Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tolong ubah pendekatan'

Posted: 08 Jun 2013 08:20 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya harap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tahu apa yang mereka lakukan," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong.

Terkejut dengan liputan akhbar The Canberra Times yang mendakwa pasukan bola sepak kebangsaan tewas kepada pasukan pemain sambilan sebaik tewas 2-3 kepada Canberra FC, apa yang dibimbangi beliau nampaknya menjadi realiti.

Zolkples sebelum ini pernah memberi amaran kepada badan induk sukan itu lebih berhati-hati dalam memilih perlawanan persahabatan biarpun atas nama pendedahan sekalipun, sebelum pasukan kebangsaan kendalian Datuk K Rajagopal berlepas ke Australia untuk berdepan tiga kelab negara itu.

"Saya sudah katakan, perlawanan persahabatan boleh diadakan di mana-mana tapi perlu pasti dengan siapa kita akan berlawan, adakah ia setimpal dengan kekuatan kita dan adakah pemain kita mendapat faedah daripadanya?" soal beliau.

Foto

PASUKAN Harimau Malaya dan Canberra All Star melakukan baris hormat sebelum perlawanan persahabatan bermula.


"Apatah lagi perjalanan ke Australia itu jauh dan mahal. Sepatutnya mereka pergi ke negara yang cuacanya panas untuk persediaan kejohanan kelayakan Piala Asia 2015, saya tidak tahu apa alasan mereka."


Persediaan skuad negara ke kelayakan Piala Asia 2015 dikritik hebat peminat dan pemerhati sukan yang menganggapnya sebagai satu pembaziran malah ada yang berpendapat ia sekadar rombongan melancong.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya berdepan juara Piala AFF 2012, Singapura pada 4 dan 7 Jun ini namun terpaksa dibatalkan dan kini peminat mula membandingkan tahap perlawanan yang disertai skuad negara apabila Indonesia berdepan Belanda dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

"Persatuan sepatutnya meneliti dengan lebih terperinci program perlawanan persahabatan yang membabitkan pemain mereka. Kalah menang soal kedua tetapi yang penting adakah ia benar-benar memberi manfaat," kata Zolkples.

Pandangan sama turut diutarakan bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni yang menyifatkan ia kegagalan jurulatih dan pengurus 'mengenali' pasukan yang mereka hadapi dalam perlawanan seumpama itu.

Pengalaman sama pernah dilalui Bakri yang pernah menyertai perlawanan persahabatan di Jerman sewaktu menyarung jersi negara.

Jelasnya, memandangkan ketika itu musim kejohanan, mereka tiada pilihan lain selain berdepan pasukan Divisyen Satu kelab amatur Jerman.

"Bukannya mereka tidak bagus tapi pemain lebih mementingkan karier masing-masing daripada menjadi pemain profesional.

"Begitupun jurulatih kami, Karl-Heinz Weigang memberi semangat dan mahu kami menjaringkan 11 gol.

"Pada separuh masa pertama, tidak semudah itu untuk menentang mereka tetapi akhirnya kami berjaya menang 11-0.

"Kami membuktikan siapa sebenarnya kami, pasukan yang layak ke Olimpik meskipun tidak dapat ke sana."

Justeru menurutnya, tugas pengarah teknikal dan pengarah kejurulatihan amat penting kerana mereka lebih mengenali status sesuatu pasukan, kelemahan dan kekuatan mereka.

Dalam hal ini katanya, pengarah teknikal dan pengarah kejurulatihan akan meneliti status sesebuah pasukan itu sebelum diserahkan kepada majlis untuk diputuskan selain tidak bergantung kepada ejen bagi mengelak ditipu.

"Sebaiknya FAM dan Persatuan Bola Sepak Australia saling bekerjasama dalam menentukan mana-mana pasukan yang sepatutnya menjadi lawan pasukan negara," katanya.

Selepas Canberra FC, dua lagi pasukan menanti skuad negara iaitu Marconi Stallions diikuti Sydney United minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Zaqhwan lepas geram

Posted: 08 Jun 2013 08:15 AM PDT

Muar: Pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi menguasai sesi ujian masa kategori CP130 selepas berjaya mencatat masa terpantas pada saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Muar, Johor, semalam.

Pelumba GiVi Honda Yuzy Pachie berusia 18 tahun itu menamatkan hari pertama dengan melakukan catatan terpantas 41.146s untuk mengatasi dua pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) yang mencatat masa kedua terpantas, 41.224s serta Mohd Zamri Baba (PETRONAS Yamaha-CKJ), 41.302s.

Malah, pencapaian ini merupakan catatan terpantas sesi ujian masa kali ketiga berturut-turut buat Mohd Zaqhwan selepas melakar pencapaian sama di Melaka (Pusingan 2) dan Kuala Terengganu (Pusingan 3).

"Semuanya dalam keadaan baik termasuklah keupayaan jentera yang boleh dikatakan berada pada tahap maksimum untuk menghadapi perlumbaan minggu ini.


"Faktor jentera memainkan peranan penting di litar ini. Bukan saja kerana keadaan litar yang tidak begitu rata malah selekoh-selekohnya juga agak sempit.


"Saya perlukan pelarasan terbaik terutama suspensi jentera supaya saya boleh beraksi pada tahap terbaik," katanya.

Mengulas tentang perlumbaan sebenar hari ini, Mohd Zaqhwan menegaskan, sasaran utamanya adalah untuk bermula sekurang-kurangnya dari barisan pertama.

"Saya tidak mahu kesilapan di Terengganu berulang. Selepas gagal memenangi dua perlumbaan terakhir, kali ini saya tidak mahu kecewa lagi.

"Saya mahu merangkul kemenangan pertama musim ini di sini dan pada masa sama terus kekal dalam saingan memburu takhta keseluruhan."

Sementara itu, pendahulu keseluruhan, Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) terpaksa menarik diri daripada perlumbaan minggu ini selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan bersama jentera Superbike 1000cc di Litar Suzuka, Jepun, Rabu lalu.

Saingan ujian masa kategori CP115 menyaksikan ia turut dikuasai barisan pelumba muda selepas Fakhrusy Syakirin Rostam muncul pelumba terpantas dengan catatan masa terbaik 41.832s.

Pelumba MAZ Racing berusia 17 tahun itu mengetepikan cabaran seorang lagi pelumba seusia, Mohd Hafiz Nor Azman (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang merakamkan catatan terbaik 42.112s sambil pelumba berusia 18 tahun, Tengku Amirul Haffiruddin, (Motul Yamaha YY Pang) ketiga dengan catatan terbaik 42.143s.

"Selepas memenangi dua perlumbaan berturut-turut, saya mahu mencipta hatrik di sini. Sebelum itu sasaran saya adalah memberikan aksi terbaik pada sesi 'Shoot-Out' esok. Saya yakin mampu melakukan catatan lebih baik.

"Keadaan jentera juga baik dan mudah-mudahan turut dapat membantu saya merebut petak hadapan dan memenangi perlumbaan di sini," kata Fakhrusy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Rajin berlatih pasti berjaya

Posted: 08 Jun 2013 08:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Muhammad Azli Aziz, 19 dan Amyrul Shafiq Shammudin, 22 mempunyai banyak persamaan biarpun usia menjarakkan kedua-dua mereka.

Mereka berasal dari tempat yang sama, bersekolah di sekolah yang sama, menyertai sukan yang sama dengan posisi yang sama malah menuntut dalam jurusan sama di universiti yang sama.

Cuma Amyrul Syafiq yang mewakili Selangor mempunyai lebih pengalaman malah pernah mewakili negara di Sukan Universiti Asean, tahun lalu. Aksi Amyrul Syafiq yang lebih dahulu menceburi sepak takraw mencetus semangat Muhammad Azli untuk mengikut jejaknya apabila turut mewakili Selangor. Ikuti perbualan antara kedua-dua atlet.

SOALAN (S): Apakah tip untuk menjadi pemain sepak takraw yang berjaya?

JAWAPAN (J): Perlu rajin, mempunyai kesungguhan untuk belajar sendiri. Sentiasa rajin berlatih dan tidak boleh mengharapkan orang lain. Anda juga perlu rajin menyertai kejohanan terbuka untuk mengasah skil serta rajin bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman.

S: Siapa yang memberi galakan kepada anda untuk menceburi sukan ini?

J: Guru sekolah saya di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Kelang. Dia yang banyak memberi galakan dan memperkenalkan saya kepada sepak takraw. Jika tidak memang saya tidak tahu apa-apa mengenai sukan ini. Keluarga juga banyak membantu dan memberi galakan. Mereka sering menemani saya ketika menyertai kejohanan.

S: Pengalaman paling manis?

J: Antara yang terawal adalah menduduki tempat ketiga Kejohanan Sepak Takraw Terbuka KFC. Kami berkongsi RM4,000 dan sewaktu Sukan Malaysia di Pahang tahun lalu, kami bersaing sengit menerusi lima set untuk mara ke final biarpun kalah di final. Saya juga pernah bermain di Thailand dan bertemu pasukan kebangsaan Thailand di peringkat suku akhir. Kami tewas tipis tetapi ia satu pengalaman yang cukup berharga.

S: Pengalaman paling pahit?

J: Saya tidak terpilih mewakili negara ke Kejohanan Sekolah Asean disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan dan selepas masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya tidak terpilih ke Sukan Universiti Asean pula pada 2010. Perkara itu tidak langsung menjejaskan semangat saya untuk terus berlatih dan akhirnya terpilih ke Sukan Universiti Asean 2012. Kami tewas kepada Thailand di final.

S: Memandangkan anda bercerita mengenai pasukan Thailand, pada pandangan anda apa kelebihan mereka?

J: Pemain Thailand mempunyai susuk tubuh lebih tegap dan fleksibel serta mempamerkan permainan konsisten.

S: Idola anda dalam sukan ini?

J: Mohd Azlan Mubin. Saya pernah diwawancara majalah sekolah satu ketika dahulu dan memberitahu beliau adalah idola saya. Tidak sangka pula akhirnya turut berpeluang berlatih bersama beliau.

S: Memandangkan sepak takraw adalah sukan berpasukan, bagaimana memupuk persefahaman pasukan?

J: Keserasian amat penting dalam sukan seperti ini dengan apit kanan, apit kiri dan tekong mempunyai tugas masing-masing untuk memastikan strategi yang dirancang mampu dilaksanakan di gelanggang. Justeru persediaan dan latihan penting kerana belum tentu semua yang dirancang menjadi kerana pada hari perlawanan, semuanya mungkin jadi lain. Ketika itulah komunikasi antara ketiga-tiga pemain menjadi penting dan tidak boleh mengalah dengan strategi lawan. Jika boleh kurangkan kesilapan supaya tidak boleh dibaca lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Impi terbang di langit biru

Posted: 08 Jun 2013 08:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain bowling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek pernah bercita-cita mahu menjadi seorang juruterbang.

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...

JAWAPAN (J): Sewaktu kecil dahulu saya pernah bercita-cita mahu menjadi juruterbang.

S: Mengapa?

J: Biasalah sewaktu kecil dahulu, teringin pergi ke luar negara, mahu bermain salji dan sebagainya tetapi tidak sangka apabila menceburi diri dalam sukan bowling, saya berpeluang pergi ke banyak negara yang saya impikan.

S: Ada di kalangan keluarga atau saudara mara menjadi juruterbang?

J: Tiada.

S: Selain itu, apa faktor yang menyebabkan anda teringin menjadi juruterbang?

J: Mungkin gajinya lebih lumayan.

S: Sekiranya anda tidak bermain bowling, anda mungkin menceburi sukan...

J: Berbasikal. Ini kerana itulah antara cara saya lakukan untuk menghilangkan tekanan. Tahu sajalah, bowling adalah permainan yang memerlukan kekuatan mental. Tidak kira sama ada marah sekalipun, kita perlu tumpuan perhatian. Jika tidak, kita akan hilang fokus. Cara terbaik untuk meredakan tekanan dengan berbasikal. Ia sukan yang memerlukan stamina tetapi pada masa sama menenangkan.

S: Lokasi biasa untuk berbasikal?

J: Biasanya saya ke Genting Sempah dan Putrajaya. Ada kalanya saya berkayuh hingga ke Lenggeng. Aktiviti ini saya lakukan dua kali seminggu.

S: Bagaimana dengan aspek keselamatan?

J: Sudah pastilah saya berhati-hati. Jika menunggang pada waktu malam, lampu basikal saya paling terang.

S: Negara menarik untuk dilawati?

J: Saya meminati negara-negara Eropah. Saya suka berada di Paris. Selain itu saya juga sukakan Florida, Amerika Syarikat.

S: Cenderahati yang sering dibawa pulang dari luar negara?

J: Magnet peti sejuk.

S: Warna kegemaran?

J: Biru.

S: Superhero pujaan anda?

J: Iron Man.

S: Pemain bowling paling anda kagumi?

J: Jika berdasarkan kepada pencapaian, Shalin Zulkifli paling saya minati. Banyak kejayaan yang sudah dimilikinya manakala di luar negara, saya mengagumi Walter Ray Williams Jr.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Tadbir stabil, sukan maju

Posted: 08 Jun 2013 08:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Tanpa pentadbiran persatuan sukan yang baik, nama-nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong tidak mungkin menjadi sebutan ramai ketika ini.

Umum mengetahui, di sebalik kejayaan seseorang atlet, sumbangan persatuan sukan tidak boleh dipandang ringan.

Banyak laporan sebelum ini mendedahkan kepincangan persatuan seperti perebutan kuasa, menjejaskan program atlet yang akhirnya memberi impak negatif terhadap perkembangan sukan negara.

Bekas Pesuruhjaya Sukan Tan Sri Elyas Omar justeru menyifatkan penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada 1998 medan terbaik untuk membantu persatuan sukan kebangsaan menjadi lebih efisyen dan semua programnya berjalan lancar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.


Begitupun beliau menyedari tahap pengurusan persatuan sukan di negara ini masih belum mencapai tahap antarabangsa dan ia pasti memberi kesan terhadap objektif penubuhan persatuan sukan untuk melahirkan atlet cemerlang.


"Saya harap dengan pengurusan persatuan yang lebih efektif akan melahirkan lebih ramai atlet ternama tapi pada masa ini, tahapnya masih rendah," katanya.

Menurutnya semua itu bergantung kepada corak kepemimpinan persatuan sukan itu, sama ada mampu membawa persatuan itu ke tahap lebih baik atau sebaliknya.

"Jarang kita lihat persatuan yang atletnya berjaya berada dalam keadaan kucar-kacir dan pentadbirannya lemah."

Dalam hal ini, PPS biasanya dilihat menjadi 'tempat mengadu' kepada persatuan yang berdepan krisis tapi Elyas berkata, campur tangan agensi berkenaan tidak sampai ke tahap menjadi hakim, meskipun ada kalanya perlu memberi nasihat kepada pihak yang berbalah.

Ketika memegang tugas berkenaan, antara aspek yang diberi perhatian oleh Elyas adalah pendaftaran persatuan di bawah PPS, yang mendapat sambutan daripada persatuan, pertubuhan dan kelab sukan di negara ini.

Pada masa ini, jawatan itu masih belum diisi selepas Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh, bersara bulan lalu, sementara menantikan keputusan daripada Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin untuk mengumumkannya tidak lama lagi.

Begitupun menurutnya, satu kekurangan yang boleh diperbaiki adalah Akta Pembangunan Sukan 1997 adalah ketiadaan peruntukan kewangan untuk membantu persatuan sukan menyelaraskan pentadbiran masing-masing tetapi tidak membabitkan program latihan.

"Ada persatuan yang tidak mempunyai wang untuk menguruskan pentadbiran, sukar untuk mereka bergerak. Di England, misalnya Sports England akan memberi peruntukan tertentu kepada kelab sukan.

"Selain itu kajian menyeluruh perlu diadakan terhadap hal ehwal pentadbiran sukan di negara ini terutamanya membabitkan sukan yang berjaya di negara ini seperti bola sepak, badminton dan lumba basikal."

Jelas Elyas terdapat dua sistem iaitu pertubuhan membabitkan peringkat persekutuan dan negeri dan satu lagi membabitkan pentadbiran di peringkat pusat seperti skuasy.

"Pentadbiran satu sistem saja mampu mengurangkan 'politiking' yang ternyata memberi kesan kepada persatuan seperti yang kita lihat sekarang."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Jadilah pahlawan sebenar

Posted: 08 Jun 2013 08:05 AM PDT

Seorang remaja sekolah tinggi yang suka memberontak yakin dirinya tidak kehilangan apa-apa, justeru dia tidak takut kepada sesiapapun. Zaman remajanya dicemari banyak insiden pergaduhan dan pernah dua kali dibuang sekolah.

Atlet Gabungan Seni Mempertahankan Diri (MMA) veteran, Seo Doo-won, yang kini berusia 31 tahun berkata, dia tidak mempunyai sebarang impian hingga menemuinya di gelanggang pada usia pertengahan 20-an.


"Kemudian baru saya sedar betapa ruginya saya," kata Doo-won.

Ketika ini dia sibuk memberitahu pelajar sekolah tinggi bahawa keganasan dan kegiatan buli di sekolah bukan saja menjejaskan kenangan indah di sekolah tetapi juga mampu memusnahkan masa depan mereka.


"Lebih jauh anda tersasar daripada jalan kebenaran, lebih susah untuk kembali ke pangkal jalan," katanya.


"Sebagai contoh, apabila saya memutuskan mahu menjadi atlet MMA, saya perlu berhenti merokok, tabiat yang saya mulakan sejak sekolah menengah rendah. Ia memang menyakitkan. Saya bercakap mengenai rokok. Seksanya untuk kembali nyata jauh lebih teruk." Bulan lalu, Doo-won dilantik sebagai duta kehormat pencegahan keganasan di sekolah oleh Balai Polis Gimpo dan dia berkongsi pengalamannya hidup sebagai 'pencetus masalah' dengan pelajar lain. Setakat ini, pelajar daripada 10 sekolah di Seoul menghadiri ceramahnya.

"Saya tidak layak mengajar mereka. Saya hanya bercakap dengan mereka, bukan sebagai guru tapi sebagai abang yang tahu serba sedikit mengenai harga sebuah keganasan." Dia terbabit dalam sekurang-kurangnya 50 pergaduhan ketika sekolah tinggi dan dimasukkan ke hospital beberapa kali. Parut di dahinya menunjukkan jalan gelap yang pernah dilaluinya. Sebelum dia cukup dewasa untuk belajar memandu, dia belajar bagaimana menulis pengakuan di balai polis. Biarpun tidak menyesal terhadap masa lalunya selepas menerima padah daripada tindakan yang dilakukannya, Doo-won gembira zaman itu sudah berlalu.


Dia berkata, tidak pernah memberitahu pelajar supaya tidak bergaduh atau cuba mengawal perasaan marah.

"Pergaduhan boleh berlaku. Saya beritahu mereka supaya bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing dan mengelak pergaduhan, mereka pastinya malu jika mengenangkannya di kemudian hari. "Begitupun, paling teruk adalah membuli mereka yang lemah." Menurut Doo-won, masalah seperti itu bukannya salah pelajar, malah turut memberi perhatian terhadap guru serta sistem pendidikan Korea yang terlalu bermatlamatkan pencapaian, menyebabkan pelajar memberontak.


"Bukan satu rahsia, sekolah pertengahan dan tinggi wujud bagi mereka yang tidak pintar untuk ke kolej.


"Majoriti guru tidak pedulikan pelajar seperti saya dan mereka masih begitu. Saya tahu mengenai perkara ini kerana adik saya berusia 20 tahun menerima layanan sama." Doo-won dibuang daripada Sekolah Tinggi Industri Maklumat Sindongsin selepas pergaduhan berkumpulan di sebuah pub. Ketika itu dia tidak terfikir mampu menamatkan sekolah, apatah lagi kolej.


"Bagaimanapun seorang guru membimbing dan mempercayai saya. Ketika itulah hidup saya mula berubah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Siapa paling kebal

Posted: 08 Jun 2013 08:04 AM PDT

Siapakah penjaga gol terbaik sepanjang zaman?

Dalam permainan bola sepak, penjaga gol adalah satu-satunya pemain boleh menggunakan tangan. Mereka bertanggungjawab untuk menghalang bola daripada menembusi gawang. Siapakah penjaga gol terhebat sepanjang zaman?


1-Lev Yashin (Soviet)

Lev Yashin atau digelar 'The Black Spider' dianggap sebagai penjaga gol terhebat sepanjang zaman. Pemain Soviet itu menyelamatkan 150 sepakan penalti sepanjang kariernya dan satu-satunya penjaga gol menerima anugerah Pemain Terbaik Eropah. Yashin yang beraksi dengan topi dan sut hitam, mengekalkan 500 rekod bersih dalam 812 perlawanan, satu angka keramat masih belum mampu ditandingi hingga sekarang.


2-Gordon Banks (England)

Banks menjulang Piala Dunia bersama England pada 1966. Aksinya paling diingati ramai adalah ketika menyelamatkan tandukan Pele pada Piala Dunia 1970, dianggap sebagai salah satu tindakan paling hebat pernah disaksikan peminat bola sepak. Pele sudah pun menjerit 'Gol!' sewaktu Banks menyelamatkan bola di penjuru kanan gawang.

3-Iker Casillas (Sepanyol)

Casillas menjulang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, menyelamatkan dua situasi genting situasi satu lawan satu pada final berdepan penyerang Belanda, Arjen Robben. Dia turut merangkul Kejuaraan Negara Eropah (Euro) pada 2008 dan 2012. Dia memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik Dunia IFFHS sebanyak empat kali.

4-Dino Zoff (Itali)

Dino Zoff adalah pemain tertua pernah menjulang Piala Dunia, sewaktu berusia 40 tahun bersama Itali pada 1982. Zoff memegang rekod paling lama beraksi tanpa ditembusi dalam pentas pertandingan antarabangsa (1,142 minit).

5-Peter Schmeichel (Denmark)

Peter Schmeichel adalah seorang pemain utama membentuk pasukan mantap Manchester United pada era 1990-an. Dia membantu Denmark memenangi Kejuaraan Eropah 1992, menyelamatkan beberapa keadaan dan dipilih Penjaga Gol Terbaik pada tahun sama.

6-Sepp Maier (Jerman)

Sepp Maier menghabiskan sepanjang karier beraksi bersama Bayern Munich, membentuk gandingan mantap bersama Franz Beckenbauer. Dia memenangi tiga Kejuaraan Eropah berturut-turut bersama Bayern dan menjulang Piala Dunia 1974 bersama Jerman.

7-Peter Shilton (England)

Shilton menjadi penjaga gol selama lebih 30 tahun, bermain 125 perlawanan untuk England. Dia menjadi penjaga gawang England sewaktu Maradona menjaringkan gol dengan menggunakan 'tangan ajaib' ketika England tewas kepada Argentina.

8-Oliver Kahn (Jerman)

Oliver Kahn memenangi Kejohanan Negara Eropah bersama Jerman pada 1996 dan menerima Bola Emas berikutan prestasi dipamerkan pada Piala Dunia 2002 di Jerman, menyaksikan Jerman tewas kepada Brazil di final. Dia muncul pemenang tiga kali Penjaga Gol Terbaik Dunia IFFHS.

9-Gianluigi Buffon (Itali)

Penjaga gol terbaik tujuh kali Serie A dan pemenang empat kali Penjaga Gol Terbaik Dunia IFFHS, membuktikan Buffon seorang penjaga gol yang hebat. Dia memenangi Piala Dunia 2006 bersama Itali dan dianugerahkan penjaga gol terbaik kejohanan.

10-Edwin van der Sar (Belanda)

Van der Sar memenangi Liga Juara-Juara bersama Ajax pada 1995 dan melakukan pencapaian sama 13 tahun kemudian bersama Manchester United pada 2008. Meskipun begitu, dia salah seorang penjaga gol terhebat yang tidak pernah memenangi Piala Dunia atau Piala Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Postiga ubah nasib Portugal

Posted: 08 Jun 2013 08:00 AM PDT

Lisbon: Jaringan awal Helder Postiga memastikan Portugal menewaskan Russia, 1-0 di laman sendiri, Stadium Luz awal pagi semalam, membantu tuan rumah merampas tangga teratas Kumpulan F sekali gus menghidupkan harapan layak ke Piala Dunia.

Postiga menjaringkan gol seawal minit kesembilan, hasil sepakan percuma Miguel Veloso dari arah kiri untuk gol ke-26 Portugal.


Selepas menampilkan beberapa aksi hambar, Portugal kini menduduki tangga teratas kumpulan, tiga mata di depan Israel dan dua mata di depan Russia yang masih dianggap pilihan menjuarai kumpulan kerana beraksi kurang dua perlawanan.

Jurulatih Paulo Bento, yang membawa Portugal ke separuh akhir Euro 2012 berkata, masih banyak tugas yang perlu dilakukan.


"Keputusan ini adil dan ia membantu kami berusaha mencapai sasaran ditetapkan," katanya yang kini berdepan baki tiga perlawanan kelayakan.


"Penting untuk menewaskan Russia meskipun ia bukan perlawanan penentu tetapi penting kerana kami perlu meraih tiga mata." Pada kelayakan Euro 2012, Portugal mara ke pusingan akhir selepas menewaskan Bosnia pada perlawanan penentuan. Terdesak inginkan kemenangan, Portugal beraksi garang di depan 55,000 penonton.

Kapten pasukan, Cristiano Ronaldo melakukan beberapa percubaan ke gawang lawan tetapi tersasar.


Dia mensia-siakan peluang keemasan selepas setengah jam, gagal menyambut hantaran rendah cantik pemain sayap Wolfsburg, Vieirinha.

Russia gagal mencipta banyak peluang pada 30 minit pertama tetapi kembali yakin menjelang akhir separuh masa pertama.


Mereka gagal menggempur gawang Portugal pada babak kedua dan Bento menganggap strategi diterap dan kehadiran pertahanan tengah, Luis Neto membantu Portugal mengekang asakan yang cuba dilancar pelawat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Argentina, Colombia sama hebat

Posted: 08 Jun 2013 07:59 AM PDT

Buenos Aires: Argentina dan Colombia terpaksa beraksi sepuluh pemain ketika terikat 0-0 pada aksi kelayakan zon Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2014, awal pagi semalam.

Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain dibuang padang selepas melanggar pemain Colombia, Cristian Zapata pada babak pertama selain turut menyaksikan dua jaringan Sergio Aguero pada separuh masa kedua dibatalkan kerana ofsaid.


Pengadil Venezuela, Marlon Escalante terpaksa diiring keluar padang selepas perlawanan berakhir kerana pemain dan kakitangan kejurulatihan tuan rumah bersemuka dengannya memprotes tindakan membatalkan jaringan kedua Aguero.

Argentina yang mendahului lima mata kumpulan kelayakan, berada di landasan tepat untuk kelayakan automatik dengan baki empat perlawanan.


Mereka bermula garang di Stadium Monumental ketika kapten pasukan Lionel Messi direhatkan di bangku simpanan.


Bintang Barcelona itu kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring dibawa masuk pada awal babak kedua tetapi gagal memecahkan kebuntuan berdepan Colombia yang memberi tentangan sengit.

Colombia yang melonjak ke tangga kedua mengatasi Ecuador menerusi perbezaan gol., meraih satu mata tetapi Argentina pastinya tidak puas hati apabila gol kedua Aguero yang dibatal kerana dianggap sebagai ofsaid. - - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Nadal rela menderita

Posted: 08 Jun 2013 07:59 AM PDT

ParisL: Rafael Nadal sedia untuk menderita jika ia membantunya menjadi lelaki pertama menakluki Grand Slam sama buat kali kelapan apabila berdepan rakan senegara dari Sepanyol, David Ferrer (gambar kecil) di final Terbuka Perancis, hari ini.

Nadal yang menjuarai gelaran Roland Garros pada 2012 untuk kali ketujuh, mengatasi rekod enam gelaran milik Bjorn Borg, melangkah ke final Grand Slam ke-17 untuk memburu gelaran utama kali ke-12.


Ferrer, 31, empat tahun lebih tua daripada Nadal pula beraksi di pentas itu buat kali pertama, menjadi pemain bukan pilihan berdasarkan rekod kekalahan 4-19 dengan 16 daripadanya di gelanggang tanah liat.

Begitupun Nadal tidak memandang mudah dan bersedia untuk satu lagi perlawanan maraton selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic 6-4, 3-6, 6-1, 6-7 (3/7), 9-7 di separuh akhir.


"Saya belajar menikmati penderitaan dan perlawanan seperti ini sungguh istimewa. Anda tidak berpeluang bermain dalam perlawanan seperti ini setiap hari," kata Nadal. Dia mendahului Djokovic, pilihan utama kejohanan dua kali tapi perlu bangkit daripada ketinggalan 2-4 pada set penentuan untuk memastikan final kelapan di Paris, melebarkan rekod kepada 58 kemenangan daripada 59 perlawanan dalam kejohanan itu.


"Apabila perlawanan seperti itu berlangsung, saya menderita tapi menikmatinya. Saya benar-benar menikmati penderitaan kerana apa yang lebih sukar adalah apabila berada di Mallorca tahun lalu dan melihat perlawanan di televisyen.

"Kini saya sudah kembali. Saya boleh kalah atau menang dan itu sebahagian daripada sukan. Itulah yang menariknya." Ferrer, pilihan keempat kejohanan mara ke final buat kali pertama tanpa tewas sebarang set.


Dia melangkah mudah apabila Andy Muuray menarik diri akibat kecederaan sebelum peluang terhidang buatnya apabila Roger Federer tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga di suku akhir. Dia kemudian mudah menewaskan pemain Perancis itu 6-1, 7-6 (7/3), 6-2 di separuh akhir.

"Satu impian buat saya untuk berada di final Grand Slam apatah lagi Roland Garros yang amat penting," kata Ferrer.


"Saya akan melawan. Memang sukar untuk menewaskan Rafael dalam apa juga permukaan gelanggang tapi lebih sukar di gelanggang tanah liat. Saya perlu bermain lebih baik dan agresif sepanjang perlawanan untuk menewaskannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

No comments:

Post a Comment