Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ronaldo ‘pulang’ ke Old Trafford

Posted: 20 Dec 2012 09:17 AM PST

NYON (Switzerland): Cristiano Ronaldo akan kembali ke Manchester United bersama juara sembilan kali, Real Madrid pada pusingan kedua Liga Juara-Juara manakala tonggak Barcelona, Lionel Messi berdepan AC Milan.

Bayern Munich, naib juara musim lalu, bertemu Arsenal dan Juventus akan menentang Celtic yang mengejutkan ramai apabila layak ke peringkat kalah mati. Kelab berbelanja besar, Paris St Germain pula berdepan Valencia.


Namun nasib dua kelab gergasi Sepanyol pada majlis undian di ibu pejabat Uefa semalam menarik minat ramai dan kedua-duanya diundi menentang kelab yang berpengalaman luas di Eropah.

Real, juara Sepanyol, amat mengecewakan pada siangan La Liga musim ini dan sekadar muncul naib juara kumpulan dalam Liga Juara-Juara di belakang Borussia Dortmund.


Bagaimanapun Ronaldo pasti terdesak mahu Real memuncak tepat pada masanya menentang kelab yang menyaksikan dia memenangi Piala Eropah pada 2008 dan meningkat sebagai penyerang bertaraf dunia.


Pengurus Real, Jose Mourinho, yang pernah melatih Chelsea, akan turut tampil menentang musuh lamanya, Alex Ferguson.

Sebaik mendapat tahu mengenai undian itu, Ferguson melabel pertembungan itu sebagai perlawanan terbaik yang bakal dinanti-nantikan pada pusingan kedua.


"Ya, ini adalah perlawanan terbaik pusingan itu. Ia peluang buat penyokong kami untuk menyaksikan Cristiano sekali lagi dan juga buat saya bertemu Jose kembali," kata pengendali veteran dari Scotland itu.

"Saya pasti ia akan menjadi satu perlawanan istimewa buatnya (Ronaldo)," kata Emilio Butragueno, pengarah hubungan institusi Real Madrid. "Peminat pasti amat gembira dengan perlawanan menarik dan sengit ini.


"Ia akan menjadi satu pengalaman hebat buat setiap orang." Barcelona kini muncul pilihan utama memenangi Liga Juara-Juara sekalipun mereka berdepan sebuah pasukan yang penuh pengalaman dengan kejayaan di Eropah, AC Milan yang pernah meraih kejuaraan tujuh kali apabila pertandingan itu bersambung pada pertengahan Februari ini.


Messi sudah menjaringkan 90 gol pada tahun ini dan mengemudi Barcelona mendahului sembilan mata dalam La Liga manakala Milan kini ketinggalan 14 mata di belakang Juventus dalam Serie A dan menduduki tangga kedua di belakang Malaga dalam kumpulan mereka.


Dalam perlawanan lain, Galatasaray akan bertemu Schalke 04, Shakhtar Donetsk berdepan Dortmund manakala Porto menentang Malaga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Vettel tak ragu

Posted: 20 Dec 2012 09:12 AM PST

MUNICH: Sebastian Vettel tidak pernah berasa ragu kesahihannya sebagai juara pemandu dunia 2012 di sebalik pertikaian yang mempersoalkan tindakannya memintas Jean-Eric Vergne pada perlumbaan terakhir musim, Grand Prix Brazil.

Kejuaraan ketiga berturut-turut pemandu Red Bull itu diragui selepas Ferrari menghantar surat aduan kepada badan induk sukan permotoran dunia, FIA, meminta penjelasan terhadap tindakan Vettel pada pusingan keempat perlumbaan di Interlagos, 25 November lalu.


Sekiranya pertikaian Ferrari mendapati Vettel melakukan kesalahan, dia bakal didenda 20 saat, yang memungkinkan pemandu Ferrari, Fernando Alonso meraih kejuaraan pemandu dengan perbezaan satu mata.

"Saya tidak pernah fikir melakukan sebarang kesalahan," kata Vettel kelmarin.


"Biarpun banyak perkara berlaku pada perlumbaan itu, saya pastinya nampak semua bendera dan warna.


"Saya hanya mendapat maklumat Ferrari mahu bertindak selepas Christian Horner (prinsipal pasukan Red Bull) memaklumkan Ferrari tidak gembira dengan keputusan perlumbaan." Vettel dilihat memintas Vergne di zon kuning, yang melarang pemandu memotong, namun rakaman televisyen kemudian membuktikan pemandu Jerman itu sudah melepasi bendera hijau menandakan boleh memintas.

FIA kemudian mengesahkan Vettel tidak bersalah dan Ferrari menerima keputusan itu dan menegaskan tidak berniat mempersoalkan kesahihan keputusan perlumbaan itu.


"Selepas FIA memeriksa rakaman situasi yang dipersoalkan itu dan mengesahkan semuanya mengikut peraturan, Ferrari menarik balik bantahan," kata Vettel.

"Namun percaya atau tidak, saya sudah tahu sejak bendera kemenangan dikibarkan, kami tidak melakukan kesilapan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Habuan pemain kalah meningkat

Posted: 20 Dec 2012 09:02 AM PST

MELBOURNE: Penganjur Terbuka Australia menaikkan jumlah hadiah kepada pemain yang tewas pada pusingan awal acara Grand Slam itu bagi mengelakkan rasa tidak puas hati yang timbul di kalangan pemain sekali gus menamatkan hasrat mereka yang mahu melancarkan mogok.

Terbuka Australia kini akan membayar hadiah wang lebih banyak berbanding kejohanan lain bagi setiap pusingan dengan jumlah kenaikan itu juga membabitkan kategori beregu dan aksi kelayakan bagaimanapun tiada sebarang perubahan untuk beregu campuran.


Kenaikan paling besar adalah bagi pemain yang tewas pusingan pertama, perseorangan lelaki dan wanita masing-masing akan menerima AS$27,600 (RM84,177), peningkatan 32.7 peratus berbanding tahun ini manakala mereka yang tewas pada pusingan kedua membawa pulang AS$45,500 (RM138,770), peningkatan 36.6 peratus.

Langkah itu mungkin dapat memuaskan hati kesatuan pemain diketuai juara Grand Slam 17 kali, Roger Federer, yang meminta jumlah hadiah empat pertandingan elit itu dinaikkan.


"Apa yang mendorong kami melakukan perkara ini adalah kerana kami berusaha membantu pemain tenis profesional menikmati kehidupan lebih baik," kata pengarah Terbuka Australia, Craig Tiley.


"Seperti yang kami katakan sebelum ini, ia satu isu besar dan perlu diselesaikan dengan segera." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Vilanova jalani rawatan 6 minggu

Posted: 20 Dec 2012 09:00 AM PST

BARCELONA: Jurulatih Barcelona, Tito Vilanova menjalani pembedahan semalam dan rawatan selama enam minggu selepas kembali menderita penyakit barah, menurut kelab pendahulu liga Sepanyol itu.

Vilanova, 44, mengemudi Barcelona melakar sejarah permulaan terbaik liga namun beliau kini terpaksa menjalani rawatan lanjut kanser kelenjar air liur, kata kelabnya kelmarin.


Doktor yang memantaunya berikutan pembedahan kanser setahun lalu mengesan keadaan dirinya yang memerlukan pembedahan segera termasuk menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi selama enam minggu.

Menurut kelab itu, bergantung kepada kemajuan dicapai jurulatih itu, beliau boleh menjalani rawatan selain bertugas di kelab itu namun presiden kelab, Sandro Rosell kemudian menjelaskan Vilanova akan berehat beberapa minggu.


"Kami perlu cuba meneruskan kehidupan seperti biasa tapi tetap ada perbezaan kerana Tito seorang jurulatih dan kini beliau tidak akan bertugas beberapa minggu," kata Rosell.


"Namun mental Tito amat kuat dan kami yakin beliau akan kembali secepat mungkin." Pengarah sukan Barca, Andoni Zubizarreta berkata, penolong jurulatih, Jordi Roura akan mengambil alih tugas buat sementara waktu serta bertindak sebagai jurulatih apabila pasukan itu berkunjung ke Valladolid bagi perlawanan liga, Sabtu ini.

Zubizarreta menepis spekulasi bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola yang meninggalkan kelab itu musim lalu, akan kembali.


"Tito adalah jurulatih dan akan terus menjadi jurulatih. Roura akan berada di bangku pemain simpanan di Valladolid namun jurulatihnya adalah Tito," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Napoli kecundang di gelanggang sendiri

Posted: 20 Dec 2012 09:00 AM PST

NAPLES: Penyandang juara, Napoli yang dipotong dua mata dalam aksi Serie A kerana skandal menentukan keputusan perlawanan, tersingkir pada pusingan kelima Piala Itali selepas kalah 1-2 kepada Bologna di gelanggang sendiri, awal pagi semalam.

Edinson Cavani meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-12 namun jaringan Cristian Pasquato selepas 38 minit dan Panagiotis Kone pada masa kecederaan membantu Bologna menempah tiket ke suku akhir menentang Inter Milan, yang menundukkan kelab divisyen dua, Hellas Verona, 2-0, awal pagi kelmarin.


Pemain tengah Greece, Kone turut menjaringkan gol lewat perlawanan buat Bologna apabila mereka menang 3-2 ke atas Napoli dalam liga hujung minggu lalu.

Lazio turut mara selepas menundukkan Siena 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti di laman sendiri sesudah seri 1-1. Perlawanan itu dilangsungkan dalam stadium hampir kosong kerana kurang minat di kalangan penyokong terhadap pertandingan itu.


Mereka akan berdepan Catania pada suku akhir Januari ini selepas kelab Sicily itu mara minggu lalu di samping AC Milan, Juventus dan AS Roma, yang akan menerima kunjungan Fiorentina selepas kelab Florence itu menang 1-0 ke atas Udinese awal pagi semalam. Borja Valero menyumbang gol kemenangan Fiorentina pada minit ke-36.


Perlawanan paling menarik pada suku akhir adalah pertembungan antara juara Serie A yang juga naib juara tahun lalu, Juventus yang akan bertandang ke Milan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Hilang tekanan

Posted: 20 Dec 2012 09:00 AM PST

LEEDS: Chelsea mengendurkan tekanan dirasai Rafael Benitez apabila meraih tiket ke separuh akhir Piala Liga selepas membelasah Leeds, 5-1 di Elland Road, awal pagi semalam.

Leeds yang kini menduduki tangga pertengahan Liga Kejuaraan, melakukan kejutan pada aksi suku akhir itu apabila berada di depan pada minit ke-38 menerusi gol peribadi ke-15 penyerang dari Argentina, Luciano Becchio.


Pemain pertahanan, Tom Lees terlepas peluang terbaik menambah gol kedua sebelum tamat babak pertama dalam usaha kelab itu untuk cuba menyamai pencapaian cemerlang jiran setempat, Bradford City yang sudah menempah tiket ke separuh akhir selepas mengejutkan Arsenal.

Chelsea bagaimanapun enggan mengikut jejak langkah Arsenal apabila meledak lima gol pada babak kedua sekali gus meraih kemenangan penuh bergaya untuk mara ke separuh akhir.


"Mereka beraksi baik pada babak pertama dan reaksi pada babak kedua begitu menakjubkan selepas baru saja tiba dari Jepun," kata Benitez yang menggalas tugas sebagai pengurus sementara.


"Kami mencari kembali karakter sebenar dan membincangkannya ketika rehat babak pertama," katanya.

Chelsea menyamakan kedudukan seminit selepas babak kedua bersambung apabila penjaga gol Leeds, Jamie Ashdown gagal menghalang sepakan lemah jarak jauh Juan Mata.


Dua gol pantas pada pertengahan permainan mengesahkan kemenangan kelapan Chelsea dalam tempoh 24 hari, kurang 48 jam selepas tewas kepada kelab Brazil, Corinthians pada final Piala Kelab Dunia di Jepun.

Branislav Ivanovic meledak gol kedua pada minit ke-64 sebelum pemain terbaik perlawanan, Victor Moses menambah gol ketiga pada minit ke-66, diikuti dua gol sumbangan Eden Hazard dan Fernando Torres. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Suntikan terbaik barisan Arsenal

Posted: 20 Dec 2012 08:59 AM PST

LONDON: Arsenal menerima suntikan terbaik apabila mengumumkan pemain tengah England, Jack Wilshere serta empat lagi pemain lain setuju menyambung kontrak jangka panjang bersama kelab itu.

Wilshere menyertai rakan sepasukan skuad England, Alex Oxlade-Chamberlain, Kieran Gibbs dan Carl Jenkinson serta pemain tengah Wales, Aaron Ramsey menyatakan komitmen untuk terus beraksi di Stadium Emirates dalam jangka masa panjang.


"Kami amat gembira apabila kelima-lima pemain sudah menyambung kontrak jangka masa panjang yang baru," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

"Perancangan kami adalah membentuk pasukan yang diperkuat ramai pemain muda dalam usaha menggilap bakat mereka di kelab ini.


"Wilshere adalah pemain yang paling dikenali dan empat lagi adalah pemain yang mempunyai bakat luar biasa dan kami amat gembira dapat menyambung kontrak baru mereka.


"Gibbs, Jenkinson, Oxlade-Chamberlain, Ramsey dan Wilshere adalah antara tonggak utama pasukan.

"Saya percaya apabila kami mempunyai barisan pemain utama British, amat mudah untuk menyatukan mereka," katanya.


Arsenal bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci butiran lanjut kontrak kelima-lima pemain itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Tekad kekal momentum

Posted: 20 Dec 2012 08:59 AM PST

LONDON: Pertembungan Arsenal dan Wigan Athletic mempertemukan dua pasukan yang sukar diramal, esok, membuka tirai aksi menarik jadual padat Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 12 hari.

Dengan aksi padat 39 perlawanan sepanjang tempoh cuti perayaan pada dua minggu selepas ini bakal memberikan gambaran kedudukan persaingan dua penjuru merebut kejuaraan antara Manchester United dan Manchester City serta nasib beberapa pasukan yang bergelut di zon penyingkiran.


Bagi Arsenal, mereka mahu meraih keputusan baik selepas mengalami kekecewaan dalam beberapa perlawanan sebelum ini yang menyebabkan kemampuan mereka diperlekehkan.

Aksi tidak konsisten sebelum ini bermula dengan kekalahan di laman sendiri 0-2 di tangan Swansea City, dikejutkan dengan kekalahan memalukan apabila disingkirkan pasukan Liga Dua, Bradford City dalam kempen Piala Liga sebelum bangkit minggu ini dengan ledakan hatrik Santi Cazorla ketika membelasah Reading, 5-2.


Kemenangan Isnin lalu itu melenyapkan kecaman yang menyelubungi kelab utara London itu namun kegembiraan pasti bertukar kekecewaan jika Gunners gagal meneruskan rentak menentang pasukan di tangga ketiga terbawah, Wigan.


Jika berjaya meraih tiga mata penuh, skuad kendalian Arsene Wenger itu bakal menduduki tangga ketiga buat sementara waktu dan perlawanan musuh setempat menentang West Ham United pada Hari Boxing pula ditangguhkan.

"Kami akan berkunjung ke Wigan. Ia perlawanan yang sukar tapi kami boleh melakukannya sekali lagi. Saya harap kami memperoleh keyakinan hasil kemenangan ke atas Reading," kata Wenger.


Penyokong Arsenal kembali yakin selepas kemenangan terbaru itu yang menyaksikan prestasi hebat Cazorla, Jack Wilshere, Alex Oxlade-Chamberlain dan Theo Walcott.

Dengan jurang 15 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, United, pastinya menyukarkan Arsenal untuk mencabar kejuaraan namun mereka dilihat mampu mengesahkan kedudukan dalam kelompok empat pasukan teratas menjelang Tahun Baru.


"Kami tahu jadual perlawanan menjadi lebih padat pada tempoh perayaan Krismas," kata Oxlade-Chamberlain yang mengikut jejak langkah Wilshere, pemain tengah Wales, Aaron Ramsey dan pertahanan England, Kieran Gibbs serta Carl Jenkinson menandatangani kontrak baru, kelmarin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Sterling setuju kekal di Liverpool

Posted: 20 Dec 2012 08:58 AM PST

LIVERPOOL: Pemain sayap Liverpool, Raheem Sterling dilapor bersetuju menandatangani kontrak baru lima tahun untuk terus kekal dengan kelab Anfield itu hingga 2017.

Pemain berbakat berusia 18 tahun itu mempamerkan aksi memberangsangkan musim ini di bawah kendalian Brendan Rodgers apabila hanya sekali tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama daripada 17 perlawanan Liga Perdana.


Prestasi Sterling juga menarik perhatian ketua jurulatih England, Roy Hodgson yang menyenaraikan pemain muda itu dalam skuad kelayakan Piala Dunia menentang Ukraine, September lalu.

Pemain kelahiran Jamaica itu tidak beraksi menentang Ukraine namun dia membuat penampilan pertama bulan lalu ketika berusia 17 tahun dalam perlawanan persahabatan yang menyaksikan England kalah 2-4 kepada Sweden.


Sterling mempunyai baki 18 bulan dalam kontrak lamanya selepas menyertai Liverpool dari QPR pada Februari 2010 dan penyokong kelab itu pasti gembira apabila dia bersedia memberi komitmen jangka panjang bersama kelab Merseyside.


Dia menghasilkan gol pertama Liga Perdana Oktober lalu apabila menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas bekas kelab Rodgers, Reading.

Sterling dijangka menandatangani kontrak baru menjelang perlawanan Liga Perdana, Liverpool menentang Fulham, esok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


48 hari lagi Rajagobal

Posted: 20 Dec 2012 08:58 AM PST

SELEPAS perjalanan skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2012 berakhir dengan nota kekecewaan, kini tumpuan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal terarah kepada misi idamannya, melepasi kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula awal Februari.

Jika dihitung dengan teliti, pengendali yang masih diberi mandat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Harimau Malaya meskipun gagal mempertahankan gelaran Raja Asia Tenggara hanya mempunyai masa singkat untuk membuat persiapan rapi berdepan Qatar pada aksi pertama Kumpulan D di Doha pada 6 Februari.


Dalam tempoh 48 hari sebelum mengharungi kempen bertaraf lebih tinggi berbanding Piala AFF itu, Rajagobal perlu mencongak semula barisan pemain serta mengatur strategi dan taktikal lebih berkesan memandangkan Qatar yang mara ke suku akhir pada edisi 2011 bukan calang-calang pasukan.

Qatar mengharungi perlawanan antarabangsa lebih kompetitif apabila beraksi dalam kempen peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2014 tahun ini berbanding Malaysia yang terkandas di pusingan kedua di tangan finalis Piala AFF tahun ini, Singapura.


Malah selain Qatar yang menduduki ranking ke-98 dunia, kemampuan dua lagi wakil negara Teluk, Bahrain (119) dan Yaman (164) tidak boleh diperkecilkan.


Rajagobal yang tidak menghiraukan soal ranking Malaysia yang kini terperosok di tangga ke-158 sejak awal lagi melaungkan misi untuk membawa skuad kebangsaan layak secara merit ke pentas Asia itu selepas kali terakhir melakukannya pada 1980.

Malaysia tampil pada 2007 atas tiket selaku tuan rumah bersama dan sekadar menghasilkan keputusan memalukan dibelasah dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.


Sejauh mana peluang anak buah Rajagobal untuk melepasi kempen kelayakan kali ini sedangkan jika diukur pada prestasi di pentas Asia Tenggara, ia tidak seberapa.

Bak kata pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal, semua pihak jangan cepat melatah kerana Harimau Malaya akan bangkit dan berjanji persiapan rapi akan dilakukan selepas ini.


Tapi persiapan apa yang mahu dilakukan lagi sedangkan misi ini sudah dilaungkan selepas bergelar juara Piala AFF 2010. Pelbagai eksperimen sudah dilakukan dalam tempoh itu dan apakah hasilnya? Qatar, Bahrain dan Yaman tidak perlu memikirkan soal persiapan lagi memandangkan mereka bakal mengharungi perlawanan Piala Negara-Negara Teluk Januari ini dan Malaysia pula bagaimana, adakah baru sibuk merancang? Dengan Liga Malaysia yang bakal bermula 5 Januari ini, masih adakah ruang buat Rajagobal mengatur perlawanan antarabangsa mahupun latihan pusat ataupun terpaksa memanggil pemain terbaik dan terus diterbangkan ke Doha.


Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


No comments:

Post a Comment