Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Bukan tubuhku’

Posted: 24 Dec 2012 08:06 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa berdepan cemuhan rakan dan keluarga apabila mukanya digunakan di sebuah laman sosial yang mempromosikan khidmat seks.

Bukan itu saja, gambar mukanya itu turut diubah suai menggunakan teknik 'super imposed' bersama gambar tubuh badan yang mengghairahkan.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, mengetahui mengenai laman sosial terbabit sejak Mei tahun lalu, namun tidak menyangka ia berlarutan.

"Saya diberitahu rakan mengenai laman sosial terbabit yang menggunakan gambar muka saya dan melaporkannya kepada pengurusan laman sosial itu.


"Selepas itu, saya tidak lagi dapat melihat profil berkenaan yang menggunakan nama 'Jessy Srikembangan' dan menganggap ia sudah dikenakan tindakan oleh pengurusan laman sosial terbabit," katanya ketika sidang media di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.


Tetapi, dia sekali lagi dihubungi rakannya pada Ogos lalu dan bertanya sama ada dia terdesak memerlukan wang kerana terjumpa laman sosial menawarkan perkhidmatan seks menggunakan gambarnya.

Katanya, dia membuat siasatan sendiri dan menemui profil 'Jessy Srikembangan' serta 'Lisa Carino' yang menggunakan gambar wajahnya.


"Saya menghubungi nombor telefon yang disertakan di satu daripada profil berkenaan menggunakan SMS dan mereka memberikan nombor akaun bank atas nama 'Jessy Ling Kok Diong' sebelum meminta saya memasukkan wang ke akaun itu.

"Kini saudara-mara saya juga mengetahui mengenai profil berkenaan selepas rakan-rakan memasuki profil itu," katanya.


Wanita berasal dari Shah Alam itu membuat laporan di Balai Polis Shah Alam sebelum mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA bagi membersihkan namanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro, Datuk Seri Michael Chong berkata, ini kes pertama diterima pihaknya menggunakan modus operandi berkenaan.


"Ini cara penipuan baru digunakan sindiket untuk mengaut keuntungan segera dengan menggunakan maklumat peribadi serta gambar individu lain.


"Kami serahkan pada polis menyiasat perkara ini supaya tindakan lanjut boleh diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/25


Remaja suspek bunuh lelaki ditahan

Posted: 24 Dec 2012 08:02 AM PST

SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara enam yang ditahan selepas disyaki terbabit kes bunuh seorang lelaki di Selayang Baru, awal pagi kelmarin.

Remaja terbabit ditahan bersama lima lagi lelaki berusia 20 hingga 22 tahun di Selayang dan Kuala Lumpur jam 1.40 pagi hingga 3.45 pagi semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada enam suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau dan tiada senjata dirampas daripada mereka ketika ditahan.

"Kami percaya suspek berusia 17 tahun itu tidak lagi bersekolah. Mereka semua direman hingga Sabtu depan bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.


Harian Metro semalam melaporkan mangsa, R Kumaran, 31, mati ditikam sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau dan kayu dalam kejadian berhampiran rumahnya jam 3 pagi kelmarin.


Mangsa yang baru tiba di tempat letak motosikal kawasan perumahan itu didatangi lima lelaki yang membawa senjata sebelum seorang daripada mereka menyerang mangsa.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang akibat satu tikaman di kiri dada yang terkena jantungnya.


Rentetan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 22 tahun kelmarin bagi membantu siasatan. Katanya, polis kini memburu dua lagi lelaki yang masih bebas dipercayai dalang utama kejadian terbabit. Mereka ialah Norazuan Mohd Mustafa, 20, alamat terakhirnya di Lot 47 (A) Jalan Indah 6, Kampung Selayang Indah dan Noriman Mayidin, 22, alamat terakhirnya di 209, Apartment Seroja, Persiaran 3, Bandar Baru Selayang.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat dua lelaki terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Izhan Ismail di talian 019-2527455 atau hubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/25


Setiap kelahiran wajib didaftarkan

Posted: 24 Dec 2012 08:01 AM PST

KUALA LUMPUR: "Setiap kelahiran bayi di negara ini tanpa mengira status termasuk anak pendatang haram sekali pun wajib didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," kata Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor.

Beliau berkata, sekiranya terlewat mendaftarkan kelahiran, ibu bapa masih boleh mendaftarkan anak mereka tanpa dikenakan sebarang denda.


Menurutnya, jika tiada sijil lahir, ibu bapa hanya perlu membuat proses daftar lewat kelahiran di mana-mana pejabat JPN yang terdekat.

"Pada borang itu ada senarai dokumen diperlukan seperti bukti kelahiran. Kalau lahir di hospital kena ada pengesahan dari hospital dan jika lahir di rumah, diperlukan bukti bidan yang menyambut kelahiran bayi. "Ibu bapa hanya perlu membayar yuran proses RM10 untuk setiap permohonan dan sijil lahir akan siap dalam tempoh 30 hari bekerja, tetapi bergantung kepada dokumen lengkap yang diperlukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Katanya, selepas mendapat sijil lahir, ibu bapa boleh membuat proses mendapatkan MyKad melalui prosedur biasa dan kad itu boleh siap dalam tempoh 10 hari bekerja.


"Di JPN kami mendaftarkan setiap kelahiran tanpa mengira status kerana soal status sama ada anak pendatang asing atau luar nikah itu adalah di luar bidang kuasa kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/25


Gagal cam mayat budak

Posted: 24 Dec 2012 07:59 AM PST

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 30-an yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak, tampil membantu polis dengan membuat pengecaman di Rumah Mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Wanita itu tampil bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun yang ditemui dengan 80 peratus badannya terbakar manakala perutnya terburai di kaki bukit Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz, di sini, Jumaat lalu.


Terdahulu, wanita berkenaan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam, sebelum dibawa sepasukan anggota polis ke Rumah Mayat HSA, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, wanita itu gagal mengecam mangsa berikutan wajah termasuk 80 peratus anggota badannya rentung.


"Wanita itu bukanlah waris dan tidak mempunyai sebarang pertalian persaudaraan dengan mangsa.


"Dia hanya seorang awam yang prihatin dan tampil untuk mengenal pasti mangsa," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih belum mendapat petunjuk baru termasuk dakwaan kononnya sudah menahan seorang suspek yang juga bapa saudara mangsa.


"Kami masih belum mengetahui identiti mangsa, jadi adalah mustahil kami sudah berjaya menahan bapa saudaranya.

"Kenyataan itu tidak tepat, namun kami masih menjalankan siasatan bagi menahan suspek," katanya.


Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Idris Sith di talian 07-223 2222 atau talian 07-221 2999 / 07-225 4422.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


‘Saya kesal tak diundang’

Posted: 24 Dec 2012 07:58 AM PST

KOTA BHARU: Ketika penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, 23, dan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey, 21, bakal melangsungkan pernikahan mereka pada Jumaat ini, timbul pula suara kesal daripada bapa kandung Leuniey yang tampil kepada media.

Seperti didedahkan sebuah portal sebelum ini, Leuniey yang berbintikan Nazri mengakui Nazri yang dipanggil dengan gelaran 'daddy' itu, bukanlah bapa kandungnya.

Dia sebaliknya memberitahu nama bapanya ialah Jaafar Mohamad.

Jaafar meluahkan rasa terkilan apabila dia tidak dapat menyaksikan saat penting buat anak sulungnya selepas mendakwa tidak dijemput menghadiri majlis pernikahan itu.


Katanya, sebagai bapa, harapannya cukup besar untuk menyaksikan anaknya itu diijab kabul, namun ia tidak mungkin tercapai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


No comments:

Post a Comment