Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mahu senjata lawan senjata

Posted: 22 Dec 2012 01:48 PM PST

WASHINGTON: Kumpulan pelobi senjata berpengaruh di AS semalam menggesa polis lengkap bersenjata ditempatkan di semua sekolah sebagai reaksi serangan kejam meragut 27 nyawa di Newtown minggu lalu.

Ketua Eksekutif Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA), Wayne LaPierre, berkata cubaan menjauhkan senjata api dari sekolah tidak berkesan, malah menjadikan institusi pembelajaran itu lebih terdedah kepada bahaya berbanding lapangan terbang, bank serta bangunan awam lain yang dikawal. "Satu-satunya tindakan yang boleh menghalang penjahat bersenjata api adalah individu baik yang dilengkapi senjata api," katanya di sidang media.


Minggu lalu, 20 kanak-kanak di Sekolah Rendah Sandy Hook, Connecticut, dan enam orang dewasa maut selepas ditembak Adam Lanza yang mengamuk secara tiba-tiba.

Adam, 20, tiba ke sekolah itu membawa pelbagai jenis senjata api, termasuk raifal berkeupayaan tinggi.


LaPierre berkata, pihak berkuasa perlu memastikan semua sekolah dikawal anggota polis bersenjata apabila sesi persekolahan bersambung selepas cuti Krismas Januari depan.


"Adakah sesiapa yang benar-benar yakin bahawa Adam Lanza seterusnya tidak merancang serangan ke atas sebuah sekolah yang dikenal pasti pada detik ini?" katanya.

Sementara itu, tragedi di Newtown itu kian dikenang apabila seorang lelaki bersenjata pistol menembak mati tiga mangsa di Frankstown Township, Pennsylvania, sebelum dia dibunuh polis ketika melarikan diri menaiki sebuah lori pikap, semalam Tiga anggota keselamatan Pennsylvania turut cedera dalam usaha mereka menahan lelaki terbabit.


Sehingga petang semalam, polis masih mencari motif serangan berkenaan. Jurucakap polis berkata, mereka tidak yakin kejadian itu berpunca daripada pergaduhan domestik.

"Tetapi kami juga tidak tahu motif sebenar kerana suspek tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana mangsa terbabit," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Penunjuk perasaan antirogol digempur polis

Posted: 22 Dec 2012 01:43 PM PST

NEW DELHI: Polis India semalam menggempur penunjuk perasaan yang menuntut supaya golongan wanita negara itu diberi perlindungan lebih baik, semalam.

Polis melepaskan gas pemedih mata, memukul dan menyembur air bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pintu India di tengah New Delhi sebelum cuba berarak ke Istana Presiden.


Tunjuk perasaan yang masuk hari keenam semalam mendesak "keadilan" diberikan kepada mangsa serangan seksual ketika seorang daripada mangsa rogol berusia 23 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital. Minggu lalu, enam lelaki mabuk menaiki bas sebelum mereka menyerang seorang mahasiswa fisioterapi serta temannya yang berusia 28 tahun.

Gadis terbabit kemudian dirogol bergilir-gilir sebelum mangsa dan rakannya dicampak keluar dari kenderaan berkenaan. Sebelum dirogol, mangsa diserang dengan batang besi, menyebabkan dia mengalami kecederaan dalaman yang serius. Polis dipanggil ekoran sebahagian penunjuk perasaan mula melontar batu. Kekecohan berlaku sebaik saja penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan dan berarah ke Istana Presiden. Doktor di hospital pula berkata, wanita mangsa rogol itu masih kritikal tetapi keadaannya stabil.


Doktor berkata, mangsa tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan hayat dan sangat optimis dia akan selamat. Data kerajaan menunjukkan, jumlah kes rogol di New Delhi meningkat 17 peratus dari 2011 kepada 661 tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


100 warga China guna Internet perdaya rakan senegara diberkas

Posted: 22 Dec 2012 01:43 PM PST

COLOMBO: Polis Sri Lanka menahan 100 warga China kerana terbabit dalam penipuan wang melalui Internet, kata pihak berkuasa semalam.

Pegawai kanan polis, Prishantha Jayakodi, suspek ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Colombo malam kelmarin. Katanya, sindiket itu memperdaya warga China sehingga mereka percaya dan memindahkan wang ke akaun diurus suspek di Sri Lanka. "Seramai 74 lelaki dan 26 wanita ditahan di kediaman mereka di Colombo atau kawasan sekitarnya selepas mendapat perintah mahkamah," katanya.


Ribuan warga China bekerja di pelbagai projek pembangunan ditaja Beijing di seluruh Sri Lanka.

Kebanyakan mereka tiba menggunakan visa pelancong dan bekerja dalam industri perhotelan dan restoran.


Jayakodi berkata, penipuan itu dijalankan di Sri Lanka menggunakan Internet. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Iran janji bantu pelarian

Posted: 22 Dec 2012 01:42 PM PST

DUBAI: Iran merancang menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang berlindung di kem pelarian Syria selepas kawasan itu ditawan pejuang antikerajaan baru-baru ini.

Duta Iran ke Syria, Mohammad Reza Sheibani, berkata bantuan itu akan dihantar ke Yarmouk yang terletak tidak jauh dari Damsyik.


"Kementerian Luar Iran dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah akan menghantar bantuan kemanusiaan itu ke Yarmouk," katanya, semalam.

Namun, Mohammad Reza tidak menyatakan bila bantuan berkanan akan mula dihantar. Yarmouk menjadi satu daripada medan perang terbaru dalam pertikaian politik Syria dan menjadi sasaran serangan tentera kerajaan.


Awal minggu lalu, pejuang menguasai kem pelarian di Yarmouk yang padat dengan pelarian Palestin serta penduduk Syria. Menurut kumpulan penentang kerajaan Syria, mereka sedang menjalankan rundingan untuk menyerahkan semula kem pelarian itu kepada pejuang anti-Bashar al-Assad yang berasal dari Palestin. Kira-kira 500,000 warga Palestin dan keturunan mereka menjadi penduduk Syria ketika ini.


Bagaimanapun, tidak semua mengambil sikap menentang Bashar.

Sebahagian daripada mereka menjadi penyokong Presiden Syria dalam pertikaian yang berlaku kini.


Iran adalah antara negara penyokong kuat Bashar sejak sebahagian daripada rakyat Syria bangkit dalam cubaan menggulingkan presiden berkenaan 21 bulan lalu. Pada masa sama, Iran adalah antara negara yang kuat memperjuangkan nasib Palestin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Jurukamera TV kerajaan ditembak ‘pengganas’

Posted: 22 Dec 2012 01:42 PM PST

DAMSYIK: Seorang jurukamera yang bertugas untuk stesen televisyen kerajaan ditembak mati di luar rumahnya di Damsyik, lapor media semalam.

Kakitangan stesen Syrian Arab Television, Haidar al-Sumudi, diserang sekumpulan lelaki bersenjata di kawasan kediaman di Kfar Sousa.


Stesen itu melaporkan, seorang itu dijalankan kumpulan "pengganas" tetapi tidak menyatakan secara jelas bila kejadian berlaku.

Sebelum ini sekurang-kurangnya 17 wartawan dan 44 wartawan sambilan dibunuh sejak Syria dilanda konflik Mac tahun lalu.


Pertubuhan pemantau media antarabangsa, Reporters Without Borders, melaporkan angka itu adalah data terbaru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


Lelaki hina al-Quran dibakar di luar balai polis

Posted: 22 Dec 2012 01:41 PM PST

HYDERABAD: Orang ramai menyerbu sebuah balai polis dan membakar seorang lelaki hidup-hidup kerana menghina al-Quran, kata polis semalam.

Lelaki terbabit dikatakan seorang pengembara bermalam di sebuah masjid di Seeta, wilayah Sindh, malam Khamis lalu.


Keesokan harinya, penduduk kampung itu gempar apabila mendapati al-Quran di masjid berkenaan musnah dibakar. Seorang imam berkata, lelaki terbabit bermalam sendirian di masjid berkenaan. Pegawai Polis Daerah Dadu, Usman Ghani, berkata orang ramai membelasah lelaki terbabit sebelum menyerahkannya kepada polis.

"Beberapa jam kemudian, kira-kira 200 orang menyerbu balai polis yang menahan lelaki itu dan mengheretnya keluar sebelum mereka membakarnya," katanya.


Menurut Usman, 30 orang ditahan atas kesalahan membunuh, manakala tujuh anggota polis ditahan kerana disyaki cuai. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


6 banduan jalani hukuman mati

Posted: 22 Dec 2012 01:40 PM PST

TAIPEI: Pihak berkuasa menjalankan hukuman mati ke atas enam banduan dalam tindakan pertama seumpamanya bagi tempoh hampir dua tahun.

Menteri Keadilan Taiwan, Tseng Yung-fu, menandatangani perintah pelaksanaan hukuman itu pada Khamis.


Kenyataan dikeluarkan kerajaan Taiwan berkata, hukuman mati ke atas pesalah itu dijalankan pada Jumaat.

"Mereka disabitkan pelbagai kesalahan berat, seperti menculik dan membunuh," katanya. Pelaksanaan hukuman itu dijalankan serentak di empat penjara berasingan di Taiwan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan bagaimana hukuman itu dijalankan. Kali terakhir Taiwan melaksanakan hukuman mati ialah pada pada Mac 2011 membabitkan lima pesalah.


Pihak berkuasa mengambil langkah amat berhati-hati melaksanakan hukuman itu ekoran tekanan semakin kuat daripada kumpulan penentang hukuman mati tempatan serta antarabangsa yang menuntut undang-undang berkenaan dihapuskan. Namun, pembunuhan kejam seorang budak lelaki di arked video bulan ini mencetuskan gesaan orang awam supaya hukuman keras dikenakan bagi mengekang keganasan. Seorang penganggur berusia 29 tahun didakwa atas pembunuhan itu.


Tertuduh berkata, seseorang pembunuh tidak akan dihukum mati dengan hanya membunuh satu atau dua orang, sebaliknya "boleh mendapat makanan percuma dalam penjara." - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/23


No comments:

Post a Comment