Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nah ambil kau! Nak sangat!

Posted: 04 Jun 2013 10:04 AM PDT

London: Seorang bapa enam anak berdepan dengan hukuman penjara kerana memusnahkan rumah keluarganya dengan tukul besi selepas bergaduh dengan dua adiknya berhubung hak mewarisi rumah berkenaan.

Tony McGuire meruntuhkan rumah kembar dua itu sementara jirannya hanya memerhatikan tindakannya.


McGuire, 49, kemudian bergambar dengan sisa runtuhan bangunan itu yang menjadi rebutan antara dia dengan adik lelaki dan perempuan.

Dia ditahan dan dihadapkan ke mahkamah selepas menyebabkan rumah itu kelihatan seperti kena bom.


McGuire yang bekerja sebagai juruelektrik mengaku melakukan perbuatan jenayah itu.


Hakim Daniel Williams memberitahunya: "Kamu mengaku bersalah dan saya akan mengambil kira mengenai pengakuan itu apabila menjatuhkan hukuman. Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi keputusan hari ini dan akan menangguhkan perbicaraan bagi mendapatkan laporan sebelum hukuman dijatuhkan. "Bagaimanapun, jangan fikir penangguhan ini satu tanda hukuman. Semua bentuk hukuman masih terbuka dan ini termasuk penjara." Bapa McGuire, Allan, memiliki rumah itu di Manor Way, Cardiff, sehingga dia meninggal dunia pada 2005.

Foto

TONY bergambar di rumah keluarganya selepas meruntuhkan kediaman itu dengan tukul besi.

Foto

RUMAH bernilai RM1.5 juta hampir musnah.

McGuire kemudiannya berpindah ke rumah itu bersama-sama isteri, Darriel, 50 dan enam anak mereka serta membelanjakan wang simpanan untuk membesarkan kediaman dan melakukan pengubahsuaian.


Bagaimanapun, bapanya meninggalkan wasiat dengan berkata hartanah itu perlu dibahagi-bahagikan antara McGuire dengan adiknya, Terry dan Tina.

Apabila gagal mencapai kata sepakat, McGuire bertindak meruntuhkan rumah empat bilik itu.


Ketika berdiri di tengah runtuhan rumah berkenaan, dia berkata: "Saya lakukan apa yang saya perlu lakukan. Perkara ini sudah berlarutan selama tujuh tahun dan saya tidak dapat bertahan lagi. " Nilai kerosakan dianggar berjumlah £120,000 (RM600,000) dan Tony bersama keluarganya kini menetap di sebuah rumah yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kediaman itu.


Dia dibebaskan dengan ikat jamin dengan syarat tidak menghubungi kedua-dua adiknya atau pergi ke rumah itu. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Majlis kahwin secara tradisional

Posted: 04 Jun 2013 08:27 AM PDT

Penampilan isteri Amir Khan begitu menawan pada majlis perkahwinan mereka hujung minggu lalu.

Peninju berusia 26 tahun itu mengahwini pelajar jelita, Faryal Makhdoom di satu majlis tradisional do Hotel Waldorf Astoria, New York.


Pasangan berkenaan mengenakan pakaian tradisi India dengan pengantin perempuan bersari merah tua, lengkap dengan hiasan kepala sementara pengantin lelaki memakai jaket dengan warna serupa dan bersulam.

Amir yang terkenal dengan sikap playboy sebelum ini berikrar untuk meninggalkan gaya hidupnya yang suka berparti untuk 'menjaga' Faryal, pelajar sains politik berusia 21 tahun itu.


"Saya sudah melalui zaman muda. Saya sudah melakukan segalanya. "Ini masa yang tepat untuk berkahwin dan mula membina keluarga," kata pemenang pingat Sukan Olimpik itu kepada majalah Hello! Dia juga berjenaka mahu melangsungkan perkahwinan tanpa sebarang masalah pada wajahnya.


"Saya perlu berada di situ dan melangsungkan perkahwinan secepat mungkin sebelum saya dibelasah dalam perlawanan seterusnya dan menjadi hodoh." Majlis diadakan secara besar-besaran itu berlanjutan selama seminggu sebelum diikuti dengan satu lagi majlis di Britain minggu depan.

Selepas majlis, Faryal menulis ringkas dalam Twitternya: "Puan Khan." "Malam semalam umpama satu mimpi, sungguh menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Ia sungguh bermakna. Kini membuat persiapan untuk majlis di UK!" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Pekerja merokok rugikan majikan

Posted: 04 Jun 2013 08:26 AM PDT

Paris: Seorang pekerja yang merokok menyebabkan majikan mereka berbelanja AS$6,000 (RM18,560) lebih setiap tahun berbanding mereka tidak merokok, menurut kajian oleh Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan semalam dalam jurnal Pengawalan Merokok.

Ketidakhadiran kerana masalah kesihatan, produktiviti yang rendah kerana waktu rehat untuk merokok dan kos penjagaan kesihatan tambahan menyebabkan jumlah caj tambahan. "Anggaran terbaik kami untuk kos lebihan tahunan bagi mengambil pekerja yang merokok ialah $5,816 (RM17,998)," kata jurnal itu, diketuai Micah Berman di Kolej Kesihatan Awam dan Kolej Undang-Undang Moritz di Universiti Ohio.


Angka itu mengambil kira bahawa kos persaraan hampir $296 (RM916) lebih rendah untuk pekerja yang merokok kerana mereka berkemungkinan mati pada usia muda berbanding pekerja yang tidak merokok. Ramai majikan di AS mula mengenakan caj pekerja yang merokok dengan premium lebih tinggi untuk insurans kesihatan atau mengisytiharkan mereka hanya mengambil pekerja tidak merokok, kata jurnal itu. Sesetengahnya mengancam memecat pekerja tidak berhenti merokok dalam tempoh masa diberikan.

"Tanpa anggaran tepat kos berkaitan dengan merokok, polisi seumpamanya mungkin tidak wajar," lapor jurnal itu.


"Anggaran munasabah membenarkan syarikat menganalisis dengan lebih adil kos dan faedah "polisi tenaga kerja bebas merokok". - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

10 korban banjir di Eropah

Posted: 04 Jun 2013 08:25 AM PDT

Eropah: Beribu-ribu terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan sekurang-kurangnya 10 terbunuh apabila banjir menenggelamkan tengahEropah semalam, termasuk pusat bersejarah ibu negara Republik Czech, Prague.

Kedai dan sekolah ditutup dan jalan raya serta pengangkutan kereta api terjejas di seluruh Republik Czech, Austria dan Jerman ekoran hujan lebat.


Banjir menyebabkan keadaan kelam-kabut di Zoo Prague, tempat di mana 1,000 haiwan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi selepas Sungai Vltava melimpah ke tebingnya lewat Ahad lalu.

Pekerja zoo terpaksa mententeramkan harimau dan haiwan bersaiz besar yang lain dalam operasi semalaman yang dramatik. "Ia perasaan menakutkan mengharungi pengalaman seperti ini sekali lagi," kata pakar reptilia zoo, Petr Velensky kepada media mengimbau berapa banyak haiwan yang mati lemas dalam insiden banjir pada 2002.


Petugas penyelamat Czech mencari empat orang lagi dipercayai maut akibat banjir yang turut menjejaskan bekalan elektrik kepada puluhan ribu isi rumah. Hujan lebat mencetuskan kenangan mimpi buruk banjir pada 2002 yang membunuh puluhan di rantau itu termasuk 17 di republik Czech saja. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Aktor nafi seks oral punca kanser

Posted: 04 Jun 2013 08:25 AM PDT

Hollywood: Aktor Michael Douglas semalam menafikan dia mengatakan kanser tekak dihidapinya disebabkan oleh seks oral.

Berikutan menjadi tajuk utama akhbar sedunia, jurucakapnya, Alan Bury berkata, bintang berusia 68 tahun itu dipetik sebagai berkata di luar konteks mengenai virus seks HPV. "Douglas tidak mengatakan kunilingus menjadi punca kanser dihidapinya.


"Sebagaimana dibincangkan bahawa seks oral disyaki menjadi punca kanser oral tertentu. Dia tidak mengatakan ia menjadi punca khusus penyakitnya." Douglas menghidap tumor lidah pada 2010.

Ditanya sama ada dia menyesal meminum arak dan merokok, dia dilaporkan berkata: "Tidak, kerana kanser jenis ini disebabkan HPV yang berpunca daripada kunilingus." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Supermum lahir kembar 5

Posted: 04 Jun 2013 08:24 AM PDT

Prague: Seorang wanita Czech berusia 23 tahun melahirkan empat bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang dikatakan pihak berkuasa hospital sebagai kes pertama kembar lima yang direkodkan di negara itu.

Digelar sebagai "supermum" oleh media tempatan, Alexandra Kinova dibantu sepasukan terdiri daripada 40 pakar di hospital bersalin Podoli-Prague ketika dia melahirkan lima bayi terbabit melalui pembedahan cesarian pada minggu 31 usia kehamilannya. "Nama bayi perempuan ialah Tereza, kembar seiras Michael serta Deniel, dan kami juga meletakkan nama Alex dan Martin," kata bapa bayi berkenaan, Antonin Kroscen, 26, kepada wartawan. "Saya berasa sangat gembira dan teruja untuk menjaga anak kami ini," katanya. Pasangan itu sudah pun mempunyai seorang anak lelaki.


Bayi berkenaan yang disenyawakan secara semula jadi diletakkan dalam penjagaan intensif, tetapi dikatakan berada dalam keadaan stabil. Berat mereka daripada 1.05 hingga 1.34 kilogram.

"Di negara kami, statistik (kelahiran) direkod sejak 1949 dan tiada kembar lima dicatatkan. Di Republik Czech, kembar lima dilahirkan secara purata setiap 480 tahun sekali," kata pakar sakit puan, Alena Mechurova. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Rawatan muka bawa bencana

Posted: 04 Jun 2013 08:23 AM PDT

Singapura: Seorang jelitawan dan penulis blog kecantikan Republik ini, Juli (atau lebih dikenali sebagai Bun Bun dari bunbunmakeuptips.com) menyangka rawatan muka dijalaninya dapat menjadikan wajahnya berseri dan kulitnya segar.

Sebaliknya, ia memberikan kesan tompokan merah di seluruh wajahnya.

Juli mengakui dia tidak pernah mempunyai kulit tidak bermasalah. Dalam satu mesej di blognya, wanita berusia 28 tahun itu mengakui perlu menangani jerawat, parut, jeragat, hiperpigmentasi dan bintik hitam di sepanjang kehidupannya selepas akil baligh.

Tetapi, hasil rawatan muka terakhir dijalaninya menjangkaui mimpi buruknya. Dan dia menulis mengenainya di blog sebagai amaran kepada wanita lain akan risiko menggunakan produk tidak diketahui pada kulit yang sensitif.


Juli menulis dia menjalani rawatan muka yang ditaja pada 27 Mei lalu. Sejurus selepas selesai rawatan muka, kulitnya kelihatan segar.


Keesokan harinya, dia mula menyedari kemunculan jerawat kecil seakan-akan tompokan di kulitnya. Menjelang malam, keadaan bertambah buruk apabila tompokan kecil itu memenuhi seluruh wajahnya.

Pada hari ketiga, dia pergi ke pakar terapi rawatan muka meminta nasihat. Dia dimaklumkan bahawa dia mempunyai kulit sensitif dan membuang nanah daripada tompokan itu dapat menyelesaikan masalahnya.

Dia tidak tahu bahawa pengalaman pahitnya baru saja bermula. Pada hari keempat bintik itu memenuhi mukanya. - Asiaone

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

292 wanita Thai jadi keldai dadah

Posted: 04 Jun 2013 08:22 AM PDT

Bangkok: Polis melancarkan kempen menghalang wanita Thai diperdaya bekerja untuk rangkaian pengedar dadah asing.

Sepasukan polis yang bertugas diketuai penasihat polis diraja Thailand, Wuthi Liptapallop mendapati 292 wanita Thai didakwa dengan kesalahan penyeludupan dadah di 35 negara sejak 2010.


"Angka itu sangat tinggi.

"Ia mungkin angka tertinggi di dunia," katanya. Daripada jumlah itu, 21 sudah kembali ke Thailand, termasuk yang dibawa pulang dalam beg mayat, katanya.


Sindiket ini mendekati wanita melalui Internet dan memperdaya mereka dengan tawaran perjalanan ke luar negara dan janji mendapatkan pekerjaan.


Beberapa wanita ditawarkan pekerjaan menjual pakaian, barang kemas dan kosmetik di negara asing. Apabila tiba di destinasi, mereka sama ada tanpa disedari ditipu menyeludup dadah atau diperdaya agar menghantar dadah sebagai pertukaran pembayaran wang walaupun menyedari hal itu. Pelbagai kaedah penyeludupan diguna pakai untuk menghantar dadah. Ia termasuk menelan paket dadah, menyembunyikannya dalam mulut, melekat dadah dalam seluar dalam atau meletakkannya dalam kasut tumit tinggi dipakai. Panel itu berkata, enam wanita Thai dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahan dadah di luar negara. Lima daripada mereka menunggu hukuman itu di China dan seorang di Vietnam. Empat lagi menjalani hukuman penjara seumur hidup. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

SBY rancang dekati rakyat melalui Facebook

Posted: 04 Jun 2013 08:21 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, dia akan membuka akaun Facebook bulan depan kerana ingin mendekati rakyat.

Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha berkata, setakat ini pihak istana persiden masih memprosesnya. "Kami akan maklumkan jadual pelancarannya kelak," katanya di pejabat presiden di Jakarta. "Ramai yang sudah memiliki akaun Facebook hingga presiden memutuskan untuk membuka akaunnya sendiri bagi mendekati rakyat.


Presiden melihat sebahagian rakyat sangat aktif di Facebook," katanya.

Julian berkata, hingga kini Susilo sudah memiliki akaun Twitter dengan jumlah pengikut lebih dua juta. Namun, dia berasa belum puas dan tidak mencukupi.


"Mungkin kerana ia berbeza dengan Twitter. Ada perkara lain tidak dapat diakses Twitter dan hanya boleh dilakukan di Facebook saja," katanya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Pilot, krew disiasat

Posted: 04 Jun 2013 08:21 AM PDT

Manila: Pihak berkuasa penerbangan Filipina, semalam berkata, mereka masih menyiasat juruterbang dan kru kabin pesawat Cebu Pacific yang meninggalkan penumpang selama 15 minit sebelum menyediakan gelongsor ketika pesawat itu terbabas dari landasan.

Tiada penumpang yang cedera, namun beberapa individu membuat aduan mengenai tindak balas yang lembab. Pendaratan cemas ketika cuaca buruk petang Ahad lalu memaksa penutupan tiga hari Lapangan Terbang Antarabangsa Davao di selatan negara itu manakala pesawat Airbus A320-200 itu masih terkandas. Pesawat itu dialih dari kawasan padang rumput semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

No comments:

Post a Comment