Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dadah kotak tisu

Posted: 14 Dec 2012 02:12 PM PST

KUALA LUMPUR: Menyembunyikan dadah dalam kotak dan dibawa menggunakan plastik kedai serbaneka 24 jam. Itulah helah digunakan kumpulan pengedar dadah kecil-kecilan dalam menjalankan aktiviti pengedaran dadah mereka.

Namun, hasil maklumat awam dan risikan, empat lelaki masing-masing dua warga Pakistan dan dua Nigeria ditahan dalam dua serbuan berasingan membabitkan nilai rampasan RM280,000.


Difahamkan, ketika ditahan polis menemui dadah dalam kotak tisu dan kotak kasut yang diletakkan dalam plastik kedai serbaneka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam serbuan pertama Ahad lalu kira-kira jam 9 malam, polis menahan dua lelaki warga Pakistan berusia 27 dan 28 tahun.


"Kedua-dua suspek terbabit ditahan di tempat letak kenderaan di Cap Square, Jalan Munshi Abdullah. Hasil penahanan itu, kami menemui 1.6 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.


"Nilai rampasan dianggarkan lebih RM170,000. Malah, ujian saringan air kencing kedua-duanya juga positif dadah," katanya ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek direman hingga esok untuk siasatan lanjut dan pihaknya percaya mereka adalah pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.


Suspek yang bekerja di kedai menjual pakaian dikesan melakukan aktiviti pengedaran dadah sebagai pendapatan sampingan sejak empat tahun lalu.

Bagi kes kedua, Adnan berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun pada Rabu lalu kira-kira jam 6 petang di sebuah hotel bajet di Cheras, di sini.


"Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu 996 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM112,000. Mereka ditahan reman bermula semalam (kelmarin) hingga 19 Disember ini.


"Kedua-dua suspek dikesan masuk ke negara ini tahun lalu menggunakan pas pelajar. Siasatan mendapati mereka belajar di institut bahasa di Taman Maluri dan ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Jasad ditemui hanyut 5km

Posted: 14 Dec 2012 02:09 PM PST

KAJANG: Suasana sedih dan pilu menyelubungi keluarga dua remaja yang lemas di Sungai Langat, di sini sejak Rabu lalu sebaik mayat kedua-duanya ditemui, semalam.

Difahamkan, mayat Mohammad Syawal Azhari, 17, ditemui tersangkut di tebing sungai kira-kira jam 7.45 pagi oleh anggota bomba yang melakukan pemeriksaan permukaan sungai manakala mayat adiknya, Mohammad Tarmizi Azhari, 13, ditemui terapung oleh abang mangsa yang turut menjalankan gerakan mencari dan menyelamat, kira-kira 15 minit kemudian.


Mohammad Syawal ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka dipercayai hilang manakala Mohammad Tarmizi pula ditemui berhampiran loji pembersihan air iaitu lima kilometer dari lokasi sama.

Abang mangsa, Mohd Mustakim Azhari, 22, berkata, dia berada di lokasi kejadian sejak jam 7 pagi dan tidak henti-henti berdoa agar kedua-dua adiknya itu ditemui.


"Tidak ada erti penat atau putus asa melainkan terus berusaha mencari kedua-dua adik yang hilang kerana sudah tidak sanggup melihat ibu dan ayah terus bersedih.


"Saya berdoa agar sesuatu keajaiban akan berlaku hari ini (semalam) yang juga hari Jumaat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ariff Mohamed Kassim, berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sepenuhnya jam 9 pagi.


Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat selepas solat Asar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Kecewa nama bapa diperalat

Posted: 14 Dec 2012 02:08 PM PST

SHAH ALAM: "Kami adik-beradik sangat kecewa apabila ada individu yang menyalahgunakan nama bapa semata-mata untuk menipu orang ramai dan mencemarkan imej kaedah rawatan Islam," kata Hamdi Haron, anak kedua kepada Pengasas dan Penasihat Darussyifa', Datuk Dr Haron Din.

Hamdi, 39, berkata, lebih menyedaihkan apabila ada pihak yang menyalahkan bapanya dan Darussyifa' jika rawatan yang dilakukan si penyamar tidak menjadi sedangkan banyak wang sudah dihabiskan.


Hamdi, yang juga Ahli Jawatankuasa Tugas-Tugas Khas Darussyifa' menegaskan bapanya tidak sesekali mengenakan sebarang bayaran ke atas apa jua rawatan yang dijalankan kerana ia terpulang kepada individu berkenaan untuk memberikannya sebagai sagu hati.

Katanya, Darussyifa' dan Haron tidak pernah menjual sebarang batu azimat untuk dijadikan cincin mahupun loket kononnya dapat menangkis ilmu sihir terhadap mereka.


"Mempercayai batu tertentu mempunyai kuasa untuk menghindar dari terkena sihir adalah syirik hukumnya dan ia boleh menyesatkan umat Islam," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Terlalu ghairah mahu jadi pelakon

Posted: 14 Dec 2012 02:07 PM PST

KUALA LUMPUR: "Mana-mana wanita yang ingin hadir ke sesi uji bakat menjadi pelakon, perlu datang bersama teman dan tentukan lokasinya dibuat di pejabat dan bukannya di rumah," kata pelakon berpengalaman, Sharifah Shahora Syed Akil.

Menurutnya, masalah wanita ditipu sering berlaku apabila maklumat mengenai sesi uji bakat tidak jelas. Malah, sikap bakat baru yang ambil mudah dan terlalu ghairah mahu menjadi pelakon mengundang risiko ditipu.


"Ramai yang teringin menjadi artis, tetapi tidak tahu apa yang harus mereka lakukan sebelum pergi sesi uji bakat. Industri hiburan tempatan menjadi kotor apabila adanya individu yang mengambil kesempatan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Shahora, 38, berkata, wanita yang ingin hadir sesi uji bakat juga perlu mengenakan pakaian bersesuaian agar tidak mendorong situasi tidak diingini berlaku.


"Jika mahu ditawarkan watak seksi sekalipun, ia bukan terletak pada pakaian ketika hadir sesi uji bakat. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka perlu pastikan uji bakat yang dijalankan mendapat surat kebenaran pihak berwajib," katanya.


Shahora mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai seorang gadis berusia 21 tahun dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat di sebuah rumah.

Dalam laporan itu, mangsa tertarik menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat lelaki terbabit dalam laman sosial facebook (fb) untuk mencari pelakon wanita baru memegang watak heroin dalam sebuah filem yang akan diterbitkan.


Sementara itu pelakon popular, Rosyam Nor berkata, apa yang berlaku menunjukkan salah satu cara penipuan mudah menerusi laman sesawang untuk memerangkap orang ramai, khususnya golongan wanita.

"Individu itu boleh merujuk kesahihan produksi terbabit dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Budak cuba uji senapang patah tertembak sepupu

Posted: 14 Dec 2012 02:04 PM PST

SRI AMAN: Sikap ingin tahu seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun untuk mencuba senapang patah milik bapanya yang disangkakan tidak berpeluru, mengundang padah apabila tertembak sepupunya berusia sembilan tahun dalam kejadian di Rumah Panjang Ngulu Empaling, Pantu, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kanak-kanak berkenaan mengarahkan senjata api itu ke luar tingkap dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahu kiri mangsa kerana menyangkakan senapang berkenaan tidak berpeluru.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, Asisten Superintendan Ang Tuan Teck berkata, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit mengambil kunci yang disangkut di dinding sebelum masuk ke bilik bapanya untuk mencari raket badminton.

Katanya, ketika menyelongkar bilik berkenaan, kanak-kanak terbabit ternampak selaras senapang patah yang disandarkan di sebelah almari pakaian.


"Kerana ingin tahu, kanak-kanak itu mengambil senjata berkenaan dan mengacukannya ke luar tingkap dan kebetulan ketika itu sepupunya bermain di luar rumah.


"Difahamkan sepupu lelakinya itu melihat perbuatan kanak-kanak terbabit sebelum memetik picu kerana menyangkakan senapang itu tidak diisi peluru," katanya ketika dihubungi.

Katanya, malangnya senapang itu meletup sebaik picu ditekan menyebabkan peluru terkena bahu kiri mangsa sekali gus meraung kesakitan dan berlaku pendarahan teruk.


Difahamkan, ahli keluarga mangsa yang dikejutkan dengan kejadian itu segera membawanya ke Hospital Sri Aman untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) jam 7 malam kelmarin.

"Ketika ini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan serpihan peluru yang masuk ke dalam bahu mangsa dikeluarkan. Difahamkan, mangsa dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan selanjutnya.


"Polis turut mengambil keterangan sepupu mangsa serta pemilik senjata api bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 (Akta Senjata 1960)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Ajal guru besar balik kenduri

Posted: 14 Dec 2012 02:04 PM PST

ENGKILILI: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) St Augustine, Betong, maut apabila kenderaan dipandunya ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri di Sri Aman, bertembung dengan lori di Kilometer 40, Jalan Sri Aman-Betong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, John Achil Kedit, 55, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza itu dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori lima tan tanpa muatan.


Jurucakap polis berkata, akibat pertembungan itu, kenderaan dinaiki mangsa bersama isterinya, Saribon Kodeng, 49, remuk teruk manakala lori berkenaan terbalik di bahu jalan.

Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan John parah di dada dan kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dan pemandu lori, Chong Nyong Jiu, 57, dikejarkan ke Hospital Sri Aman kerana turut parah.


"Isteri mangsa cedera di kepala akibat terhantuk pada cermin depan kereta dan patah tulang rusuk manakala pemandu lori patah kaki kanan," katanya.


Sementara itu, saksi kejadian, Francis James, 47, berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal dari rumahnya untuk menoreh getah di kebun berdekatan sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat.

"Sebaik mendengar dentuman itu, saya yakin ia kemalangan jalan raya dan segera berpatah balik sebelum ternampak dua kenderaan tersadai.


"Ketika memeriksa keadaan mangsa dalam kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu, saya dapati pemandu Toyota Avanza tidak bergerak manakala isterinya cedera dan masih sedarkan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Amuk kalah bola

Posted: 14 Dec 2012 02:03 PM PST

KUCHING: Berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di tangan Thailand, malam kelmarin, seorang penganggur mengamuk di rumahnya di Kampung Bako di sini, hingga memaksa keluarganya menghubungi polis.

Sebelum kejadian, pemuda berusia 27 tahun itu pergi menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak itu di sebuah restoran di bandar raya ini.

Dia kemudian pulang dalam keadaan mabuk sambil mengamuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan kekalahan pasukan negara.

Menurut abangnya dikenali sebagai Hamdini, 32, adiknya itu pulang ke rumah kira-kira jam 10 malam sambil marah-marah, menjerit dan menendang objek berhampirannya serta mengeluarkan kata-kata kesat.


"Bapa kami menegur perbuatannya dan menyuruhnya diam kerana tidak mahu mengganggu jiran.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Wanita buang air tengah jalan naik angin hayun payung

Posted: 14 Dec 2012 02:01 PM PST

KUALA KANGSAR: Enam lelaki terpaksa bergelut dengan seorang wanita yang tiba-tiba mengamuk sebelum cuba menyerang orang ramai menggunakan payung besi dan pemutar skru.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, wanita berusia 50-an itu dikatakan mula meracau dan 'naik angin' apabila kereta dipandunya mengalami kerosakan di tengah-tengah jalan raya berhampiran Jalan Kuala Kangsar ke Taiping, di sini.


Saksi kejadian, Mohd Izudin Alwi, 30, berkata, kereta dipandu wanita itu tiba-tiba berhenti di tengah jalan menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan. Menurutnya, wanita tempatan itu yang memakai kemeja-T jingga kemudian keluar dari kereta Proton Iswara dinaiki sebelum tiba-tiba membuka seluar dan membuang air kecil di tengah jalan.

"Saya terkejut dan tidak percaya dengan tindakan wanita itu. Malah, beberapa pengguna jalan raya turut berhenti kerana terkejut dengan perbuatan wanita itu.


"Beberapa orang awam yang cuba menegah dan menghalang perbuatan wanita itu bagaimanapun terkejut apabila wanita terbabit mengeluarkan payung dan pemutar skru sebelum cuba memukul orang ramai yang mendekatinya," katanya.


Difahamkan, kejadian berlaku apabila ada orang awam cuba memujuk wanita itu menyerahkan kunci kereta bagi membolehkan kenderaan yang rosak itu dialihkan ke pinggir jalan.

Malah, wanita itu turut menjerit dan memaki hamun orang awam yang cuba memujuk dan menghampirinya sambil dia mengganggu pengguna jalan raya lain.


"Sikap aneh wanita itu menyebabkan orang ramai terpaksa menghubungi polis di Balai Polis Kuala Kangsar bagi menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

"Beberapa anggota polis dibantu orang awam kemudian terpaksa bergelut dengan wanita itu sebelum dapat menahan dan mententeramkan wanita terbabit. Dia kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," katanya.


Sementara itu, suami mangsa yang enggan dikenali berkata, isterinya itu mengalami masalah sakit jiwa sejak hampir 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


ECER raih RM37 bilion

Posted: 14 Dec 2012 02:00 PM PST

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) semalam berkata, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik pelaburan RM37 bilion antara 2007 dan bulan lalu.

Katanya, pelaburan itu mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan.


"Pelaburan keseluruhannya termasuk RM12 bilion yang sudah diberi komitmen bagi tahun ini yang melepasi sasaran awal pelaburan RM10 bilion bagi tahun ini," katanya.

Daripada jumlah pelaburan yang sudah diberi komitmen, 27 peratus bagi sektor pelancongan, 37.5 peratus logistik, 16.8 peratus pembuatan, 10.4 peratus hartanah dan 8.3 peratus pertanian.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Terengganu menerima pelaburan tertinggi RM18.7 bilion, diikuti Pahang (RM11.1 bilion), Kelantan (RM5.6 bilion) dan Mersing di Johor (RM1.6 bilion).


Katanya, sehingga ini, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion bagi melaksanakan 80 projek dan program berimpak tinggi di ECER di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) (Pelan Pelaksanaan 1, 2 dan 3).

Katanya projek itu terdiri daripada projek infrastruktur seperti pembinaan dan menaik taraf jalan raya serta an loji rawatan air di wilayah itu merangkumi Pahang, Kelantan, Terengganu serta Daerah Mersing di Johor. "Bagi merangsang lagi pertumbuhan ekonomi di dalam Zon Ekonomi Khas ECER, projek peluasan Pelabuhan Kuantan akan diteruskan seperti dirancang dan pelabuhan itu akan dijadikan pelabuhan air menjelang 2015 yang berupaya mengendalikan kapal paling moden dan lebih besar sehingga 200,000 tan metrik (DWT)," katanya. Najib turut mengumumkan penjenamaan semula Kluster Perindustrian Minyak Sawit di Kuantan kepada Taman Bio Bersepadu Kuantan, sejajar matlamat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur untuk menggalakkan aktiviti berkaitan bioteknologi berasaskan biomas sawit di taman itu. Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan serta industri teknologi maklumat dan komunikasi di ECER selain membangunkan lagi perusahaan kecil dan sederhana, majlis itu akan turut melaksanakan pelan pembangunan Taman Teknologi Gambang pada tahun depan.


Antara projek utama di dalam ECER ialah Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) seluas 685 hektar yang terletak berdekatan Bandar raya Pelabuhan Kuantan. MCKIP adalah projek dua hala yang pertama di Malaysia yang diberi status tahap negara dan dijangka menarik pelaburan RM7.5 bilion dari pelabur tempatan dan antarabangsa dan mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

"Kami optimis sasaran pelaburan kami bagi MCKIP dapat dicapai kerana beberapa pemain antarabangsa dari pelbagai industri melahirkan minat di dalam projek itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif majlis itu, Datuk Jebasingam Isaace John. Industri disasarkan di MCKIP termasuk produk plastik dan peralatan logam, komponen automotif, simen serat dan keluli. MCKIP akan dibangunkan pemaju utama terdiri daripada syarikat usaha sama antara satu konsortium Malaysia dan satu konsortium China.


Konsortium Malaysia akan memiliki ekuiti 51 peratus di dalam syarikat usahasama itu manakala konsortium China memiliki baki ekuiti 49 peratus. Konsortium Malaysia terdiri daripada SP Setia Bhd, Rimbunan Hijau Group dan kerajaan negeri Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pahang.


Konsortium China terdiri daripada Guangxi Beibu Gulf International Port Group, CCCC Real Estate Co Ltd, China Harbour Engineering Co dan QingzhouInvestment Co. Kerja tanah MCKIP bermula September dan majlis pecah tanah rasmi oleh Najib serta pegawai kerajaan dari China dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Tambah kualiti hidup bekas tentera

Posted: 14 Dec 2012 02:00 PM PST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan program penambahbaikan kualiti hidup bekas tentera pada majlis pengiktirafan Veteran 1Malaysia di Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, program berunsurkan kebajikan dan pertolongan itu tanda penghargaan serta prihatin kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan bekas tentera selama ini.


"Seramai 30,000 bekas tentera dijangka hadir pada program itu di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar, pagi esok," katanya.

kepada Bernama di sini, semalam.


Program dianjurkan bersama PBTM, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).


"Kami harap bekas tentera hadir sebagai tanda sokongan berterusan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan bekas tentera, " katanya.

Menurutnya, 350,000 bekas tentera yang berpencen dan tidak berpencen di negara ini perlu mentranformasikan diri dari status seorang pahlawan kepada usahawan seiring dengan peredaran masa.


Katanya, bekas tentera perlu agresif meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyertai pelbagai program keusahawanan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan untuk memajukan diri. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No comments:

Post a Comment