Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Shahrin pamer kayuhan konsisten

Posted: 02 Jun 2013 09:47 AM PDT

Putrajaya: Menepati ramalan awal dengan status sebagai juara kebangsaan, Shahrin Amir mempamerkan rentak kayuhan konsisten untuk dinobatkan juara sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 Cross Country Olympic (XCO), semalam.

Biarpun menerima tentangan sengit rakan senegara seperti Razif Salleh dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, ia bukan penghalang kepadanya untuk mempamerkan aksi terbaik bagi menaikkan nama pasukan yang diwakilinya, Giant Team Malaysia.


Melakarkan 9 minit 05 saat bagi satu pusingan membabitkan jarak trek sejauh 30.5km, Shahrin menewaskan rakan pasukan dari Brunei, Muhd Raihan Abdul Aziz, kedua dan Razif Salleh, ketiga.

"Alhamdulillah dengan kemenangan ini. Saya memang sasarkan untuk menang jadi saya cuba mempamerkan kayuhan terbaik sejak permulaan perlumbaan dengan berada di barisan depan," katanya.


Shahrin yang kini menjalani latihan pusat di Melaka sebagai persediaan ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini menyifatkan laluan trek di Dataran Diplomatik Persint 15 Putrajaya itu sebagai antara yang terbaik untuk basikal bukit di negara ini.


"Saya sukakan trek ini. Ini yang terbaik bagi kategori Cross Country. Sasaran saya selepas ini untuk cuba mengungguli sirkit kedua bagi mengumpul mata beraksi di Grand Final nanti," katanya yang turut berazam mengharumkan nama negara dengan merangkul emas pertama di Sukan SEA acara basikal bukit. Kejayaan Shahrin itu membolehkan dia membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta medal dan piala manakala tempat kedua menerima RM1,800 dan medal dan ketiga, RM1,000 serta medal.

Foto

GAYA Shahrin ketika melintasi garisan penamat.

Perlumbaan ini menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa membabitkan jarak tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Peserta kebangsaan dominasi aksi sulung

Posted: 02 Jun 2013 09:43 AM PDT

Putrajaya: Dua peserta kebangsaan mempamerkan kayuhan bertenaga untuk dinobatkan juara kategori lelaki dan wanita sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 bagi kategori Cross Country Olympic (XCO).

Shahrin Amir yang mewakili pasukan Giant Malaysia cukup bertenaga menguasai trek sejauh 18 kilometer di Dataran Diplomatik Presint 15, menewaskan rakan pasukan dari Brunei, Muhd Raihan Abdul Aziz, kedua dan Razif Salleh, ketiga.


Juara kategori Asia dan pelumba terbaik negara di Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC), Masziyaton Mohd Radzi dari pasukan Geng Kayuh Gerek Kedah 2 & SBS Giant menjuarai kategori wanita.

Masziyaton merekodkan 1 jam 8 minit 1 saat menewaskan Junaidah Jus di tempat kedua dan Siti Aisyah Alias ketiga.


Juara kedua-dua kategori ini membawa pulang wang tunai RM2,500, jersi juara, piala pusingan dan medal manakala tempat kedua menerima RM1,800 dan medal dan tempat ketiga wang tunai RM1,000 dan medal. Peserta dari pasukan Giant SBS Racing Team, Mohd Hafiz Rosli, 25, pula mendapat tempat pertama bagi Jamboree kategori Terbuka Lelaki dalam acara Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia, sekali gus membawa pulang wang tunai RM700.


Bagi Jamboree kategori Terbuka Wanita, peserta dari pasukan Geng Kayuh Gerek Kedah, Siti Aminatul Jannah Abdul Rahman, 17, merebut tempat pertama untuk menerima RM700.

Peserta dari pasukan Cyclomotion, Mohd Khuzairi Abdul Bakar, 22, mengungguli saingan Jamboree kategori Junior (bawah 23 tahun) bagi dihadiahkan RM700.


Sementara itu, Jamboree kategori Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) menjadi milik Suki Mohd Zain, 45 yang juga menerima RM700.

Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Masziyaton mudah tawan trek

Posted: 02 Jun 2013 09:42 AM PDT

Putrajaya: Pemenang pingat perak acara basikal bukit Sukan SEA Indonesia, Masziyaton Mohd Radzi muncul juara kategori wanita sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 bagi acara Cross Country Olympic (XCO).

Masziyaton yang mewakili pasukan Geng Kayuh Gerek Kedah 2 & SBS Giant merekodkan 1 jam 8 minit 1 saat membabitkan laluan sejauh 18 kilometer, menewaskan Junaidah Jus, kedua dan Siti Aisyah Alias, ketiga.


Atlet berasal dari Kedah itu berkata, tidak sukar buat dirinya untuk menguasai perlumbaan kerana trek yang kurang teknikal.

"Ini trek pantas. Tidak seperti di satu lagi trek di Putrajaya iaitu di Taman Cabaran. Trek ini tidak terlalu teknikal dan ia agak mudah bagi saya untuk menguasainya, jadi memang saya sasarkan untuk menang. Syukur saya berjaya menepati sasaran.


"Bagaimanapun saya diberi tentangan sengit oleh Junaidah yang juga pesaing utama perlumbaan ini selain Nurul Syuhada Zainal dan Siti Aisyah," katanya.


Saingan kategori XCO wanita membabitkan cabaran 15 peserta wanita daripada pelbagai peringkat umur dengan hanya seorang peserta gagal menamatkan perlumbaan. Mengulas mengenai kemenangannya, Masziyaton berkata kejayaan itu menyuntik semangatnya untuk terus menguasai sirkit akan datang selain menjadikan pertandingan itu sebagai medan latihan sebelum ke Sukan SEA nanti.

"Selepas mendapatkan perak ketika pra Sukan SEA di Myanmmar bulan lalu, saya yakin dengan kemampuan saya. Saya harap saya dapat menghadiahkan emas kepada kontinjen negara nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Tingkat prestasi lagi!

Posted: 02 Jun 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah yang berakhir kelmarin menunjukkan perseorangan dan beregu lelaki nombor dua negara tidak lagi gah dan mereka perlu meningkatkan prestasi serta kesungguhan untuk terus berada dalam skuad kebangsaan.

Kelmarin, pilihan utama Liew Daren gagal muncul juara selepas tewas kepada pilihan kedua yang juga rakan sepelatih, Chong Wei Feng 13-21, 21-16, 17-21.


"Saya tidak mahu fikir banyak kerana saya tetap perlu fokus kepada kejohanan antarabangsa sebagai persediaan ke Kejohanan Dunia," kata Daren yang akan beraksi di Siri Super Terbuka Singapura 18-23 Jun ini.

Mengakui prestasinya dan Wei Feng setara, Daren mensasarkan untuk mara ke suku akhir Terbuka Singapura iaitu mengulangi pencapaian tahun lalu, sebagai pengubat kehampaan di Kedah serta GP Emas Terbuka Malaysia bulan lalu.


Ketika Daren sekadar mahu ke suku akhir, Wei Feng pula memasang impian melangkah lebih jauh di Singapura untuk memperbaiki pencapaian lalu.


Dari segi visi juga sudah jelas yang Wei Feng lebih berjiwa besar dan lebih dahagakan kejayaan.

Dalam pada itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh mula menghentikan polisi mengukur kejayaan pemainnya berdasarkan ranking dunia, sedangkan tiada kejuaraan dibawa pulang bagi membalas kepercayaan.


Perhatian seharusnya diberi kepada gandingan nombor tujuh dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang masih gagal meraih gelaran antarabangsa dan kini, tanpa Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Terbuka Kedah, mereka masih gagal apabila kalah kepada pasangan nombor tiga negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah 19-21, 16-21.

V Shem-Khim Wah kini berada di ranking ke-11 dunia, sudah meraih kejuaraan GP Emas Terbuka Malaysia lalu dan prestasinya kekal di tahap terbaik sehingga kini.


Mereka akan beraksi di Singapura dengan misi melepasi suku akhir, memperbaiki pencapaian tahun lalu namun Thien How-Wee Kiong pula tidak bersaing di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Syafiq harap strategi berhasil

Posted: 02 Jun 2013 09:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Juara Cabaran Suzuki Belang 2012, Mohd Syafiq Rosli berharap membentuk strategi berpasukan bersama rakan sepasukan, Khairul Idham Pawi menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Muar, Johor pada 8 dan 9 Jun ini.

Pelumba pasukan Hyperspeed YAM Honda Racing yang beraksi di dalam kategori WIRA percaya hanya dengan strategi berpasukan mereka mampu menamatkan dominasi Hafiza Rofa (Warner Pumps-YSP) yang muncul juara bagi tiga pusingan awal musim ini di Batu Kawan (Pusingan 1), Melaka (Pusingan 2) dan Terengganu (Pusingan 3).


Bukan setakat itu, dominasi Hafiza turut meletakkannya di tangga teratas carta keseluruhan kategori WIRA dengan catatan 75 mata, 35 mata mengatasi Syafiq di tangga kedua dengan 40 mata diikuti Khairul Idham di tempat ketiga, 36 mata.

"Tahap persaingan dalam kelas WIRA kini amat mencabar sekali, terutamanya dengan kehadiran Hafiza. Dia beraksi di dalam kategori ini selama tiga tahun dan ini memberikannya kelebihan berbanding pelumba lain," jelas Syafiq.


"Kami sedar tidak mudah menewaskan Hafiza berseorangan jadi bagi menghadapi situasi ini, amat penting sekali untuk saya dan Khairul Idham membentuk strategi berpasukan. Kami berharap dengan perancangan rapi, kami boleh memberikan tekanan kepada Hafiza, menamatkan kemaraannya dan mengurangkan jurang mata dalam carta keseluruhan kategori WIRA.


"Selepas mengkaji tiga pusingan awal musim ini, saya mendapati Hafiza sentiasa lancar memulakan saingan dan ini membantunya mendapatkan kedudukan pendahulu pada peringkat awal perlumbaan. Selain amat konsisten, Hafiza berupaya menjarakkan diri dengan pelumba lain dengan mudah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

'Tak terima tak apa...'

Posted: 02 Jun 2013 09:39 AM PDT

Rembau: "Saya ikhlas memberi pandangan terhadap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Kalau nak terima, OK…kalau tak nak terima tak apa…saya tak nak komen lebih lanjut sebab tak nak panjangkan perkara ini."

Itulah penjelasan ringkas Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang terkilan dengan luahan Menteri Belia dan Sukan itu mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Khairy berkata, selaku menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau bukan hanya menyampaikan pandangan peribadi semata-mata tapi mengambil kira laporan diterima selain pendapat orang awam.

"Kalau pandangan seperti itu tidak mahu diterima apa boleh buat," katanya selepas merasmikan Kursus Asas Haji peringkat daerah Rembau bertempat di Dewan Besar Annur Sekolah Menengah Agama Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, di sini, semalam.


Sebelum ini, Khairy dilaporkan mempertikaikan keadilan FAM apabila mengekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNJ) sebagai tuan rumah walaupun mereka gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur pada aksi yang sepatutnya berlangsung pertengahan minggu lalu.


Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya hasil kutipan tiket kepada PBNP dihadkan kerana berpeluang mengaut keuntungan lebih besar di Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton.

Dalam aksi perlawanan tertunda separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin, Johor DT melangkah ke final Piala FA selepas menumpaskan Pahang 2-1.


Johor DT mara ke akhir untuk bertemu penyandang juara Piala FA, Kelantan pada 29 Jun ini, berikutan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Poyeng mahu bukti wibawa

Posted: 02 Jun 2013 09:37 AM PDT

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang, Mohd Saiful Nizam Miswan mengakui terkejut apabila menerima panggilan menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya.

Justeru, pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mahu membuktikan kepada jurulatih, Datuk K Rajagobal kehadirannya dalam skuad negara itu pilihan tepat.


Menurutnya, sebenarnya dia tidak menyangka dipanggil bukan disebabkan berasa tidak layak tapi faktor usianya yang mencecah 32 tahun.

"Tapi, saya percaya bukan faktor usia menjadi keutamaan kerana prestasi semasa yang mendorong jurulatih mengambil keputusan untuk memanggil saya bagi memantapkan barisan negara.


"Namun, saya perlu lebih bersedia bukan saja fizikal, malah mental untuk bersaing dengan pemain lebih berpengalaman biar pun sudah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak 2003.


"Sebagai pemain, saya cuba yang terbaik kerana setiap pemain akan mengimpikan beraksi bersama skuad negara dan saya juga tidak terkecuali," katanya semalam.

Selain Saiful yang mesra dengan panggilan Poyeng, muka baru dalam Harimau Malaya yang turut dipanggil Mohd Farid Ramli (Johor Darul Takzim), Mohd Faiz Subri (Kelantan), Mohd Nazrin Mohd Nawi (Negeri Sembilan) dan Mohd Nizad Ayub (PKNS FC).


Saiful memulakan kerjaya dalam bolasepak bersama Johor FC pada 2003 hingga 2004, sebelum berpindah ke Johor (2005-2007), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (2008), Johor (2009) dan Pahang (2010-2013).

Sementara itu, mengulas kegagalan Pahang layak ke final Piala FA, Saiful mengakui kecewa selepas dia bersama rakan lain sudah berusaha yang terbaik untuk memastikan Tok Gajah layak.


"Apakan daya kami sudah melakukan yang terbaik tetapi kelebihan Johor DT yang memiliki bekalan satu gol pada separuh akhir pertama meleburkan impian kami.


"Tapi saya percaya kami masih berpeluang untuk meraih gelaran juara liga musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

'Maafkan kami gagal ke final'

Posted: 02 Jun 2013 09:36 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kami mohon maaf kerana tidak berjaya membawa Pahang ke final".

Itu kekesalan penyerang Pahang, Azamuddin Md Akil selepas skuad Tok Gajah gagal melangkah ke final Piala FA walaupun beraksi dengan baik pada babak pertama menerusi dua jaringan pemain import dari Argentina, Matias Conti.


"Kami bermula dengan baik malam ini (kelmarin) dengan menjaringkan dua gol untuk mengubah kedudukan namun kelekaan selepas rehat membolehkan mereka mendapat satu gol. Tiada rezeki kami ke final kali ini," kata penyerang berusia 28 tahun kelahiran Kuala Lipis itu.

Johor Darul Takzim (DT) yang tampil dengan kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama ketinggalan seawal minit ke kedua perlawanan menerusi rembatan Conti yang kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-40, namun pelawat tampil menjaringkan gol penyamaan menerusi Andrezinho dua minit babak kedua bersambung. Azamuddin, pemain kebangsaan antara yang tampil cemerlang dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin apabila sering mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan sehingga memaksa pengendali Johor DT Fandi Ahmad mengeluarkan pertahanan kiri Irfan Ghani seawal minit ke-21.


Pahang kendalian Dollah Salleh dilihat menggunakan hantaran bola tinggi dengan Azamuddin jelas menggunakan kemahiran individu dimilikinya untuk mengancam kubu lawan.


"Saya tahu penyokong hadir pasti kecewa kerana kami tewas. Saya bagi pihak rakan sepasukan memohon maaf kerana tidak mampu bawa Pahang ke final," katanya.

Foto

PEMAIN Pahang meratapi kekalahan mereka.

Walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 di Stadium Nasional dan terikat 2-2 menerusi agregat, ia masih belum cukup untuk menghalang Johor DT melangkah ke final Piala FA bertemu juara bertahan, Kelantan menerusi peraturan gol tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Dollah pertahan tindakan keluarkan Amirulhadi

Posted: 02 Jun 2013 09:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Dollah Salleh mempertahankan tindakannya mengeluarkan pemain perancang Amirulhadi Zainal pada pertengahan separuh masa kedua yang menyaksikan skuadnya gagal mencipta kebangkitan untuk menafikan Johor Darul Takzim (DT) ke pentas final Piala FA kelmarin.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas insiden kontroversi pembatalan perlawanan di Stadium Darul Makmur berikutan kekecohan penonton Selasa lalu, Pahang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor DT, namun pasukan dari selatan tanah air itu mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila agregat terikat 2-2.


Biarpun mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi ledakan gol penyerang Argentina Matias Conti pada minit ke-2 dan (m-40), skuad Tok Gajah itu membenarkan Johor DT menyumbat gol menerusi Andrezinho pada minit ke-47.

Rentak Pahang tampak kurang bertenaga dan tersusun pada separuh masa kedua dan semakin ketara apabila Dollah mengeluarkan Amirulhadi yang mencipta dua gerakan gol untuk Conti dan digantikan dengan Azidan Sarudin pada minit ke-68 sekali gus menyukarkan mereka menambah jaringan.


"Saya mengeluarkan Amirulhadi kerana dia sudah keletihan. Saya rasa dia sudah memberikan aksi maksimum pada separuh masa pertama. Dia juga mengalami kecederaan jadi saya terpaksa tarik dia keluar," kata Dollah selepas tamat perlawanan.


Beliau mengakui sikap terlalu berhati-hati anak buahnya pada awal separuh masa kedua mengundang padah. "Kita cuba bangkit dengan mencipta banyak peluang tapi gagal menghasilkan gol. Bahagian tengah kami nampak keletihan dan Johor mengambil kesempatan itu. Saya terpaksa akur dengan keputusan ini walaupun menang, kita kena terima peraturan gol di tempat lawan," katanya.

Apa diharapkan Dollah agar semua pemain melupakan kekecewaan itu untuk memberi tumpuan terhadap baki empat perlawanan Liga Super yang menyaksikan mereka di tangga kelima, sembilan mata di belakang pendahulu LionsXII dengan 38 mata.


"Kami akan menumpukan kepada saingan Liga Super. Walaupun kedudukan kami agak sukar untuk mengejar tempat teratas, kami masih ada harapan menamatkan kempen musim ini di tangga kedua atau ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Kemarau jaringan berakhir

Posted: 02 Jun 2013 09:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Tekanan untuk menghasilkan gol buat Johor Darul Takzim (DT) berakhir dengan penuh dramatik buat Andre Francisco de Silva apabila dia menyumbat gol cukup penting pada separuh akhir kedua Piala FA kelmarin bagi memastikan pasukannya menempah tempat ke final buat kali pertama.

Pemain import dari Brazil itu yang turut dikenali sebagai Andrezinho masih tercari-cari gol pertama sejak menyertai Johor DT dari pasukan Liga Perdana Johor April lalu dan pemain tengah itu menunggu masa yang cukup sesuai untuk melakukannya iaitu pada aksi cukup getir menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


Ketika Johor DT ketinggalan 2-0 pada babak pertama dan 2-1 menerusi agregat, Andrezinho, 27, muncul wira dengan meledak gol dari jarak dekat pada minit ke-47 untuk memberi laluan kepada skuad Harimau Selatan itu mara ke final menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

"Inilah yang saya nantikan sejak sekian lama. Saya berusaha keras untuk mendapatkan gol (pertama). Semua orang mahu saya menjaringkan gol dan Tuhan menghadiahkan gol ini kepada saya pada ketika pasukan amat memerlukan kemenangan," katanya ketika ditemui Arena Metro selepas tamat perlawanan kelmarin.


Pada aksi ulangan separuh akhir kedua Piala FA itu selepas perlawanan asal Selasa lalu dibatalkan akibat kekecohan penonton, pasukan tuan rumah mendahului 2-0 menerusi jaringan penyerang import Argentina Matias Conti.


Namun permainan Johor DT berubah sebaik babak kedua bermula dan tekanan yang berikan ke atas pasukan Pahang memberi ruang untuk Andrezinho meledak gol hasil kesilapan pemain pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti.

"Pada masa rehat, jurulatih memberikan kata-kata semangat kerana ada pemain yang kecewa dengan keputusan pada babak pertama. Selepas itu pemain menyarung jersi semula (bermain pada babak kedua) dan berjuang habis-habisan," kata Andrezinho.


Kejayaan Johor DT beraksi di pentas final memberi peluang mereka untuk mengulangi kejayaan pasukan Johor yang muncul juara pada 1998 apabila menumpaskan Sabah 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

No comments:

Post a Comment