Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tunggu Presiden baru BAM'

Posted: 04 Jun 2013 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan berjumpa Majlis Exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membincangkan prestasi buruk badminton selain gagal melahirkan pelapis pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Biarlah, saya mahu tunggu BAM selesaikan pemilihan kepimpinan baru. Lebih baik saya jumpa pemimpin baru daripada bertemu Nadzmi (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh), lagipun Nadzmi menyatakan tidak mahu bertanding," kata Khairy.


Beliau menegur BAM dan membuat kenyataan untuk bertemu kepimpinan badan induk badminton negara itu selepas Malaysia kalah 2-3 kepada Taiwan dan Jerman di Piala Sudirman yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara itu, beliau menganggap Chong Wei sebagai contoh atlet terbaik yang memandang serius aspek sains sukan.


"Chong Wei contoh terbaik atlet yang menitik beratkan aspek sains sukan, sebab itu pada usia 30 tahun dia masih mampu bersaing di peringkat tertinggi," kata Khairy menjawab persoalan mengenai kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan.


Selain berpendapat kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan masih rendah, beliau bagaimanapun memandang serius terhadap kesedaran jurulatih.

Foto

KHAIRY (dua dari kiri) mencuba 'wattbike' ketika melakukan lawatan kerja rasmi di ISN Bukit Jalil.

"Bagi saya kesedaran jurulatih terhadap sains sukan lebih kritikal berbanding atlet. Mereka perlu percaya kepada pendekatan sains sukan kerana sukan moden banyak bergantung kepada kemajuan aplikasi sains sukan.


"Saya pasti Institut Sukan Negara (ISN) tidak menghalang atlet melakukan persediaan melalui latihan biasa namun keperluan daripada segi psikologi, 'conditioning' badan dan fisiologi juga perlu diberi perhatian, baik jurulatih mahupun atlet.

"Setakat ini saya diberitahu jurulatih dan atlet gemar menonton ulang tayang video saja. Persiapan pemakanan dan semua perkara disebut tadi amat penting sebelum kejohanan." Justeru beliau memberi jaminan akan memberi sokongan padu kepada ISN.


"Kami dalam fasa akhir penyediaan pelan strategik sukan negara 2013-2020 bagi mewujudkan Institut Sukan bertaraf antarabangsa menjelang 2020. Banyak penambah baik ISN termasuk pertambahan kakitangan dan kepakaran akan dilakukan.


"Selain itu, saya akan mempengerusikan satu jawatankuasa bersama KBS dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan sistem seragam di sekolah seluruh Malaysia. "Jawatankuasa ini juga akan memainkan peranan mengenal pasti bakat di peringkat umur lebih muda, jika boleh kita ambil mereka pada usia lebih muda.


"Satu sistem seragam meliputi latihan dan pembangunan atlet membabitkan sains sukan akan didedahkan sejak sekolah rendah lagi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

McIlroy kaji Merion

Posted: 04 Jun 2013 10:38 AM PDT

Rochester: Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy (gambar) akan berkunjung ke Merion untuk menjalani dua sesi latihan minggu ini sebagai persediaan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas berbincang dengan jurulatih, Dave Stockton yang cuba membantu meningkatkan prestasi permainannya sebelum kejohanan sebenar bermula minggu depan.

Pemain berusia 24 tahun dari Ireland Utara yang merangkul gelaran utama pertama di Terbuka AS pada 2011, berada di Oak Hill, Isnin lalu berkata, dia akan mempertahankan kemenangan dirangkul di kejohanan PGA ke-95 Ogos ini.


"Ia lapangan paling sukar dalam golf dan bagus apabila dapat kembali sebagai pemain utama di lapangan ini," katanya yang merangkul mahkota PGA tahun lalu di Kiawah Island.

McIlroy beraksi pada sesi latihan semalam dan hari ini di Merion bagi mencari rentak terbaik yang menyaksikan dia menguasai empat daripada 10 pertandingan PGA termasuk saingan kedua di Terbuka Texas namun hanya berkongsi kedudukan ke-25 di Masters dan menduduki tempat ke-57 di Memorial minggu lalu.


"Saya bermain dengan baik. Saya perlu pamerkan aksi terbaik dan apabila berjaya melakukannya, semuanya akan berjalan lancar," kata McIlroy. "Apa yang diperlukan sudah ada dalam permainan saya. Saya hanya perlu rangkumkan semua perkara itu untuk satu minggu.


"Saya berasa selesa. Saya harapkan aksi terbaik di Merion. Semuanya bertujuan untuk mengenali lapangan itu dan cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin.

"Saya harap sejarah di Terbuka AS berterusan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Tuah di Kelantan

Posted: 04 Jun 2013 10:38 AM PDT

Kota Bharu: Sebanyak 86 pasukan kategori Bawah 12 dan 16 Tahun menyertai Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 siri ke-11 yang berlangsung di Kota Bharu FutsalArena.

Menariknya tiga pasukan berpangkalan di Terengganu mencipta nama di Kelantan dan seterusnya layak beraksi ke grand final.


Skuad ED United dari Kemaman dan Akedemi Bola Sepak Tunas Futstar dari Kuala Terengganu muncul juara dan naib juara kategori B-16.

Ed United menang menerusi penalti 5-4 selepas terikat 1-1.


Kelab Futsal Kemaman 365 dari Kemaman muncul juara selepas memadam impian Sri Remaja Juniors dari Klang, Selangor, 2-1 pada final B-12.


Empat pasukan itu akan mewakili Kelantan di Grand Final pada 7 Julai di Kompleks Sukan Ampang, Kuala Lumpur.

Aksi Grand Final mengumpul 64 pasukan terbaik kedua-dua kategori seluruh negara, berentap bagi memburu wang tunai RM15,000 dan piala, naib juara RM10,000.


Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM7,000 selain semua pemenang akan menerima pingat dan barangan sukan Figos.

Pasukan digalakkan mendaftar awal untuk mengelakkan kekecewaan. Siri ke-12 diadakan pada Sabtu ini di Sports Prima Futsal Centre, Johor Bahru. Maklumat lanjut hubungi Nik Muhd Radzi ditalian 019-3519934 dan Zack 019-9444334 atau layari www.syoknyasukan.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

SMK Dulang kuasa baru Kuala Muda/Yan

Posted: 04 Jun 2013 10:37 AM PDT

Yan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dulang melakukan kejutan terbesar daerah Kuala Muda/Yan (KMY) apabila menyapu bersih dua acara dipertandingkan dalam Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) KMY 2013, baru-baru ini.

SMK Dulang mempamerkan aksi mantap untuk meraih kejuaraan kategori Bawah 15 dan 18 Tahun biarpun tidak diberi perhatian pada awal saingan.


Guru jurulatih merangkap pengurus Jaya Suria Safar berkata, kejayaan itu hasil program pembangunan sukan 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang bermula 2011.

"Sudah lama kami mengidam menduduki podium kejuaraan kerana sejak 2000, belum pernah sekali nama SMK Dulang berjaya melakukannya.


"Namun segala-galanya berubah sebaik kami melaksanakan 1M1S dan ia memberikan pulangan berganda apabila kami menguasai kedua-dua kategori dipertandingkan," katanya.


Pencapaian itu sejarah paling berharga buat SMK Dulang kerana berjaya menggenggam juara buat pertama kali selepas 13 tahun menyertai MSSK KMY.

Dalam kategori berpasukan B-15, SMK Dulang unggul selepas menang 3-0 ke atas SMK Guar Chempedak di final.


Pasukan B-18 SMK Dulang mengulangi pencapaian skuad muda apabila sekali lagi mengecewakan SMK Guar Chempedak, 3-0 pada perlawanan akhir.

Mereka turut menguasai saingan regu B-15 dan 18 dengan penuh bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Durriyah, Bryan teraju pusingan awal

Posted: 04 Jun 2013 10:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Juara bertahan Kejohanan Siri Faldo Malaysia Kumpulan Ambank 2012 Nur Durriyah Damian dan Bryan Teoh mempamerkan persembahan cemerlang untuk mendahului pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Amatur Remaja RSGC AmBank 2013 di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), semalam.

Nur Durriyah yang juga pemain Persatuan Golf Malaysia (MGA) melakukan 74 pukulan untuk mengatasi rakan sepasukan, Genevieve Ling yang turut mengumpul jumlah sama manakala Celine Lim dari Kelab Golf dan Resort Bukit Kemuning mencatat 77 pukulan dalam kategori perempuan Bawah 18 Tahun.


Kategori lelaki B-15 menyaksikan Bryan yang mewakili MGA mengumpul 75 pukulan mendahului Sim You Jin dari Kelab Rahman Putra dengan kelebihan empat pukulan diikuti pemain Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Kim Tae Woo di kedudukan ketiga, 80 pukulan.

Paul San dari Kelab Golf dan Resort Sarawak pula mendahului kategori lelaki B-18 manakala wakil Kelab Golf Cinta Sayang dan Resort, Amalia Shahzan pendahulu perempuan B-15.


Kejohanan turut disertai peserta dari Australia, Korea dan Singapura. Kumpulan AmBank sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Sirkit kedua lebih baik

Posted: 04 Jun 2013 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Saingan sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 melabuhkan tirainya di Putrajaya, Ahad lalu dan penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan penganjuran itu.

Pengerusi Kejohanan Abdul Ghafar Ismail melahirkan rasa gembira atas sambutan semua peminat sukan basikal bukit dan beliau puas hati dengan sokongan serta sambutan peserta yang mengambil bahagian siri sirkit pertama itu.


Bagaimanapun beliau akui, sebagai penganjur perlumbaan yang membabitkan hampir 2,000 peserta pelbagai peringkat umur itu wujud beberapa kekurangan yang sudah dikenal pasti.

"Sebagai penganjur kami akan berusaha memastikan perkara itu tidak akan berulang pada sirkit kedua dan berjanji kelemahan itu akan cuba diperbaiki sebaik mungkin.


"Demi memajukan sukan basikal bukit di negara ini, Harian Metro akan sentiasa berusaha menjadikan Grand Prix ini sebagai penganjuran terbaik agar semua peserta berpuas hati," katanya.


Selepas meneliti beberapa aspek, beliau yang juga Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro berkata, antara perkara yang akan diberi penekanan adalah memanggil beberapa nama besar dalam sukan ini untuk duduk berbincang bagi mengenal pasti kelemahan yang ada sepanjang penganjuran sirkit pertama tempoh hari. Sirkit kedua selepas ini di Kellie Castle sebelum ke Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu, Legoland Nusajaya dan venue terakhir belum diputuskan.

Saingan membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi/Pameran dengan sasaran menarik peserta tempatan dan Asia Tenggara. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO).


Saingan membabitkan Terbuka Metro (Jamboree) pula terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Aktiviti mampu erat hubungan keluarga

Posted: 04 Jun 2013 10:35 AM PDT

Putrajaya: "Pada mulanya saya sangka berbasikal membazir kerana kos kelengkapannya mahal tapi selepas sering mengikut suami menyertai banyak kejohanan saya dapati sukan ini berpeluang mengeratkan hubungan kami sekeluarga selain bertemu ramai kawan baru," kata Fazlina Ahmad Salleh, 35.

Dia bersama empat anak berusia antara 7 hingga 12 tahun sanggup datang dari Tampin, Negeri Sembilan bagi memberi sokongan kepada suami Muhd Nurul Azmi Sabtu, 35, yang menyertai saingan pertama di Putrajaya pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013, Ahad lalu.


Katanya, selain menyihatkan badan, sukan berbasikal membolehkan mereka sekeluarga bercuti bersama kerana setiap kali suaminya menyertai kejohanan semua ahli keluarga dibawa bersama.

"Saya memang menggalakkan suami menyertai sukan berbasikal kerana banyak faedah diperoleh, dia boleh berjumpa lebih ramai kawan dan ia lebih bagus daripada menyertai aktiviti yang kita tidak tahu.


"Selain itu, kami sekeluarga juga berpeluang melancong jika suami menyertai kejohanan di luar Tampin jika tiada sebarang aktiviti lain sekali gus mengeratkan hubungan silaturrahim keluarga," katanya. Fazlina berkata, suaminya baru menceburkan diri dalam sukan berbasikal dan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 adalah kejohanan keempat disertai setakat ini.


Menurutnya, anak lelakinya juga sudah menunjukkan minat terhadap sukan berbasikal dan dia akan memberi sokongan sepenuhnya.

"Minat terhadap sukan ini mungkin timbul kerana sering mengikuti ayahnya menyertai kejohanan seumpama ini. Saya tidak menghalang sebaliknya terus memberi sokongan padu." Suri rumah Juliana Abd Latif, 50, berkata suaminya, Solihin Abd Latif, 50, mula aktif dalam sukan berbasikal sejak empat tahun lalu dan menyertai Kelab Basikal Cycle X MTB Alor Gajah, Melaka bagi memudahkannya menyertai kejohanan.


Katanya, dia juga sering mengikut suami yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Alor Gajah menyertai kejohanan untuk memberi sokongan moral walaupun biasanya suami tidak menaruh harapan meraih kemenangan sebaliknya turut serta sebagai riadah.

"Tetapi jika mendapat tempat atau kemenangan, ia memberi nilai tambah dan memberi semangat kepada suami terus menyertai kejohanan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Razif puas tempat ketiga

Posted: 04 Jun 2013 10:35 AM PDT

Putrajaya: Kejayaan menduduki tempat ketiga saingan Cross Country Olympic (XCO) sudah cukup memuaskan hati Razif Salleh yang sebelum ini lebih sinonim dengan acara lebuh raya.

Percubaannya pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 Ahad lalu memberi pengertian bermakna untuk terus mencuba aktiviti basikal bukit.


Razif yang sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Le Tua dalam siri jelajah terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) berkata, dia cuba memberikan aksi terbaik dan tidak menyangka dapat menamatkan saingan di tempat ketiga. "Saya tidak hebat dalam saingan basikal bukit kerana acara saya lebih kepada lebuh raya. Saya hanya cuba memberikan terbaik untuk mendapatkan kedudukan podium.

"Kekuatan saya adalah pada bukit. Lagi banyak bukit lagi memberi keselesaan kepada saya. Tambahan pula kategori XCO bukan mudah dan biarpun sekadar menduduki tempat ketiga, ia sudah cukup membuatkan saya puas hati," katanya.


Menduduki tempat kelapan keseluruhan cabaran Cabaran Basikal Bukit Mongolia, Razif berkata, laluan trek di Putrajaya antara laluan terbaik bagi kategori XCO di negara ini.


Katanya, dia akan terus melipat kali gandakan usaha mempertingkatkan mutu kayuhan dan berharap dapat memperbaiki keputusan ini apabila turun beraksi di sirkit kedua di Terengganu selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Pengganti Yasin

Posted: 04 Jun 2013 10:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Datuk Mohid Mohamed, dua nama hangat disebut-sebut mengisi kekosongan jawatan Pesuruhjaya Sukan Malaysia menggantikan Datuk Mohd Yasin yang bersara bulan lalu.

Begitupun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan mendedahkan siapa calon-calon mengisi jawatan itu.


"Saya ada nama, tak berapa pasti lagi. Saya perlu jumpa seorang daripadanya dulu. Buat masa ini saya tidak akan dedahkan siapa yang akan dilantik," katanya selepas melawat Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

Meskipun ada andaian menyatakan Timbalan Pesuruhjaya Sukan Tuan Abdul Rahim Tuan Bahru bakal dilantik kerana Khairy turut membuat lawatan ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan, semalam jangkaan yang menyatakan pemimpin kelahiran Terengganu itu akan naik pangkat mungkin tersasar.


Khairy berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti setiap calon berwibawa.


Ramlan masih bertugas sebagai Penasihat Khas Menteri Belia dan Sukan selain mempengerusikan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

"Saya buat masa ini masih kekal penasihat menteri," kata Ramlan ringkas ketika ditanya mengenai tugasannya di bawah pentadbiran menteri baru.


Mohid pula masih kekal sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

5 pelumba muda sandaran PLBT

Posted: 04 Jun 2013 10:15 AM PDT

Kuala Terengganu: Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempertaruhkan lima pelumba muda skuad SUKMA pada kejohanan Berbasikal Lebuhraya Singapura selama dua hari bermula Jumaat ini.

Jurulatih Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, kejohanan itu sebagai persiapan dan latihan pemanas badan sebelum Kejohanan Grand Prix (GP) di Perlis pada 22 Jun.


Katanya pada kejohanan di Singapura itu, PLBT tidak meletakkan harapan tinggi kerana mereka adalah pelumba muda.

"Ini merupakan kali kedua kami menyertai kejohanan di Kota Singa dan sedar saingan sengit bakal menanti.


"Kami tidak menetapkan sasaran tinggi namun tetap berharap mereka menunjukkan prestasi terbaik pada kejohanan itu," katanya.


Fokusnya lebih terarah pada kejohanan di Perlis kerana ia bakal menguji kemampuan skuad pelapis negeri, pelapis SUKMA serta skuad elit negeri kerana kategori dipertandingkan selaras dengan had umur pelumba.

Perlumbaan di Perlis mempertandingkan empat kategori iaitu Bawah 16, Junior, Senior dan kategori wanita.


"Kami akan menghantar 30 pelumba iaitu satu pasukan elit, dua pasukan pelapis dan satu skuad wanita menyertai kejohanan itu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

No comments:

Post a Comment