Harian Metro: MetroPlus |
- Kera masuk kampung
- Najis lembu 'hiasi' taman
- Tarik 30,000 pengunjung
- Huni rumah reput
- Usah lepas!
- Mohon baiki alatan taman mainan uzur
- Rumah merekah
- Lubang maut
Posted: 27 Dec 2012 12:52 PM PST KLANG: Kawasan hutan yang semakin berkurangan di daerah ini menyebabkan penduduk Kampung Sementa, di sini, diancam kehadiran kera yang mengganggu kehidupan penduduk sejak empat bulan lalu. Lebih membimbangkan, kumpulan kera itu bukan saja mengganggu penduduk, malah menyebabkan persekitaran kawasan kotor apabila tong sampah penduduk diselongkar dan ada juga yang menceroboh rumah untuk mencari makanan. Malah, kumpulan kera itu turut merosakkan tanaman penduduk seperti pisang, tebu dan beberapa pokok hiasan. Bekas kakitangan awam, Ehsan Ahmad, 46, berkata, sekurang-kurangnya 20 kera liar sering berkeliaran mencari makanan di kawasan kebun di depan rumahnya walaupun belum ada kes serangan haiwan itu ke atas penduduk. DI SANA...Ehsan menunjukkan kawasan tumpuan kera berkeliaran.
"Selain itu, kami bukan saja takut diserang, tetapi menghadapi masalah untuk menjemur pakaian di ampaian. Pakaian disidai perlu disepit bagi mengelakkan ia dilarikan," katanya. Ehsan berkata, kumpulan kera itu berkeliaran di kawasan kampung berkenaan tanpa mengira masa, tetapi lebih ketara ketika tengah hari dan petang dipercayai untuk mencari makanan. "Kera berkenaan seperti mengetahui aktiviti harian manusia kerana menjelang tengah hari, lebih banyak kera berkeliaran berikutan pada waktu itu kebanyakan penduduk menyediakan makanan. "Saya bimbang dengan tahap keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak kerana kera berkenaan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa dan boleh mendatangkan kecederaan," katanya. Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlakunya kejadian tidak diingini. Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kera yang mengganggu penduduk di kampung berkenaan. Menurutnya, pihak Perhilitan sudah memasang perangkap dan menangkap 65 kera yang sering berkeliaran di perumahan penduduk. "Sukar untuk menghapuskan kera yang berkeliaran kerana kawasan berkenaan berhampiran dengan hutan paya bakau yang menjadi habibat asal haiwan berkenaan. "Namun, kami akan menjalankan pemantauan berterusan untuk memastikan keadaan terkawal dan beruk yang berkeliaran tidak mengganggu penduduk," katanya. Katanya, orang ramai yang mempunyai masalah mengenai kehadiran kera di kawasan perumahan mereka boleh menghubungi Pejabat Perhilitan Pelabuhan Klang di talian 03-55193915 untuk menyalurkan maklumat. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28 |
Posted: 27 Dec 2012 12:48 PM PST JASIN: Lebih 200 penduduk Taman Rim Baru Fasa Dua, di sini, mengeluh berikutan berdepan masalah lambakan najis lembu di hadapan rumah mereka sejak setahun lalu. Penduduk, Mohd Rizal Samsudin, 28, berkata, masalah najis lembu itu berlarutan sejak tiga tahun lalu dan keadaan bertambah teruk setahun lalu. "Hampir setiap pagi, penduduk berdepan kawanan lembu berkeliaran di hadapan rumah sehingga menyukarkan kami keluar bekerja. "Selain itu, penduduk terpaksa membersihkan najis lembu yang bertaburan di hadapan rumah dan sepanjang taman perumahan ini," katanya ketika ditemui di taman berkenaan.
"Pada waktu siang, lembu itu tidak kelihatan di kawasan perumahan kami namun najisnya bertaburan atas jalan di hadapan rumah," katanya. Seorang lagi penduduk, Mohd Ariff Ramli, 26, berkata, dia terpaksa menutup pintu rumahnya setiap hari bagi mengurangkan masalah bau najis lembu yang bertaburan di hadapan rumahnya. "Kedudukan rumah saya betul-betul di hadapan padang permainan lokasi kegemaran lembu berkenaan. "Saya bingung dan rimas dengan keadaan ini kerana terpaksa menahan bau busuk selain segan untuk mempelawa saudara-mara serta rakan datang berkunjung ke rumah," katanya. Penduduk lain, N Ganesan, 36, berkata, dia dan penduduk kampung sudah beberapa kali mengadukan perkara itu kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) namun sehingga kini tiada tindakan. "Saya dan penduduk sudah berulang kali membuat aduan melalui telefon dan bertemu mereka di pejabat namun sehingga kini tiada perubahan. "MPJ memberitahu beberapa anggotanya sudah membuat rondaan di kawasan berkenaan namun sehingga kini masalah ini tidak berakhir," katanya. Dia berharap, pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah lembu berkeliaran dan najis lembu di kawasan itu. Sementara itu, Yang Dipertua MPJ, Murad Husin berkata, pihaknya membuat rondaan di kawasan berkenaan apabila menerima laporan penduduk. "Bagaimanapun, ketika rondaan dilakukan, kami tidak menemui haiwan itu dan anggota MPJ akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan. "Pihak MPJ akan menangkap haiwan ternakan itu dan mengenakan kompaun RM500 seekor terhadap pemilik lembu terbabit," katanya di sini. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28 |
Posted: 27 Dec 2012 12:47 PM PST KULIM: Pesta Flora Kulim 2012 yang berlangsung di pekarangan Medan Usahawan, di sini, baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila dikunjungi 30,000 orang untuk menyaksikan pelbagai spesis bunga termasuk pokok hiasan lain dan pokok buah-buahan. Pameran buat kali kelima anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Persatuan Orkid Negeri Kedah, berlangsung seminggu mulai 17 Disember lalu. Ketua Bahagian Khidmat Masyarakat MPKK merangkap Penyelaras pameran, Zaidi Zainun berkata, sambutan diberi amat baik apabila jumlah peserta dan pengunjung bertambah berbanding tahun lalu.
"Ia membabitkan 24 pengusaha tapak semaian bunga di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang mempamerkan lebih 100 jenis spesis bunga dan pokok hiasan serta buah-buahan termasuk spesis bunga orkid yang mempunyai bentuk dan warna yang amat menarik," katanya.
|
Posted: 27 Dec 2012 12:46 PM PST REMBAU: Nasib seorang warga emas di Kampung Chengkau Hulu, dekat sini, ibarat menunggu buah yang tidak gugur apabila permohonannya sejak tiga tahun lalu bagi membaiki rumah rosak teruk dimakan anak-anai, belum mendapat perhatian pihak berkaitan. Aini Nikmat, 80, yang tinggal bersama anak lelakinya, Afendi Parjo, 44, juga orang kelainan upaya (OKU), kini terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka mendiami rumah yang semakin uzur dan boleh roboh pada bila-bila masa.
"Keadaan bertambah teruk terutama sekarang musim hujan, habis rumah basah dan tidur malam saya tidak lena kerana bilik dimasuki air namun terpaksa juga tidur dalam kebasahan kerana tiada pilihan disebabkan rumah di tingkat atas langsung tidak dapat digunakan lagi kerana reput," katanya ketika ditemui di rumahnya.
"Walaupun anak lelaki tinggal bersama, dia tidak dapat bekerja kerana cacat pendengaran dan bisu serta terpaksa bergantung hidup dengan saya.
Cucunya, Yazaini Noryazid, 32, berkata, sebelum ini dia pernah membuat permohonan melalui ketua kampung bagi pihak neneknya dan mendapat kelulusan bantuan membaiki rumah, tetapi hairan sehingga hari ini tiada tindakan dilakukan.
|
Posted: 27 Dec 2012 12:45 PM PST SHAH ALAM: Sikap lepas tangan penternak lembu yang membiarkan haiwan ternakan mereka sesuka hati meragut rumput boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di Persiaran Panglima Hitam, Alam Impian, di sini. Disebabkan itu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati berikutan kehadiran lembu di bahu jalan yang boleh menyebabkan kemalangan. Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sekumpulan lembu berkeliaran di bahu jalan manakala sekumpulan lagi meragut daun pokok ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Katanya, penternak terbabit tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa kawalan kerana ia mengganggu ketenteraman awam dan mengancam nyawa pengguna jalan raya lain. "Aliran trafik di sini sentiasa sibuk walaupun pada waktu malam kerana ini jalan utama menghubungkan taman perumahan dengan jalan utama ke Shah Alam atau Klang.
"Sayang rasanya jika kawasan baru dan mempunyai pemandangan cantik tercemar dengan masalah ini. Ditambah pula dengan status Shah Alam sebagai Bandar Dalam Taman, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, tidak mustahil satu masa nanti, lembu berkenaan akan memasuki Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan kerana kedudukannya hampir dengan kawasan haiwan itu dibiarkan berkeliaran.
|
Mohon baiki alatan taman mainan uzur Posted: 27 Dec 2012 12:45 PM PST PORT DICKSON: Penduduk di Fasa 10, Bandar Springhill, di sini, memohon pihak berkuasa segera membaik pulih peralatan di padang permainan di situ yang rosak dan membahayakan keselamatan kanak-kanak. Metroplus difahamkan, sejak dibina lima tahun lalu semua peralatan itu tidak pernah diganti baru dan kini ada antaranya sudah rosak termasuk buaian dan berbahaya jika digunakan.
Pekerja swasta, Saiful Zadrin, 38, berkata, kejadian terbaru berlaku Ahad lalu apabila anaknya, Mohamad Adly Ihsan Saiful, 8, cedera di kaki akibat terkena serpihan kaca.
"Sebelum ini, ada anak jiran yang luka di kaki akibat kaca dan saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil iktibar supaya kejadian serupa tidak berulang," katanya.
"Selain itu, ada serpihan kaca bertaburan di kawasan permainan itu terutama di kawasan rumput tebal yang membahayakan kanak-kanak kerana mereka tiada tempat lain untuk bermain. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28 |
Posted: 20 Dec 2012 01:34 PM PST KUALA LUMPUR: Hampir setiap malam sembilan pemilik tanah di Kampung Pindah, di sini, tidak lena tidur memikirkan risiko kejadian tanah mendap di rumah mereka berikutan kejadian terowong 'meletup' di situ dua tahun lalu. Sejak kejadian itu sembilan pemilik tanah terbabit masih tidak mendapat pampasan di sebalik kerosakan rumah serta kerugian dialami mereka. Penduduk, Sulaiman Hassan, 50, berkata, pihaknya difahamkan berdasarkan kajian dilakukan, masalah itu berpunca daripada terowong Sungai Bunus yang dibina di bawah perumahan mereka tidak diselenggara sehingga ia tersumbat. "Kemuncak masalah itu berlaku apabila terowong itu tidak dapat menampung tekanan pecah menyebabkan rumah di sini rosak teruk dan struktur tanah tidak stabil.
Mereka mahu kami berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas bagi membolehkan mereka membaiki terowong itu tanpa memberi pampasan," katanya. Menurut Sulaiman, penduduk menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda selain hilang punca pendapatan rumah sewa memandangkan penyewa berpindah keluar selepas insiden itu. Menyingkap kembali sejarah terowong itu, Osman Kasmadi, 75, berkata, penduduk diminta berpindah ke tempat lain bagi membolehkan pembinaannya dilakukan pada 1969. "Ketika itu, kami difahamkan pembinaan terowong itu bertujuan mengatasi banjir yang kerap melanda kampung bersebelahan. "Walaupun tiada hitam putih antara penduduk dan kontraktor, atas dasar persaudaraan dan ingin membantu penduduk kampung lain kami membenarkan pembinaan terowong itu, sebelum membina semula rumah penduduk. "Saya masih ingat bagaimana kontraktor terbabit meyakinkan kami terowong itu mampu bertahan 100 tahun, tetapi tidak membenarkan pembinaan rumah konkrit di atas tapak itu, walaupun ia masih tanah kami," katanya. Beliau yang kecewa dengan keadaan itu, berharap pemilik tanah mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa kerana masalah itu berpunca daripada penduduk. "Kami membenarkan terowong itu dibina, tetapi apabila masalah ini berlaku, tiada pihak membantu kami," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Kampung Pindah, Zainal Frederick berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani masalah penduduk dengan lebih berkesan. "Menurut laporan Institut Latihan dan Penyelidikan Jabatan Kerja Raya Malaysia (Ikram), kawasan ini tidak selamat diduduki. "Disebabkan kelalaian JPS dan DBKL yang tidak menyelenggara terowong berkenaan selain jangka hayatnya yang sudah tamat tempoh antara punca masalah ini berlaku. "Mengikut perancangan DBKL, kami akan dipindahkan ke PPR Air Panas, tetapi sehingga kini tiada hitam putih mengenai perpindahan itu. "Malah kami juga tidak menerima sebarang pampasan atau ganti rugi walaupun masalah ini sudah berlaku dua tahun," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21 |
Posted: 20 Dec 2012 01:32 PM PST ALOR GAJAH: Penduduk di Lorong 19, Taman Seri Aman, Masjid Tanah, di sini, bimbang apabila jalan di belakang rumah mereka semakin rosak akibat tanah mendap sejak dua tahun lalu yang boleh mengancam keselamatan mereka. Mereka mendakwa, jalan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa sehingga membahayakan pengguna. Penduduk, Zaweah Harun, 53, berkata, mereka terpaksa meletakkan barangan terpakai bagi menutup lubang di jalan yang rosak itu sebagai peringatan kepada pengguna. "Jalan di sini banyak yang sudah berlubang kerana tanah mendap. Kalau kenderaan melaluinya, ia pasti tidak dapat menampung berat kenderaan itu.
Menurut Zaweah, penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu. Katanya, lebih membimbangkan penduduk jika masalah itu dibiarkan berlarutan, mendapan itu menjadi semakin teruk dan penduduk semakin terancam. "Ketika ini tiada kemalangan berlaku namun kalau dibiarkan, tidak mustahil lubang terbabit memberi musibah kepada penduduk," katanya. Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norizan Meor Omar, 43, berkata, ada ketikanya penduduk terpaksa menggunakan jalan belakang kerana bimbangkan keselamatan ketika melalui laluan mendap itu. "Jika ada majlis perkahwinan atau aktiviti lain, jalan di bahagian hadapan tidak boleh digunakan dan penduduk akan menggunakan laluan belakang. "Penduduk di sini sudah tahu keadaan jalan ini, namun masalah timbul kepada orang luar," katanya. Menurutnya, dia bimbang setiap kali kenderaan lalu jalan berkenaan kerana mereka terdedah bahaya terjerumus ke dalam jalan yang mendap itu. Penduduk lain, Surina Abd Aziz, 46, berkata, dia bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang bermain berhampiran jalan mendap itu. "Saya bimbang apabila mereka berhampiran dengan jalan mendap itu. Malah, jalan terbabit sudah tidak stabil dan boleh runtuh pada bila-bila masa. "Pihak berkenaan diharapkan segera membaiki dan menurap jalan itu," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah berkata, beliau akan menghantar pegawainya ke taman berkenaan untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: MetroPlus To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment