Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'20 tahun masih sama'

Posted: 05 Jun 2013 03:52 PM PDT

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sukar membayangkan perubahan positif dalam landskap bolasepak negara ini.

"Mungkin 20 tahun daripada sekarangpun, kita akan hadapi kemelut sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini tapi mengabaikan pembangunan bakat baru di kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak negara," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.


Tambahnya, ketika dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), beliau dimaklumkan tiada siapapun berada di atas undang-undang dengan segala hukuman dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. "Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim (separuh akhir Piala FA), hukuman dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda itu. "Pada saya, ini bukan soal kewangan tapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya," katanya yang digantung enam bulan oleh FAM sebelum ini.

Tunku Ismail berkata, beliau pernah menyuarakan mutu pengadil yang menyebabkan dirinya didenda dan digantung dengan ramai turut menerima nasib sama.


"Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu penting dalam bolasepak negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. "FAM tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat atau pandangan. Bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal penting.


"Saya sudah menulis surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan namun tidak mendapat maklum balas. Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui situasi sebenar. "Bolasepak bukan entiti persendirian milik mana-mana individu, ia untuk semua lapisan rakyat." Tunku Ismail mendedahkan, PBNJ kelmarin menerima satu surat amaran supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM.

Foto

PENYOKONG Johor DT sentiasa beri sokongan kepada Tunku Ismail.

"FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya sebagai Tunku Mahkota Johor dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung.


"Kenyataan ini bukan bertujuan membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bolasepak tapi untuk mengetengahkan isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu mengenakan denda terhadap saya, saya akur.

"Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM tapi saya ingin menegaskan, saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. "Saya akan mengutamakan Johor dan kerana itu saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM. Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak," katanya yang turut mahu pemegang jawatan FAM telus dan adil.


Tunku Ismail turut menyentuh mengenai bayaran RM15,000 kepada pasukan tuan rumah daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro namun beliau memaklumkan belum melihat satu senpun daripada hasil itu hingga kini.


"FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan membabitkan Johor DT mendapat sambutan di stadium dan televisyen. "Syabas juga diucapkan kepada Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan lain kerana menambah baik landskap bolasepak tempatan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Stefanus menang anugerah AFP

Posted: 05 Jun 2013 10:58 AM PDT

Jakarta: Wartawan Indonesia, Stefanus Teguh Edi Pramono memenangi Hadiah Kate Webb anjuran Agence France-Presse (AFP) untuk laporannya mengenai perang saudara di Syria dan perniagaan dadah di Jakarta, umum Yayasan AFP semalam.

Stefanus, 31, menulis untuk Tempo, kumpulan media dihormati yang melonjak masyhur dengan laporannya yang berani ketika pemerintahan diktator Indonesia Suharto yang melebihi tiga dekad. "Saya bukan orang yang berani, saya sentiasa ketakutan ketika berada di Syria dan di Jakarta Barat (untuk cerita dadah), tetapi ia sesuatu yang perlu saya lakukan," katanya dari Jakarta.


Hadiah Kate Webb dilancarkan pada 2008 sebagai memperingati koresponden AFP di Asia yang menyemarakkan laluan untuk wanita dalam kewartawanan antarabangsa.

Hadiah itu mengiktiraf kerja luar biasa dihasilkan wartawan tempatan Asia yang bertugas dalam keadaan amat sukar dan berbahaya.


Stefanus bakal menerima wang 3,000 euro (RM12,088).


"Stefanus adalah wartawan muda yang sangat bersemangat untuk mendedahkan cerita penting walaupun ia bermakna mempertaruhkan nyawanya berdepan kecederaan atau serangan," kata Pengarah Rantau Asia Pasifik AFP, Gilles Campion.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Belum pasti lagi!

Posted: 05 Jun 2013 10:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Liga kini berbaki tiga perlawanan tetapi kejutan membabitkan dua pasukan teratas minggu lalu menyaksikan saingan merebut gelaran Divisyen Satu bolasepak Liga Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT) masih terbuka sekurang-kurangnya hingga minggu ini.

Sabtu lalu, juara bertahan tiga musim berturut-turut, UiTM Shah Alam diikat 1-1 pasukan corot, Universiti Multimedia (MMU) manakala kuasa baru, UiTM Perlis sedikit terjejas apabila turut terikat 1-1 dengan Universiti Malaya (UM) di Jalan Pantai Baru.


Kemenangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas Kolej Komuniti Kedah (KKK), 4-2 selepas tewas 1-2 kepada UM tiga hari sebelumnya sekadar menyemarak semula saingan yang pada awalnya tampak terarah menobat juara baru, UiTM Perlis.

Jika tiada kejutan Sabtu ini, pertemuan UiTM Perlis dan UiTM Shah Alam di Arau bakal penentu juara dan mencetus kehangatan kerana kedua-dua pasukan dilihat tidak sebulu sekalipun datang dari institusi sama.


"Pertemuan itu pasti sengit," kata pengendali UiTM Perlis, Manja Man. "Selaku juara bertahan, UiTM Shah Alam pasti tidak akan mudah menyerah. Mereka juga ada kelebihan untuk menurunkan beberapa pemain Liga Perdana.


"Ia pasti menyulitkan kami tapi bermain di gelanggang sendiri beri sedikit kelebihan." Pengendali UiTM Shah Alam Wan Mustafa Wan Ismail berkata, pertemuan itu pasti menguji ketahanan mental anak buahnya.

"Walaupun kedudukan agak terdesak, saya percaya baki tiga perlawanan termasuk menentang UiTM Perlis mampu merealisasi impian saya mengekalkan kejuaraan di Shah Alam," katanya.


Namun kedudukan UM dan UKM juga mengancam dua pasukan teratas itu.

UM, juara Piala MASUM dan Piala Universiti Asia Pasifik yang dibimbing Asnan Md Zuki akan menentang tiga pasukan bawahan, KKK, Politeknik Kota Bharu (PKB) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).


Manakala UKM, juara Piala Menteri Pengajian Tinggi berdepan PKB, UTeM, UiTM Shah Alam dan MMU (perlawanan tertunda) pada 6 Julai.


"UKM pasti kembali," kata pengendali Sulaiman Hussin selepas pasukannya ketinggalan dua kali sebelum bangkit mengatasi KKK, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Maria singkir Jelena

Posted: 05 Jun 2013 10:39 AM PDT

Paris: Maria Sharapova terselamat daripada melakukan permulaan buruk mempertahankan gelaran takhta juara bertahan Terbuka Perancis dengan kemenangan 0-6, 6-4, 6-3 mengatasi tentangan sengit Jelena Jankovic pada pertarungan suku akhir penuh mendebarkan, semalam.

Pemain Russia terpaksa mengejar bola ke seluruh gelanggang selama satu set dan 30 minit tetapi ketika seolah-olah hampir ditunjukkan jalan keluar di Roland Garros, dia terus kental mengawal perasaan gemuruh mengukuhkan permainan diperlukannya untuk mengenepikan cabaran berani pemain Serbia itu.


Juara bertahan dan pilihan kedua itu akan menentang pilihan ketiga, Victoria Azarenka dari Belarus, menewaskan Maria Kirilenko dari Russia untuk menentukan aksi di final, Sabtu ini.

"Dia bermain pada perlawanan yang hebat sejak awal dan sangat agresif," kata Maria mengenai lawannya itu.


"Saya tahu selepas set pertama, saya perlu menukar keadaan. Saya terpaksa melupakannya dan maju ke depan. Saya masih merasakan saya berada dalam perlawanan itu dan berjaya memecahkannya pada game pertama(set kedua).


Azarenka, juara Terbuka Australia, menewaskan Maria (Kirilenko) dengan keputusan 7-6 (3) 6-2. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Serena mahu hapus badi 11 tahun

Posted: 05 Jun 2013 10:38 AM PDT

Paris: 15 gelaran Grand Slam dan konsistensi akan menjadi penentu apabila Serena Williams turun menentang Sara Errani dalam aksi semi final, Terbuka Perancis.

Secara ringkasnya hanya ada seorang pemenang dan ia mungkin akan meletakkan pemain Amerika berusia 31 tahun mara ke peringkat seterusnya Sabtu ini bersama-sama Maria Sharapova dan Victoria Azarenka yang berada dalam undian sebelah bawah.


Serena mempunyai misi di Paris meletakkan satu keazaman yang tinggi dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghapuskan badi yang menghantuinya di Roland Garros selama 11 tahun apabila belum sekalipun pernah merangkul gelaran Terbuka Perancis hingga kini.

Perlu berdepan dengan seorang lagi lawan, Serena perlu berhati-hati dengan pemain yang jarang ditemuinya itu, jika tidak dia mungkin akan dikecewakan sekali lagi di gelanggang tanah liat selepas mara ke final tahun lalu di Paris sebelum tewas kepada Maria. "Ia pasti akan menjadi satu permainan yang hebat," kata pilihan utama itu.


"Anda perlu menghargai aksi konsisten lawan. Kami menempuh satu perlawanan yang sukar di Madrid (7-5, 6-2 bulan lalu). Saya akan bersedia.


"Saya gembira beraksi menentangnya di Madrid kerana tahu dia akan datang ke sini untuk bermain dan bersedia untuk bersaing. Dia sangat serius. Saya bersedia untuk itu." Sara memiliki ketinggian 1.64 meter dan berat 60 kg dan pemain muda Itali itu kini bersedia untuk menggegarkan dunia akan berusaha keras memiliki kepakaran di atas gelanggang tanah liat dan kekuatan mental untuk cuba mengawal perlawanan.

Dia mempamerkan kualiti ketika menewaskan pilihan keempat dari Poland, Agnieszka Radwanska 6-4, 7-6 (8/6) dalam aksi suku akhir dan kini bersedia sepenuhnya untuk pertemuan David menentang Goliath, esok.


"Sudah pasti ia akan menjadi sangat sukar kerana dia seorang lawan yang kuat," katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Massa dapat casis baru

Posted: 05 Jun 2013 10:38 AM PDT

Montreal: Pemandu Ferrari, Felipe Massa akan mempunyai casis baru yang akan digunakan hujung minggu ini di Grand Prix Kanada selepas dua kali terbabit dengan kemalangan teruk pada perlumbaan terakhir di Monaco, kata pasukan Itali itu.

Massa merempuh halangan di selekoh Sainte Devote pada sesi latihan terakhir dan turut terbabit dengan kemalangan ketika perlumbaan dengan kemalangan pertama disebabkan oleh kesilapan pemandu dan kedua kerana kegagalan suspensi.


Ferrari dalam laman web mereka berkata, Massa akan menggunakan casis baru yang dibuat semula di kilang Maranello apabila berlumba di Montreal.

Prinsipal pasukan, Stefano Domenicali berkata, pasukan akan turut memberi tumpuan kepada beberapa isu yang timbul untuk diselesaikan.


"Apa yang pasti, pasukan ini begitu bersemangat dan kami berazam untuk melupakan apa yang berlaku di Monaco dan menyifatkan ia sebagai insiden terpencil," katanya.


"Kereta kami sudah membuktikan kekuatan dengan ciri yang baik dalam kebanyakan kes biarpun pada masa yang sama pasukan lain membuktikan mereka lebih pantas," katanya.

"Saya berpendapat litar Montreal perlu membenarkan kami mengeksploitasikan beberapa perkara utama seperti brek kerana ia adalah perkara utama yang akan diberi penekanan di atas litar ini selain perlu terus berusaha memastikan beberapa perkara untuk diperbaiki." Pemandu Sepanyol, Fernando Alonso kini menduduki tempat ketiga keseluruhan untuk Ferarri ketinggalan 29 mata kepada juara tiga kali daripada Red Bull, Sebastian Vettel selepas enam perlumbaan. Massa di tempat ketujuh ketinggalan 62 di belakang pemandu Jerman itu.


Ferrari kini menduduki tempat kedua dalam kedudukan pengeluar tidak pernah memenangi perlumbaan di Kanada sejak Michael Schumacher meraihnya pada 2004. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Pengalaman tonik kejayaan Sayuti

Posted: 05 Jun 2013 10:37 AM PDT

Kuantan: Pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa menjadi kelebihan Mohd Sayuti Zahid apabila menjadi pelumba pertama menamatkan kayuhan sejauh 160 kilometer (km) dengan masa empat jam 15 minit pada edisi kedua jambori berbasikal Kuantan Century Ride 2013 (KCR) atau Kuantan 160, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan bekas pelumba lebuhraya dan velodrom kebangsaan itu menyarung jersi hitam selepas dinobat juara keseluruhan.


Pelumba berusia 29 tahun itu berkata, pada peringkat awal perlumbaan, kayuhannya agak perlahan kerana terpaksa mencari kedudukan terbaik antara peserta yang terlalu ramai.

Bagamanapun, anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan itu nyata memiliki percaturan tersendiri dengan memisahkan diri daripada kelompok besar ketika perlumbaan berbaki 30 km.


"Pada dasarnya ia bukan perlumbaan besar tapi lebih kepada sasaran mencatat masa terbaik individu saja.


"Saya tidak sangka masih dapat melakukan yang terbaik walaupun terpaksa bersaing dengan peserta Singapura dan bekas pelumba kebangsaan sendiri termasuk Syed Mohd Husaini Syed Mazlan," katanya.

Mohd Sayuti yang mewakili Bukit Jelutung Cycling Team (BJCT) berkata, kemenangan itu menebus kekecewaan tahun lalu selepas terpaksa menarik diri apabila tayar basikalnya pancit.


"Saya gembira kerana latihan setiap hari sejak sebulan lalu mengubat kekecewaan tahun lalu." Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut hadir, Pengarah Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Idros Yahya dan Pengarah Tourism Malaysia Pahang Ahmad Faisal Othman.

Hampir 2,000 peserta termasuk dari luar negara menyertai kayuhan Kuantan 160 yang bermula di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Indera Mahkota menuju ke Jabor, Tanjung Lumpur, Pantai Sepat, Cheruk Paloh, Jalan Kuantan-Pelabuhan dan kembali ke UIA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

MPK jagoan Temasya Sukan Antara PBT Pahang

Posted: 05 Jun 2013 10:37 AM PDT

Kuantan: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menggunakan peluang beraksi di halaman sendiri untuk menjinakkan Majlis Perbandaran Bentong (MPB), 2-0 sekali gus muncul juara acara bolasepak Temasya Sukan Antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang Kelima di padang MPK Satu, baru-baru ini.

Skuad bimbingan Jamaluddin Mohd Nor itu mendahului pelawat menerusi jaringan Akmarulnizam Mohd Idris pada minit ke-43.


Pada babak kedua, MPK yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan menambah jaringan menerusi penyerang lincah, Anas Rahimi Mohd Nor m-70.

Jamaluddin berkata, selepas mengharungi jadual perlawanan padat empat hari berturut-turut, pemainnya keletihan hingga gagal mempamerkan aksi sebenar.


Justeru, kejayaan mengalahkan MPB pada perlawanan akhir itu boleh dianggap sebagai bonus terutama apabila menebus kegagalan pada empat edisi sebelum ini.


"Saya menggandingkan pemain muda dan senior. Itulah kelebihan kami pada kejohanan ini. Walaupun aksi kami agak hambar pada peringkat awal namun mereka bangkit hingga berjaya menjulang kejuaraan.

"Latihan selama dua minggu cukup untuk pemain membentuk persefahaman mantap untuk kami muncul juara," katanya.


Temasya Sukan Antara PBT mempertandingkan 19 acara pada kejohanan disertai 12 pasukan itu.

Tuan rumah, MPK muncul juara keseluruhan selepas memenangi tujuh acara diikuti MPB dan Majlis Daerah Pekan (MDP).


Majlis penyampaian hadiah dan penutup kejohanan dilakukan Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob di Dewan Wisma Belia Indera Mahkota.


Zulkifli berkata, mulai tahun depan, temasya itu akan diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir dan untuk edisi 2014, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) menjadi tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

PKBM mohon 'lesen besar'

Posted: 05 Jun 2013 10:36 AM PDT

Putrajaya: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memohon kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengawal segala perlumbaan yang berlangsung di negara ini termasuk memberi penekanan kepada isu keselamatan.

Kebanjiran penganjuran yang semakin meningkat mengundang rasa bimbang PKBM apabila ada segelintir penganjuran yang semakin berleluasa dianjurkan tanpa mendapat kelulusan daripada persekutuan itu.


Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab berkata, bagi mengelakkan penganjuran yang mungkin tidak berkualiti sehingga menimbulkan kemarahan peserta, adalah wajar untuk PKBM memantau penganjuran dengan menetapkan syarat tertentu kepada setiap penganjuran.

Katanya, PKBM kini menimbang untuk mengeluarkan akta baru dengan kerjasama daripada KSB iaitu mewajibkan setiap penganjur yang ingin menganjurkan pertandingan seperti jamboree, karnival, kayuhan santai atau sebagainya agar berdaftar dengan PKBM sebelum menganjurkan sesuatu pertandingan.


"PKBM memang menyokong perkembangan sihat dalam sukan berbasikal ini namun dalam pada yang sama kami tidak mahu melanggar peraturan yang ditetapkan oleh badan dunia UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa).


"Pendekatan ini mungkin dapat mengawal selia perlumbaan yang dianjurkan oleh komuniti setempat dalam membantu kualiti penganjuran agar laporan seperti penganjur menipu wang hadiah atau sebagainya tidak berlaku," katanya.

Abu Samah yang ditemui pada majlis Pelancaran Jelajah 1 Malaysia di Putrajaya yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam, menegaskan, pendekatan ini bukan untuk menunjukkan kuasa PKBM dalam sukan berbasikal di negara ini namun ia adalah hasrat murni PKBM dalam mengawal kes yang tidak sepatutnya berlaku dalam sukan itu seperti yang ditetapkan UCI.


"PKBM turut menimbangkan syarat baru iaitu mengenakan syarat bagi setiap peserta yang ingin mengambil bahagian dalam setiap perlumbaan yang dianjurkan agar mempunyai lesen basikal.

"Ia adalah bertujuan untuk melindungi setiap pelumba dengan insuran sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini," katanya yang turut mengulas isu keselamatan selepas seorang pelumba basikal selepas seorang pelumba basikal pelapis Terengganu, Syafiq Imran Shahril, 15 meninggal dunia akibat dilanggar treler semalam.


Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 anjuran bersama Tourism Malaysia mendapat kerjasama PKBM dan semua peserta yang menyertainya secara automatik dilindungi insuran.


Sementara itu perlumbaan Jelajah Malaysia 2013, membabitkan lima peringkat yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun ini. Perlumbaan peringkat pertama akan bermula dari Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil ke Rembau, Negeri Sembilan sejauh 187.7 kilometer diikuti Rembau-Batu Pahat, Johor (197.6 km), Batu Pahat-Pontian (94.7 km), Johor Baharu-Melaka (206.3 km) dan Melaka-Putrajaya (169.8 km).


Perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 mendapat pengiktirafan kategori 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan menjadi sebahagian kalendar 2012-2013 UCI Asia Tour.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Pesara tentera bukti kemampuan

Posted: 05 Jun 2013 10:35 AM PDT

Putrajaya: Usianya menjangkau kategori warga emas namun ia bukan alasan kepada seorang pesara tentera untuk tidak melepaskan peluang menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia yang berlangsung Ahad lalu.

Melihat kepada tubuh badannya yang kurus, ramai tidak menyangka dengan keupayaan Ahmad Nurdin Mohd Yusop, 71, boleh menamatkan kayuhannya sehingga tamat. Bapa kepada 11 anak serta mempunyai 34 cucu itu berkata, dia tidak melepaskan peluang menyertai acara berkenaan kerana minatnya yang mendalam terhadap sukan itu selain sokongan daripada anak. Menurutnya, dia menceburi sukan basikal sekitar 1980-an iaitu ketika berkhidmat dengan tentera namun minatnya itu terhenti seketika selepas bersara daripada kerjaya berkenaan. "Saya bermula dengan basikal tua sekitar tahun 1980 dan pernah menyertai acara berkaitan basikal diadakan di seluruh negara.


"Malah, saya pernah mencuba untuk menyertai satu pertandingan di England pada 1989, tetapi mengambil keputusan melupakannya pada saat akhir kerana tidak fasih berbahasa Inggeris," katanya. Ahmad Nurdin berkata, dia kembali aktif dalam aktiviti berbasikal kira-kira tiga tahun lalu dan sering menjalankan aktiviti berkenaan di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Batu Gajah, Perak. "Paling dekat jarak kayuhan ialah sejauh 20 kilometer (km) tetapi paling jauh sekitar 70 hingga 80 km dan kebiasaannya saya melakukan aktiviti berbasikal seorang diri," katanya. "Saya tidak seperti orang lain yang mengayuh basikal menggunakan model canggih dan mahal tetapi saya menggunakan model biasa kerana saya melakukan aktiviti ini semata-mata untuk kesihatan," katanya. Ahmad Nurdin yang berasal dari Batu Gajah, Perak berkata sejak terbabit dalam aktiviti itu, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan bersyukur tubuh badannya sentiasa sihat berikutan aktif berbasikal.

"Saya bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik, malah masih berupaya berbasikal setiap hari dengan jarak yang jauh. Sebab itu, saya tidak mahu terlepas peluang menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia kerana sekurang-kurangnya boleh mempromosi aktiviti menyihatkan badan kepada orang lain. "Bagaimanapun, saya sedikit kecewa kerana terlewat sampai ke sini (tempat pelepasan) kira-kira jam 8 pagi sedangkan semua peserta sudah berlepas kira-kira 7.30 pagi," katanya. Namun katanya, kelewatan itu tidak menghalangnya untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan kerana nama sudah didaftarkan oleh anaknya bagi acara jamboree.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

No comments:

Post a Comment