salah atau perlu diperbaiki. Saya tidak akan lari (selepas Disember) kerana ia tanggungjawab saya," katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, tempoh lima bulan pemain Harimau Muda A menentang kelab profesional memberikan aksi berintensiti tinggi walaupun berdepan dengan pasukan divisyen dua kerana menyediakan pengalaman dan pengajaran cukup berguna untuk pemain apabila tiba masanya.


Baru-baru ini kunjungan ke Eropah mendapat pandangan negatif segelintir pihak sehingga ada yang mempersoalkannya.


"Kunjungan ke Eropah salah satu faktor yang mencetuskan kejayaan kita. Semua perlawanan yang kami harungi di Slovakia, Republik Czech dan Austria berintensiti tinggi dan bermutu, sesuatu yang sukar diperoleh jika tidak bertandang ke Eropah," katanya.

Foto

KIM Swee (tengah) pada sesi latihan di Australia.

Pendedahan berterusan skuad Harimau Muda A negara sudah terbukti apabila berjaya menggilap bakat pemain tempatan sehingga dipancing kelab luar negara seperti Nazmi Faiz Mansor (SC Beira-Mar, Portugal), Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim (FC Ryukyu, Jepun) serta beberapa pemain lain lagi.


Mengenai perkembangan semasa Harimau Muda A, Kim Swee berkata, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki namun mereka berada pada landasan tepat.

"Beberapa muka baru yang dibawa jelas masih memerlukan pendedahan berterusan berbanding pemain lama kerana mereka sudah berada pada peringkat tertentu dan membiasakan diri di tahap tertinggi. Jadi pendedahan ini secara tidak langsung memberikan persediaan sepatutnya untuk mereka seandainya pemain utama mengalami kecederaan ketika Sukan SEA berlangsung," katanya.


Harimau Muda A yang berpangkalan di Slovakia kini berada di Austria dan kelmarin mereka tewas 2-4 kepada Vienna FC apabila melepaskan tiga gol dalam tempoh 10 minit pada babak kedua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Azzuddin sah ke AFF

Posted: 23 Jun 2013 11:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Azzuddin Ahmad kini secara rasmi dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bermula 1 Julai nanti namun penggantinya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menjadi tanda tanya.

Sehingga petang semalam, badan induk bola sepak negara itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman rasmi mengenai pengganti Azzuddin.


Azzuddin berkata, beliau menerusi surat pelantikan untuk mengisi jawatan berkenaan semalam sekali gus perlu melepaskan jawatannya di FAM yang disandang sejak September 2007.

"Saya akan meninggalkan FAM penghujung bulan ini kerana sudah menerima surat lantikan sebagai Setiausaha Agung AFF dan akan mula bertugas (di AFF) pada 1 Julai nanti," katanya.


Presiden AFF Sultan Ahmad Shah sebelum ini menawarkan jawatan berkenaan kepada Azzuddin bagi menggantikan Datuk Sri Paul Mony Samuel dengan badan induk bola sepak Asia Tenggara itu kini memerlukan individu yang tepat dan berkebolehan bagi menjalankan tugas besar iaitu melaksanakan rancangan membida Piala Dunia 2034.


Namun pengganti Azzuddin untuk mengisi kerusi panas untuk mengetuai sekretariat di Wisma FAM, Kelana Jaya masih menjadi persoalan walaupun Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan calon utama untuk mengambil alih.

Jika mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah, Hamidin akan menjadi Setiausaha Agung FAM ketujuh selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin (2007-2013).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

JDT ungguli Kelas 3

Posted: 23 Jun 2013 11:16 AM PDT

Melaka: Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mempamer pecutan bertenaga untuk mengungguli perlumbaan Kelas 3 (150cc) Kejohanan Kebangsaan KBS-MAM Kapcai Endurance 2013 di Litar MIMC, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Menampilkan dua gandingan berusia 13 tahun, Mohd Ibrahim Norodin dan Mohd Helmi Azman, mereka melengkapkan 79 pusingan saingan di litar sepanjang 1.5 kilometer dalam pertarungan tahan lasak selama dua jam. Gandingan JDT itu mencatat masa satu jam 38 minit 25.353saat. Tempat kedua milik DMS Racing yang melengkapkan 72 pusingan (1'36:31.068s) dan PMC Cheetah Power 3 (1'39:20.311s) berada di tempat ketiga.


Kejayaan itu membolehkan mereka mendapat tempat untuk beraksi pada Grand Final di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Janua ri depan.

Mohd Ibrahim berkata, perlumbaan mencabar itu sememangnya sudah lama dinantikan selepas menjalani latihan intensif di pelbagai litar go-kart sejak beberapa bulan lalu.


"Kami gembira memandangkan gandingan kali pertama bersama Helmi membuahkan hasil. Motosikal berada dalam keadaan terbaik dan tidak berdepan sebarang masalah sepanjang bertarung sekalipun perlumbaan dihentikan selepas lebih sejam bersaing akibat masalah teknikal. "Kami berharap dapat mengulangi pencapaian sama apabila bertarung di Litar Sepang. Kami berterima kasih kepada bapa, Norodin Jalil kerana menyediakan jentera mantap. Paling penting, kemenangan ini melonjak keyakinan mencari tempat untuk menjadi pelapis Moto3 bagi mengikut jejak langkah Zulfahmi Khairuddin," katanya.


Perlumbaan Kelas 2 (120cc) dimenangi juara bertahan, pasukan Amat Ayam Motor yang menampilkan Mohd Muiz Atrash dan Abu Sofian Karim.

Pasukan itu yang mencatat kemenangan dengan masa dua jam 32 minit 309s, membuat 94 pusingan. Tempat kedua RS Bikers Motorsports (2'01:00.845s) manakala tempat ketiga pasukan Pagoh Moto Cross. Muiz, 18, meluahkan rasa gembira dapat kembali beraksi pada final di Sepang.


"Perlumbaan hari ini (semalam) berjalan lancar sekalipun berdepan cuaca panas berbahang dan jerebu yang membuat ramai pelumba berasa kurang selesa. Apapun, sekarang kami perlu buat persiapan terbaik untuk perlumbaan lebih pantas di Sepang," katanya.

Pasukan Bakri Maju Motor menjuarai perlumbaan Kelas 1 (100cc). Pasukan yang diwakili Muzakir Mohamed dan Mohd Hairudin Md Yatim mencatat 86 pusingan dengan masa 2'01:04.567s. Berada di tempat kedua PWRC Parit Wahid Racing (2'01:11.095s) dan Fatt-Fatt Elf ketiga (2'01:43.915s). Dalam kategori terbuka, pasukan YY Pang, antara pasukan paling berpengalaman dalam arena Cub Prix muncul juara melengkapkan 78 pusingan dengan mencatat masa 1 jam 36 minit 16.799 saat. Hadiah disampaikan Ketua Unit Sukan Bermotor Jabatan Belia dan Sukan (KBS) Mohd Saifuddin Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Amirul intai podium

Posted: 23 Jun 2013 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba remaja, Amirul Hakim Mohd Rizal berharap untuk terus kekal antara pelumba yang mampu merebut gelaran juara keseluruhan Wira musim ini menjelang saingan pusingan lima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak minggu depan.

Amirul yang mewakili pasukan Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu kini menduduki tangga kelima dalam carta keseluruhan Wira dengan kutipan 36 mata, ketinggalan 59 mata kepada pendahulu, Hafiza Rofa (Warner Pumps-YSP).


Pada asalnya, Amirul memulakan saingan musim ini dengan baik untuk menamatkan pusingan pertama (Batu Kawan) di tempat keempat tapi kegagalannya untuk tampil kompetitif pada dua pusingan seterusnya (Melaka dan Terengganu) menyaksikan pencabar utama kategori Wira terus menjarakkan diri dalam carta kutipan mata.

Hanya pada pusingan empat di Muar, Johor pelumba berusia 16 tahun itu berjaya menemui rentaknya semula untuk menghabiskan perlumbaan di tempat kelima.


"Secara jujur, kami sepatutnya berada di kedudukan lebih baik tapi usaha kami tergendala apabila saya sekadar menghabiskan perlumbaan di Melaka di tempat ke-10 dan saingan di Terengganu di tempat ke-12. Keadaan itu membuka peluang buat pencabar utama kelas Wira untuk mengutip mata maksimum dan menjarakkan diri dalam carta keseluruhan," kata Amirul.


"Bagi menghadapi situasi itu, saya akan mengambil langkah agresif pada perlumbaan di Teluk Intan. Hanya dengan cara ini saya berpeluang untuk menamatkan kemarau podium dan merapatkan jurang mata dengan pendahulu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Aidil idam beraksi final

Posted: 23 Jun 2013 11:14 AM PDT

Johor Bahru: "Saya harap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) terima rayuan bagi membolehkan saya beraksi di final Piala FA."

Itu harapan Aidil Zafuan Abd Radzak kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM mengenai surat rayuan yang akan dihantar pasukannya selepas dia dilayangkan kad merah pada perlawanan Liga Super bertemu LionsXII kelmarin.


Aidil berkata, hukuman yang dikenakan ke atasnya terlalu berat berbanding kesalahan dilakukannya terhadap pemain lawan.

"Saya rasa hukuman ke atas saya kurang adil kerana tidak sepatutnya dikenakan kad merah terus sebab itulah kali pertama saya melakukan kesalahan ke atas pihak lawan.


"Pada mulanya saya jangkakan hanya kad kuning tapi bila pengadil layangkan kad merah, saya betul-betul rasa kecewa.


"Pada masa sama juga saya terus terbayang pasti tidak dapat beraksi final Piala FA," katanya.

Menurutnya, dia cukup bersemangat untuk beraksi di final bagi membantu Johor Darul Takzim (DT) menjulang piala pertama mereka selepas sekian lama tapi segala impian itu berkecai begitu saja.


"Saya harap FAM membuat pertimbangan sebaik-baiknya. Jika hukuman kad merah itu ditukar kepada kad kuning pun saya terima asalkan dapat beraksi di final Piala FA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Fandi usaha hantar rayuan hari ini

Posted: 23 Jun 2013 11:13 AM PDT

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (DT) Fandi Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden layangan kad merah secara terus kepada Aidil Zafuan Abd Radzak ketika bertemu Lions XII kelmarin.

Fandi tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas pengadil perlawanan Mohd Zam Zaidi melayangkan terus kad merah kepada Aidil Zafuan selepas dilihat mengasari pemain lawan.


"Kita akan membuat rayuan selewat-lewatnya esok (hari ini) dan cuba tunjuk rakaman video bukti tindakan Aidil Zafuan bukan untuk mengasari pemain Lions XII, Irwan Shah, sebaliknya lebih kepada mencabar bola.

"Saya harap FAM akan pertimbangkan kad merah itu dibatalkan untuk membolehkan Aidil Zafuan beraksi pada final nanti kerana perlawanan itu cukup penting," katanya.


Fandi berkata, beliau sudah kehilangan beberapa tonggak utama sambil mengakui persiapan menghadapi final Piala FA sedikit terjejas.


"Malah aksi menentang FELDA United di tempat sendiri pada Selasa (esok) juga saya sudah kehilangan Andre Francisco Da Silva, Muhammad Nazri Ahmad, Safee Sali dan Safiq Rahim akibat penggantungan satu perlawanan.

"Apapun kami perlu terus harungi baki saingan liga dan perlu mencatatkan kemenangan ke atas FELDA United dengan pemain sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

'Hati saya sedikit kuat pilih Kelantan juara'

Posted: 23 Jun 2013 11:13 AM PDT

Johor Bahru: Pengendali LionsXII V Sundramoorthy meramalkan pertemuan antara Johor Darul Takzim (DT) dengan Kelantan pada final Piala FA, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, bakal menjanjikan saingan sengit.

Meskipun anak buahnya terus berada di landasan tepat untuk mengungguli saingan Liga Super musim ini ketika saingan berbaki tiga perlawanan, Sundramoorthy tetap menghormati kekuatan yang ada pada kedua-dua finalis Piala FA itu.


Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, beliau berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan Sabtu ini.

"Bagi saya peluang agak sama rata untuk kedua-dua pasukan dan sudah pasti kita akan dihidangkan dengan satu perlawanan yang cukup sengit.


"Johor umpamanya mempunyai barisan pemain yang bagus seperti (Leonel) Nunez. Sudah tentu mereka mahu membuktikan sesuatu," katanya.


Bagaimanapun Sundramoorthy juga tidak menafikan kekuatan yang ada pada Kelantan dan berbekalkan pengalaman beraksi di final sebelum ini, beliau menjangkakan gergasi Pantai Timur itu mempunyai sedikit kelebihan.

"Saya tak dapat meramalkan siapa yang akan muncul juara, tapi hati saya sedikit kuat memilih Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Kami perlu rehat!

Posted: 23 Jun 2013 11:10 AM PDT

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berpendapat perlawanan Liga Super membabitkan pasukannya dengan Pahang esok sepatutnya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini.

Ini kerana baginya, tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari bakal memberi kesan kepada tahap kecergasan pemainnya yang akan berdepan Johor Darul Takzim (DT) dalam penentuan juara Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


"Saya berpendapat lebih baik kami diberikan rehat seminggu sebelum perlawanan akhir Piala FA. Jadi pemain akan lebih cergas dan boleh mempamerkan mutu bola sepak lebih baik," kata jurulatih dari Croatia itu kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV esok perlawanan kedua mereka dalam tempoh lima hari dan empat hari sebelum skuad The Red Warriors (TRW) turun mempertahankan kejuaraan Piala FA.


Selepas 19 perlawanan, Kelantan menduduki tangga ketujuh Liga Super, manakala lawan mereka di final Piala FA, Johor DT berada di tangga kedua dan masih berpeluang untuk mencabar kejuaraan liga jika menang ke atas FELDA United esok.


Namun begitu, Hodak tidak mahu masalah jadual padat dijadikan alasan anak buahnya gagal memberikan aksi terbaik di pentas final itu nanti.

"Apa yang kami hadapi (jadual padat) turut dialami Johor DT. Johor DT masih lagi berpeluang mengejar kejuaraan Liga Super jika mereka menewaskan FELDA dan LionsXII (peneraju liga) tewas kepada Perak.


"Saya yakin pemain kami akan lebih bersedia untuk perlawanan akhir FELDA," katanya yang membawa Kelantan memenangi tiga gelaran musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

Kelantan perlu lebih 'bernafsu'

Posted: 23 Jun 2013 11:09 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan seharusnya lebih 'bernafsu' untuk merangkul kejuaraan Piala FA kali ini jika mereka tidak mahu kempunan terlepas aksi Piala AFC musim depan.

Selepas peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super sudah hampir tertutup, salah satu 'pintu' yang boleh digunakan skuad Red Warriors untuk layak beraksi di Piala AFC hanya dengan mengekalkan Piala FA.


Menurut bekas pemain Kelantan Mohd Hashim Mustapha, nilai Piala FA bukan sekadar kemasyhuran bergelar juara tapi Kelantan perlu menewaskan Johor Darul Takzim (DT) pada pertembungan final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini bagi memastikan tempat ke Piala AFC buat musim ketiga berturut-turut.

"Kelantan tidak ada pilihan selain menjadi juara Piala FA kalau mahu beraksi dalam Piala AFC tahun depan. "Bagi saya Piala AFC penting buat Kelantan untuk meningkatkan mutu permainan mereka kerana mereka berpeluang menentang kelab luar dan bukan hanya bersaing di peringkat domestik," katanya kepada Arena Metro.


Kelantan juara tiga gelaran musim lalu terkandas di pusingan kedua Piala AFC kepada kelab Hong Kong Kitchee biarpun skuad kendalian Bojan Hodak itu garang di awal saingan dengan menduduki tangga teratas Kumpulan G.


Hashim, 48, bekas penyerang berbisa Kelantan dengan muncul pemenang Kasut Emas pada 1993 dan 1994 bagaimanapun meletakkan peluang negeri kelahirannya untuk menewaskan Johor DT di pentas final 50-50.

"Bagi saya peluang untuk kedua-dua pasukan menang seimbang, masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan lawan.


"Kelantan sudah membuat pertukaran penyerang import jadi memerlukan keserasian tapi saya lihat Dickson Nwakaeme sudah mula menyesuaikan diri dalam dua tiga perlawanan terakhir ini.

"Selain itu Kelantan juga tidak terlalu bergantung kepada penyerang tulen untuk menghasilkan gol kerana kami memiliki Indra Putra (Mahyuddin), Piya (Badhri Radzi) dan Nor Farhan Muhammad yang bila-bila masa boleh membuat kejutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

KAFA tiada masalah isu RM1,000

Posted: 23 Jun 2013 11:08 AM PDT

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak mahu membantah keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menarik semula cadangan pemberian ganjaran RM1,000 kepada penyokong yang menangkap individu kerana membuat kekacauan pada final Piala FA Sabtu ini.

Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim berkata, FAM berhak menarik balik cadangan itu biarpun ia sudah dipersetujui bersama antara FAM, KAFA dan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) pada mesyuarat awal.


"Terpulang kepada FAM untuk membuat keputusan, bagi pihak kami tidak ada masalah," katanya.

FAM membuat 'pusingan U' minggu lalu dengan menarik balik cadangan pemberian RM1,000 kepada penyokong yang berjaya menangkap mereka bertindak liar pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini dengan alasan mahu mengkajinya terlebih dulu.


Usul itu dikemukakan KAFA yang sudah mempraktikkannya dan terbukti berkesan dalam mengawal tindak-tanduk penyokong dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.


Bagaimanapun cadangan untuk menggunakan marsyal seramai 100 orang daripada penyokong setiap pasukan diteruskan FAM.

Berikutan jaminan polis yang akan menempatkan hampir 2,000 anggota bagi perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) itu, Azman berharap tidak akan timbul sebarang kekecohan sepanjang dan selepas perlawanan.


"Kita yakin dengan keputusan FAM dan jaminan yang diberikan polis, saya berharap tidak ada kekecohan akan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24

No comments:

Post a Comment