Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hak peribadi TMJ

Posted: 06 Jun 2013 08:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengkritik badan induk bolasepak itu sebagai hak peribadinya.

"Itu hak dia, bukan saya perlu jawab. Kami terbuka dan sedia menerima kritikan. Jika ada kebaikan, ia perlu dijadikan iktibar dan kita tidak boleh lari.


"Mungkin kata-kata TMJ itu ada kebaikan tapi jika ada fakta yang salah, ia perlu diperbetulkan," kata beliau ditemui selepas merasmikan Piala Guruhara di Kelab Aman, Kuala Lumpur semalam.

Meskipun Tengku Abdullah memegang status orang nombor dua FAM, beliau meminta setiap persoalan ditujukan kepada pengurusan FAM.


"Saya hanya seorang daripada anggota Majlis FAM dan tidak boleh memutuskan sesuatu perkara bersendirian." Kelmarin dalam kenyataan kepada media, Tunku Ismail menegaskan FAM tidak akan berubah meskipun 20 tahun akan datang sekiranya terus mengamalkan polisi tidak betul dan menjatuhkan hukuman secara tidak adil.


Antara dakwaan TMJ adalah hukuman gantung daripada tugas presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) kerana mengkritik, dalam masa sama, Johor Darul Takzim dijatuhkan hukuman oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) bukannya Jawatankuasa Tatatertib mengenai insiden separuh akhir Piala FA di Pahang dan tidak dibenarkan merayu.

Foto

TENGKU Abdullah (kiri) bersalaman dengan peserta Piala Guruhara.

Tunku Ismail juga menyelar polisi FAM yang lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea sekali gus mengabaikan pembangunan bakat dalam kalangan belia.


"Kes Tunku Ismail rasa saya tidak adil dikenakan denda kerana saya tidak ada dalam negara. Eloklah FAM yang menjawabnya. Isu hukuman dijatuhkan JKPT dan bukannya Jawatankuasa Tatatertib, itu terpulang kepada JKPT dan lebih baik rujuk kepada mereka," kata Tengku Abdullah lagi.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) berharap skuad hoki negara dapat mencuri satu slot ke Piala Dunia 2014 dan merebut peluang selaku penganjur separuh akhir Liga hoki Dunia, di Taman Daya, Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Cabaran muay thai jana minat

Posted: 06 Jun 2013 08:47 AM PDT

Bachok: Bahang Cabaran Tinju Antarabangsa MUAY Melayu selama tiga hari bermula esok di Pantai Irama, mula dirasai apabila 30 peserta mewakili tujuh kelab sedia memulakan cabaran.

Kejohanan bertaraf antarabangsa pertama kali diadakan di Bachok itu bakal melakar sejarah tersendiri kerana disertai peserta hebat dari Brazil, Scotland, Thailand dan Laos.


Penganjur kejohanan, Persatuan Boksing Jajahan Bachok (PBJB) optimis pertandingan itu mendapat sambutan seluruh peminat kerana ia turut menampilkan peserta hebat tempatan.

Presiden Azril Mohd Zawawi berkata, peserta tersohor dari Laos, Saiponn Ron akan dicabar peserta tempatan, Kamal Pee Aik dari kelab N33 Pulai Chondong manakala San Sutt Cosomuay Island, Thailand berdepan Mat Ropi (Kelab Kuda Merah ATM Malaysia).


"Seorang lagi wakil Kuda Merah ATM, Emy turun menentang Bruce Cameron dari Scotland dan Eyoo dari Kelab Selendang Kuning Bachok dicabar Pran Eikk dari Thailand.


"Perlawanan antara Andree Alberto dari Brazil dan Eddy dari Selendang Kuning Bachok turut dijangka menjadi tumpuan kerana peserta Brazil itu dikatakan memiliki beberapa tali pinggang kejuaraan sepanjang pembabitannya di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri dua ahli jawatankuasa kejohanan, Mohd Azman Ghazali dan Zaharbi Shaari. Menurut Azril, kejohanan itu menampilkan satu regu silat cantik dan dua regu taekwando selain perlawanan tinju membabitkan peserta remaja dan veteran.


"Kami bawa dua peserta veteran, Mazlan Eskim dari Pasir Mas dan Sota dari Bachok sebagai motivasi kepada golongan muda untuk meneruskan perjuangan dalam sukan mencabar ini.

"Kejohanan yang julung kali diadakan ini usaha kami mendedahkan peminat setempat dengan kejohanan berprestij kerana sebelum ini, ia diadakan di Kota Bharu, selain harga tiket berpatutan iaitu RM15 untuk dewasa dan RM10 kanak-kanak," katanya.


Sehubungan itu, pihaknya bercadang mengadakan kejohanan lebih besar di Bachok andai kejohanan ini mendapat sambutan memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

KotaSAS-IBIL tempah slot ke final

Posted: 06 Jun 2013 08:47 AM PDT

Pekan: Pasukan KotaSAS-IBIL terpaksa berhempas sebelum mencatat kemenangan tipis 6-5 ke atas Thai Polo untuk melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Klasik Diraja Pahang 2013 di padang Kelab Polo Diraja Pahang, Pekan, kelmarin.

Lawan KotaSAS-IBIL pada pertemuan akhir ialah Ranhill Polo yang berjaya menewaskan Royal Pahang, 10-6 1/2.


Pertemuan KotaSAS-IBIL dengan Thai Polo berlangsung sengit apabila masing-masing mempamerkan kemahiran tinggi untuk memburu tempat ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, KotaSAS-IBIL yang diketuai Tengku Amir Naseer, Datuk Zekri Ibrahim, Manuel Crespo dan Julio Novillo dinobat pemenang sejurus tamat chukka terakhir.


Tujuh pasukan tempatan dan luar negara menyertai kejohanan yang turut menampilkan beberapa pemain profesional dari Argentina.


Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menyaksikan perlawanan separuh akhir itu.

Peminat polo, Ramli Sulaiman berkata, kehadiran ramai pemain profesional menambah kemeriahan serta kualiti permainan.


Menurutnya, sambutan peminat tempatan pada kejohanan itu bertambah setiap tahun terutama apabila dapat menyaksikan ramai pemain terbaik dunia beraksi termasuk Tengku Abdullah yang menjadi antara pemain terbaik di negara ini.

"Saya harap lebih banyak pasukan menyertai kejohanan ini pada masa akan datang untuk memeriahkan pertandingan.


"Kejohanan ini sudah sebati dengan peminat sukan polo tempatan dan ia menghimpunkan pasukan dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Smart FC jagoan liga bolasepak PSBB

Posted: 06 Jun 2013 08:45 AM PDT

Butterworth: Pasukan Smart FC dari Perai muncul juara Liga Bolasepak Terbuka 2013 anjuran Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB) di SK St Mark Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000 selepas menewaskan Sendayan FC dari Butterworth, 2-1 pada perlawanan akhir.


S Silambarasan muncul wira Smart FC apabila menjaringkan gol kemenangan.

Kapten Sendayan FC Mohd Faisol Mansor berkata, biarpun tewas, keupayaan mara ke final membanggakan pasukan.


Selaku naib juara, mereka meraih RM800. Tempat ketiga dimenangi Rangers FC dari Bukit Minyak dan keempat Ukas FC dari Kepala Batas.


Setiausaha pertandingan Zainal Fitri Yusoff berkata, 20 pasukan dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis menyertai kejohanan.

"Sambutan pasukan luar Pulau Pinang menggalakkan dan kami akan menganjurkan satu lagi kejohanan September ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Minta velodrom dipercepatkan

Posted: 06 Jun 2013 08:44 AM PDT

Seremban: Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) berharap cadangan membina velodrom tertutup yang dirancang di Nilai, Negeri Sembilan dipercepatkan supaya aktiviti pembangunan sukan itu serta penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa dapat dijalankan.

Timbalan Presiden PLBNS Yunus Ibrahim berkata, pihaknya menanti pembinaan velodrom itu menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat kerana PLBNS dalam usaha menjadikan persatuan itu setanding dengan persatuan lain di peringkat antarabangsa.


Katanya, Negeri Sembilan sudah berjaya melahirkan ramai pelumba muda berbakat dan mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa hasil program pembangunan berterusan yang dijalankan selama ini.

"Justeru, dengan adanya velodrom tertutup itu, sudah tentu program pembangunan sukan berbasikal negara dan Negeri Sembikan dapat dilaksanakan dengan lebih mantap, melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa.


"Ini kerana kemudahan itu akan dapat digunakan sebagai pusat latihan bagi pelumba mencapai prestasi terbaik sebelum menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.


"Walaupun ada cadangan pihak lain untuk membina velodrom tahap satu di Kuala Lumpur, namun PLBNS berharap rancangan awal membina kemudahan itu di negeri ini dapat direalisasikan," katanya.

Yunus berkata, setakat ini PLBNS berjaya melahirkan beberapa pelumba muda bertaraf antarabangsa antaranya Amirul Anuar Jefri, Mohd Ekbar Zamanhuri, Ahmad Fahmi Farhan Ahmad Fuat dan Abdul Rashid Ibrahim yang beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 sekali gus memperlihatkan petanda positif terhadap perkembangan kemajuan sukan itu di negeri Adat Perpatih itu.


Katanya, bagaimanapun pencapaian itu belum mencukupi kerana banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk membantu negara melakar kejayaan di persada dunia.

"PLBNS dengan sokongan kerajaan negeri akan terus berusaha membangunkan sukan lumba basikal di negeri ini termasuk mengadakan lebih banyak kejohanan tempatan bagi mencungkil bakat baru selain misi lebih besar meletakkan PLBNS sebaris dengan kelab lumba basikal antarabangsa."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Habuan lumayan atlet Tok Gajah

Posted: 06 Jun 2013 08:43 AM PDT

Kuantan: Insentif RM3,000 dan RM1,000 menanti atlet Pahang yang membawa pulang emas acara individu dan berpasukan pada temasya SUKMA XVI di Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Selain itu, Kerajaan Pahang turut menyediakan insentif RM2,000 kepada individu yang memenangi perak manakala RM1,000 untuk gangsa dan atlet berpasukan yang berjaya memenangi perak dan gangsa pula akan menerima wang tunai RM600 dan RM400.


Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi berkata, insentif itu diberikan bagi memberi suntikan semangat buat atlet Pahang yang akan bersaing di SUKMA.

Katanya, penghargaan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk melahirkan atlet cemerlang di semua peringkat.


"Oleh itu, atlet yang membawa cabaran Pahang ke Kuala Lumpur perlu mempamerkan pencapaian gemilang untuk sekurang-kurangnya melepasi pencapaian satu emas yang dimenangi pada SUKMA 2011," katanya.


Pada SUKMA 2013, kontinjen Pahang menghantar 264 atlet, hanya menyertai 16 daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Nik Nasaruddin berkata, Datuk Dr Omar Othman yang juga Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) akan mengetuai kontinjen Pahang ke Sukma XVI.


"Sebelum ke Kuala Lumpur, atlet akan menyertai kem motivasi di Pusat Konvensyen Bukit Cherengin, Janda Baik, Bentong pada 20 hingga 23 Jun ini.

"Simbolik penyerahan bendera kontinjen SUKMA XVI akan diadakan pada 23 Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Pelantikan tak sah: Ramanieswaran

Posted: 06 Jun 2013 08:42 AM PDT

Ipoh: Rumah siap pahat berbunyi! Begitulah keadaan yang menimpa Persatuan Hoki Bandaraya Ipoh (PHBI) apabila Timbalan Presiden S Ramanieswaran mendakwa ahli jawatankuasa persatuan yang dilantik pada mesyuarat agung tahun lalu tidak sah.

Ini kerana mesyuarat pada 20 Oktober tahun lalu di Ipoh itu turut dihadiri perwakilan dari bukan ahli gabungan PHBI iaitu Bank CIMB Cawangan Greentown Satu, Ipoh.


"Semakan mendapati Bank CIMB Cawangan Greentown Satu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) atau Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

"Justeru itu ia tidak boleh menjadi ahli gabungan PHBI seperti yang termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaan Persatuan," katanya.


Ramanieswaran, anggota jawatankuasa penggal 2010/2012 tunggal terpilih semula pada mesyuarat agung itu berkata , bank terbabit pada mulanya memberitahu jawatankuasa lama PHBI, tidak akan menghantar perwakilan ke mesyuarat yang pada mulanya dijadualkan pada 22 September 2012 itu kerana tidak mempunyai kelab hoki yang aktif di Ipoh.


"Bagaimanapun apabila mesyuarat pertama itu ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku, bank itu mengutus surat kepada setiausaha PHBI ketika itu, B Mohana Raj menamakan dua calon ke mesyuarat diadakan semula pada 20 Oktober itu.

"Mesyuarat agung itu berlangsung seperti dijadualkan walaupun timbul keraguan mengenai keahlian bank itu dan semakan selepas itu mendapati mereka bukan ahli gabungan PHBI," katanya.


Berikutan berlaku perkara yang tidak betul pada mesyuarat itu Ramanieswaran berkata, lapan ahli gabungan terdiri daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kelab Rekreasi dan Sosial Ipoh Lads, 2 Rejimen Renjer, Kelab Sukan, kebajikan dan Sosial Hospital Raja Permaisrui Bainun (Medicals), Kelab Sukan 30-50 Ipoh, Majlis Sukan India Perak (MSIP), Kelab Old Andersonians dan Kelab Sukan Malayan Banking meminta mesyuarat agung khas (EOGM) diadakan bagi mengisytiharkan mesyuarat 20 Oktober itu tidak sah dan terbatal.

"Malangnya hingga ke hari ini jawatankuasa PHBI yang dilantik pada mesyuarat agung itu tidak mengendahkan permintaan lebih separuh daripada ahli gabungan itu.


"Malah Pejabat Pesuruhjaya Sukan turut meminta tindakan diambil bagi memperbetulkan keadaan dalam tempoh 90 hari melalui suratnya pada 18 Februari lalu.


"Ini bermakna tempohnya sudah cukup. Justeru bagi saya, jawatankuasa PHBI yang ada sekarang tidak sah serta tidak boleh melaksanakan sebarang aktiviti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

'Riki' laluan sebelum digunakan

Posted: 06 Jun 2013 08:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan arahan kepada semua jurulatih supaya mengambil pendekatan berhati-hati dan memantau laluan latihan atau pertandingan, sebelum membenarkan atlet berbasikal negara menggunakan trek terbabit.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata, aspek keselamatan atlet perlu diberi perhatian serius apa lagi membabitkan sukan berprofil tinggi seperti berbasikal.


"Hari ini (semalam) saya arahkan pegawai mengeluarkan arahan kepada semua jurulatih di seluruh negara supaya menitikberatkan aspek keselamatan dalam latihan mahupun pertandingan.

"Jurulatih hendaklah membuat pemeriksaan laluan atau 'riki' jalan raya yang akan digunakan. Mereka hendaklah memastikan keselamatan bukan hanya aspek laluan trafik malah memastikan keadaan laluan tidak berlopak atau berlubang," kata Zolkples yang tidak mahu insiden menimpa Muhammad Shafiq Imran Syahril, 15, di Terengganu berulang lagi.


Kelmarin, Shafiq maut dalam latihan berbasikal di jalan raya selepas bergesel dengan rakan sepasukan sebelum jatuh ke arah hala bertentangan ketika menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur.


Tambah beliau, hanya pendekatan berhati-hati mampu mengelak kejadian sedemikian kerana dalam acara lebuh raya, atlet berbasikal tidak dapat mengelak daripada menggunakan kemudahan awam seperti jalan raya kerana mustahil untuk membina satu trek khas lebuh raya untuk mereka menjalani latihan.

Zolkples juga mengesahkan keluarga Shafiq akan mendapat pampasan insurans RM25,000 daripada insurans berkelompok yang diuruskan MSN.


Mengulas cadangan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mahu penggunaan 'marsyal' pada setiap sesi latihan dan pertandingan, beliau memuji cadangan itu sambil berkata: "Cadangan itu bagus tapi kita perlu fikir daripada segi praktikal, apakah kita mampu melaksanakannya atau tidak.

"Jika penggunaan 'marsyal' diwajibkan, mungkin akan menjejaskan latihan atau pertandingan kerana ia membabitkan kos."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

KLCC United, Mix FC juara cabaran Futsal KFC

Posted: 06 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan KLCC United muncul juara kategori lelaki sementara Mix FC mengungguli kategori wanita pada Kejohanan Cabaran Futsal KFC di Sports Planet Ampang, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali diadakan itu menarik penyertaan 64 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita anjuran KFC bersempena OctTwtFest yang menjadi acara tahunan 'TwitterJaya' membabitkan pengguna Twitter di Malaysia berkumpul dan bersosial.


Pengarah Urusan Jenama QSR (M) Holdings Sdn Bhd, operator KFC Malaysia, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, kejohanan bertujuan mengumpulkan remaja dan golongan dewasa dalam kejohanan menyeronokkan serta menyihatkan.

"Memandangkan sebahagian mereka adalah pelanggan setia KFC, saya gembira dapat meluangkan masa bersama mereka dalam acara sukan.


"Malah, saya harap acara ini akan menjadi permulaan terbaik untuk diteruskan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Khairy kagumi YAKEB

Posted: 06 Jun 2013 08:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Inisiatif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menjalankan tanggungjawab membela nasib bekas atlet kebangsaan dikagumi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Sangat bagus, bertepatan dengan visi diperjuangkan, ia usaha murni yang perlu dititikberat kerana bekas atlet banyak berjasa, teruskan tanggungjawab ini," katanya. Terdahulu beliau hadir bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong meluangkan masa melawat Hall of Fame (Dewan Kemasyuran) YAKEB di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Kehadiran mereka disambut meriah barisan lagenda sukan tanah air seperti Datuk Santokh Singh, Datuk Malek Noor, Datuk M Rajamani, Datuk Nashatar Singh, Reduan Abdullah, Hidayat Hamidon dan ramai lagi. Khairy yang tertarik melihat konsep Hall Of Fame tersebut berkata: "Satu idea dan konsep yang baik, menarik perhatian, lebih banyak maklumat dapat dimuatkan, pastinya menjadi satu revolusi baru." Pada kunjungan itu, Khairy turut mewakili YAKEB menyampaikan sumbangan insurans berjumlah RM31,000 kepada Noriza Md Zain, isteri bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Allahyarham Rasid Yahya yang meninggal dunia pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

No comments:

Post a Comment