Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Cabaran Benitez

Posted: 29 Dec 2012 02:20 PM PST

LIVERPOOL: Pengurus Chelsea, Rafael Benitez menjangkakan tentangan hebat di Goodison Park, malam ini selepas melabel Everton sebagai kelab kecil sewaktu menjadi pengurus Liverpool.

Benitez sedar penyokong Everton sama sekali tidak akan melupakan ejekan itu, begitu juga dengan pengurus Toffees, David Moyes dan pemainnya.


Semua itu pasti menambah cabaran Everton ketika berdepan pasukan Benitez apabila bertekad meneruskan kebangkitan baru-baru ini dan mencatat satu lagi kemenangan sepanjang Disember selepas menang tujuh daripada lapan perlawanan.

Everton kini hanya dua mata di belakang Chelsea dan pertemuan ini ujian terbesar terhadap dakwaan Benitez kelabnya sudah bersedia kembali mencabar perebutan juara liga.


"Everton melaksanakan tugas mereka dengan baik," kata Benitez. "Mereka beraksi dengan baik meskipun kurang sumber pemain berbanding pasukan lain tapi masih mampu memberi saingan. Mereka menghampiri puncak liga dan patut dipuji.


"Mereka adalah pasukan yang bagus dan sudah pasti menjanjikan cabaran getir. Kami perlu sedia secara fizikal dan mental untuk perlawanan ini. Mereka beraksi dengan baik pada tahun lalu dan Goodison memang gelanggang yang mencabar." Chelsea berdepan masalah dalam kunjungan ke Everton sejak beberapa musim lalu, tewas dalam tiga perlawanan liga di Goodison Park.

Begitupun kemenangan baru-baru ini, khususnya kejayaan membelasah Aston Villa, 8-0 sedikit sebanyak mengatasi kebimbangan terhadap jadual padat mereka pada masa ini, termasuk kunjungan ke Jepun untuk Piala Kelab Dunia.


Benitez bagaimanapun menegaskan, jadual padat itu mula mendatangkan kesan dan perlu menggilirkan skuadnya.

"Setiap kali menang, mudah sekali berkata tidak kepada pemain yang tidak mengalami masalah tapi untuk berlaku adil, bukan mudah untuk menggunakan pemain yang sama.


"Saya terpaksa menukar pemain, merombak giliran kerana jika tidak menguruskan skuad dengan baik, mereka akan keletihan." Everton boleh memulakan 2013 di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris jika mengatasi Chelsea.


Kali terakhir Everton menghampiri peringkat kumpulan Liga Juara-Juara adalah pada musim 2005-06 apabila mara ke pusingan kelayakan ketiga tetapi tewas kepada pasukan Sepanyol, Villareal 2-4. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


12 detik gegar

Posted: 29 Dec 2012 02:17 PM PST

BOLA SEPAK memukau dan menggoncang emosi sepanjang 2012. Ini adalah 12 detik istimewa yang menjadikannya ia tahun yang perlu diingati dalam sukan ini.

Hadiah berharga Zambia (12 Februari)

Kejayaan Zambia menjuarai Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama Februari lalu amat membanggakan. Mereka menewaskan pasukan pilihan, Ivory Coast tetapi perlawanan itu yang pertama di Libreville sejak insiden kapal terbang terhempas pada 1993 yang mengorbankan pasukan bola sepak mereka, selepas berhenti mengisi minyak di ibu negara Gabon, menjadikannya kemenangan paling emosi tahun ini.

Keajaiban Muamba (17 Februari)

Air mata mengalir atas sebab berbeza akhir bulan itu apabila penonton stadium dan televisyen seluruh dunia terkejut menyaksikan Fabrice Muamba bertarung nyawa di padang White Hart Lane. Pemain tengah Bolton Wanderers kelahiran Congo itu disahkan mengalami serangan jantung dan biarpun jantungnya berhenti berdenyut selama 78 minit, dia kembali sedar dan sejak itu menulis buku mengenai pengalaman hampir bertemu maut.

Jaringan akhir Aguero (13 Mei)

Pertarungan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris berlanjutan hingga ke minit akhir perlawanan terakhir musim dan berlanjutan lagi selepas itu. Lima minit selepas masa tambahan, ketika menentang Queens Park Rangers dan perlawanan Manchester United di Sunderland sudah berakhir, Sergio Aguero menjaringkan gol yang memastikan Manchester City menjulang kejuaraan pertama dalam tempoh 44 tahun.

Sentuhan akhir Drogba (19 Mei)

Tempat Didier Drogba di kalangan legenda Chelsea sudahpun terbukti apabila tandukannya memastikan kedudukan seri di final Liga Juara-Juara. Begitupun kedudukan seri itu sudah memadai untuk detik istimewa pemain Ivory Coast, sepakan penalti terakhir buat Blues memastikan kelab itu menjulang kejuaraan Eropah.

Tahiti menakluk benua (10 Jun)

Sebelum tahun ini, Piala Negara-Negara OFC tidak pernah meninggalkan Antipodes. Justeru, amat mengejutkan apabila New Zealand yang baru beraksi cemerlang di Piala Dunia, gagal mara ke final di Kepulauan Solomon. Sebaliknya, gelaran juara benua menjadi rebutan antara Tahiti dan New Caledonia, manakala gol tunggal Steevy Chong Hue memastikan pasukan Polinesia Perancis itu menjulang gelaran itu dan tempat ke Piala Konfederasi.

Nasib malang Rangers (14 Jun)

Kedudukan kewangan Rangers yang merudum bukan lagi satu rahsia tapi lebih mengejutkan apabila selepas 140 tahun dan 54 gelaran liga, kelab itu diarah untuk menjual aset pada pertengahan Jun. Pasukan gergasi Glasgow itu dibangunkan semula sebagai syarikat baru dan dibenarkan menyertai Divisyen Ketiga iaitu, divisyen keempat Scotland dan mereka kini mendahului sembilan mata dengan aksi kurang satu perlawanan.

Aksi Panenka Pirlo (24 Jun)

Itali ketinggalan 1-2 pada penentuan penalti sewaktu menentang England di suku akhir Euro 2012 dan Riccardo Montolivo gagal dalam percubaan sebelumnya apabila Andrea Pirlo mendapat giliran seterusnya. Berlatar belakangkan suasana tegang, pemain tengah itu melakukan sepakan penalti yang mengelirukan, menggugat Three Lions dan menjadi titik mula untuk memastikan mereka menang 4-2.

Kejayaan Sepanyol di final (1 Julai)

Selepas mendengar kritikan pedas sepanjang laluan ke final, Sepanyol membuktikan kenapa era ini milik mereka. Skuad Vicente Del Bosque menewaskan Itali dengan rekod empat gol untuk bergelar juara Eropah dan menjadi pasukan pertama dari Eropah menjuarai tiga gelaran utama berturut-turut.

Alex buktikan kehebatan (6 Ogos)

Old Trafford menyajikan pelbagai perlawanan hebat tetapi tiada yang lebih mendebarkan daripada aksi hebat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Olimpik Wanita antara AS dan Kanada. Ia mempunyai detik kemuncak yang sungguh dramatik apabila Alex Morgan memastikan kemenangan 4-3 buat AS pada minit terakhir masa tambahan.

Empat gol Ibrahimovic (14 November)

Ini adalah perlawanan pertama di Friends Arena tetapi tidak bermakna stadium baru Stockholm terlepas aksi terbaik individu. Zlatan Ibrahimovic menjadi pemain pertama dalam 915 perlawanan untuk menjaringkan empat gol ke atas England tapi juga kehebatan jaringan terakhirnya menerusi sepakan gunting sejauh 30 ela, membuatkan pemain itu menjadi sebutan semua keesokan harinya.

Messi atasi Muller (9 Disember)

"Rekod saya bertahan selama 40 tahun. Kini pemain terbaik dunia sudah memecahkannya dan saya bangga dengan pencapaiannya." Ini adalah pujian Gerd Muller selepas Lionel Messi menjaringkan gol ke-85 dan 86 pada 2012, mengatasi rekod Der Bomber pada 1972 iaitu jaringan terbanyak sepanjang tahun. Pemain Argentina itu menamatkan tahun ini dengan 91 gol dalam semua kejohanan.

Kegembiraan Corinthians (16 Disember)

Corinthians menjuarai edisi pertama Piala Kelab Dunia pada 2000 tapi sejarah moden menyaksikan ia dikuasai pasukan Eropah. Semua itu menjadi lebih manis buat kelab Brazil itu yang disokong 20,000 penyokong yang datang ke Yokohama, menyingkirkan Chelsea hasil tandukan Paolo Guerrero pada separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


‘Tiada halangan’

Posted: 29 Dec 2012 02:15 PM PST

LUIS Figo yakin tiada apa yang mampu menghalang Cristiano Ronaldo memenangi anugerah Ballon d'Or tahun ini.

Bekas pemain tengah Portugal itu berkata, Ronaldo lebih layak menerima anugerah itu hasil prestasi membanggakan buat Real Madrid dan negaranya.


"Tiada apa boleh menghalang Ronaldo daripada memenanginya," kata bekas pemain Barcelona dan Sporting Lisbon itu.

"Dia adalah antara pilihan untuk menang trofi individu, lebih-lebih lagi tahun ini kerana dia mengharungi musim hebat di liga dan cemerlang di Euro." Dipetik daripada Mundo Deportivo, pemenang anugerah Ballon d'Or 2000 itu berkata: "Ramai orang terbabit dalam pemilihan itu dan sukar untuk mengetahui siapa yang bakal menang." "Apabila dia menjaringkan gol, dia bersungguh-sungguh. Ronaldo menjaringkan tujuh hatrik dalam liga kedua-dua musim terakhir." Sudah pasti Figo merujuk kepada Lionel Messi atau pesaing Ronaldo tapi beliau membayangkan lebih mudah untuk menang anugerah itu sekarang berbanding ketika zamannya.


"Ia adalah antara detik paling istimewa dalam karier saya kerana tidak ramai mempunyai peluang menang trofi ini.


"Pada masa itu, ramai pemain berpotensi manakala kini terdapat empat atau lima calon utama. Ia adalah satu penghormatan dan detik istimewa bagi saya." Bintang Barcelona, Messi mempunyai kehebatan membolosi gawang lawan dan sama ada dia menjadi pilihan utama untuk Ballon d'Or atau sebaliknya, dia memiliki banyak sebab untuk meraikannya.

Dia adalah penjaring terbanyak Barcelona sepanjang zaman, pencapaian yang diraihnya pada usia 24 tahun dan sebelum itu menyamai rekod Gerd Muller untuk jaringan terbanyak pada satu tahun.


Jika berjaya, ini adalah kemenangan Ballon d'or keempat berturut-turut buat pemain itu.

Senarai awal 23 pemain yang didominasi pemain Real Madrid dan Barcelona termasuk Wayne Rooney sebagai satu-satunya pemain Britain, dikurangkan kepada hanya tiga pemain dengan Andreas Iniesta melengkapkan trio itu.


Jurulatih kebangsaan, kapten dan wartawan terpilih akan mengundi pemenang anugerah Fifa itu dan juara akan menerima anugerah itu di Zurich Kongresshaus pada 7 Januari.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


Atlet harapan negara

Posted: 29 Dec 2012 02:15 PM PST

SEBELUM ini, nama mereka mungkin kurang dikenali peminat sukan tempatan atau sekadar berlegar dalam kelompok sukan terbabit tetapi pencapaian mereka tahun ini, menjadikan mereka sebagai harapan negara pada tahun mendatang.

YU PENG KEAN Meskipun Peng Kean sudah lama berkecimpung dalam acara lawan pedang, kejayaannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik London benar-benar melonjakkan nama atlet berusia 21 tahun itu.


Selaku atlet kedua negara menyertai acara itu di Olimpik selepas 48 tahun, atlet kelahiran Bukit China, Melaka itu menewaskan pemain Mesir, Zeid Mannad, 15-12 dalam acara individu sabre lelaki sebelum tumpas kepada pemain nombor lima dunia dari Hungary, Szilagyi Aron, 1-15.

KHAIRUL ANUAR MOHAMAD Kejayaannya melayakkan diri ke suku akhir acara memanah di Sukan Olimpik membuka mata banyak pihak kepada anak muda dari Terengganu ini.


Meskipun tewas di tangan pemanah Jepun, Takaharu Fukukawa, semangat kentalnya terserlah apabila menundukkan tekanan atlet tuan rumah, Larry Godfrey. Sebelum itu, dia turut berjaya menewaskan rakan senegara, Cheng Chu Sian.


HASIHIN SANAWI Seorang lagi pemanah negara yang mencuri tumpuan, apatah lagi dengan kejayaannya merangkul pingat perak acara recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London.

Lebih menarik adalah kisah di sebalik kejayaannya apabila atlet berusia 29 tahun bangkit daripada kekecewaan akibat lumpuh berikutan kemalangan sebelum mengorak langkah untuk cemerlang di Paralimpik. Baru-baru ini, dia menerima pingat darjah Setia Sultan Sharafudin Idris Shah (SIS) hasil kejayaannya itu.


HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH Kejayaan pelumba sensasi Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin meletakkan Malaysia dalam sukan permotoran negara turut mencetuskan semangat buat Hafizh Syahrin untuk melakar pencapaian terpuji tahun ini.

Selaku penunggang wildcard Moto2, persembahan graduan Cub Prix ini memukau apabila hampir mencapai podium di Sepang, menduduki tangga keempat meskipun bermula di petak ke-27.


Yang pasti, perkembangan pelumba muda ini musim depan pasti dinantikan peminat sukan permotoran negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


‘Misi saya berbeza’

Posted: 29 Dec 2012 02:14 PM PST

LONDON: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers membidas mereka yang mendakwa rekod beliau di kelab itu tidak ubah seperti prestasi bekas pengurus Reds yang gagal, Roy Hodgson.

Skuad Rodgers yang menampilkan aksi tidak menentu, tewas 1-3 kepada Stoke, Rabu lalu menyebabkan Reds hanya meraih 25 mata daripada 19 perlawanan.


Jumlah mata itu sama seperti Hodgson yang tidak lama mengendalikan Liverpool apabila dipecat Januari 2011 dan kini menerajui England.

Namun Rodgers, yang berpindah dari Swansea pada musim perpindahan tidak bimbang kerana kedudukannya tidak boleh dibandingkan dengan era Hodgson.


Rodgers lebih bernasib baik kerana menjadi pilihan pemilik kelab, Fenway Sports Group dan biarpun rekod beliau tidak sebaik pengurus sebelumnya Kenny Dalglish, beliau diberi sasaran berbeza berbanding jurulatih kelahiran Scotland itu.


"Saya tidak fikirkan perkara itu, saya tidak bimbang," katanya mengenai perbandingan dengan rekod Hodgson. "Saya di sini untuk menjalankan tugas dan pemilik kelab melayan saya dengan baik.

"Sokongan daripada penyokong luar biasa dan mereka kumpulan terpenting di sini. Mereka sedar apa yang berlaku dan mengerti saya faham kekecewaan yang dirasai." Rodgers yakin Liverpool menunjukkan peningkatan biarpun mereka berdepan masalah melakar kemenangan secara konsisten tapi percaya usahanya merombak pasukan itu akan menghasilkan ganjaran. Mereka bakal menentang pasukan tercorot liga, QPR malam ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30


No comments:

Post a Comment