Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


95 bersesak di ruang sempit

Posted: 03 Dec 2012 03:14 PM PST

KLANG: Seramai 105 wanita wanita warga asing yang diselamatkan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi di sebuah premis di Bandar Baru Klang, di sini, Sabtu lalu, terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas seharian dikerah untuk bekerja.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, semua wanita masing-masing 95 warga Indonesia, Filipina (enam) dan empat warga Kemboja itu dibekalkan tilam dan tidur di kawasan sempit berikutan penghuni yang terlalu ramai.


Semua wanita terbabit ditempatkan di tingkat dua bangunan kedai tiga tingkat untuk tidur selain mempunyai ruang terhad untuk mereka memasak. Selain itu, ia menempatkan pejabat operasi agensi pekerjaan yang menjaga mereka.

Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad yang melawat asrama yang menempatkan wanita terbabit berkata, semua wanita yang diselamatkan ditempatkan untuk sementara waktu di rumah perlindungan di Jalan Bukit Ledang, Damansara bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.


"Kami percaya masih ada wanita yang bekerja dengan agensi terbabit dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti semua mereka," katanya.


Harian Metro semalam melaporkan semua wanita terbabit bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu oleh syarikat agensi pembantu rumah itu.

Mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu diperdaya menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian, namun tidak menerima gaji selepas berkhidmat dengan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Kelindan lori maut kemalangan

Posted: 03 Dec 2012 03:13 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 19 tahun maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 295 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, empat lagi mangsa cedera termasuk dua parah dalam pelanggaran membabitkan lori satu tan dan tiga tan serta kereta Proton Persona dan Proton Iswara.


Mangsa yang maut bekerja sebagai kelindan lori bersama rakannya dalam perjalanan pulang menaiki lori satu tan yang tiba-tiba terlanggar bucu kanan lori tiga tan yang diletakkan di tepi jalan selepas mengalami kerosakan tayar.

Sumber polis berkata, akibat pelanggaran itu, lori yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan berpusing sebelum sebuah kereta yang berada di sebelahnya melanggar lori yang dinaiki mangsa.


Katanya, sebuah lagi kereta jenis Proton Persona tidak sempat mengelak dan melanggar lori dinaiki mangsa.


"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di badan," katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Bangi, Mohd Syafiq MOhd Noor berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kemalangan maut itu.


"Kita bergegas ke lokasi kejadian dan mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Dentuman kuat tengah malam

Posted: 03 Dec 2012 02:35 PM PST

GEORGETOWN: "Saya bingkas bangun daripada tidur selepas terdengar dentuman kuat disusuli jeritan isteri," kata penghuni rumah flat mengenai kemalangan ngeri yang mengorbankan seorang pemandu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razak berkata, ketika kejadian jam 1.20 pagi itu, dia tidur dalam bilik di tingkat 19 rumahnya sebelum terdengar bunyi brek disusuli dentuman kuat.

"Ketika itu, isteri turut menjerit sekuat hati menyebabkan saya terkejut dan menjenguk ke arah jalan sebelum mendapati kereta remuk.

"Saya bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila mendapati dua lelaki tercampak keluar manakala pemandu tersepit di tempat duduk," katanya.


Menurutnya, ketika itu, pemandu berkenaan sudah berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan hanya merintih meminta pertolongan sebelum dia akhirnya menemui ajal.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


333 tuntut RM8,791,200

Posted: 03 Dec 2012 02:29 PM PST

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mewakili 333 peniaga Melayu di tapak Uptown Danau Kota, Taman Setapak Indah menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi RM8,791,200.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, tuntutan itu dibuat menerusi satu memorandum yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di sini, semalam.


Menurutnya, peniaga terbabit mengalami kerugian selepas notis dikeluarkan DBKL memaklumkan mereka tidak boleh berniaga pada Isnin dan Selasa. Tuntutan itu mengambil kira tempoh berniaga selama 88 hari setahun, manakala setiap peniaga rugi RM26,400 untuk pendapatan jualan RM300 sehari. "Sepatutnya hari perniagaan peniaga ini dilanjutkan memandangkan mereka sudah berniaga tujuh tahun. Namun, keputusan mereka tidak boleh berniaga pada Isnin dan Selasa tidak dibuat menerusi perbincangan," katanya.

Sambil merujuk hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 153, Mohd Ridzuan menyatakan Ikhlas turut kesal dengan nasib empat peniaga dikasari anggota polis yang tidak berpakaian seragam dalam kejadian pada 27 November lalu.


"Pada jam 9 malam, situasi tegang membabitkan peniaga dengan DBKL sehingga tiga peniaga membuka perniagaan jam 11.15 malam. Saya yang berada di situ kesal apabila DBKL merampas dan menyita barang peniaga.


"Dua anggota polis menumbuk peniaga sebelum empat peniaga ditahan. Peniaga terbabit tidak melawan mahupun mengusik anggota DBKL, tetapi ditahan," katanya.

Berdasarkan kejadian itu, Ikhlas turut menghantar rakaman video kepada Suhakam sebagai bukti. Dalam memorandum itu, Ikhlas menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan kepada dua anggota polis terbabit.


"Ketika kejadian, anggota polis itu tidak memperkenalkan diri manakala anggota DBKL merampas barang peniaga tanpa memberikan notis penyitaan. Ikhlas meminta Suhakam membela nasib peniaga terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Terjun tingkat 3 pangsapuri

Posted: 03 Dec 2012 02:28 PM PST

KLANG: Gara-gara panik, seorang lelaki warga Nigeria melompat dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Jalan Temenggung, di sini, semata-mata mahu melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Selangor, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang cedera ringan bagaimanapun ditahan berhampiran pangsapuri berkenaan beberapa minit selepas dia nekad terjun dari situ.


Pengarah Imigresen Selangor, Amran Othman berkata, operasi bermula jam 10 malam hingga 2.30 pagi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil itu turut menahan 13 lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Sierra Leone berusia 22 hingga 42 tahun.

Beliau berkata, operasi yang bertumpu di Jalan Temenggung dan Jalan Sungai Jati, di sini, itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan sejak tiga minggu lalu.


"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Tujuh keluarga dipindah

Posted: 03 Dec 2012 02:27 PM PST

SEGAMAT: Seramai 21 mangsa banjir membabitkan tujuh keluarga dari Kampung Awat dan Span Loi, di sini, ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir sejak kelmarin berikutan air Sungai Muar melimpah menyebabkan rumah mereka dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Mangsa dari Kampung Awat, Batu Anam, di sini, Kamerty Abdul Ghani, 59, berkata, rumahnya yang berhampiran Sungai Muar menyebabkan mereka sekeluarga dipindahkan 23 kali ke pusat pemindahan di balai raya kampung itu sejak menetap di kampung berkenaan awal 1950-an.


Katanya, dalam kejadian kelmarin, dia sekeluarga menyelamatkan barangan berharga dengan meletakkan di kawasan tinggi.

"Walaupun air naik setinggi 1.5 meter, tetapi kami sempat menyelamatkan pelbagai barangan berharga sebelum menyelamatkan diri kerana air naik perlahan.


"Kami berharap dapat pulang secepat mungkin kerana perlu membersihkan rumah," katanya.


Menurutnya, penduduk berharap pihak berkuasa mendalam dan melebarkan sungai berkenaan bagi mengatasi masalah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Habis pantang redah banjir

Posted: 03 Dec 2012 02:27 PM PST

GEMAS: "Walaupun baru beberapa hari habis berpantang anak kedua, saya nekad meredah banjir paras lutut untuk ke pusat pemindahan sambil mendukung anak kerana bimbang banjir lebih teruk," kata Norhafizah Hashim, 26, seorang daripada 135 mangsa dari 27 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4, dekat sini, kelmarin.

Banjir berlaku susulan hujan lebat jam 5 petang sebelum air melimpah pada malamnya menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan penduduk di tanah rancangan itu segera berpindah, dikhuatiri air semakin naik.


Menurut Norhafizah yang tinggal bersama ibu mentuanya, pada jam 11 malam, beberapa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) datang dan menasihat supaya segera meninggalkan rumah untuk ke tempat lebih selamat.

"Saya keluar dari rumah ke pusat pemindahan itu jam 11 malam kerana seluruh kawasan rumah dinaiki air separas lutut. Hujan lebat kira-kira sejam lewat petang semalam (kelmarin) sebelum air mulai naik jam 8.30 malam.


"Ini pengalaman pertama yang tidak boleh saya lupakan kerana terpaksa meredah banjir sambil mendukung anak, Norfatihah Ramlan yang berusia dua bulan.


"Syukur kerana kami semua selamat daripada bahaya akibat banjir," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan itu, pagi semalam.

Seorang lagi mangsa, Jamaludin Wan Teh, 59, berkata, setiap kali tanah rancangan berkenaan dilanda banjir, rumahnya antara yang terawal ditenggelami air.


Menurutnya, bukan mudah meninggalkan rumah diduduki sejak 29 tahun lalu dan atas dasar itu pada malam kejadian dia rela tidur di atas kerusi di bahagian hadapan rumah.

"Apa yang saya musykilkan rumah saya ini rumah mangsa banjir, tetapi keluarga saya tidak menetap di pusat pemindahan. "Jika diikutkan tahun sebelumnya, saya tetap mendapat bantuan, tetapi pada kali ini borang saya diketepikan kerana pihak berkaitan mengutamakan keluarga yang menetap di pusat pemindahan terlebih dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Adik kena reman

Posted: 03 Dec 2012 02:26 PM PST

GEORGETOWN: Remaja lelaki yang menumbuk abangnya hingga menemui ajal ketika bergaduh di rumah mereka, kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, setakat ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan merekodkan keterangan daripada remaja itu bagi membantu siasatan.


"Kami akan melengkapkan kertas siasatan yang kemudian dirujuk ke timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, kami sudah mengambil keterangan daripada beberapa saksi di tempat kejadian termasuk ibu mangsa dan jiran," katanya.


Menurutnya, kes berkenaan dianggap selesai selepas remaja itu ditahan pada hari sama kejadian di rumahnya di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas.


Harian Metro semalam melaporkan seorang remaja berusia 16 tahun, menumbuk abangnya, Muhammad Asyraf, 17, hingga mangsa tersembam sebelum meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


Izin suspek ambil SPM

Posted: 03 Dec 2012 02:26 PM PST

ALOR SETAR: Polis mengesahkan remaja lelaki yang terbabit kemalangan maut yang mengorbankan seorang nenek dan seorang daripada dua cucu kembarnya di Kampung Kobah, Pendang, kelmarin, dibebaskan sementara bagi membolehkannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi berkata, remaja berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis petang kelmarin selepas keterangannya diambil. Menurutnya, remaja terbabit yang memegang lesen memandu P (Percubaan) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang berhubung kejadian itu kelmarin, sebelum ditahan. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


IPK Perak dapat ketua cemerlang

Posted: 03 Dec 2012 02:25 PM PST

IPOH: Bekas Ketua Penolong Pengarah Latihan dan Kompetensi Polis Bukit Aman, Datuk A Paramasivam dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baru berkuat kuasa semalam.

Paramasivam menggantikan Datuk Zakaria Yusof yang akan menyandang jawatan Ketua Pusat Sains Pengurusan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, Paramasivam yang juga anak jati Ipoh cukup sinonim dengan pasukan PDRM Perak kerana pernah berkhidmat di negeri ini bermula sebagai pegawai penyiasat seterusnya menjawat Ketua Siasatan Jenayah Polis Perak. "Secara peribadi saya cukup mengenali beliau (Paramasivam) kerana pernah berkhidmat bersama di Selangor di mana saya menjawat Ketua Polis Daerah Shah Alam, sementara dia pula sebagai Ketua Polis Daerah Klang.

"Pelantikannya tepat memandangkan beliau bukan hanya mempunyai pengalaman luas, malah mempunyai kredibiliti tersendiri. Tidak dinafikan namanya cukup popular bukan hanya dikalangan anggota polis, malah cekap dalam membanteras jenayah," katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak bertempat di Mes Pegawai Kanan Polis Ipoh, di sini, semalam.


Katanya, cabaran PDRM kini bukan hanya menjaga keselamatan orang awam, malah tumpuan turut terarah kepada usaha mengurangkan kes jenayah.


"Kontinjen Perak mencatat penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 14.2 peratus berbanding tahun lalu. Saya percaya kecemerlangan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan bantuan daripada semua jabatan termasuk orang awam," katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri turut menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Ipoh dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.


Bekas Timbalan Ketua JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh menggantikan Asisten Komisioner Azisman Alias yang dilantik ke jawatan Ketua Unit Sains Kepolisian Maktab PDRM Cheras.

Sementara itu, bekas Ketua Unit Saham dan Komoditi JSJK Bukit Aman, Superintendan Maszely Minhat pula dilantik sebagai Ketua JSJK IPK Perak menggantikan Superintendan Amarjit Singh yang mengambil alih jawatan dikosongkan Maszely.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/04


No comments:

Post a Comment