Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pembunuh gila!

Posted: 08 Jun 2013 07:53 AM PDT

Santa Monica (California): Seorang lelaki berpakaian serba hitam menembak mati sekurang-kurangnya empat orang dalam satu siri tembakan di bandar tepi pantai ini semalam sebelum polis membunuhnya di luar perpustakaan sebuah kolej komuniti.

Polis berkata, sekurang-kurangnya lima lagi cedera dengan seorang parah dalam kejadian itu.

Lelaki itu memulakan serangan dengan membunuh bapa dan adiknya sebelum melakukan pembunuhan rambang di Santa Monica, beberapa kilometer dari acara yang dihadiri Presiden barack Obama.

Seorang saksi berkata, lelaki berkulit putih dan berusia antara 25 dan 30 tahun membawa tali pinggang penuh dengan peluru dan senapang separuh automatik.

Foto

MAYAT lelaki yang dipercayai suspek penyerang terbujur di kaki lima Kolej Santa Monica selepas ditembak mati polis.


Kejadian di Santa Monica itu tidak ada kaitan dengan kunjungan Obama.


Pembunuhan itu adalah kejadian terbaru dalam beberapa siri pembunuhan beramai-ramai berprofil tinggi sejak tahun lalu, termasuk serangan pada Disember di Connecticut yang membunuh 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di sebuah sekolah rendah dan kejadian Julai tahun lalu di panggung wayang di pinggir Denver yang meragut 12 nyawa.

Ketua Polis Santa Monica, Jacqueline Seabrooks berkata, tembakan itu bermula di timur dekat kampus kolej sejurus sebelum tengah hari apabila polis menerima beberapa laporan mengenai rumah terbakar, rampasan kereta dan tembakan di kawasan itu.

Mayat dua orang ditemui di tempat kejadian kebakaran dan dua lagi ditemui di dua lagi lokasi antara rumah yang terbakar dan kolej, kata polis.

Tiga wanita yang ditembak, seorang ditemui dalam keretanya di luar rumah yang terbakar itu dikejarkan ke hospital. Seorang daripada mereka dikatakan tenat.

Penduduk, Janet Carter memberitahu media dia terdengar lima hingga tujuh das tembakan dari arah kediaman itu, disusuli dua lagi tembakan.

Janet berkata, dia keluar dan melihat seorang wanita ditembak di tempat duduk pemandu.

Polis berbalas-balas tembakan dengan lelaki bersenjata itu di luar kolej dan mengejarnya hingga di luar perpustakaan, tempat dia ditembak dan mati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Ini mustahil!

Posted: 08 Jun 2013 07:49 AM PDT

Duluth: Seorang pelari maraton yang bercita-cita tinggi di Minnesota cuba merawat sakit belakang dihidapinya dengan sesi latihan selama dua jam.

Sehari kemudian, dia dilihat mendukung bayi yang baru lahir.

Trish Staine, 33, berkata, dia tidak tahu dia hamil sebelum terkejut apabila melahirkan anak Isnin lalu.

Ibu tiga anak itu berkata, berat badannya tidak bertambah atau merasa sebarang pergerakan dalam rahim.


Tambahan pula, suaminya menjalani prosedur vasektomi.


"Saya kata, tidak, tidak, ia mustahil," katanya Rabu lalu di bilik hospital di Duluth.

"Saya mati-mati menyangka saya tidak akan ada anak lagi," katanya berjenaka.
Trish dan suaminya, John mempunyai anak perempuan berusia tujuh tahun dan dan anak lelaki berusia 11 tahun.

Dia juga menjadi ibu tiri kepada tiga anak lelaki John yang berusia 17, 19 dan 20 tahun.

Trish berkata, dia berlari selama dua jam Ahad lalu sebagai persediaan untuk acara separa maraton Garry Bjorklund yang akan diadakan pada 22 Jun depan.

"Saya mengalami sakit belakang petang Ahad lalu. Saya mandi air panas dan menahan kesakitan itu,

Keesokan paginya, saya bangun dan kesakitan itu semakin bertambah dan bila siang keadaan bertambah buruk. Saya fikir saya patut ke hospital kerana mungkin otot saya terseliuh," katanya.

Tetapi dia masih bertahan, melihat suaminya bermain bola keranjang pada waktu tengah hari dan menonton persembahan lakonan anak perempuannya. Apabila pulang ke rumah, dia memikirkan mungkin mandi akan meredakan kesakitannya.

Ketika bercakap dengan suaminya di telefon, Trish berkata, dia sudah tidak dapat bertahan lagi dan Suaminya menghubungi ambulans.

"Saya rasa macam hendak mati. Saya tidak tahu apa yang berlaku," katanya.

Ketika pemeriksaan di bilik kecemasan, Trish dan suaminya terkejut apabila mendapat tahu kakitangan perubatan mengesan degupan jantung janin. Dia segera dikejarkan ke bilik bersalin dan 5 minit kemudian, anak perempuannya dilahirkan.

Trish berkata suaminya sempat berjenaka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Alina punca Putin bercerai

Posted: 08 Jun 2013 07:48 AM PDT

Moscow: Inilah ahli gimnastik seksi dikatakan menjadi punca keruntuhan rumah tangga Presiden Vladimir Putin.

Pemenang pingat emas Olimpik Alina Kabaeva, 30, dikatakan sudah sekian lama menjadi wanita simpanan Putin dan didakwa mempunyai anak hasil hubungan sulit itu.

Khabar angin kononnya pasangan itu merancang berkahwin dihangatkan lagi dengan pengumuman mengejut Putin bahawa dia dan isteri, Lyudmila akan bercerai.

Putin, 60, secara dramatik mengumumkan hasratnya itu dalam mesej menerusi televisyen yang disiarkan ke seluruh negara kelmarin.


Beliau dan Lyudmilla, 55, bekas pramugari berkahwin 30 tahun lalu dan mempunyai dua anak perempuan.


Bagaimanapun, di Moscow, bukan lagi rahsia rumah tangga mereka sudah berakhir dengan Putin dilapor dilihat mengucup Alina di sebuah restoran pada 2008.

Dakwaan bahawa mereka menjalin hubungan sulit mula didedahkan akhbar milik penentang Putin, Alexander Lebedev.

Akhbar itu diharamkan enam hari kemudian.

Kelmarin, khabar angin semakin kencang mengenai apa tindakan presiden itu selanjutnya. Rakyat Russia yakin Putin meninggalkan Lyudmilla untuk berkahwin dengan Alina walaupun mendakwa dia bercerai kerana beban kerja hingga tidak mempunyai masa untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Jurucakapnya, Dmitry Peskov berkata: "Tidak ada tempat dalam kehidupan Putin untuk hal ehwal keluarga. Yang ada hanya tugas memimpin negara.

Bagaimanapun, bloger Leonid Volkov berkata: "Saya mendengar ramai pemandu teksi berkata: "Jika dia curang kepada isterinya bermakna dia menipu negara."

Bulan lalu, Alina, dalam wawancara televisyen menafi mempunyai anak, tetapi secara berhati-hati mengelak menyebut nama Putin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

'Hubungan kami sudah berakhir sama sekali'

Posted: 08 Jun 2013 07:47 AM PDT

Hollywood: Penyanyi dan aktres Selena Gomez berkata, hubungannya dengan bintang pop remaja, Justin Bieber sudah berakhir sama sekali.

Sumber memberitahu RadarOnline bahawa bekas bintang Disney itu membaritahu rakannya dia tidak lagi bercinta dengan remaja bermasalah itu.

Selepas hubungan cinta yang bagaikan roller coaster selama lebih dua tahun, Selena mengesahkan perpisahan terbaru mereka kepada sebuah radio stesen di Boston dengan berkata "Ya" apabila ditanya adakah dia kini solo?

Rakan termasuk bintang pop Taylor Swift menggesa Selena memutuskan semua hubungan dengan Bieber sejak beberapa lama dahulu.


Dan kini dia meminta mereka memastikan dia tidak lagi bersimpati dengan Bieber.


Satu sumber berkata: "Selena memang bukan malaikat, tetapi Bieber pastinya bukan jenis lelaki yang dia perlukan.

"Dia akhirnya menerima nasihat rakan dan berikrar hubungannya dengan Bieber sudah tamat selama-lamanya.

"Dia tidak rasa akan berbaik semula dengan Bieber dan hanya perlu meneruskan hidup."

Selena menyibukkan diri dengan kariernya yang makin berkembang dan bakal mempunyai ahli keluarga baru yang ditunggu-tunggunya.

Sumber itu menambah: "Ibu Selena sedang hamil dan karier muziknya kian melonjak.

"Sementera itu, Bieber kini terus ditimpa masalah dan Selena tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi mengenainya. Dia pernah berasa dia patut 'menyelamatkan' Bieber dan itu sebabnya mengapa mereka berbaik semula sebelum ini.

"Tetapi, dia sudah mengambil keputusan muktamad dan tidak tahan lagi dengan perangai mengada-ngada Bieber."

Masalah terus melanda Bieber apabila pasukan keselamatannya turut dituduh dengan dakwaan serangan.

Minggu lalu, dia didakwa menyebabkan seorang gadis hamil dan juga disoal siasat kerana memandu secara liar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Mayat bersusun dalam bas terbakar

Posted: 08 Jun 2013 07:42 AM PDT

Beijing: Satu kebakaran memusnahkan sebuah bas dan menyebabkan 47 penumpang terbunuh sementara berpuluh-puluh yang lain cedera ketika waktu puncak di bandar pelabuhan di tenggara China.

Media kerajaan melaporkan, polis percaya kejadian di jalan raya bertingkat di Xiamen itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Seorang pegawai bomba tempatan berkata, petugas kecemasan menemui mayat bersusun dalam bas yang rentung itu.

Agensi berita rasmi Xinhua semalam berkata, selain 47 yang maut, 34 lagi masih dirawat.


Polis berkata, kebakaran itu kelihatannya sudah dirancang, bukannya kemalangan, lapor Xinhua.


Antara petunjuknya ialah polis menemui kesan minyak petrol pada rangka bas walaupun kenderaan itu menggunakan bahan api diesel dan tangki minyak serta tayarnya kekal tidak terjejas.

"Ia kes jenayah yang serius," kata Kementerian Keselamatan Awam dan agensi polis kebangsaan dalam laman webnya.

China menyaksikan pengeboman dan kebakaran bas serta bangunan awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadangkala angkara orang yang cuba menyelesaikan isu peribadi dan juga mereka yang memberontak kerana isu politik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Lelaki saman pakar bedah plastik

Posted: 08 Jun 2013 07:41 AM PDT

Tulsa: Seorang lelaki Oklahoma yang menjalani lebih 20 prosedur hidung menyaman pakar bedah plastik yang membedahnya, mendakwa doktor itu menyebabkan dia tidak lagi mempunyai hidung.

Vishal Thakkar memutuskan untuk menjalani pembedahan hidung pada 2006 dan mendapatkan khidmat Dr Lawrence Angelo Cuzalina, pakar bedah plastik yang diiktiraf.

Thakkar mendakwa, dia menghadapi kesukaran bernafas selepas pembedahan pertama, menyebabkan dia kembali untuk satu lagi pembedahan sebelum menjalani pembedahan seterusnya hingga yang ke-21.

Ketika satu daripada pembedahan itu Thakkar berkata, Cuzalina memotong hidungnya.


"Dia memberitahu saya terdapat jangkitan di situ dan memandangkan saya di meja pembedahan dan tidak sedarkan diri, dia terpaksa membuat keputusan.


Dalam kes saman yang difailkan di mahkamah daerah Tulsa terhadap Pusat Pembedahan Kosmetik Oklahoma dan Seni Bedah Tulsa, Thakkar mendakwa Cuzalina cuba menakut-nakutkan dan mengugutnya selepas menyedari kesilapan yang dilakukannya.

Dia kini menuntut kerugian atas kesilapan perubatan, fitnah, tekanan emosi, konspirasi dan penipuan.

Thakkar kini tidak bekerja kerana kesakitan. Dia telah menjalani dua pembedahan pemulihan di hidungnya di lokasi lain sejak memutuskan hubungan dengan Cuzalina.

Dia terpaksa memakai topeng apabila berada di khalayak ramai. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Didakwa 329 pertuduhan

Posted: 08 Jun 2013 07:40 AM PDT

Columbus: Seorang lelaki yang dituduh mengurung tiga wanita di kediamannya di Cleveland selama sedekad dan menjadi bapa kepada kanak-kanak bersama eorang daripada mereka didakwa dengan 329 pertuduhan, termasuk pembunuhan, penculikan dan rogol.

Juri membacakan dakwaan itu kelmarin terhadap Ariel Castro, bekas pemandu bas sekolah yang dipecat musim luruh lalu.

Castro, 52, dituduh menculik Amanda Berry, Gina DeJesus dan Michelle Knight serta menawan mereka bersama kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga anaknya dengan Amanda.

Juri mendakwa, Castro dengan dua pertuduhan bunuh yang berat berkaitan satu perbuatan, mengatakan dia dengan sengaja menyebabkan pengguguran secara haram kehamilan seorang daripada wanita berkenaan.


Castro turut didakwa dengan 139 pertuduhan rogol, 177 pertuduhan menculik, tujuh tuduhan seksual secara kasar, tiga tuduhan serangan feloni dan satu tuduhan memiliki peralatan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Obama pertahan kegiatan intip

Posted: 08 Jun 2013 07:39 AM PDT

Washington: Presiden Barack Obama semalam mempertahankan program agensi pengintipan Amerika Syarikat yang melakukan intipan menerusi data telefon dan Internet.

Pemimpin Amerika Syarikat itu menyifatkan program berkenaan sebagai 'pencerobohan sederhana' terhadap privasi individu yang diperlukan untuk melindungi rakyat Amerika daripada keganasan.

"Tidak ada siapa mendengar perbualan telefon anda," kata Obama dalam usaha meredakan kebimbangan orang ramai, dua hari selepas kegiatan pengintipan itu didedahkan.

Berucap di San Jose, California, Obama menyelar apa yang disifatkannya sebagai 'berlebih-lebihan' mengenai laporan bahawa Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mengintip berjuta-juta panggilan domestik untuk kemungkinan menggunakannya kemudian hari dalam operasi antikeganasan.


Beliau juga mempertahankan program PRISM yang membabitkan ejen NSA dan FBI mengintip pelayan sembilan syarikat gergasi Internet Amerika Syarikat, termasuk Facebook, Google, YouTube, Apple dan lain-lain, kononnya untuk mengesan rancangan keganasan dari luar negara.


"Ia tidak dilakukan ke atas rakyat Amerika. Dan ia tidak dilakukan ke atas mereka yang tinggal di Amerika Syarikat," kata Obama.

Pelbagai pertubuhan dan kumpulan masyarakat menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan itu yang didedahkan akhbar Guardian dan Washington Post dengan memberi amaran, ia bertentangan dengan undang-undang.

Obama berkata, dia mengalu-alukan perbahasan mengenainya, tetapi mengingatkan pengintipan itu selama ini dirahsiakan bagi mengelak daripada diketahui musuh Amerika.

"Saya berpendapat, adalah penting untuk mengaku bahawa anda tidak boleh mempunyai keselamatan 100 peratus dan pada masa sama mempunyai 100 peratus privasi. Selaku anggota masyarakat, kita perlu membuat pilihan," katanya.

Menurutnya, Kongres dimaklumkan sepenuhnya mengenai kegiatan itu dan menyokongnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Eksekutif maut terjun tingkat lima apartmen terbakar

Posted: 08 Jun 2013 07:38 AM PDT

Bangkok: Seorang eksekutif kanan syarikat bahan binaan mati selepas terjun dari tingkat lima bangunan apartmen di bandar raya ini ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran pagi semalam.

Kejadian itu turut mencederakan tujuh yang lain.

Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran yang bermula di tingkat tiga bangunan lapan tingkat Apartmen Bangkok Success di Chatuchak dan memindahkan semua mangsa lain dengan selamat.

Julairat Boonsom, 49, Pengarah Urusan syarikat Rom Pho Products mati di tempat kejadian selepas terjun menerusi tingkap apabila kebakaran berlaku di bangunan itu.


Dia sebelum itu bermalam di kediaman temannya, Praditha Worachart, penyewa di situ kerana mereka bercadang ke tempat kerja bersama-sama.


"Saya mendengar seseorang menjerit Api!. Saya beritahunya kita patut melarikan diri," kata Pradhita.

Menurutnya, apabila membuka pintu bilik, mereka dapati asap tebal menyelubungi rumah.

Kerana panik dan keliru, Pradhita memberitahu Julairat memutuskan untuk terjun menerusi tingkap.

"Dia sangat disukai rakan sekerja dan pekerja bawahannya. Semua orang terkejut," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Mufti Saudi puji Yousuf Al-Qaradawi

Posted: 08 Jun 2013 07:37 AM PDT

Abu Dhabi: Mufti Besar Arab Saudi semalam memuji ulama terkenal Sheikh Yousuf Al Qaradawi kerana mengecam kumpulan Hizbullah Lubnan.

Sebagai tanda bahawa perang saudara di Syria semakin menyatukan ulama Wahabi di Arab Saudi dengan ulama Sunni lain, khususnya Ikhwanul Muslimin, Sheikh Abdelaziz Al Shaikh berkata semalam, beliau dimaklumkan mengenai sokongan Qaradawi terhadap tentangan ulama Saudi ke atas Hizbullah.

Qaradawi dianggap pemimpin spiritual di sebalik kebangkitan Arab kerana sokongan awalnya terhadap tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir.

Beliau dan pemimpin Ikhwan lain dicurigai pemimpin agama Saudi yang percaya tokoh agama tidak boleh mengejar kuasa politik.


Bersama-sama ulama Sunni lain, Qaradawi menyokong Hizbullah dan pemimpinnya, Sheikh Hassan Nasrallah dengan menyifatkan kumpulan itu sebagai simbol tentangan terhadap penjajahan Israel di selatan Lubnan.


Bagaimanapun, ketika berucap di Doha minggu lalu, Qaradawi menarik balik sokongannya terhadap kumpulan itu dan menyifatkannya sebagai 'Parti Syaitan' kerana pembabitannya secara langsung dalam menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad.

"Syukur kerana beliau sudah berubah pendapat dan menyokong pandangan kami terhadap Hizbullah. Pada saat berjarah itu, kami menyuarakan sokongan ke atas Qaradawi dan menggesa semua ulama menghentikan keganasan Hizbullah," kata Abdelaziz yang disiarkan media Arab Saudi.

Qaradawi, dalam ucapannya minggu lalu menggesa masyarakat Sunni berjihad membantu menumbangkan kerajaan Bashar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

No comments:

Post a Comment