Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bola gergasi bahtera ‘kiamat’

Posted: 11 Dec 2012 10:45 AM PST

BEIJING: Berdasarkan kalendar Mayan, kiamat akan berlaku 10 hari lagi.

Berikutan itu, sesetengah pihak yang percaya kepada ramalan itu cuba mencari jalan untuk menghadapi bencana berkenaan. Seorang petani di China percaya, dia mampu menghadapi sebarang malapetaka selepas membina tujuh 'bola gergasi' yang mampu menyelamatkannya dalam keadaan darurat. Liu Qiyuan menyiapkan alat itu yang digelar 'Bahtera Noh' menggunakan gentian kaca selepas mendapat ilham daripada filem Hollywood, 2012.


Kata Liu, dia membina Bahtera Noh itu di halaman rumahnya di Qiantun, Hebei menggunakan rangka besi.

"Alat ini boleh dijadikan tempat berlindung ketika berlaku bencana alam seperti tsunami atau taufan," katanya.


Liu mencipta Kapal Noh itu supaya boleh terapung di atas air serta dilengkapi pendayung. Turut dipasang, pelbagai bentuk tangki oksigen, tali keledar serta ruang yang mencukupi untuk 14 orang.


Kata Liu, Kapal Noh itu dibina dengan teliti supaya kedudukannya stabil ketika terapung di atas air. "Saya harap ciptaan ini dipelajari pihak yang berkenaan, termasuk jabatan kerajaan serta pertubuhan antarabangsa supaya boleh digunakan ketika sesuatu tempat dilanda tsunami atau gempa bumi," katanya. Walaupun boleh terapung, ciptaan Liu itu agak berat dan empat lelaki dewasa diperlukan untuk menggerakkannya.

Awal tahun ini, seorang ahli perniagaan China, Yang Zongfu mendedahkan alat keselamatannya bagi menghadapi bencana alam bernilai hampir RM740,000.


Menurut Yang, alat bulat berwarna oren itu mempunyai 'simpanan dan penyambung hidup' mencukupi untuk satu keluarga tiga orang selama 10 bulan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Kucing ‘curi’ 26 kunci jiran

Posted: 11 Dec 2012 10:17 AM PST

LONDON: Seekor kucing, Moggy Milo 'mencuri' 26 set kunci ketika berkeliaran di rumah jiran selepas kunci terbabit terlekat pada kolar magnetik yang dipakainya.

Penduduk pada mulanya hairan dengan kehilangan kunci mereka.


Misteri itu bagaimanapun terbongkar apabila pemilik Moggy, Kirsten Alexander menemui beberapa kunci yang terlekat pada leher kucing itu. Dia kemudian menemui beberapa set kunci lain di rumahnya.

Kirsten, 27, dari Stoke Newington, London Utara berkata: "Saya sudah menyerahkan semula semua kunci itu kepada pemiliknya."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


2Day FM janji RM1.6j kepada famili Jacintha

Posted: 11 Dec 2012 10:16 AM PST

SYDNEY: Sebuah stesen radio Australia semalam berikrar untuk memberi sumbangan A$500,000 (RM1.6 juta) kepada keluarga jururawat yang menjadi mangsa panggilan palsu dua kakitangannya menyebabkan dia membunuh diri.

Jacintha Saldanha, jururawat di Hospital King Edward VII yang menerima panggilan palsu daripada pengacara stesen radio Sydney, 2Day FM ditemui mati Jumaat lalu, dipercayai kerana membunuh diri.


Wanita kelahiran India yang mempunyai dua anak itu menyambungkan panggilan terbabit kepada seorang rakan sekerja yang kemudian mendedahkan butiran mengenai rawatan diterima isteri Putera William, Kate akibat masalah mabuk hamil.

2Day FM menggantung semua iklan selepas kematian itu, tetapi berkata, ia akan menyambung semula pada Khamis ini dengan keuntungan yang diraih sehingga hujung tahun ini akan diserahkan untuk 'dana yang akan memberikan faedah kepada keluarga Jacintha.' Menurutnya, wang yang akan disumbangkan berjumlah RM1.6 juta.


"Kami kesal dengan kejadian itu. Kami harap dengan memberikan sumbangan itu akan membantu keluarga Jacintha," kata Rhys Holleran, Ketua Eksekutif Southern Cross Austereo, syarikat yang memiliki stesen berkenaan dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, syarikat berkenaan menggantung semua panggilan palsu yang dibuat menerusi rangkaiannya dan membatalkan rancangan yang menyiarkan segmen berkenaan.

Stesen itu bagaimanapun terus berdepan tekanan supaya menjelaskan secara terperinci bagaimana panggilan palsu itu diluluskan untuk ke udara selepas pengacara terbabit berkata, mereka tidak boleh dipersalahkan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Pijak anak sampai mati

Posted: 11 Dec 2012 08:50 AM PST

SAMUT KHOI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipukul sampai mati oleh bapa tirinya, menurut laporan, semalam.

Abang mangsa yang berusia lapan tahun berkata, dia ternampak bapa tiri mereka, Parinya Thonkaew sedang mengikat tangan adiknya dan memukulnya beberapa kali tanpa belas kasihan menggunakan kaki meja.

Lelaki itu juga didapati menampar dan memijak badan mangsa.

Abang mangsa berkata, bapa tiri mereka mengugut untuk melakukan perkara yang sama terhadapnya sekiranya dia cuba memberitahu perkara dilakukannya itu kepada orang lain.


Ibu kanak-kanak lelaki itu, Panawadee Thongkaew berkata, dia membawa kedua-dua anaknya tinggal dengan suami barunya, Parinya, selepas dia dan bekas suaminya, Nattapong bercerai April lalu.


Ibu itu berkata, dia biasanya meninggalkan dua beradik itu bersama bapa tiri mereka setiap kali keluar rumah.

Namun begitu, beberapa hari lalu, dia pulang dan ternampak kesan lebam di badan anak lelaki bongsunya. Suaminya berkata, kanak-kanak itu terjatuh daripada tangga.

Keesokan harinya, suaminya menelefon memintanya pulang untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital kerana dia mengalami kekejangan. Mangsa kemudian meninggal dunia di hospital.

Ibu bapa kanak-kanak itu kemudian melaporkan kematian anak mereka kepada polis melalui Yayasan Kanak-Kanak dan Wanita Paveena.

Polis berkata, mereka akan mendapatkan waran tangkap untuk menahan lelaki itu kerana menyerang sehingga menyebabkan kematian. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Banduan burqa ditahan semula

Posted: 11 Dec 2012 08:50 AM PST

JAKARTA: Polis Indonesia berkata, mereka berjaya menahan semula seorang banduan pengganas yang melarikan diri dari pusat tahanan dengan menyamar sebagai wanita yang memakai burqa.

Roki Aprisdianto dijatuhkan hukuman penjara enam tahun pada 2011 kerana menjadi dalang dalam beberapa siri serangan bom.

Bulan lalu, dia berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Polis Jakarta selepas sekumpulan wanita memakai burqa datang ke pusat itu untuk melawat suami mereka.

Jurucakap Polis Nasional, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar semalam berkata, Roki kini berada di penjara selepas polis menahannya di stesen bas di Jawa Timur.


Sejak kejadian itu, polis menjalankan pemeriksaan ketat ke atas pelawat yang memakai burqa ke penjara.


Indonesia giat memerangi kegiatan pengganas sejak kejadian serangan bom di Bali pada 2002 yang menyebabkan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing terbunuh. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Nelayan maut ketika bom ikan

Posted: 11 Dec 2012 08:50 AM PST

ZAMBOANGA CITY: Seorang nelayan terbunuh manakala rakannya cedera parah akibat letupan dinamit di perairan tidak jauh dari kampung persisir pantai, semalam.

Komander Balai Polis 3 di Barangay Sangali, Inspektor Kanan Noel Lozano berkata, mangsa yang mati dikenali sebagai Mabini Jalilon, 43, manakala rakannya Sonny Boy Pailuddin cedera parah.

Sonny berkata, ketika kejadian, mereka sedang menangkap ikan di perairan Barangai Sangali apabila letupan itu berlaku secara tiba-tiba.

Katanya, Mabini meninggal dunia apabila dinamit yang dinyalakan meletup lebih awal.


Sonny dibawa ke Pusat Rawatan Zambonga City untuk rawatan sementara mayat Mabini diserahkan kepada anggota keluarganya untuk dikebumikan. - MT

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Amah kebas RM30,000 dijel

Posted: 11 Dec 2012 08:49 AM PST

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah Filipina yang mencuri barang bernilai lebih S$10,000 (RM30,000) daripada majikannya dipenjara enam bulan, semalam.

Elma Dela Cruz Romero, 41, mengaku bersalah mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai S$10,349 (RM31,000) daripada Chua Siew Ling, 46, di rumahnya di Wellington Circle di Sembawang pada 1 Disember lalu.

Mahkamah diberitahu, keluarga Chua berada di Malaysia ketika Elma memecah tombol pintu bilik utama mangsa menggunakan penukul. Dia turut menggunakan penukul untuk memecahkan laci almari di bilik tidur utama dan bilik lain.

Selepas mencuri, dia meminta bantuan jiran untuk menelefon polis dan mendawa flat majikannya dipecah masuk. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Umur wanita AS lebih panjang

Posted: 11 Dec 2012 08:48 AM PST

WASHINGTON: Wanita memang diketahui sejak sekian lama hidup lebih lama berbanding lelaki, tetapi apabila perbandingan dibuat ke atas mereka yang berjaya mencapai umur satu abad, perbezaan itu memang sangat ketara.

Kajian terbaru menunjukkan hanya dua daripada 10 warga Amerika Syarikat (AS) yang hidup lebih 100 tahun adalah lelaki.


Biro Bancian AS menyatakan, daripada 53,364 penduduk negara itu yang mencapai usia sekurang-kurangnya seabad, lebih 80 peratus adalah wanita. Data itu yang diperoleh daripada bancian pada 2010 - juga menunjukkan individu berusia lebih 100 tahun kemungkinan besar penduduk bandar berkulit putih di Timur Laut dan Barat Tengah. "Ekoran perbezaan jantina dalam jangka hayat, jumlah wanita dalam populasi itu meningkat bersama usia. "Keadaan ini sangat benar dalam isu usia paling tua apabila peratusan wanita meningkat ketara," kata laporan itu. Pengkaji juga mendapati bagi setiap 100 wanita berusia sekurang-kurangnya 100 tahun, hanya ada 20.7 lelaki.

Walaupun keinginan mencapai usia 100 tahun tidak menarik perhatian seperti beberapa dekad lalu, pengkaji berkata, orang awam masih takjub melihat individu yang hidup mencapai tahap itu.


Buku Rekod Guiness yang mengiktiraf manusia paling tua di dunia berkata, status itu kini dimiliki wanita AS yang meninggal dunia minggu lalu ketika berusia 116 tahun, Besse Cooper. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


RM1.7 juta untuk nombor plat kenderaan E-1

Posted: 11 Dec 2012 08:48 AM PST

FUJAIRAH: Majlis lelongan khas nombor pendaftaran kenderaan di Emiriyah Arab Bersatu Sabtu lalu berjaya menjual satu nombor plat bernilai RM1.7 juta.

Jurucakap polis berkata, lelongan itu diadakan di Hotel al-Diar Siji dan menarik minat ramai pembida. Katanya, antara yang ditawarkan, 41 nombor tunggal dan berganda.


Menurut jurucakap itu, menjelang petang, RM4.5 juta dipungut hasil lelongan berkenaan. "Nombor termahal dibida ialah E-1 yang mencatat harga Dh2 juta (RM1.7 juta), diikuti nombor E-8 (RM499,466)," katanya. Lelongan itu dianjurkan setiap dua bulan dan pengendalinya bercadang menggunakan bidaan elektronik tidak lama lagi. - GN

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Padah cuba rampas pesawat

Posted: 11 Dec 2012 08:47 AM PST

BEIJING: Tiga lelaki dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan kesalahan cuba merampas kapal terbang, lapor agensi berita Xinhua, semalam.

Keputusan itu diambil hakim di sebuah mahkamah di wilayah berpenduduk majoriti Islam, Xinjiang.


Menurut Xinhua, tertuduh keempat pula dihukum penjara seumur hidup.

Keempat-empat tertuduh berketurunan Uighur itu didakwa cuba merampas pesawat yang berlepas dari Hotan, Jun lalu.


Cubaan mereka itu digagalkan penumpang dan kru pesawat berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


No comments:

Post a Comment