Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Malu tak bertempat

Posted: 10 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain badminton negara tidak menggunakan khidmat pakar psikologi disediakan Institut Sukan Negara (ISN) semata-mata kerana mahu mengelak dilabel memiliki mental lemah.

Koordinator Latihan Prestasi Tinggi (HPT) Institut Sukan Negara (ISN) Sean Sturgess berkata, sepatutnya tidak timbul isu pemain tiada tempat untuk berkongsi masalah dihadapi kerana pakar psikologi wanita, How Peck Ngor ditempatkan khas untuk menyelesaikan masalah pemain badminton.


"Peck Ngor sentiasa sedia membantu pemain badminton jika ada masalah. Kini pelbagai pihak menimbulkan isu pemain negara tidak memiliki mental kuat untuk mengekalkan prestasi dan bersaing dengan pemain ternama dunia, mungkin menyebabkan mereka bimbang dilabel atlet yang tidak kuat mental," kata Sturgess.

Menurut beliau, Peck Ngor kini memberi tumpuan terhadap pemain beregu wanita di bawah bimbingan Rosman Razak serta beberapa perseorangan wanita, namun pemain lain masih boleh merujuk kepadanya.


"Peck Ngor juga membuat kajian sejauh mana kebenaran dakwaan menyatakan atlet Malaysia mempunyai masalah kekuatan mental." Namun beliau anggap masalah dihadapi Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sebagai kemelut berbeza dan masih tidak dikenal pasti kerana Peck Ngor belum mendapat kerjasama kedua-dua pemain itu.


"Isu Kien Keat-Boon Heong berbeza dengan pemain lain kerana mereka pernah mencapai tahap tertinggi sebelum ini tanpa bantuan ahli psikologi. "Perkara ini juga menjadi kekangan untuk mereka bertemu kami, apatah lagi apabila dalam kepala masing-masing mempersoal keperluan bertemu pakar psikologi selepas pernah mencapai kejayaan tanpa bantuan mereka.

Foto

CHONG Wei dapat kekalkan prestasi kerana miliki kemahiran mengurus diri, tekanan serta mendisiplinkan diri.

"Perkara sebegini menjadi penghalang kepada pakar kerana mereka juga berasa ragu-ragu untuk menangani masalah itu kerana mereka bukan atlet, apatah lagi menyelesaikan masalah atlet yang pernah beraksi di Olimpik dan Kejohanan Dunia.


"Isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia tapi seluruh dunia." Beliau bagaimanapun mengasingkan kes Datuk Lee Chong Wei daripada pemain badminton negara lain.

"Chong Wei jauh berbeza dan berfikiran amat terbuka dalam soal ini. Dia pernah bekerjasama dengan pakar psikologi kami, Frederick Tan untuk tempoh yang agak lama, antara empat hingga enam tahun. "Hampir setiap hari dia bertemu dan berbincang sedangkan ketika itu, pemain lain langsung tidak menggunakan kepakaran Fred.


"Tidak hairan Chong Wei mampu mengekalkan prestasi kerana dalam dirinya kini ada kemahiran mengurus diri, tekanan serta mendisiplinkan diri. "Justeru kami mengambil pendekatan untuk memberi latihan kepada jurulatih kerana mereka paling dekat dengan atlet. "Kami harap keterbukaan jurulatih demi memajukan sukan Malaysia, jika tidak banyak yang boleh mereka pelajari, sedikit ilmu psikologi mencukupi untuk menangani atlet bermasalah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Impak Messi!

Posted: 10 Jun 2013 08:27 AM PDT

Paris: Argentina diulit kebimbangan terhadap kedudukan penyerang bintang Lionel Messi menjelang kunjungan ke Ecuador bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Kemenangan pada pertembungan itu akan mengesahkan kemaraan juara dunia dua kali itu ke pusingan akhir di Brazil, tahun depan tapi tanpa kelibat Messi, Argentina pasti kurang digeruni.


Mereka kini menerajui kumpulan dengan kelebihan empat mata ke atas Colombia selepas kedua-dua pasukan seri di Buenos Aires Jumaat lalu namun perlawanan itu memperlihatkan betapa pentingnya pemain Barcelona itu kepada pasukannya.

Messi hanya bermain setengah jam dan rakan kelab dan senegara, Javier Mascherano mengaku pasukannya berbeza apabila beraksi tanpa Messi.


"Jika ada yang fikir kami tidak merasai ketiadaannya, mereka silap. Pasti ada sebab kenapa dia menjadi pemain terbaik dunia," kata Mascherano.


Penyerang Manchester City Sergio Aguero turut bersetuju.

"Kami terpaksa merombak corak permainan apabila Messi tidak berada dalam pasukan," katanya.


Masalahnya Messi masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring dialaminya.

Kecederaan itu turut memaksanya dikeluarkan ketika Barca tewas agregat 0-7 di tangan Bayern Munich pada separuh akhir Liga Juara-Juara, bulan lalu.


Menurut media, jurulatih Argentina Alejandro Sabella belum pasti sama ada mahu mengambil risiko menurunkan Messi dalam kesebelasan utama.


Kemenangan membantu Argentina mengumpul 28 mata dan sudah cukup untuk meraih salah satu daripada empat slot kelayakan biarpun pencabar lain turut mencipta kemenangan.


Salah satu pasukan pencabar adalah Uruguay yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia 2010 dan penyandang juara Copa America.


Mereka dalam situasi terdesak apabila hanya memungut dua mata daripada enam perlawanan terakhir kelayakan.


Keputusan itu menyebabkan mereka kini berada di luar kedudukan empat pasukan teratas dan juga tangga kelima bagi perlawanan play-off.


Uruguay menduduki tangga ketujuh, lima mata di belakang Chile yang berada di tempat terakhir kelayakan automatik serta ketinggalan tiga mata kepada Venezuela di tangga kelima bagi aksi play-off menentang pasukan Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Tiada simpati buat Iraq

Posted: 10 Jun 2013 08:27 AM PDT

Doha: Jepun menempah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 selepas seri dengan Australia minggu lalu namun juara Asia itu masih mempunyai misi peribadi pada perlawanan terakhir kelayakan menentang Iraq di Doha, hari ini.

Iraq mengikat Jepun 2-2 di bandaraya Qatar itu 20 tahun lalu dalam perlawanan yang menafikan Jepun slot ke Piala Dunia 1994 dan kegagalan itu dilabel sebagai 'kesengsaraan di Doha' oleh media Jepun.


Dua dekad berlalu, Iraq yang menduduki tangga bawahan Kumpulan B mesti menewaskan Jepun di Doha untuk menghidupkan peluang mereka layak ke Brazil tahun depan.

Jepun tampak tidak akan memberikan simpati meskipun tumpuan mereka turut terarah kepada cabaran Piala Konfederasi.


"Dalam sejarah bola sepak Jepun, kami tidak boleh lupakan bandar ini," kata Shinji Kagawa. "Namun kami mengambil langkah sepatutnya untuk maju ke depan." Keisuke Honda yang menjaringkan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk mengesahkan tempat Jepun ke pusingan akhir Piala Dunia tidak dapat berlatih kerana kecederaan pangkal paha dan bintang Manchester United, Kagawa bakal menggalas tugas selaku pemain perancang.


"Di mana saja saya bermain, saya pasti bersedia. Sangat penting untuk kami menang dan saya harap boleh menamatkan kempen kelayakan ini dengan nota kemenangan sebelum beraksi pada Piala Konfederasi." Jepun meraih satu daripada dua tempat kelayakan automatik Kumpulan B bagaimanapun empat lagi pasukan, Iraq, Australia, Jordan dan Oman masih berpeluang untuk merebut slot kedua itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Hatrik Salah julang Mesir

Posted: 10 Jun 2013 08:26 AM PDT

Johannesburg: Hatrik Mohamed Salah membantu Mesir menewaskan Zimbabwe, 4-2, semalam bagi mengekalkan rekod cemerlang kempen kelayakan Piala Dunia 2014.

Mesir kini mengungguli Kumpulan G dengan 12 mata daripada empat kemenangan namun perlu menunggu hingga Ahad depan bagi mengetahui peluang mereka mengekalkan kedudukan itu selepas pencabar terdekat Guinea kekal ketinggalan lima mata selepas membelasah Mozambique, 6-1 di Conakry.


Congo-Brazzaville dan Tunisia pula seri di Gabon dan Sierra Leone, Sabtu lalu sekali gus menjadikan Mesir pasukan tunggal daripada 40 pasukan di pusingan kedua kekal dengan rekod bersih 100 peratus.

Zimbabwe sekali lagi kecewa di Stadium Nasional, Harare selepas kalah tipis di Kaherah tiga bulan lalu dan mereka kekal di tangga terbawah liga.


Salah yang membantu kelab Switzerland, Basel mara ke separuh akhir Liga Europa tahun ini meletakkan Mesir di depan buat kali kedua sebelum tamat babak pertama dan menyumbat dua lagi gol selepas rehat.


Pemain tengah veteran, Mohamed Abou Trika memastikan pelawat di depan pada minit kelima tapi Musona menyamakan kedudukan pada pertengahan babak pertama sebelum Salah menghasilkan gol pertamanya.

Salah sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-76 dengan pemain gantian Khama Billiat merapatkan jurang buat tuan rumah namun kedudukan itu tidak lama apabila tonggak Mesir itu melengkapkan hatrik bagi memastikan Zimbabwe tewas kali ketiga dalam empat perlawanan.


Meskipun Mesir memenangi Piala Negara-Negara Afrika untuk rekod tujuh kali antara 1957 hingga 2010, mereka hanya tampil di Piala Dunia dua kali dan kali terakhir melakukannya 23 tahun lalu.

Mohamed Yattara dan Sadio Diallo masing-masing menyumbat dua gol untuk Guinea manakala Brahima Traore serta Mohamed Diarra masing-masing menghasilkan satu gol. Helder Pelembe pula menghadiahkan gol sagu hati buat Mozambique menerusi sepakan penalti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Apacs besar hati taja MSSJ

Posted: 10 Jun 2013 08:26 AM PDT

Muar: Pengeluar jenama peralatan sukan badminton terkenal, Apacs tampil penaja rasmi pasukan Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) sepanjang kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Labuan, Sabah, minggu lalu.

Pengurus Apacs Sports (M) Sdn Bhd Jebbery Lim berkata, tajaan berjumlah RM15,000 itu meliputi kelengkapan utama setiap pemain iaitu kemeja-T, seluar, kasut dan stokin kepada seluruh pasukan badminton Johor termasuk pegawai iringan.


Menurutnya, Apacs berbesar hati sekali lagi dapat menaja pasukan Johor di kejohanan bermula 4 Jun lalu, selepas menaja edisi sama di Kedah tahun lalu.

Jebbery berkata, pihaknya berharap tajaan itu menaikkan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang sepanjang kejohanan itu.


"Kami meyakini potensi setiap pemain muda ini dan Apacs mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan mereka," katanya pada majlis penyerahan barangan tajaan kepada di Ibu Pejabat Apacs, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengurus Pasukan Badminton MSSJ Wong Cheng Kong serta jurulatih Mohd Nazman Bakar.

Sementara itu, Cheng Kong berkata, pihaknya berterima kasih kepada Apacs kerana sudi menaja untuk kali kedua berturut-turut.


Pada tahun lalu, MSSJ menduduki tempat keempat dan kali ini mereka berharap dapat membaiki pencapaian dan meraih kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

SKTSW puas hati naib juara olahraga

Posted: 10 Jun 2013 08:25 AM PDT

Sungai Petani: Sekolah Kebangsaan Taman Seri Wang (SKTSW) kempunan lagi untuk bergelar juara keseluruhan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani selepas tamat Kejohanan Balapan dan Padang PKG Sungai Petani 2013, baru-baru ini.

Selaku tuan rumah, SKTSW mengulangi pencapaian tahun lalu apabila mengumpul empat emas, empat perak dan dua gangsa, menjadikan jumlah kutipan 10 pingat berbanding juara, SK Petani Jaya, 6-3-4.


Guru jurulatih Muhammad Jafri Ali berkata, walaupun menghimpunkan barisan atlet berkualiti, sekolah itu masih gagal memintas kontinjen juara tiga kali berturut-turut itu.

"Selepas analisis, semua emas dimenangi melalui acara padang. Ia menunjukkan kami hanya handal dalam kategori itu dan langsung tidak menyerlah dalam balapan.


"Walaupun memberi tentangan, atlet kami tidak berupaya mengatasi SK Petani Jaya yang cemerlang dalam acara balapan," katanya yang dibantu K Murugan.


Bagaimanapun, katanya, kontinjen SKTSW tetap bangga kerana masih mempertahankan gelaran naib juara keseluruhan daripada 15 sekolah PKG Sungai Petani.

SKTSW memperoleh emas menerusi Mohd Irfan Rahaizan (lompat tinggi), Nurul Hidayah Zulkifli (lompat jauh), Hatta Zulkarnain Haidar dan Asyafinaz Aina Salmi masing-masing dalam acara lontar peluru lelaki dan perempuan.


Muhammad Jafri berkata, SKTSW tetap bangga dengan kesungguhan ditunjukkan atlet terutama pelapis yang bakal membawa cabaran bagi edisi tahun depan.

"Atlet konsisten dan kontinjen yakin mereka mampu mengubah kedudukan SKTSW kerana azam kami seterusnya ialah muncul juara.


"Tumpuan selepas ini mesti diberikan terhadap atlet balapan bagi merealisasikan hasrat merampas kejuaraan dimiliki musuh ketat kami, SK Petani Jaya." Perasmian penutupan dan penyampaian pingat dilakukan Guru Besar (GB) SKTSW Hamzah Abdullah diiringi GB SK Bakar Arang Suid Husain dan Setiausaha kejohanan Ishak Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Japerun anjur Kejohanan Takraw Terbuka Melaka

Posted: 10 Jun 2013 08:25 AM PDT

Melaka: Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek akan menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Terbuka Melaka Piala Yang Berhormat Md Yunos Husin, Ahad ini.

Kejohanan julung kali diadakan di gelanggang takraw Japerun Ayer Molek itu menawarkan hadiah lumayan dengan juara membawa pulang RM1,000, naib juara RM500 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing, RM200.


Setiap regu yang mengambil bahagian dikenakan yuran RM50 manakala tarikh tutup pendaftaran pada 14 Jun iaitu dua hari sebelum kejohanan.

Sementara itu, Pengurus Teknikal Pertandingan Darmawan Samsudin berkata, syarat penyertaan terbuka kepada semua peminat sukan sepak takraw dan setiap penyertaan pula dihadkan kepada seorang pemain atau bekas pemain kebangsaan.


"Kejohanan ini bertujuan memberi peluang kepada peminat sukan ini bertanding dalam semangat kesukanan.


"Di samping merebut hadiah ditawarkan, kejohanan ini juga mampu mempertingkatkan mutu serta martabat sukan sepak takraw yang semakin ketinggalan di peringkat antarabangsa selain merapatkan hubungan silaturahim," katanya.

"Kami harap kejohanan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sepak takraw, terutama golongan belia." Undian berlangsung pada Sabtu ini (jam 8.30 malam) di Kompleks Japerun Ayer Molek. Untuk maklumat lanjut, hubungi Darmawan di talian 013-2047172 atau Faizudin (0166843699).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Kemampuan Lin Dan kekal misteri

Posted: 10 Jun 2013 08:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiada siapa boleh menilai kemampuan juara Olimpik, Lin Dan sebelum Kejohanan Dunia di Guangzhou, China selepas menarik diri daripada Terbuka Indonesia, minggu ini dan Singapura, minggu depan.

Pemain yang mendapat wild card khas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ke Kejohanan Dunia pada 5-11 Ogos itu memberi alasan masih dibelenggu kecederaan.


"Saya belum pulih sepenuhnya sejak cedera di Kejohanan Badminton Asia (ABC) April lalu. Selepas beraksi di pusingan awal Sukan Nasional China, saya dapati fizikal saya tidak berada di tahap terbaik untuk pertandingan dan saya putuskan lebih baik membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia," kata pemain itu kepada media China.

Ketiadaannya di Indonesia dan Singapura menyebabkan tiada pencabar, termasuk pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei boleh menilai kemampuan juara dunia empat kali itu (2011, 2009, 2007 dan 2006).


Sejak menang emas Olimpik London tahun lalu, Lin Dan tidak menyertai mana-mana pertandingan hinggalah Kejohanan ABC di Taiwan, April lalu.


Jurulatih Tey Seu Bock berkata, anak buahnya, Chong Wei tidak perlu terlalu memikirkan mengenai musuhnya itu.

"Saya faham orang ramai begitu teruja untuk melihat pertembungan Lin Dan dan Chong Wei tapi itu bukan perkara utama untuk difikirkan kerana banyak lagi yang perlu diberi perhatian.


"Chong Wei perlu mempersiapkan dirinya untuk berada di tahap terbaik. Selain itu, Lin Dan hanyalah seorang pemain sedangkan ramai lagi pencabar mampu menjadi penghalang seperti Chen Long dan Du Pengyu," kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Anak buah Revington tamat badi kekalahan

Posted: 10 Jun 2013 08:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Aksi lebih meyakinkan dipamer anak buah Paul Revington pada siri perlawanan persahabatan ketiga bertemu Afrika Selatan di Pusat Hoki Universiti North West, Potchefstroom semalam apabila meraih keputusan seri 4-4 bagi menamatkan badi dua kekalahan sebelum ini.

Bagaimanapun di sebalik peningkatan prestasi itu, skuad negara masih mengulangi kesilapan sama seperti dua perlawanan sebelum ini apabila mendahului tuan rumah pada awal permainan tapi kecuaian saat akhir meleburkan impian mencatat kemenangan pertama.


Julian Hykes muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan lapan saat sebelum tamat perlawanan untuk mengikat kedudukan 4-4.

Skuad negara berpeluang mencatat kemenangan pertama apabila mendahului lawan 3-0 pada suatu ketika sebelum tuan rumah merapatkan jurang.


Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-27 sebelum pemain veteran Chua Boon Huat menambah gol kedua, dua minit kemudian.


Bersambung babak kedua, Muhammad Razie Abdul Rahim mengukuhkan kedudukan skuad negara apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke-43 menerusi gerakan solo.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Afrika Selatan kembali bangkit meraih gol pertama menerusi sumbangan Taine Paton dua minit kemudian sebelum Pierre de Voux menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-59.


Kapten Afrika Selatan, Austin Smith menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi pukulan sudut penalti tapi Tengku Ahmad Tajudin kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi gol keempat dua minit kemudian.

Namun Hykes menjadi pemusnah dengan menjaringkan gol penyamaan lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

Kemelut berakhir

Posted: 10 Jun 2013 08:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Percakaran antara dua negeri yang ingin membangunkan velodrom tertutup akhirnya diselesaikan dengan cara baik apabila dikhabarkan Malaysia hanya akan memiliki satu velodrom kelas satu.

Sebelum ini Malaysia dilapor bakal mempunyai dua velodrom tertutup dengan Negeri Sembilan bertegas mahukan velodrom itu dibina di Nilai, tapak awal yang sudah dikenal pasti sebelum ini, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut berminat membangunkan velodrom tertutup itu di Cheras, Kuala Lumpur.


Bagaimanapun selepas pertemuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama DBKL, semalam satu persetujuan dicapai dengan rancangan pembinaan velodrom di Nilai bakal dibatalkan.

Timbalan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad (gambar) berkata, beliau dimaklumkan perbincangan membabitkan kedua-dua pihak itu mendapat persetujuan positif dengan hanya satu velodrom kelas satu akan dibina.


"Memang PKBM sudah mencadangkan hanya satu velodrom dibina bagi mengurangkan kos penyelenggaraan dan lebih baik jika kos pembinaan velodrom tertutup itu disalurkan kepada negeri lain demi pembangunan sukan ini.


"Jika cadangan dua velodrom kelas satu ini diteruskan, ia pasti merugikan banyak pihak kerana kita mungkin tidak cukup kejohanan untuk dianjurkan di kedua-dua velodrom ini, malah lebih buruk jika ia menjadi projek gajah putih," katanya. Justeru, hasrat PKBM untuk melihat lebih banyak velodrom dibina mungkin direalisasikan dalam masa terdekat dengan Naim berharap kos pembinaan itu disalurkan kepada lima negeri yang sudah dikenal pasti sebelum ini.

"Saya harap peruntukan itu dapat membangunkan pembinaan velodrom di utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. Ia akan lebih memberi manfaat kepada semua pihak untuk mencungkil lebih banyak bakat peringkat akar umbi yang boleh diketengahkan," katanya. Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan velodrom kelas satu di Nilai pada Bajet 2013.


Namun perkara itu turut mendapat perhatian apabila DBKL berhasrat meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velodrom tertutup yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras dengan harga RM80 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/10

No comments:

Post a Comment