Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Whitney dibunuh pengedar dadah?

Posted: 27 Dec 2012 09:41 AM PST

LOS ANGELES: Kematian Whitney Houston pada Februari lalu bukan disebabkan lemas dalam tab mandi di sebuah bilik hotel, sebaliknya dia dibunuh pengedar dadah.

Seorang penyiasat persendirian mendakwa, satu salinan video daripada kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Whitney dibunuh kerana berhutang kepada pengedar dadah.


Menurut Paul Huebl, bukti berkenaan sudah diserahkan kepada agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Penyiasat perubatan sebelum ini mengesahkan, Whitney mati kerana lemas dalam tab mandi selepas mengambil pelbagai jenis dadah serta ubat-ubatan.


Akhbar tabloid National Enquirer melaporkan, Huebl yakin Whitney menjadi sasaran beberapa "pengedar dadah digeruni" yang menghantar samseng bagi memungut hutang penyanyi bermasalah itu.


Sesetengah laporan menyatakan, Whitney menanggung hutang sehingga AS$1.5 juta (RM4.6 juta) daripada pengedah dadah. Bagaimanapun, Huebl berkata, dia tidak tahu secara pasti bahawa Whitney dibunuh, sebaliknya bukti yang dikumpulnya membayangkan penyanyi itu memang menjadi mangsa penjenayah.

"Whitney menerima kokain daripada pengedar dadah di bilik hotelnya di Beverly Hilton sehari sebelum dia ditemui mati," katanya.


Menurut Huebl, daripada rakaman video itu dapat didengar Whitney merungut dengan berkata: "Aku bosan dengan segala benda mengarut ini!" Sebelum itu, kata Huebl, Whitney memang menjadi sasaran gangguan pengedar dadah yang menuntut supaya hutangnya dilangsaikan.

Huebl mendakwa, dia menerima salinan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali pergi ke Hotel Beverly Hilton berkali-kali dan bergaul dengan anggota rombongan Whitney.


"Ada kemungkinan dua lelaki terbabit menyelinap masuk ke bilik hotel Whitney dan membunuhnya," katanya.


Huebl juga tidak bersetuju dengan keputusan Koroner Daerah Los Angeles yang memutuskan kematian Whitney disebabkan "kemalangan." Kata Huebl, tubuh Whitney menunjukkan ada kesan kecederaan mempertahankan diri yang mungkin berlaku ketika dia bergelut cuba menyelamatkan diri.


"Namun, kesan pada tangan dan kuku itu mungkin berlaku akibat kejadian lain.


"Saya cuma mengesyaki ia adalah kecederaan kerana mempertahankan diri," katanya.


Huebl, bekas anggota polis Chicago yang menjadi pelakon selepas bersara mendakwa melakukan siasatan selepas diupah seorang pelanggan. Huebl enggan menyatakan siapa pelanggannya itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Aksi berani mati wanita bogel di Mai Leung

Posted: 27 Dec 2012 09:26 AM PST

BANGKOK: Peminat aksi lasak, Hayley Ashburn, mempamerkan keberaniannya berjalan meniti tali setinggi 36.5 meter pada waktu senja tanpa sebarang alat keselamatan atau pakaian.

Hayley, 24, menunjukkan kemahirannya itu di kawasan pelancongan Mai Leung.


Menurut wanita dari San Francisco, Amerika Syarikat (AS) itu, dia berbogel untuk berasa "bebas" dan menikmati detik penuh ketegangan itu walaupun tahu air di bawahnya cuma sedalam 0.3 meter.

"Sangat seronok dapat berbogel di tempat terbuka tanpa sesiapa boleh melihat saya," katanya. Walaupun begitu, seorang rakan Hayley merakamkan aksi berkenaan untuk tatapan ramai. Hayley mula aktif dalam aktiviti berjalan di atas tali itu sejak 2008. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Keunikan ‘Keluarga Pelangi’ pasangan Giddings

Posted: 27 Dec 2012 09:25 AM PST

LONDON: Sepasang suami isteri menjadi perhatian apabila anak-anak mereka memiliki tiga warna kulit berbeza.

"Keluarga Pelangi" Chris Giddings itu dianggap seperti sekotak coklat dengan gabungan warna gelap, perang dan putih. Ketika anak sulung mereka, Jacob, lahir enam tahun lalu, tiada yang aneh kerana kulitnya berwarna perang.


Keadaan sama turut berlaku ke atas anak kedua, Savannah, yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun, pasangan dari Colchester, Essex itu terpegun apabila anak ketiga mereka, Amiah, lahir tiga tahun lalu dengan kulit putih dan bermata biru.


Kehairanan mereka bertambah apabila anak keempat, Zion, lahir dengan kulit gelap, bibir tebal dan hidung penyek seperti Giddings, 33, 10 bulan lalu.


Sementara itu, isteri Giddings, Tess, 24, berkata Amiah terlalu putih sehingga ujian DNA dijalankan bagi memastikan pihak hospital tidak tersilap menyerahkan bayi kepada mereka. "Ujian DNA menunjukkan Amiah benar-benar anak kami walaupun warna kulitnya sangat berbeza," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Hotel mewah dekat Masjidil Haram

Posted: 27 Dec 2012 09:23 AM PST

MAKKAH: Sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang mengandungi 5,000 bilik akan dibuka dekat Masjidil Haram di sini sebelum Ramadan sebagai sebahagian daripada projek perumahan Jabal Omar, kata Pengerusi Lembaga Syarikat Pembangunan Jabal Omar, Abdul Rahman Faqeeh.

"Hotel baru itu akan diuruskan oleh Hilton International," kata ahli perniagaan Arab Saudi itu dan menambah, hotel baru itu mempunyai dua menara 20 tingkat setiap satu.

Hotel itu terletak di bahagian S1, kawasan projek itu dan akan menghadap laman sebelah barat Masjidil Haram.

Terdapat tempat solat untuk muslimin dan muslimat dan juga pusat beli-belah empat tingkat.


Fasa pertama termasuk membina empat lagi hotel; Marriot Makkah, Hyatt Makkah, Conrad Makkah dan Hotel Konvensyen Hilton Makkah, kata Abdul Rahman.


Katanya, projek Jabal Omar ini akan membuka 11,000 peluang pekerjaan kepada warga Arab Saudi selepas tiga fasa pembinaannya selesai, termasuk 3,800 pekerjaan di bidang perhotelan.

"Sepanjang 18 bulan akan datang, kami akan mengambil 1,350 pekerja Arab Saudi," katanya.

Abdul Rahman berkata, beratus-ratus pekerja Arab Saudi akan dilatih untuk bekerja di Hotel Hilton pertama sebelum bulan Ramadan.

Akhbar Al-Sharq melaporkan, syarikat itu merancang untuk mengambil 4,000 lagi pekerja Arab Saudi dalam masa tiga tahun.

Syarikat Jabal Omar membangunkan kawasan seluas 2.2 juta meter persegi dekat Masjidil Haram.

Antara rancangan pembangunan di kawasan itu termasuk, 38 menara hotel dan pusat beli-belah terbesar di negara ini.

Projek itu akan dapat memenuhi keperluan peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.

Kira-kira 10 juta jemaah tiba di Makkah sepanjang tahun dan 3 juta jemaah datang ke Makkah menunaikan haji setiap tahun.

Tiga puluh lapan hotel yang dalam pembinaan, diuruskan oleh 28 syarikat dan menambah 13,500 bilik lagi dalam industri perhotelan apabila ia siap lima tahun lagi, kata seorang pegawai kanan.

Projek itu dibina dalam lima fasa dan menelan belanja Sr20 bilion (RM16.32 bilion). - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Pesawat tak boleh terbang waktu azan

Posted: 27 Dec 2012 09:22 AM PST

TEHERAN: Menghormati laungan azan lima kali sehari di Iran semakin diperketatkan.

Pertubuhan Penerbangan Awam Iran semalam mengumumkan perintah semua pesawat tidak dibenarkan berlepas ketika azan dilaungkan sebelum umat Islam bersolat.

Semua pesawat yang dijadualkan berlepas di Iran kini perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit sehingga azan subuh selesai.

Ketua Pertubuhan Penerbangan itu, Hamid Reza Pahlevani dipetik oleh Agensi Berita Pelajar Iran sebagai berkata, perintah itu adalah untuk membenarkan penumpang menunaikan tanggungjawab agama mereka.


Jurucakap Jawatankuasa Budaya Parlimen, Ali Taherani dipetik oleh Reuters sebagai berkata, selain daripada sekatan penerbangan, pemantauan juga dilakukan terhadap pakaian wanita yang bekerja di lapangan terbang atau syarikat penerbangan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Ibu bapa dinasihat awasi anak terjebak pil dadah

Posted: 27 Dec 2012 09:21 AM PST

RIYADH: Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap pengedar dadah dan kumpulan yang mungkin mensasarkan anak mereka ketika musim peperiksaan yang bakal menjelang.

Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Pencegahan di Direktorat Awam Memerangi Dadah, Abdulillah Mohammed Al-Sharif berkata, kumpulan dadah akan cuba meyakinkan pelajar untuk mengambil pil dadah dengan mengatakan ia dapat membantu meningkatkan kepandaian mereka.

"Kumpulan ini cuba menarik perhatian generasi muda dengan mendakwa pil berkenaan dapat membantu mereka mengingati pelajaran dengan mudah," katanya.

Abdulillah, seorang pakar dalam dadah antarabangsa berkata, lebih 106 juta pil narkotik, terutama Captogen dirampas oleh pegawai kastam dan pasukan keselamatan sejak 18 bulan lalu.


"Ibu bapa perlu berjaga-jaga dengan simptom penyalahgunaan dadah untuk mengetahui sama ada anak mereka mengambil dadah atau tidak.


"Antaranya, tidak boleh tidur, keresahan, halusinasi, terlalu emosi, pucat, kurang selera makan, terlebih bercakap, nafas berbau dan bersikap agresif, katanya.

Abdulillah turut menasihatkan pihak berkuasa sekolah supaya memberi keutamaan memerangi dadah dan meningkatan kesedaran di kalangan pelajar sekolah mengenai kesan pengambilan dadah. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Amah bunuh majikan, serang anak mangsa

Posted: 27 Dec 2012 09:21 AM PST

JEDDAH: Seorang pembantu rumah berbangsa Habsyah membunuh majikannya dan cuba membunuh anak lelaki majikannya itu di rumah mangsa di Jalan Heraa, Jeddah, semalam.

Dia membunuh majikannya yang telah menjalani pembedahan beberapa hari lalu, ketika dia sedang tidur, kata polis.

Dia kemudian dikatakan menyerang anak lelaki mangsa dengan besi dan membaling pinggan mangkuk ke arahnya.

Anak lelaki mangsa mengalami luka tetapi berjaya melarikan diri ke bumbung dan melompat ke bumbung rumah jiran untuk melarikan diri.


Keluarga majikan mengesahkan pembantu rumah itu siuman. - AN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Pegawai agama rasuah RM380j

Posted: 27 Dec 2012 09:13 AM PST

JAKARTA: Satu kes salah laku rasuah di Kementerian Hal Ehwal Agama semalam terbongkar selepas ketua penyiasat di kementerian itu mendedahkan pegawai di Kantor Urusan Agama (KUA) melesapkan 1.2 trilion rupiah (RM379 juta) setahun daripada pendaftaran perkahwinan.

Ketua penyiasat kementerian itu, M Jasin yang juga bekas Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) mendedahkan beberapa pegawai KUA sering meminta wang tunai tambahan daripada pasangan yang ingin mendaftar perkahwinan mereka. Jasin berkata, KUA mengenakan yuran pentadbiran RM9.51 terhadap satu pasangan untuk merekod perkahwinan mereka, tetapi dalam kebanyakan kes pentadbir pendaftar perkahwinan meminta RM158.


"Terdapat 2.5 juta perkahwinan setahun dan itu tidak termasuk perceraian. Jika kita mendarab 2.5 juta rupiah (RM792) dengan RM158, kita memperoleh RM379 juta," katanya kepada wartawan selepas menandatangani dokumen menandakan kerjasama antara kementerian itu dengan Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Kewangan (PPATK) di Jakarta. Beliau bimbang dengan amalan yang sistematik itu.

"Selain menyumbang kepada yuran pentadbiran rasmi kepada pejabat KUA, pentadbir perkahwinan biasanya memperuntukkan sebahagian wang kepada atasan mereka. Pihak atasan kemudian memberikan sebahagian wang kepada ketua mereka. Begitulah seterusnya," katanya. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Lelaki rogol anak 6 tahun kena penjara

Posted: 27 Dec 2012 09:12 AM PST

BANGKOK: Seorang lelaki semalam dijatuhkan hukuman penjara 48 tahun enam bulan oleh mahkamah jenayah kerana beberapa serangan seksual ke atas anak perempuannya yang berusia enam tahun ketika kejadian.

Mahkamah kemudian mengurangkan hukumannya kepada 24 tahun dan tiga bulan kerana pengakuan bersalahnya. Anan, 31, mendera secara fizikal dan memperkosa anak perempuannya itu sebanyak empat kali sejak Disember tahun lalu hingga Julai lalu. Laporan menyatakan dia mengambil methamphetamine ketika itu. Anan mengancam untuk membelasah anaknya hingga mati jika dia memberitahu kejadian itu kepada orang lain. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


Wanita sembunyi shabu dalam kasut anak

Posted: 27 Dec 2012 09:12 AM PST

BANDAR RAYA PASAY: Seorang wanita yang melawat penjara bandar raya Makati ditahan pada Hari Krismas kerana didakwa cuba menyeludup shabu ke dalam pusat tahanan itu dengan menyembunyikannya dalam kasut bayi berusia setahun yang didukungnya.

Polis berkata, satu paket kecil dadah itu dirampas daripada Joane A Bacarisas, 29, dari Malibay di sini ketika pemeriksaan keselamatan.


Joane yang melawat suaminya yang juga suspek dadah, Ronald Taylo mendukung anak mereka ketika tiba di penjara kira-kira jam 3 petang.

Ketika pemeriksaan rutin, pengawal penjara May Blanza dan Denise Pascual menemui paket shabu disembunyikan dalam kasut bayi itu, menurut laporan pegawai kanan polis, Rafael Castillo.


Joane yang dikatakan sudah berpisah daripada Taylo sejak 2009 kini berdepan tuduhan memiliki dadah. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28


No comments:

Post a Comment