Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


EDL bakar masjid

Posted: 06 Jun 2013 08:45 AM PDT

London: Sebuah masjid di utara bandar raya ini musnah dalam kebakaran dan dikhuatiri ia menjadi sasaran serangan balas terhadap pembunuhan anggota tentera Britain, Drummer Lee Rigby, baru-baru ini.

Kebakaran bermula awal pagi dan polis melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada anggota Liga Pertahanan Inggeris (EDL) bertanggungjawab.


Polis dari unit Antikeganasan mengetuai siasatan berkenaan selepas grafiti dengan perkataan EDL ditemui diconteng pada masjid itu.

Akibat kejadian itu, sebahagian daripada bangunan masjid milik Persatuan Kebajikan Brawani Somalia itu runtuh dan polis mengesyaki ia berpunca daripada perbuatan khianat.


Penghuni di dua bangunan berhampiran masjid itu berjaya diselamatkan sementara seorang wanita dirawat di tempat kejadian.


Beberapa masjid di Britain menjadi sasaran serangan selepas pembunuhan Lee Rigby di Woolwich, dua minggu lalu.

Foto

BOMBA memadamkan masjid yang terbakar di utara London awal pagi semalam.

Foto

ANGGOTA bomba memeriksa tempat kejadian.

Foto

MASJID yang musnah perlu dibina semula.

Polis berkata, mereka sudah mula berunding dan bekerjasama rapat dengan masyarakat Somalia dan Islam bagi memberikan sokongan.


Ali Abu, 30, dari badan kebajikan Britsom berkata: "Kami terkejut dengan apa yang berlaku. Kami mengecam serangan itu. Keadaan amat serius ketika ini dan kami kecewa dengan serangan terhadap masyarakat kami yang cintakan keamanan." Fiyaz Mughal dari Faith Matters, kumpulan yang mengawasi kegiatan antipenduduk Islam berkata: "Serangan itu mungkin ada kaitan dengan kegiatan antipenduduk Islam memandangkan masjid itu tidak jauh dari Woolwich dan ia aktif menganjurkan kegiatan Islam. Grafiti EDL juga ditemui di masjid itu." - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Paris Jackson cuba bunuh diri

Posted: 06 Jun 2013 08:37 AM PDT

Los Angeles: Paris Jackson, anak perempuan ikon pop, Michael Jackson dikejarkan ke sebuah hospital di California selepas cuba membunuh diri, kata sumber keluarga.

Remaja berusia 15 tahun itu cuba mengelar pergelangan tangan kanannya dengan pisau pemotong daging dan menulis nota membunuh diri, menurut laman web selebriti, TMZ.

Paris yang bapanya meninggal dunia pada 2009 diletakkan di bawah perhatian pakar sakit jiwa selama 72 jam di hospital, kata sumber itu yang turut berkata, remaja itu mengalami tekanan dan pernah dilapor menimbang untuk membunuh diri.

"Dia cuba mengelar dirinya. Dia merasakan dia perlukan bapanya. Dia pernah dirawat kerana tertekan. Ini umpama tangisan mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, keadaannya baik ketika ini," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.


Seorang jurucakap syerif berkata, pihaknya bergegas ke sebuah rumah di Calbasas dekat Los Angeles, tempat keluarga Jackson tinggal selepas menerima panggilan mengenai 'keadaan kesihatan.' Dia enggan mengesahkan identiti orang yang dibawa ke hospital.


Paris menulis dalam laman Twitternya beberapa kali Selasa lalu, termasuk; "Semalam, semua masalah saya kelihatan begitu jauh. Kini, ia seperti akan kekal' dan 'Saya hairan mengapa air mata berasa masin?"

Dalam satu kenyataan neneknya, Katherine berkata: "Menjadi remaja 15 tahun yang sensitif adalah sukar, tidak kira siapa anda. Ia lebih rumit lagi apabila anda kehilangan orang paling rapat dengan anda. Paris secara fizikalnya sihat dan kini mendapat rawatan perubatan yang sesuai. Harap anda dapat menghormati privasinya dan keluarga kami."

Ibu Paris, Debbie Rowe dan bekas isteri Raja Pop itu berkata: "Kami menghargai semua tumpuan diberikan kepada Paris ketika ini dan penghormatan terhadap privasi keluarga itu,"

TMZ melaporkan, Paris menelefon talian bunuh diri dan orang yang menyambut panggilannya memaklumkan kepada perkhidmatan kecemasan.

Ia menyiarkan rakaman audio panggilan 911 itu dengan orang yang menjawab panggilan itu kedengaran berkata: "Dos berlebihan. Syerif sudah dimaklumkan."
Paris dibawa keluar dari rumah keluarganya di Calabasas dengan pengusung.

Menurut TMZ, remaja itu mengelar lengan kanannya dan memakan pil Motrin, ubat yang digunakan untuk mengurangkan pening kepala dan sakit gigi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Suis khas elak telefon pintar dicuri

Posted: 06 Jun 2013 08:34 AM PDT

San Francisco: Dalam usaha mengekang kegiatan kecurian telefon bimbit, pendakwa raya di New York dan San Francisco berkata, mereka merancang menemui wakil industri terbabit untuk menggesa pemasangan suis bagi mematikan telefon pintar yang dicuri.

Peguam Negara Negeri New York Eric Schneiderman dan Pendakwa Raya Daerah San Francisco George Gascon berkata, perbincangan dengan perwakilan empat pengeluar terbesar telefon bimbit akan diadakan pada 13 Jun ini.


Menurut mereka, industri berkenaan akan diminta menempatkan suis khas pada telefon bimbit itu supaya ia tidak boleh digunakan apabila dicuri.

Dengan 1.6 juta rakyat Amerika menjadi mangsa pada 2012, kegiatan mencuri telefon pintar sudah menjadi wabak. Tidak seperti jenayah lain, kecurian telefon pintar boleh dihapuskan dengan penyelesaian teknologi mudah," kata Gascon. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Miss World dibantah

Posted: 06 Jun 2013 08:33 AM PDT

Jakarta: Kumpulan konservatif Islam semalam berikrar menghalang pertandingan ratu cantik Miss World yang "tidak bermoral" daripada berlangsung di Indonesia walaupun penganjur bersetuju peserta tidak akan memakai bikini tahun ini.

Kumpulan Hizb ut-Tahrir mengecam pertandingan itu seperti "menjual tubuh wanita" dan mengancam mengadakan demonstrasi menentangnya manakala satu kumpulan di wilayah tempat di mana pertandingan akhir dijangka berlangsung turut menyuarakan bantahan. Lebih 130 wanita akan bertanding dalam acara pada September itu dengan beberapa pusingan diadakan di pulau peranginan Bali dan pusingan akhir di Bogor di luar Jakarta. Bogor terletak dalam wilayah Jawa Barat, sebahagiannya dianggap kubu kuat golongan radikal. Penganjur, kelmarin mengesahkan peserta tidak akan memakai bikini ketika pusingan fesyen pantai di Bali, sebaliknya memakai pakaian lebih konservatif seperti kain sarong tradisional.


Bagaimanapun, itu tidak mencukupi bagi kumpulan radikal di Indonesia di mana 90 peratus daripada populasinya beragama Islam.

"Menyokong acara itu sama seperti menjual tubuh wanita," kata jurucakap Hizb ut-Tahrir Indonesia Ismail Yusanto yang turut memberi amaran kumpulan itu akan melancarkan bantahan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Penulis blog gelapkan laman web

Posted: 06 Jun 2013 08:32 AM PDT

Singapura: Penulis blog republik ini, semalam menggelapkan laman web mereka sebagai membantah undang-undang baru pelesenan untuk laman web baru yang dikatakan akan menyekat kebebasan bersuara.

Kira-kira 134 penulis termasuk penulis persendirian dan blog komuniti menggantikan laman web mereka dengan skrin gelap memaparkan kata-kata #FreeMyInternet selain masa dan lokasi perhimpunan akan diadakan Sabtu ini. Penggelapan 24 jam itu berakhir hingga tengah malam.


Bantahan itu berlaku selepas undang-undang mengejutkan berkuat kuasa 1 Jun lalu membabitkan laman web baru termasuk yang dioperasikan Yahoo berpangkalan di Amerika Syarikat agar mendapatkan lesen daripada pentadbir rasmi media negara itu. "Ini bukan saja pergerakan blog sosio-politik. Laman web yang turut serta adalah daripada semua genre dari gaya kehidupan dan makanan hingga kepada teknologi," kata jurucakap kumpulan 'Free My Internet' Choo Zheng Xi yang menganjurkan bantahan itu.

"Kepelbagaian itu menggambarkan kesedaran undang-undang baru itu boleh menjejaskan sesiapa saja kerana ia dikuatkuasa secara meluas," katanya yang juga pengasas bersama laman web politik popular The Online Citizen. Perhimpunan akan diadakan esok di kawasan bebas bersuara di mana permit polis tidak diperlukan. Sukarelawan yang menulis blog memfokus kepada isu sosial dan politik, termasuk kemiskinan dan imigresen meraih populariti sebagai sumber alternatif berita dan pendapat di Singapura di mana media arus perdana yang prokerajaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Komik jenaka homoseksual dihenti

Posted: 06 Jun 2013 08:31 AM PDT

Manila: Satu daripada akhbar paling berpengaruh Filipina, semalam berkata, ia menggantung ruangan komik popular mengenai jenaka homoseksual yang membuatkan beberapa golongan konservatif berang di negara Katolik itu.

Ruangan komik The Pugad Baboy dalam akhbar harian Philippine Inquirer turut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas mengatakan rahib wanita dan pelajar di Kolej Perempuan St Scholastica Manila adalah lesbian.


"Ruangan komik itu tidak akan disiarkan dalam akhbar kami sementara menunggu keputusan penyiasatan," kata pegawai dalam jawatankuasa penyiasatan Inquirer, Elena Pernia kepada media.

"Ia bukan saja aduan daripada sekolah itu, tetapi terdapat juga beberapa komen negatif mengenainya yang muncul di media sosial," katanya. Filipina ialah negara agama Katolik di Asia dengan lebih 80 peratus populasinya menganut agama itu. Sementara homoseksual diterima di negara demokratik itu, gereja kekal sebagai badan yang berkuasa. Ruangan komik The Pugad Baboy sudah disiarkan dalam Inquirer yang dianggap sebagai akhbar liberal sejak 1988.


Ruangan kartun itu menawarkan komen sindiran terhadap kehidupan di Filipina daripada kaca mata masyarakat yang digambarkan melalui watak hodoh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Pegawai curi emas berjaya dicekup

Posted: 06 Jun 2013 08:31 AM PDT

Lop Buri: Seorang pegawai polis didakwa mencuri emas 4.9 juta baht (RM493,092) dari sebuah kedai emas di Nonthaburi ditahan di rumahnya, semalam.

Kapten Pongphop Pinchanbua didakwa mengancam pegawai dengan pistol apabila mereka menyerbu kediamannya di daerah Muang, Lop Buri.


Bagaimanapun, mereka menenangkan suspek dan berunding agar dia menyerah diri, kata Timbalan Komander Polis Daerah 1 Mejar Jeneral Methi Kusonsong yang mengetuai serbuan. Pongphop, 35, yang juga Timbalan Inspektor Polis di balai polis Tha Hin, Lop Buri dituduh mencuri emas itu di pasar raya Big C.

Dia dikatakan melarikan diri dengan trak pikap selepas rompakan 26 Mac lalu. Polis mengesan kenderaan itu dan mendapati ia milik teman wanita suspek. Polis berkata, Ponghop mula menunjukkan kekayaan luar biasa selepas insiden itu. Dia tiba-tiba mempunyai wang membayar hutang dengan jumlah besar yang dipinjam daripada rakan sekerjanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Pelancongan tak terjejas

Posted: 06 Jun 2013 08:29 AM PDT

Istanbul: Turki, sebuah negara Islam yang menghubungkan Eropah dan Asia mempunyai industri pelancongan yang berkembang maju, berasaskan kepada kawasan sejarah purba, bandar raya bertaraf dunia di Istanbul dan pantai Meditteranean yang cantik dan menakjubkan.

Negara itu menarik lebih 37.7 juta pelancong pada 2012, menurut Kementerian kebudayaan dan Pelancongan. Negara itu adalah antara 10 destinasi pelancong paling popular di dunia.


Lebih 5,2 juta pengunjung tiba di negara itu setakat ini tahun ini, peningkatan hampir 14 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kira-kira 378,000 rakyat Amerika Syarikat melawat negara itu pada 2011, menurut Jabatan Perdagangan negara itu.


Walaupun penunjuk perasaan dan polis antirusuhan bertempur di Istanbul, Ankara dan beberapa bandar raya sepanjang seminggu lalu, muzium, monumen serta kawasan bersejarah yang menggamit pelancong tetap dibuka.


Basaran Ulusoy, Ketua Persatuan Agensi Pelancongan Turki (TURSAB) mengaku wujud pembatalan atau penundaan kunjungan sejak tunjuk perasaan bermula minggu lalu tetapi tidak dapat memberi angka sebenar.

"Kami berusaha mengubah pembatalan menjadi penundaan," kata Ulusoy kepada stesen televisyen perdagangan negara itu, CNBC-e. Istanbul yang terletak di sepanjang Selat Bosporus begitu terkenal dengan tarikan pelancongan sehinggakan sukar di mana untuk bermula - Hagia Sophia, Masjid Biru, Istana Topkapi dan tempat mandi wap awam yang terkenal. Tarikan utama pelancong di Istanbul itu terletak tidak jauh, kira-kira 30 minit dari Dataran Taksim dan Beskitas, tempat kebanyakan keganasan meletus. Tetapi, masih ramai pelancong masih berbaris di pintu masuk di tempat tumpuan pelancong itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Nasib malang anak pendatang haram

Posted: 06 Jun 2013 08:28 AM PDT

Jeddah: Mohammed Hafeezullah, lapan tahun, ialah kanak-kanak pintar dari sebuah keluarga Pakistan yang dinafikan hak untuk mendapatkan pelajaran kerana tidak boleh bersekolah. Adik perempuannya, Warood pula tidak boleh mendapatkan suntikan anti-polio.

Keadaan yang dihadapi Mohammed dan Warood serta empat adik beradik mereka ialah masalah yang turut dihadapi kanak-kanak lain yang ibu bapa mereka menetap secara haram di Arab Saudi.


Kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai dokumen sah menyebabkan peluang untuk mendapatkan pelajaran dan perkhidmatan kesihatan terjejas.

Lebih buruk lagi, undang-undang baru buruh yang ditetapkan oleh Kementerian Buruh tidak mengambil kira nasib kanak-kanak itu, menyebabkan masalah yang mereka hadapi tidak boleh diselesaikan.


Pihak berkuasa Saudi tidak mengeluarkan sijil lahir kepada anak pemastautin haram menyebabkan mereka tidak boleh mendapatkan permit untuk tinggal di negara itu.


Hafeezullah mengajar al-Quran dan membawa isteri, dua anak perempuan dan ibunya ke Arab Saudi dengan menggunakan visa umrah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

30 sebatan kerana tampar isteri dikekal

Posted: 06 Jun 2013 08:27 AM PDT

Manama: Seorang hakim di Arab Saudi mengekalkan hukuman sebat ke atas seorang lelaki kerana menampar isterinya.

Keputusan itu dibuat meskipun si isteri sudah memaafkan suaminya dan mahu kes itu digugurkan.


Lelaki berkenaan dihukum 30 sebatan dan penjara 10 hari serta diarah menghadiri kaunseling rumah tangga dan sesi khas mengenai cara melayani dan menangani isteri.

Hakim mahkamah di Al Qateef, Wilayah Timur itu berkata, si isteri boleh menyaksikan pelaksanaan hukuman itu sebagai balasan kepada kesakitan fizikal yang dilakukan si suami ke atasnya.


Rabu lalu, wanita itu yang diiringi ibu mentuanya, hadir di mahkamah itu dan memaklumkan kepada hakim bahawa dia sudah memaafkan suaminya dan berharap hukuman ke atas lelaki itu digugurkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

No comments:

Post a Comment