Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Viagra asli'

Posted: 02 Jun 2013 09:15 AM PDT

Naples: Baunya mungkin terlalu busuk dan sentiasa terdedah kepada kemungkinan letupan.

Bagaimanapun, bagi lelaki yang berdepan dengan masalah ereksi, mengadakan seks di kaki sebuah gunung berapi mungkin boleh menyelesaikan masalah mereka.

Satu kawasan pandu masuk dibina di Naples dengan 'enam petak letak kereta' di kaki gunung berapi Solfatara.

Hidrogen sulfida yang dikeluarkan gunung berapi itu terbukti membantu kaum lelaki yang mempunyai masalah ereksi digelar 'Viagra asli.'

Foto

PETAK asmara yang dibina bersebelahan dengan Gunung Berapi Solfatara.

Foto

PELANGGAN diberi nasihat mengenai seks secara selamat sebelum ke petak asmara.

Foto

PASANGAN menuju ke petak asmara.


Pengunjung yang dibekalkan dengan maklumat mengenai seks selamat ketika membayar untuk menggunakan petak letak kereta itu dikatakan hanya perlu menghirup udara berdekatan gunung berapi itu bagi mendatangkan keinginan seks.


Yang tidak menyenangkan ialah gas itu yang dikenali sebagai 'bau syaitan' dan bau seperti telur busuk. Ia boleh menjadi racun jika kuantitinya banyak.

Menurut pakar, jumlah kecil gas itu boleh memberi kesan seperti Viagra dalam merawat masalah mati pucuk jika satu produk baru dihasilkan secara teratur.

Pelanggan hanya perlu membayar untuk meletakkan kereta dan memasuki petak yang dikepung sebelum boleh menikmati seks dengan pasangan masing-masing. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Tulisa pengedar kokain

Posted: 02 Jun 2013 09:03 AM PDT

London: Kegiatan dadah penyanyi glamor, Tulisa terbongkar semalam selepas dia mengatur pembelian kokain bernilai £800 (RM4,000).

Bekas hakim X Factor berusia 24 tahun itu 'ditangkap' oleh wartawan akhbar The Sun ketika dia mengatur seorang rakan untuk membekalkan setengah auns dadah kelas A itu.

Tulisa memberitahu wartawan itu: "Apa yang anda inginkan, dia ada."

Tulisa sebelum ini mendakwa dia adalah model contoh kepada peminat muda dan dia berhenti menghisap dadah pada usia 14 tahun.


Dalam siasatan The Sun, bintang glamor itu mempamerkan tabiat buruk yang disembunyikan daripada peminat remaja - bermegah-megah dengan hubungannya dengan dadah.


Dia memberitahu wartawan terbabit: "Kamu ingin ganja? Saya akan memberitahu lelaki ini. Apa saja yang kamu inginkan, dia ada."

Apabila ditanya mengenai dadah selain ganja, dia menjawab: "Apa saja - kokain.

Tulisa mengaku tidak mengambil kokain tetapi mengesahkan dia mengatur pembelian dadah itu untuk rakannya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Tak puas hati pimpinan Susilo

Posted: 02 Jun 2013 09:00 AM PDT

Jakarta: Hasil kaji selidik daripada Lembaga Survei Nasinal (LSN) menunjukkan prestasi pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semakin merudum dan menyebabkan rakyat semakin tidak puas hati. Bidang ekonomi adalah bidang yang mendapat penilaian paling buruk.

"Dalam bidang ekonomi, ketidakpuasan hati rakyat mencapai 64.1 peratus. Kadar pertumbuhan ekonomi kekal tiga peratus sejak Susilo memegang kuasa sembilan tahun lalu," kata Pengarah Eksekutif LSN, Umar S Bakry dalam kaji selidik yang bertajuk "Menjelang Pilihan Raya 2014, Prestasi Pemerintahan Lembap, Presiden dan Menteri Sibuk Dengan Agenda Parti, di Senayan Jakarta semalam. Responden menilai bahawa keadaan isi rumah mereka tidak mengalami perubahan ketara. Bahkan, selama sembilan tahun tiada perubahan yang bermakna. "Malah, sebanyak 16.3 peratus mengakui keadaan isi rumah lebih buruk berbanding pada tahun sebelumnya," katanya. Dalam bidang politik, rakyat juga tidak puas hati berikutan hanya 27.1 peratus menyatakan berpuas hati dengan pemerintahan Susilo. "Rakyat berharap presiden memberi tumpuan. Walaupun pilihan raya 2014 bakal menjelang, presiden dan menteri diminta tidak mengutamakan agenda politik masing-masing. Sebanyak 77.7 peratus menyesal dengan keputusan Susilo memegang jawatan sebagai Ketua Umum Parti Demokrat," katanya. Kaji selidik LSN dilakukan pada 1 hingga 10 Mei lalu di 33 wilayah. Seramai 1,230 responden yang berusia 17 tahun ke atas dan belum mencapai usia 17 tahun tetapi sudah berkahwin mengambil bahagian dalam kaji selidik itu. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Gelandangan ancam bunuh Putera Harry

Posted: 02 Jun 2013 08:59 AM PDT

London: Polis Britain berkata, seorang lelaki merempat mengaku bersalah mengancam untuk membunuh Putera Harry.

Polis Metropolitan semalam berkata, Ashraf Islam, 30, yang tiada alamat tetap didakwa pada 25 Mei lalu dengan tuduhan mengancam untuk membunuh putera terbabit "mengikut Seksyen 16 Akta Serangan Terhadap Individu".


Dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Uxbridge, London dan berada dalam tahanan sementara menunggu hukuman.

Polis berkata, Ashraf ditahan selepas memasuki balai polis dan membuat ancaman itu, sehari selepas seorang tentera Britain dibunuh di jalan raya di London pada 22 Mei lalu.


Dia disoal siasat oleh polis antikeganasan tetapi tidak didakwa dengan sebarang kesalahan keganasan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Penduduk bunuh, belasah suspek penculik

Posted: 02 Jun 2013 08:58 AM PDT

Monterrey: Penduduk di kawasan kejiranan yang dikuasai jenayah di timur laut negara ini membunuh seorang suspek penculik dan membelasah dua lagi temannya, kata pihak berkuasa semalam.

Tiada sesiapa ditahan, kata ejen daripada Agensi Penyiasatan Negeri yang tidak mahu dikenali.


Menurut saksi, tiga lelaki bersenjata dan memakai topeng menceroboh masuk ke sebuah kediaman dan cuba menculik seorang daripada penghuninya. Saudara-mara mangsa melawan serangan itu dan menanggalkan topeng dipakai seorang daripada penyerang terbabit.

Jeritan mereka mendorong kira-kira 30 jiran datang menghulurkan bantuan, kata seorang daripada penduduk kepada media.


"Mereka semua tabah kerana penyerang adalah zetilla (anggota kartel Los Zetas)," katanya sambil menambah beberapa penyelamat pernah diculik sebelum ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Dua maut, 21 cedera dalam gempa di Taiwan

Posted: 02 Jun 2013 08:57 AM PDT

Taipei: Satu gempa bumi kuat semalam melanda Taiwan, membunuh dua orang, mencederakan 21 tang lain dan menggegarkan bangunan di ibu negara Taipei, kata pihak berkuasa.

Gempa itu yang mengakibatkan penduduk bertempiaran lari ke jalan raya turut dirasai di Hong Kong, yang lebih 700 kilometer jauhnya. Pusat Seismologi Taiwan mengukur gempa pada 6.3 magnitud, manakala organisasi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat mengukurnya pada ukuran 6.2 magnitud.


Gempa berlaku kira-kira jam 1.43 petang berpusat 32 kilometer di timur daerah tengah, Nantou pada kedalaman 10 kilometer, disusuli oleh beberapa siri gempa susulan, kata pusat berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Ketinggian warga ditingkat

Posted: 02 Jun 2013 08:56 AM PDT

Bangkok: Kementerian Kesihatan Awam mensasarkan untuk meningkatkan purata ketinggian golongan muda Thai kepada 175 sentimeter (sm) untuk lelaki dan 162sm untuk perempuan dalam tempoh 10 tahun. Ia juga berhasrat memanjangkan purata jangka hayat kepada 80 tahun melalui kempen meminum susu setiap hari.

Setiap rakyat Thai hanya meminum 14 liter susu setiap tahun, berbanding purata 60 liter di negara Asia Tenggara lain dan kadar purata 103.9 liter di dunia setiap tahun, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Cholanan Srikaew berkata, golongan muda Thai berusia 18 tahun lebih rendah daripada purata ketinggian 167.1sm bagi lelaki dan 157.4sm bagi wanita.


Cholanan membuat kenyataan itu pada Hari Susu, Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu Sedunia. Dia berkata, rakyat Thai patut digalakkan meminum susu. Bermula dengan kempen kementerian untuk menyasarkan agar 60 peratus (atau 800,000) bayi baru dilahirkan meminum susu ibu selama enam bulan, sebelum diberi makan makanan berkhasiat dan susu ibu hingga berusia dua tahun. Rakyat Thai semua peringkat usia yang lain juga perlu digalakkan agar meminum susu lembu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Penyeludupan hidupan liar berleluasa

Posted: 02 Jun 2013 08:55 AM PDT

Bangkok: Kegiatan penyeludupan hidupan liar terus berleluasa di Asia Tenggara dengan peningkatan bilangan haiwan dan bangkai binatang yang ditemui oleh pihak berkuasa setiap tahun, lapor Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Asean.

Timbalan Ketua Jabatan Konservasi Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuh-Tumbuhan, Theerapat Prayurasiddhi semalam berkata, Thailand dan jirannya dikenal pasti sebagai "kawasan utama" penyeludupan hidupan liar dalam laporan terbaru Asean-WEN yang dikeluarkan semalam. Asean-WEN membabitkan agensi polis, kastam dan alam sekitar dari semua 10 negara Asean - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan Thailand.


Menurut laporan itu, 386 kes penyeludupan hidupan liar terbongkar pada 2011 dengan 38,895 haiwan hidup dan 36,109 bangkai haiwan seberat kira-kira 94.68 tan dirampas.

Bilangan kes meningkat secara drastik dari 2010 apabila 132 kes penyeludupan hidupan liar terbongkar membabitkan penemuan 24,740 haiwan hidup dan 74,183 bangkai haiwan.


Theerapat semalam mengadakan sidang akhbar bagi mendedahkan pengemaskinian kegiatan penyeludupan hidupan liar di rantau ini menjelang mesyuarat kelapan pihak berkuasa Asean-WEN di Chiang Mai hari ini hingga Khamis. Kira-kira 150 pegawai Asean akan menghadiri mesyuarat itu. Theerapat berkata, delegasi berkenaan dijangka membincangkan penguatkuasaan undang-undang untuk mengekang penyeludupan hidupan liar dan membantu operasi pegawai polis, kastam dan perhilitan bagi mengawal kegiatan itu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

10 cedera dalam kejadian gempa di Mindanao

Posted: 02 Jun 2013 08:54 AM PDT

Manila: Gempa berukuran 5.7 skala Ritcher menggegarkan sebahagian selatan Filipina lewat kelmarin, mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang dan menyebabkan kerosakan kecil, kata pihak berkuasa.

Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina semalam berkata, gempa melanda berhampiran bandar Carmen di Mindanao, menyebabkan penduduk setempat terjaga dan panik. Ia turut dirasai di seluruh lapan bandar dan bandar raya berdekatan, menurut pejabat pertahanan awam daerah.


Sekurang-kurangnya 10 orang cedera akibat terkena serpihan runtuhan, manakala 46 kediaman yang diperbuat daripada bahan yang tidak kukuh di kawasan luar bandar sebahagiannya rosak.

Dinding di lima bangunan sekolah didapati retak tetapi masih stabil untuk pelajar kembali ke sekolah hari ini selepas cuti musim panas, kata pegawai pertahanan awam daerah, Carlo Daminay. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Filipina ketatkan undang-undang senjata api

Posted: 02 Jun 2013 08:53 AM PDT

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino telah menandatangani undang-undang yang menyukarkan individu untuk memiliki senjata api ekoran beberapa siri pembunuhan berprofil tinggi tahun ini, kata jurucakap kerajaan semalam.

Mengikut undang-undang yang ditandatangani minggu lalu, mereka yang ingin membeli senjata api perlu menjalani ujian dadah dan psikologi serta tidak boleh mempunyai rekod jenayah atau kes mahkamah yang tertangguh.


Mereka juga perlu menunjukkan bukti pendapatan, selain penyata cukai yang sah dan penjelasan pembayaran daripada balai polis di bandar raya atau kawasan perbandaran mereka.

"Undang-undang baru, disertai dengan penguatkuasaan yang tegas dan kempen lebih agresif terhadap senjata api akan membantu mencegah insiden tidak diingini membabitkan senjata api," kata Timbalan Jurucakap Presiden, Abigail Valte.


Rakyat yang layak hanya dibenarkan memiliki senjata api kecil dan mereka yang gagal memperbaharui lesen senjata api setiap dua tahun berdepan kemungkinan senjata mereka dirampas polis. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

No comments:

Post a Comment