Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


URB mula beroperasi

Posted: 21 Dec 2012 04:00 PM PST

KUALA LUMPUR: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang baru dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan operasinya jam 9.30 malam kelmarin dalam usaha mengurangkan jenayah di kawasan tumpuan orang ramai.

Ketua Unit Rondaan Motosikal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Inspektor Rastam Affandi Md Ramli berkata, bagi kawasan Dang Wangi, sebanyak 24 motosikal disediakan untuk beroperasi 24 jam di kawasan tumpuan orang ramai dan taman perumahan.


Menurutnya, URB beroperasi tiga syif tugasan dengan setiap rondaan menggunakan lima motosikal yang melakukan rondaan di kawasan tumpuan, sekali gus mendekati masyarakat bagi mendapatkan maklum balas mereka berkaitan jenayah.

"Penubuhan unit ini diharap dapat menyasarkan penurunan jenayah jalanan, malah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa jenayah jalanan terkawal dan menurun.


"Kami harap orang ramai akan berasa selamat daripada ancaman jenayah dengan adanya unit URB ini," katanya pada sidang media di Balai Bergerak IPD Dang Wangi di hadapan pusat beli-belah Pavillion, Bukit Bintang, di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


5 cari sasaran rompak ditahan

Posted: 21 Dec 2012 03:57 PM PST

KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang mencari sasaran untuk menyamun di kawasan perumahan Taman Ehsan, Desa Jaya, dekat sini, ditahan sebelum beberapa peralatan untuk memecah rumah ditemui dalam kereta mereka, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, empat anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan taman berkenaan dengan motosikal mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan kerana bercermin gelap.


Menurut sumber, ketika anggota cuba menghampiri kenderaan itu, mereka cuba melarikan diri sebelum ditahan.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat lima lelaki berusia 20 hingga 25 tahun dalam kereta itu. Pemeriksaan lanjut menemui tiga parang panjang yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang.


"Turut ditemui sebuah beg galas dengan lima sarung tangan dan empat topeng muka yang disimpan dalam but kereta itu," katanya.


Sumber berkata, dua nombor plat kenderaan kereta lain turut ditemui dan polis mengesyaki mereka ingin merompak di kawasan itu.

"Semua mereka dibawa ke Balai Polis Desa Jaya untuk tindakan lanjut.


"Hasil siasatan lanjut mendapati dua daripada lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dijalankan.


Dalam kes berasingan, hasrat tiga lelaki yang ingin berjoli dengan hasil rompakan sebuah rumah di Taman Desa, Setapak, di sini, tidak berhasil selepas mereka ditahan Unit Peronda (MPV) polis Balai Wangsa Maju, semalam.


Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, orang awam yang menyedari kehadiran lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis.


Menurut sumber, polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui semua lelaki terbabit yang berusia 20 hingga 30 tahun menaiki sebuah kereta Mercedes Benz hitam.


"Anggota MPV berkenaan mengejar kereta dinaiki lelaki terbabit sejauh empat kilometer sebelum menahan mereka berdekatan sebuah hospital di Setapak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


2 gadis nyaris maut dirempuh treler

Posted: 21 Dec 2012 03:55 PM PST

ALOR GAJAH: Dua gadis nyaris maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Paya Rumput, dekat sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2.30 petang, motosikal Honda EX5 ditunggang Izwani Sadri bersama rakan, Noraini Abd Majid, masing-masing berusia 17 tahun dari Alor Gajah menuju sebuah pasar raya di Cheng.


Noraini ketika ditemui berkata, dia bersama rakannya dari Kampung Gadek dalam perjalanan untuk membeli barangan keperluan.

"Ketika melalui persimpangan, lampu isyarat hijau dan Izwani terus menunggang untuk melepasinya. Namun sebaik melepasi lampu isyarat tiba-tiba motosikal kami naiki dirempuh dari belakang.


"Motosikal kami terseret beberapa meter selepas rempuhan mengakibatkan saya dan rakan tercampak ke tengah jalan sebelum dibantu pengguna jalan raya," katanya di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, Staf Muda (PA) Zainal Awing berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam jam 2.40 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.


"Sebaik tiba di lokasi, mangsa terbaring dan dibawa ke tepi jalan dalam keadaan meraung kesakitan sebelum rawatan awal diberikan," katanya.

Zainal berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa patah kaki dan tangan kanan selain cedera ringan pada anggota badan manakala rakan mangsa cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Nak seronok mesti melalui perkahwinan

Posted: 21 Dec 2012 03:55 PM PST

KUALA LUMPUR: "Walau apa pun alasan, dalam Islam nak hidup seronok antara lelaki dan wanita ada caranya iaitu mesti melalui perkahwinan. Jika tidak, hanya azab yang menanti mereka," kata penceramah bebas, Zawiyah Hassan.

Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, keseronokan yang dirasai atas perbuatan yang tidak baik hanya sementara, selebihnya hanya kesakitan, penderitaan serta dosa yang perlu ditanggung.


"Hidup di dunia ini tidak boleh seronok sangat apatah lagi berlaku zalim terhadap orang lain. Jangan lupa Allah balas setiap perbuatan yang kita lakukan, jika tidak mendapat balasan sekarang lambat laun pasti menerima azab.

"Lebih membimbangkan sekiranya perbuatan tidak baik ini dicontohi anak-anak. Bila anak semakin dewasa, kemungkinan ibu bapa susah nak tegur, silap-silap perbuatan masa lampau mereka dipersoalkan anak-anak pula," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai ibu tunggal tiga anak yang menjadi wanita simpanan seorang pegawai kerajaan selama hampir 11 tahun menyerah diri di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di sini, Rabu lalu ekoran tidak mahu terus bergelumang dengan dosa.


Wanita berusia 40-an itu mengaku sudah empat kali menggugurkan kandungan hasil hubungan haram itu, namun kini insaf selepas menyedari kekasih gelapnya hanya menjadikannya alat pemuas nafsu. Malah, dia yang mahu dikenali sebagai Ros berkata, lelaki itu sering memukulnya hingga hidungnya patah akibat dipijak dan wang dikikis sehingga puluhan ribu ringgit termasuk untuk membeli kereta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


Bawa lari kereta polis

Posted: 21 Dec 2012 03:55 PM PST

KUANTAN: Seorang lelaki yang dipercayai bekas penjawat awam, bertindak gila apabila menceroboh masuk dua balai polis berasingan di Pekan serta Jaya Gading, di sini, dan melarikan dua kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk kereta peronda (MPV), malam kelmarin.

Kejadian bermula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan apabila lelaki itu memasuki pekarangan IPD berkenaan pada jam 7 malam dan melarikan kereta Proton Waja yang dijadikan kenderaan pegawai penyiasat.

Difahamkan, kejadian itu tidak disedari anggota bertugas kerana mereka menyangka kenderaan itu dibawa keluar anggota polis, namun selepas pemeriksaan, barulah menyedari ia dilarikan lalu melancarkan gerakan memburunya.

Menurut sumber, suspek memandu kereta itu menuju ke bandar ini, tetapi ia mengalami kerosakan di Jaya Gading, menyebabkan dia meninggalkan kereta itu di tepi jalan.


Katanya, perbuatan suspek tidak berakhir di situ saja, malah dia kemudian memasuki pekarangan Balai Polis Jaya Gading pada jam 8.50 malam dan kali ini, melarikan sebuah MPV.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/22


No comments:

Post a Comment