Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Peniaga ambil mudah

Posted: 09 Feb 2012 06:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Tidak perlu logo halal kerana semua pelanggan tahu hidangan disediakan memenuhi standard masakan Muslim. Itu antara alasan yang diberikan segelintir pengusaha restoran apabila ditanya mengenai logo halal di kedai mereka.

Walaupun berulang kali diuar-uarkan pihak berkaitan mengenai penggunaan logo halal baru, ia seperti tidak dipedulikan mereka dan menganggapnya tidak memberi kesan kepada keuntungan berikutan perniagaan sudah dikenali ramai.


Peniaga dikenali sebagai Heidir berkata, dia belum menampal logo baru dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di premisnya walaupun mengetahui ia sudah dilaksanakan awal Januari lalu.

"Sebelum ini, kami tidak menggunakan atau menampal sebarang logo halal di premis kerana pelanggan yakin dengan makanan disediakan dan kami tidak pernah mendapat rungutan berkaitan logo itu.


"Malah restoran kami semakin popular di kalangan penduduk bandar raya ini yang yakin dengan status kami," katanya. Tinjauan ke beberapa restoran nasi kandar dan masakan Melayu di sekitar ibu kota mendapati, masih ramai pengusaha degil untuk meletakkan logo berkenaan di premis masing-masing, manakala restoran makanan segera didapati sudah mempamerkannya.


Pengurus Restoran Pelita Bangsar, Mustafa Arif berkata, penggunaan logo halal di restoran menjadi antara penyumbang kepada keuntungan kedai disebabkan masyarakat khususnya Muslim lebih yakin untuk makan di situ.

Pengguna, Zahari Muhammad, 47, berkata, penggunaan logo halal di premis makanan belum tentu menjanjikan makanannya halal kerana segelintir peniaga sengaja mengambil kesempatan untuk menarik pelanggan.


"Perbuatan itu menyebabkan pengguna keliru dan was-was kerana pelayan mereka bukan Muslim, malah sengaja meletakkan ayat al-Quran sebagai alat tambahan untuk memastikan orang ramai masuk ke kedainya.

"Justeru, pihak berkaitan harus memantau perbuatan itu kerana logo tidak boleh menjamin kebersihan makanan dan sepatutnya pelayan perlu memakai tag nama bagi mengenal pasti identiti mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/09

Kedai tak promosi pakej

Posted: 09 Feb 2012 06:44 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiada promosi mahupun tanda pengenalan yang jelas. Itu antara komen diberikan pengguna ketika ditanya mengenai Menu Rakyat 1Malaysia diperkenalkan kerajaan pada pertengahan tahun lalu.

Walaupun ia menawarkan harga lebih berbaloi selaras peningkatan kos hidup ketika ini, perkara itu ibarat masih baru di kalangan pengguna, malah ada langsung tidak mengetahui kewujudan menu itu.


Tinjauan Metroplus di beberapa premis yang menawarkan pakej menu terbabit mendapati pemilik rata-rata tidak mempromosikan pakej menu terbabit di kedai masing-masing ditambah pula pelayan kurang arif.

Pelanggan, Ahmad Saiful Bahari, 27, berkata dia sendiri langsung tidak mengetahui kewujudan apatah lagi mencuba menu itu yang sepatutnya boleh dimanfaatkan rakyat sejak awal.


Katanya, peranan pengusaha kedai penting memastikan hasrat kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan tercapai.


"Penggunaan banting diletakkan di hadapan kedai dilihat sebagai cara terbaik meuar-uarkan menu ini kepada orang ramai selain sikap ringan mulut di kalangan pelayan restoran sendiri," katanya ketika ditemui.

Bagi Mohd Azlan Dollah, 22, penggunaan media elektronik terutama televisyen menjadi medium terbaik menghebahkan menu berkenaan untuk mengurangi beban golongan berpendapatan rendah.


"Agak menyedihkan apabila menu ini tidak begitu diketahui rakyat. Kalaulah saya tahu, dari dulu sudah memanfaatkannya kerana memang berpatutan, malah kepelbagaian menunya memenuhi selera.

"Saya yakin inisiatif kerajaan ini membantu golongan bekerja serta pelajar yang menghadapi peningkatan kos sara hidup di bandar raya," katanya.


Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abu Samah Shabudin, ketika dihubungi berkata sejak menu itu diperkenalkan, tiga premis di sekitar Lembah Klang dikenakan amaran tidak menjual menu berkenaan pada harga ditetapkan.


Katanya, selain itu terdapat premis masih tidak bersungguh-sungguh mempromosikannya.


"Kita harap pengusaha premis sokong inisiatif kerajaan dan sasaran pada tahun ini untuk mendapatkan 200 premis baru untuk sama-sama menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia khusus bagi membantu rakyat negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/09

Jejas imej negeri terbersih

Posted: 09 Feb 2012 06:44 AM PST

MELAKA: Sampah yang bertaburan di tepi jalan utama di Jalan Bacang, berhadapan Taman Pasir Puteh, Bachang, di sini, mencacatkan pemandangan di kawasan berkenaan.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan imej negeri Melaka yang diiktiraf negeri maju, malah negeri terbersih di negara ini.


Masalah berkenaan dipercayai akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu mengambil jalan mudah membuang bungkusan plastik sampah di lokasi terbabit ketika melalui kawasan itu.

Lebih teruk apabila sampah yang dibuang di tepi jalan bertaburan akibat dikais ayam sehingga mencemarkan lokasi terbabit yang juga laluan utama.


Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ronald Gan Kim Seet, berkata sebaik dimaklumkan masalah itu, beliau segera menghubungi pihak berkenaan meminta kerjasama mengatasi masalah berkenaan.


Menurutnya, pihak terbabit berjanji mengambil tindakan segera membersihkan sampah bertaburan di tepi jalan itu. Beliau berkata, masalah seumpama itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan negeri Melaka mencapai taraf negeri maju malah negeri terbersih.

"Kita meminta kerjasama dan keprihatinan orang ramai supaya menjaga kebersihan di mana jua tempat termasuk kawasan awam atau terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/09

Keistimewaan kacip

Posted: 09 Feb 2012 06:43 AM PST

PETALING JAYA: Sebut saja kacip, pasti terbayangkan besi yang mempunyai bahagian tajam seperti pisau bersama pemegang dan sering dikaitkan dengan aktiviti mengunyah sirih.

Namun, pernahkah kita terfikir fungsi kacip sebenarnya melangkaui peredaran masa yang menggambarkan era perkembangan tamadun manusia serta budaya suatu ketika dulu.


Mengambil kira fungsi kacip yang boleh dikategorikan sebagai barangan antik kerana kewujudannya sejak ratusan tahun dulu, Muzium Petaling Jaya mengambil inisiatif mempamerkan 23 jenis kacip terdiri daripada pelbagai bentuk dan corak.

Penolong Kuratornya, Bonny Eddy berkata, pameran sehingga 31 Mac depan bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai alat tradisional ini.


"Setiap koleksi kacip di sini menceritakan budaya, agama dan masyarakat setempat di sesebuah lokasi. Malah, beberapa kacip dari luar negara seperti India, Indonesia, Vietnam, Sri Lanka dan Selatan China turut dipamerkan di sini.


"Orang ramai boleh membezakan sendiri setiap kacip mengikut budaya dan negara melalui ukiran serta bentuk kacip kerana ia cukup unik dan mempunyai identiti tersendiri," katanya.

Katanya lagi, antara yang paling menarik perhatian di ruang Pameran Thematik ini ialah kacip berbentuk kuda dipercayai berusia hampir 100 tahun.


Terdapat juga kacip bermotifkan alam flora, anggota badan manusia serta haiwan lain seperti ayam dan naga.

Turut dipamerkan beberapa kacip direka khas untuk mempunyai dwifungsi seperti gabungan antara kacip dan playar, menunjukkan kacip tidak hanya tertakluk pada kegunaan memotong buah pinang sahaja.


"Kacip juga melambangkan status si pemiliknya. Semakin menarik dan uniknya sesuatu rekaan, semakin tinggi nilai estetika serta darjat pemiliknya.


"Bukan saja kacip, pihak muzium turut memaparkan maklumat setiap kacip dipamerkan membolehkan pengunjung mendapatkan lebih informasi mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/09

MPPD usaha tingkat imej Bandar Tentera Darat

Posted: 09 Feb 2012 06:43 AM PST

PORT DICKSON: Usaha memberikan imej yang baik dan memperhebatkan lagi status bandar ini sebagai Bandar Tentera Darat terus dilakukan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menerusi pelbagai aktiviti bukan saja berkaitan kebudayaan malah landskap.

Ia bertujuan memberi kelainan dan menarik perhatian pengunjung kerana daerah itu turut menjadi destinasi pelancongan terkenal di negara ini.


Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, pihaknya akan terus berusaha mencantikkan lagi daerah pelancongan itu bersesuaian dengan statusnya sebagai destinasi pelancongan terkenal dan pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

Menurut beliau, sejak pengisytiharan itu, jumlah pelancong dan pengunjung termasuk di Muzium Tentera Darat semakin menunjukkan peningkatan.


"Justeru, usaha mencantikkan lagi daerah ini perlu dilakukan supaya Port Dickson terus popular sebagai lokasi yang menarik dan wajar dikunjungi.


"Bersesuaian dengan status Bandar Tentera Darat, MPPD akan melaksanakan beberapa projek untuk memberi makna dan pengertian yang lebih baik secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, pihaknya menyambut baik langkah MPPD itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/09

Ukir 102 buah dalam 24 jam

Posted: 07 Jul 2011 06:38 AM PDT

BANDAR BAHARU: Seorang pengusaha katering berjaya mencatatkan namanya dalam Malaysia Book Of Records (MBR), apabila mengukir 102 biji buah-buahan dalam tempoh 24 jam tanpa henti di Dataran Bandar Baharu, di sini, baru-baru ini.

Sharil Azkhan Ahmad, 27, dari Kampung Bagan Samak, di sini, mendapat sokongan ahli keluarga dan rakan, menempa nama dalam MBR sempena penganjuran Karnival Juara Rakyat Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu.


Menurutnya, pada mulanya dia berasa sangsi dengan kemampuannya untuk mengukir buah-buahan dengan sempurna, tetapi dia berusaha menunjukkan kebolehan dan kreativiti selepas mendapat dorongan kuat.

"Saya mengukir empat biji buah dalam masa satu jam dan diberi waktu rehat selama 15 minit untuk makan, bersolat dan ke tandas oleh MBR. Saya mengukir pelbagai jenis corak bunga di atas pelbagai jenis buah mengikut kesesuaiannya.


"Antara buah yang digunakan ialah tembikai, tembikai susu dan betik pelbagai saiz di mana saya berjaya mengikut bermacam-macam corak seperti bunga ros, carnation dan sirih junjung.


"Saya gembira apabila berjaya mengukir 102 buah tanpa henti selama 24 jam sebelum menerima sijil daripada wakil MBR, Myra Dzaman, sambil disaksikan kedua ibu bapa, Ahmad Md Isa, 58, dan Salasiah Idris, 55," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/07

Sungai Petani terbaik

Posted: 07 Jul 2011 06:36 AM PDT

TIGA atlet dari Pusat Kegiatan Guru (PKG) Sungai Petani dipilih peserta terbaik dalam kategori masing-masing di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kuala Muda/Yan Kali Ke-44.

Mereka terdiri daripada Ain Asyilah Ismail, Mohd Ariff Daniel Mohd Rostam dan Mohd Afiq Jamil.


Kejohanan itu berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ismail, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Ain Asyilah, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petani Jaya mengungguli Kelas 4 Perempuan (P) selepas mengutip tiga emas dalam acara 100 meter (m), 4x200 m dan lompat jauh.


Mohd Ariff, 10, dari SK Taman Seri Wang pula mengetepikan pesaingnya untuk dinobat atlet terbaik Kelas 5 Lelaki (L) apabila mengumpul emas dalam acara lompat jauh dan perak (larian 80m).


Murid Tahun Enam SK Petani Jaya, Mohd Afiq turut memahat nama dalam Kelas 4L kerana merangkul dua emas iaitu dalam acara larian 80m selain mencipta rekod baru MSSD KMY dalam lari berpagar.

Pungutan pingat dilakukan Ain Asyilah, Mohd Ariff Daniel dan Mohd Afiq turut membantu PKG Sungai Petani menjuarai kejohanan itu dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak 20 iaitu 10 emas, 7 perak dan 3 gangsa.


Perasmian kejohanan disempurnakan Pengarah Pelajaran Kedah, Abdullah Saad, manakala penutup kejohanan dilakukan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, Abdul Ghani Haron.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/07

Mengaku tak salah

Posted: 01 Jun 2011 11:12 AM PDT

MANILA: Ketua suku kaum berpengaruh di selatan Filipina semalam mengaku tidak bersalah membunuh 57 musuhnya dan wartawan dalam perbicaraan hari pertama kes pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah politik negara itu.

Andal Ampatuan Snr, 70, yang dikawal komando polis hanya berdiam diri ketika lebih 20 anggota keluarga mangsa merenungnya di mahkamah.


Dia mengangguk apabila ditanya sama ada dia memahami tuduhan itu.

"Tidak bersalah," kata Ampatuan Snr, diikuti dengan ejekan daripada keluarga mangsa.


Ampatuan Snr, anaknya, Andal Ampatuan Jnr dan empat anggota keluarga mereka yang lain adalah antara 80 orang yang ditahan dan didakwa membunuh 57 orang, 32 daripadanya wartawan pada 23 November 2009.


Beratus-ratus lagi suspek, termasuk keluarga Ampatuan dan anggota militia kerajaan yang bekerja secara langsung dengan keluarga itu masih diburu.

Mahkamah masih belum membacakan tuduhan terhadap 21orang yang turut ditahan. Pakar undang-undang berkata, perbicaraan itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun memandangkan sistem kehakiman yang lemah di Filipina.


Mayat mangsa dan sebahagian kenderaan mereka ditemui dalam sebuah kubur besar di sebuah ladang terbiar. Sebuah jengkaut dengan nama Ampatuan tertera padanya ditemui berhampiran.

Terdahulu, seorang pembantu rapat Ampatuan yang kini menjadi saksi pendakwa raya, Lakmudin Saliao memberi keterangan, dia adalah anggota suku kaum itu ketika mereka merancang pembunuhan berkenaan, enam hari sebelum kejadian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/02

No comments:

Post a Comment