Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Serah nasib kepada FAM

Posted: 14 Dec 2012 01:26 PM PST

SELEPAS gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal kini menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, beliau masih memiliki baki kontrak bersama FAM hingga hujung tahun depan dan berpegang teguh dengan misi utamanya membantu skuad kebangsaan melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2015 di Australia.


"Saya masih memiliki kontrak hingga 2013, segala keputusan mengenai kedudukan saya selepas ini, saya serahkan kepada FAM. Saya masih ada tugas untuk dilaksanakan hingga 2013.

"Pasukan negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan menentang Qatar dan fokus saya tetap untuk membawa pasukan ini beraksi ke pusingan akhir Piala Asia 2015," katanya kepada pemberita di Bangkok sebelum berangkat ke Kuala Lumpur semalam.


Rajagobal berkata, beliau dijangka membuat sedikit rombakan pemain bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Kumpulan D yang membabitkan Qatar, Bahrain, Yaman dan membuat perancangan awal dengan mengatur dua perlawanan persahabatan Oktober depan.


Namun kegagalan di Piala AFF wajar diberi perhatian sebelum FAM berangan-angan menggapai impian lebih tinggi di pentas Asia.

Kekalahan agregat 1-3 kepada Thailand di peringkat separuh akhir, kelmarin membuktikan sejauh mana peningkatan skuad Harimau Malaya selepas dua tahun bergelar juara rantau Asia Tenggara.


Sememangnya keputusan pengadil dari Korea Selatan Lee Minhu yang dilihat 'berat sebelah' boleh dipertikaikan namun adakah ia keputusan tepat oleh Rajagobal mengarahkan pemain tengah Amar Rohidan mengambil posisi pertahanan tengah Mohd Fadhli Shas yang dibuang padang pada aksi separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Supachalasai kelmarin.

Pemain tengah, Mohd Faizal Muhammad hanya dimasukkan menggantikan Amar selepas gawang negara bocor dua kali dan Thailand sebenarnya beraksi lebih baik berbanding ketika seri 1-1 di Kuala Lumpur Ahad lalu dengan penguasaan bola dan percubaan bahaya biarpun Malaysia beraksi dengan 11 pemain pada babak pertama.


Sememangnya nasib tidak menyebelahi Rajagobal kerana dihimpit kecederaan pemain utama namun di manakah kedudukan pemain lain dalam skuad 22 pemain terbaiknya selepas berjaya melepasi eksperimen sebelum kejohanan ini.


Mungkin kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala AFF ini sudah boleh dibanggakan memandangkan prestasi Harimau Malaya sebelum kejohanan tidak memuaskan termasuk seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Bangladesh pada aksi persahabatan.


Tidak dinafikan jasa pemain yang berjaya merubah senario bola sepak negara selepas 'tidak bermaya' selama 20 tahun wajar dikenang tapi ia tidak bermakna ia lesen untuk seseorang pemain itu terus kekal dalam pasukan.


"Saya tidak boleh membuat rombakan drastik, saya akan menilai pemain apabila Liga Malaysia bermula tahun depan. Saya mahu membentuk skuad yang mantap kerana kelayakan Piala Asia adalah tahap lebih tinggi. Harap pemain boleh berada di prestasi terbaik sebelum perlawanan pertama menentang Qatar," kata Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Kompany rayu rakan bangkit

Posted: 14 Dec 2012 01:21 PM PST

NEWCASTLE: Kapten Manchester City, Vincent Kompany menyeru rakan sepasukan untuk mengulangi kemenangan ke atas Newcastle musim lalu sebagai tindak balas terhadap kekalahan di tangan Manchester United dalam saingan Liga Perdana.

Juara bertahan yang dibimbing Roberto Mancini bangkit dalam aksi dramatik ketika tewas 2-3 kepada skuad Alex Ferguson pada perlawanan setempat hujung minggu lalu, akan berkunjung ke St James Park dengan nada positif, hasil kemenangan ke atas pasukan tuan rumah tujuh bulan lalu ketika dimasyhurkan sebagai juara bola sepak England.


Meskipun berdepan semangat melawan Newcastle yang memburu tempat ke Liga Juara-Juara apabila musim ini berakhir pada Mei, City menang 2-0 menerusi jaringan Yaya Toure dibantu prestasi memuncak Kompany musim lalu.

City kini ketinggalan enam mata di belakang United akan ke Tyneside untuk bangkit dari kekalahan minggu lalu, selepas skuad bimbingan Ferguson menamatkan rekod tanpa kalah Liga Perdana mereka musim ini serta meleburkan rekod dua tahun tanpa kalah di Eastlands.


Kekalahan City di tangan Newcastle akan memberi peluang kepada United melebarkan pendahuluan di puncak liga kepada sembilan mata, kerana pendahulu itu dijangka menewaskan Sunderland dan Kompany sekali lagi mengingatkan pencapaian lalu kepada rakan sepasukannya.


"Adil jika saya katakan perlawanan itu hampir dilupakan, namun ia antara permainan terbaik yang kami paparkan sebagai sebuah pasukan," kata Kompany. "Kami betul-betul kukuh dan ketika menyerang, kami amat berbahaya.

"Newcastle juga memiliki segala-galanya untuk beraksi cemerlang. Mungkin kami perlu ingat untuk perlawanan Sabtu ini." Kompany mengaku langsung tidak terfikir pesaing terhebat City diberi peluang melebarkan kelebihan begitu ketara musim ini.


"Kami sedar kepentingan perlawanan ini namun saya tidak terfikir mengenai senario buruknya. Bagi saya, banyak perkara positif yang boleh berlaku jika kami menang perlawanan itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Jones lega sambung kontrak

Posted: 14 Dec 2012 01:21 PM PST

LONDON: Penjaga gol Liverpool dari Australia, Brad Jones mengaku berasa lega selepas menandatangani kontrak baru dengan kelab Liga Perdana itu, kelmarin selepas berusaha keras membuktikan dirinya masih bernilai buat pengurus Brendan Rodgers.

Jones berdepan masa depan tidak menentu di Anfield sejak ketibaan Rodgers di kelab itu Jun lalu selepas pengurus terbabit menyatakan pemain berusia 30 tahun itu tidak tersenarai dalam perancangan pasukan utamanya.


Liverpool dikaitkan dengan beberapa penjaga gol sejak beberapa bulan lalu bagaimanapun menamatkan pencarian apabila Rodgers terpikat dengan aksi ditonjolkan Jones sepanjang ketiadaan penjaga gol utama, Jose Reina yang cedera untuk menyambung kontraknya bagi tempoh yang tidak didedahkan.

"Apabila Rodgers ke sini, saya tidak pasti sama ada akan disingkir atau dikekalkan namun saya sudah buktikan betapa pentingnya saya," kata Jones. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Lampard bakal tinggalkan Blues

Posted: 14 Dec 2012 01:21 PM PST

YOKOHAMA (Jepun): Bintang Chelsea, Frank Lampard membayangkan musim ini yang terakhir untuknya bersama gergasi Liga Perdana Inggeris itu sekali gus meningkatkan lagi spekulasi kemungkinan dia berpindah ke China.

Pemain tengah antarabangsa England yang menyertai Chelsea sejak 2001 itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Super China sejak Mac lalu, malah bulan lalu Guizhou Renhe mengesahkan sudah mengadakan perbincangan dengan pemain itu.


Selepas Chelsea menewaskan Monterrey, 3-1 untuk layak ke final Piala Dunia Kelab di Jepun, Lampard berkata, pengurusan kelab belum menawarkan lanjutan kontrak yang berakhir pada Jun, demikian lapor akhbar Kyodo.

"Tiada perbincangan mengenai lanjutan," kata Lampard. "Bola kini di tangan Chelsea. Saya hanya pemain mereka.


"Pengalaman saya di sini cukup hebat. Mungkin perkara itu tidak akan diingati selama-lamanya." Lampard baru pulih dari kecederaan, dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-63 ketika menentang Monterrey. Pemain berusia 34 tahun itu berkata, dia masih boleh bersaing di peringkat tertinggi.


"Saya bukan jenis pemain yang suka memanaskan bangku simpanan. Saya mahu terbabit sama, itu karektor saya. Saya akan terus berkelakuan begitu walau apa jua halangannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


‘United tak leka’

Posted: 14 Dec 2012 01:20 PM PST

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Danny Welbeck menegaskan pasukannya tidak akan leka selepas selesa mendahului kedudukan Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan dramatik 3-2 ke atas pasukan tangga kedua, Manchester City hujung minggu lalu hasil jaringan kemenangan Robin van Persie pada masa kecederaan di Eastlands menyaksikan anak buah Alex Ferguson mendahului enam mata di puncak liga.


Kemenangan itu juga menamatkan rentetan tanpa kalah City dalam liga musim ini selain mencetus kekalahan pertama di gelanggang sendiri buat juara bertahan itu sejak Disember 2010.

Ketika City berdepan tugas getir di Newcastle, United boleh melebarkan penguasaan di puncak jika mengatasi kelab bermasalah, Sunderland di Old Trafford, malam ini.


Penyerang England, Welbeck yakin rakan sepasukan tidak akan puas hati menjelang jadual padat musim perayaan.


"Perlawanan datang dan pergi dengan pantas dan penting jika meraih rentak ketika Krismas," kata Welbeck. "Ia satu tempoh penting dan masa yang dinanti-nantikan setiap pemain.

"Kemenangan hujung minggu lalu amat menggembirakan kami. Kelebihan enam mata dan kejayaan mengatasi jiran setempat Manchester satu rangsangan hebat buat kami. Kami bagaimanapun tidak akan leka kerana setiap mata berharga." United menang empat perlawanan terakhir liga sejak kecundang 0-1 di tangan Norwich pada 17 November lalu.


Pemain sayap England, Ashley Young berazam memastikan pasukan Ferguson meneruskan rentak kemenangan sepanjang jadual musim Krismas.

"Ada banyak perlawanan perlu ditempuhi dan jika mendapat rentak, kami boleh kekalkannya hingga tahun baru," kata Young.


"Pasukan boleh keciciran mata dan selagi terus meraih mata di gelanggang sendiri dan lawan, ia pasti bagus. Kami perlu sedia dan waspada dengan cabaran ini.


"Jika boleh meraih mata pada Hari Boxing, pasti sambutan Krismas lebih meriah." United berharap Wayne Rooney boleh diturunkan selepas penyerang itu menarik diri daripada satu majlis menandatangani buku Selasa lalu kerana tidak sihat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Barry terima padah

Posted: 14 Dec 2012 01:20 PM PST

LONDON: Pemain tengah Manchester City, Gareth Barry digantung satu perlawanan kelmarin selepas bertengkar dengan pegawai perlawanan pada pertembungan jiran setempat Manchester hujung minggu lalu.

Barry, 31, mengaku bersalah terhadap dakwaan Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris dia menggunakan bahasa kasar atau menghina berikutan kekalahan 2-3 City di tangan musuh tradisi, Manchester United di Eastlands dan bintang England itu tidak akan beraksi bagi kunjungan ke Newcastle, malam ini.


"Pemain Manchester City, Gareth Barry akan menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan berkuat kuasa serta-merta selepas mengaku melanggar Peraturan E3 FA apabila menggunakan bahasa kasar atau penghinaan terhadap pegawai perlawanan ketika menentang Manchester United pada Ahad, 9 Disember 2012," menurut kenyataan FA.

"Juga sebagai sebahagian daripada penalti kerana kesalahan ini, Barry didenda �8,000 (RM39,500)." Barry dipercayai berang dengan pengadil, Martin Atkinson yang menghadiahkan sepakan percuma kepada United berikutan terjahan Carlos Tevez ke atas Rafael da Silva, insiden yang membolehkan Robin van Persie menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma itu.


Difahamkan sasaran kecaman Barry adalah pegawai keempat, Mark Clattenburg yang baru-baru ini dilepaskan daripada tuduhan meluahkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain tengah Chelsea dan Nigeria, John Obi Mikel ketika menentang United. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Gavin pamer aksi terbaik

Posted: 14 Dec 2012 01:20 PM PST

TANPA meletakkan sandaran tinggi, pemain muda negara, Gavin Kyle Green melakar kejutan di kalangan pemain golf negara apabila menonjol pada saingan Terbuka Iskandar Johor 2012 di Kelab Golf Horizon Hills, semalam.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya meletakkan dirinya di tangga kesembilan selepas mencatat lima bawah par namun ada baki enam lubang lagi sebelum menamatkan saingan pusingan kedua apabila melakukan dua bawah par 70 pada pusingan pertama biarpun beraksi bersama dua bintang golf dunia, Sergio Garcia dari Sepanyol dan pemain Afrika Selatan, Ernie Els.


"Pada awal saingan saya agak gementar dan gagal melakukan pukulan drive tepat ke green namun apabila melihat cara Sergio (Garcia, gambar) dan Ernie (Els) menghayunkan pukulan dengan teknik yang betul, saya mula perbaiki dan berjaya memperbaiki setiap hayunan.

"Ada baki enam lubang lagi sebelum menamatkan saingan pusingan kedua dan sasaran kini untuk melepasi 'cut' bagi memburu slot ke pusingan akhir. "Saya perlu tenang apabila memulakan saingan esok (hari ini) dan tidak membuat silap terutama memastikan birdie pada setiap pukulan," kata Gavin yang mencatat empat birdie pada pusingan pertama dan dua birdie di pusingan kedua yang disambung hari ini.


Saingan hari kedua kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$2 juta (RM6.2 juta) itu menyaksikan Garcia berkongsi tangga pertama bersama David Lipsky dari Amerika Syarikat yang masih belum memulakan saingan pusingan kedua selepas bintang Sepanyol itu mencatat sembilan bawah par tatkala menamatkan pusingan pertama dengan empat bawah par 68.


"Baki enam lubang lagi dan saya harus melakukan birdie pada semua lubang jika mahu mengekalkan kedudukan teratas kerana David (Lipsky) hanya memulakan saingan pusingan kedua esok (hari ini) dan sudah pasti dia akan cuba menjarakkan diri," kata Garcia.

Pemain golf dari Australia, Park Unho yang berada di tangga kedua jatuh ke tangga ketiga selepas tidak beraksi di pusingan kedua dengan catatan tujuh bawah par 65 manakala bintang golf dari Thailand, Thongchai Jaidee yang pada awalnya berada di tangga kedua terpaksa akur berkongsi tempat keempat bersama Kalle Samooja, Felipe Aguilar, Antonio Lascuna dan Kevin Na yang masih belum menamatkan pusingan kedua selepas masing-masing mencatat enam bawah par 66.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


AGM tetap akhir bulan

Posted: 14 Dec 2012 01:19 PM PST

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) akan tetap mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum 31 Disember seperti diarah Pesuruhjaya Sukan, kata Presiden, Zafarul Akhbar Kassim.

Justeru itu, beliau berkata mesyuarat exco badan induk sukan angkat berat itu dijangka diadakan minggu depan bagi menetapkan tarikh AGM.


"Banyak ahli salah faham dengan kenyataan saya sebelum ini. Mesyuarat exco memang tidak diadakan minggu lalu kerana ada beberapa mesyuarat dan perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

"Kini semuanya sudah selesai dan mesyuarat exco dijangka diadakan minggu depan. Saya akan keluarkan surat kepada ahli untuk hadir mesyuarat exco ini," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.


Kemelut dalaman PABM semakin meruncing selepas pengurusan kanan serta anggota exco badan induk itu masih tertanya-tanya tarikh sebenar untuk mengadakan AGM.


Dalam laporan akhbar Arena Metro, kelmarin, Penolong Setiausaha Kehormat PABM, Ahmad Janius Abdullah mempersoal mengenai mesyuarat exco hujung minggu lalu sepatutnya diadakan bagi membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan AGM seperti dimaklumkan Zafarul tetapi tidak berlangsung seperti ditetapkan.

Zafarul turut membidas pihak tertentu yang sengaja menimbulkan isu berkenaan sedangkan beliau sudah membuat kenyataan sebelum ini bahawa mesyuarat exco tidak akan diadakan minggu lalu.


Katanya, beliau sudah menjalankan tanggungjawab mengikut prosedur ditetapkan dan isu itu dianggap provokasi pihak tertentu untuk memberi tekanan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Juara lelaki, perempuan kongsi kedudukan

Posted: 14 Dec 2012 01:19 PM PST

BUAT kali pertama, kategori Lelaki dan Perempuan Bawah 20 Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel AmBank yang berlangsung di Kelab Golf Rahman Putra, Sungai Buloh menyaksikan juara bersama bagi kedua-dua kategori dengan pemain India, Pukhraj Singh dan Yash Jindal masing-masing berkongsi tempat pertama acara lelaki manakala pemain negara, Jolene Kam serta Nuchakorn Noonpukdee dari Thailand, berkongsi takhta perempuan.

Keseluruhan, Malaysia muncul Pasukan Terbaik selepas memenangi tiga kategori, diikuti Thailand, juga dengan tiga dan India, yang membuat penampilan pertama tahun ini, dua.


Kategori lain yang dimenangi Malaysia membabitkan Perempuan B-15 menerusi Siti Zulaikhaa Abdul Kadir dan Lelaki B-12 apabila Daeng Abdul Rahman muncul juara. Siti dan Daeng juga memenangi trofi Tan Sri Azman Hashim untuk kategori Gross Terbaik Lelaki dan Perempuan.

Sementara itu, Grand Final Golf Remaja SportExcel AmBank 2012 yang turut diadakan semalam, menyaksikan Maveen Kumar dari kelab Pulai Springs memenangi takhta Lelaki B-20 manakala bagi kategori B-15, Lucas Yee dari kelab Clearwater muncul juara. Lucas turut menjuarai Terbuka Albatross di New Delhi, India, bulan lalu. Kategori Perempuan B-20 pula menjadi milik Jolene Kam dan B-15, Siti Zulaikhaa. Bagi juara kelab keseluruhan, Kelab Rahman Putra diisytiharkan sebagai pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


Farizal minta maaf

Posted: 14 Dec 2012 01:15 PM PST

MESKIPUN beraksi cemerlang menjaga gawang skuad negara ketika bertemu Thailand kelmarin, Mohd Farizal Marlias tetap merendah diri dengan secara terbuka memohon maaf kepada semua penyokong Harimau Malaya kerana kegagalannya serta rakan sepasukan mempertahankan Piala AFF.

Kerja keras penjaga gol Negeri Sembilan itu nyata masih belum cukup untuk menafikan kemenangan Thailand apabila Farizal tewas dua kali menerusi gol mudah.


"Kepada semua peminat, saya mewakili rakan sepasukan memohon maaf dengan keputusan semalam (kelmarin). Kami sudah memberikan yang terbaik, komitmen 100 peratus tapi rezeki tidak memihak kepada kita.

"Sekali lagi saya minta maaf, benda sudah berlaku dan kami akan fokus untuk kempen kelayakan Piala Asia pula.


"Saya harap dapat sekali lagi memberikan yang terbaik pada kempen kelayakan itu nanti," katanya.


Pujian wajar diberikan kepada penjaga gawang negara itu kerana sejak diberi peluang beraksi pada perlawanan kedua saingan kumpulan bertemu Laos, Farizal tidak pernah mengecewakan pengendali skuad negara, Datuk K Rajagobal serta penyokong setia Harimau Malaya.

Mengakui sudah memberikan komitmen penuh, Farizal yang ditemui sejurus tiba dari Bangkok semalam berkata, dia kecewa dengan keputusan yang tidak memihak skuad negara kali ini.


"Memang saya kecewa sebab melepaskan gol mudah tapi apa boleh buat sebab sudah mencuba yang terbaik.

"Beraksi dengan 10 pemain serta faktor pengadilan adalah antara penyebab kekalahan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15


No comments:

Post a Comment