Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dah biasa bah

Posted: 23 Dec 2012 08:27 AM PST

SHAH ALAM: Bencana banjir seolah-olah sinonim dengan penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, di sini, berikutan kerap dilanda bencana itu sejak 20 tahun lalu termasuk banjir besar pada tahun 2000 dan 2006 hingga kampung berkenaan dinaiki air lebih satu meter.

Bencana itu berulang lagi malam Jumaat lalu apabila hujan lebat lebih empat jam mengakibatkan kampung berkenaan dinaiki air sedalam hampir satu meter apabila benteng Sungai Damansara berhampiran kampung itu pecah.


Kejadian itu menyebabkan lebih 70 penduduk terpaksa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Batu Tiga yang berhampiran. Penduduk, Mohamad Awang Kechil berkata, hujan lebat luar biasa tanpa henti lebih empat jam mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air separas lutut.

Katanya, air mula naik kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu dan hanya surut selepas jam 6 pagi keesokannya.


"Saya percaya, banjir ini berlaku kerana sistem perparitan yang tidak sistematik serta faktor benteng Sungai Damansara pecah," katanya.


Penduduk lain yang dikenali sebagai Fatimah berkata, banjir kilat itu turut mengakibatkan barangan perabot dan peralatan elektrik di rumahnya rosak.

"Kerugian yang dialami belum diketahui. Sekarang bukan televisyen saja yang tidak berfungsi, malah perabot juga turut mengalami kerosakan," katanya.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati semua penduduk yang dipindahkan itu sudah kembali ke rumah masing-masing pagi semalam selepas air mulai surut.

Ketua Kampung berkenaan, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman berkata, bencana berkenaan adalah yang kedua terburuk sejak 2006 lalu.


"Saya difahamkan pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran(JPS), kerja penambakan hanyalah sementara dan dijangka siap dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Hasil merosot 50 peratus

Posted: 23 Dec 2012 08:25 AM PST

KLANG: "Pendapatan saya merosot sebanyak 50 peratus selepas berpindah ke tapak baharu pasar malam," kata Aidil Abdul Aziz, 64, antara 60 peniaga pasar malam di Kampung Delek, di sini, yang mendakwa kerugian selepas diarahkan berpindah ke tapak baharu sejak Ogos tahun lalu.

Aidil mendakwa, tapak pasar malam itu terletak satu kilometer dari tapak lama serta kurang diketahui orang ramai mengakibatkan ia kurang menerima kunjungan.


"Kami diarahkan berpindah ke tapak itu oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) tetapi apabila kami mahu berniaga kembali di tapak lama, kami dihalang mereka," katanya kepada pemberita dalam majlis penyerahan bantuan kepada peniaga pasar malam itu, kelmarin.

Dalam majlis itu, 60 peniaga terbabit menerima sumbangan satu payung perniagaan, kemeja-T dan topi yang disampaikan Ketua Barisan Nasional (BN) Bahagian Klang, Datuk Mazly Noor Abdul Latif.


Aidil berharap semua peniaga itu dapat berniaga di tapak lama sekiranya BN berjaya menawan kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Sementara itu, Mazly berkata, majlis sumbangan itu adalah salah satu usaha BN untuk membantu peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


RM1.4j bantu mangsa banjir di Parlimen Kapar

Posted: 23 Dec 2012 08:25 AM PST

KLANG: Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperuntukkan dana RM1.4 juta bagi membantu mangsa banjir di kawasan Parlimen Kapar membabitkan kawasan Sungai Pinang, Selat Klang dan Sementa, di sini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, bantuan diagihkan kepada 2,800 mangsa banjir yang berlaku di kawasan itu pada Mac lalu dengan nilai sumbangan sebanyak RM500 bagi setiap mangsa.


"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesudian beliau meluluskan dana untuk diberikan kepada mangsa banjir penduduk di kawasan ini.

"Bantuan diberikan secara adil kerana ia hak rakyat dan kami ikhlas membantu mangsa banjir di kawasan Parlimen ini," katanya di sini.


Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa berkata, bantuan seterusnya diberikan kepada 500 mangsa di Sementa dan Sungai Pinang minggu depan.


Penerima bantuan, Zalina Abdullah, 29, berkata, dia akan menggunakan wang bantuan itu untuk membeli kelengkapan persekolahan anaknya.

Dia yang sudah menetap di Kampung Delek Kiri, di sini, lebih 10 tahun lalu berkata, bantuan itu bukti BN mengotakan setiap janji mereka.


"Walaupun bantuan diberikan lapan bulan selepas kejadian banjir, namun kami tetap gembira dengan bantuan ini kerana BN sentiasa menepati janji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Mati dada dihentak

Posted: 23 Dec 2012 08:24 AM PST

JOHOR BAHRU: Laporan bedah siasat terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lebih setahun yang ditemui rentung di Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini, Jumaat lalu, mendapati mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di dada.

Hasil bedah siasat turut menemui banyak kesan lebam di muka dan badan mangsa dipercayai ditumbuk suspek sebelum dibunuh dan dibakar. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr Hashim Haron berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah termasuk patah tulang belakang akibat hentakan kuat di dada," katanya, semalam.


Hashim berkata, polis masih belum dapat mengesahkan identiti mangsa kerana tiada individu tampil menuntut mayat berkenaan.

"Kita masih menyiasat sama ada kanak-kanak itu rakyat Malaysia atau sebaliknya kerana 80 peratus anggota badannya hangus," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 07-221 2999 / 07-225 4422.


Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia setahun ditemui 80 peratus rentung hingga perutnya terburai di tapak bekas flat Bukit Chagar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Polis cari waris kenal pasti motif bunuh

Posted: 23 Dec 2012 08:22 AM PST

JOHOR BAHRU: Mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui rentung 80 peratus di Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini, Jumaat lalu, hingga kini masih belum dituntut mana-mana individu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr Hashim Haron berkata, mayat kanak-kanak itu masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan disimpan sementara waktu sehingga ada individu menuntutnya.


Menurutnya, jika ada individu yang menuntut jenazah mangsa, ia sedikit sebanyak membantu siasatan kes terutama mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

"Setakat ini kami masih belum mendapat petunjuk atau menemui sebarang bukti yang dapat membantu mengesan suspek atau keluarga kanak-kanak berkenaan.


"Namun, siasatan terperinci dilakukan pasukan khas ditubuhkan bagi memastikan individu terbabit diberkas," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Hashim berkata, berikutan itu, polis menggesa mana-mana individu yang kehilangan anggota keluarga supaya tampil bagi membantu siasatan. "Selain itu, saksi kejadian atau individu mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Ia perbuatan kejam dan kami mengharapkan ada individu tampil bagi membantu siasatan. Pada masa sama, kami terus menyiasat kes ini bagi menjejaki suspek," katanya.


Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia lebih setahun ditemui 80 peratus rentung hingga perutnya terburai di tapak bekas flat Bukit Chagar.

Mangsa dipercayai dibakar di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan dan hasil penemuan mayat itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


No comments:

Post a Comment