Harian Metro: MetroPlus

Harian Metro: MetroPlus


Rumah merekah

Posted: 20 Dec 2012 01:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Hampir setiap malam sembilan pemilik tanah di Kampung Pindah, di sini, tidak lena tidur memikirkan risiko kejadian tanah mendap di rumah mereka berikutan kejadian terowong 'meletup' di situ dua tahun lalu.

Sejak kejadian itu sembilan pemilik tanah terbabit masih tidak mendapat pampasan di sebalik kerosakan rumah serta kerugian dialami mereka.

Penduduk, Sulaiman Hassan, 50, berkata, pihaknya difahamkan berdasarkan kajian dilakukan, masalah itu berpunca daripada terowong Sungai Bunus yang dibina di bawah perumahan mereka tidak diselenggara sehingga ia tersumbat.

"Kemuncak masalah itu berlaku apabila terowong itu tidak dapat menampung tekanan pecah menyebabkan rumah di sini rosak teruk dan struktur tanah tidak stabil.


"Sehingga kini, belum ada penyelesaian muktamad diambil pihak berkuasa.

Mereka mahu kami berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas bagi membolehkan mereka membaiki terowong itu tanpa memberi pampasan," katanya.

Menurut Sulaiman, penduduk menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda selain hilang punca pendapatan rumah sewa memandangkan penyewa berpindah keluar selepas insiden itu.

Menyingkap kembali sejarah terowong itu, Osman Kasmadi, 75, berkata, penduduk diminta berpindah ke tempat lain bagi membolehkan pembinaannya dilakukan pada 1969.

"Ketika itu, kami difahamkan pembinaan terowong itu bertujuan mengatasi banjir yang kerap melanda kampung bersebelahan.

"Walaupun tiada hitam putih antara penduduk dan kontraktor, atas dasar persaudaraan dan ingin membantu penduduk kampung lain kami membenarkan pembinaan terowong itu, sebelum membina semula rumah penduduk.

"Saya masih ingat bagaimana kontraktor terbabit meyakinkan kami terowong itu mampu bertahan 100 tahun, tetapi tidak membenarkan pembinaan rumah konkrit di atas tapak itu, walaupun ia masih tanah kami," katanya.

Beliau yang kecewa dengan keadaan itu, berharap pemilik tanah mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa kerana masalah itu berpunca daripada penduduk.

"Kami membenarkan terowong itu dibina, tetapi apabila masalah ini berlaku, tiada pihak membantu kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Terowong Sungai Bunus, Kampung Pindah, Zainal Frederick berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangani masalah penduduk dengan lebih berkesan.

"Menurut laporan Institut Latihan dan Penyelidikan Jabatan Kerja Raya Malaysia (Ikram), kawasan ini tidak selamat diduduki.

"Disebabkan kelalaian JPS dan DBKL yang tidak menyelenggara terowong berkenaan selain jangka hayatnya yang sudah tamat tempoh antara punca masalah ini berlaku.

"Mengikut perancangan DBKL, kami akan dipindahkan ke PPR Air Panas, tetapi sehingga kini tiada hitam putih mengenai perpindahan itu.

"Malah kami juga tidak menerima sebarang pampasan atau ganti rugi walaupun masalah ini sudah berlaku dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Lubang maut

Posted: 20 Dec 2012 01:32 PM PST

ALOR GAJAH: Penduduk di Lorong 19, Taman Seri Aman, Masjid Tanah, di sini, bimbang apabila jalan di belakang rumah mereka semakin rosak akibat tanah mendap sejak dua tahun lalu yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Mereka mendakwa, jalan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa sehingga membahayakan pengguna.

Penduduk, Zaweah Harun, 53, berkata, mereka terpaksa meletakkan barangan terpakai bagi menutup lubang di jalan yang rosak itu sebagai peringatan kepada pengguna.

"Jalan di sini banyak yang sudah berlubang kerana tanah mendap. Kalau kenderaan melaluinya, ia pasti tidak dapat menampung berat kenderaan itu.


"Saya sangat bimbang kerana pada mulanya hanya satu lubang terbentuk, tetapi kini ia merebak ke tempat lain.


"Jika dilihat pada jalan ini hanya tinggal tar menutupi bahagian atas manakala di bawahnya sudah mendap," katanya.

Menurut Zaweah, penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, lebih membimbangkan penduduk jika masalah itu dibiarkan berlarutan, mendapan itu menjadi semakin teruk dan penduduk semakin terancam.

"Ketika ini tiada kemalangan berlaku namun kalau dibiarkan, tidak mustahil lubang terbabit memberi musibah kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norizan Meor Omar, 43, berkata, ada ketikanya penduduk terpaksa menggunakan jalan belakang kerana bimbangkan keselamatan ketika melalui laluan mendap itu.

"Jika ada majlis perkahwinan atau aktiviti lain, jalan di bahagian hadapan tidak boleh digunakan dan penduduk akan menggunakan laluan belakang.

"Penduduk di sini sudah tahu keadaan jalan ini, namun masalah timbul kepada orang luar," katanya.

Menurutnya, dia bimbang setiap kali kenderaan lalu jalan berkenaan kerana mereka terdedah bahaya terjerumus ke dalam jalan yang mendap itu.

Penduduk lain, Surina Abd Aziz, 46, berkata, dia bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang bermain berhampiran jalan mendap itu.

"Saya bimbang apabila mereka berhampiran dengan jalan mendap itu. Malah, jalan terbabit sudah tidak stabil dan boleh runtuh pada bila-bila masa.

"Pihak berkenaan diharapkan segera membaiki dan menurap jalan itu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah berkata, beliau akan menghantar pegawainya ke taman berkenaan untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Mendekati masyarakat

Posted: 20 Dec 2012 01:27 PM PST

ALOR GAJAH: Program Merakyatkan Seni dan Budaya (PMSB) Air Tangan Kita mendekatkan masyarakat umum khususnya penduduk luar bandar dengan kegiatan seni budaya.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rembia itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.


Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Norpipah Abdol.

Pelbagai program lain seperti sukan tradisional dan senam seni turut diadakan.


Norpipah berkata, realitinya 'air tangan' bukan hanya ada pada kerja memasak, malah terdapat dalam setiap jenis pekerjaan.


Katanya, ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga ke buruh kasar.

"Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia.


"Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya," katanya ketika ditemui pada program itu baru-baru ini. Hadir sama, Penyelaras Projek, Razein Ahmad dan Pengerusi JKKK Rembia, Isa Bidin dan Timbalan Pengarah JKKN Melaka, Zubariah Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


500,000 dijangka hadir karnival

Posted: 20 Dec 2012 01:26 PM PST

SHAH ALAM: Lebih 500,000 dijangka menghadiri Karnival Sayangi Selangor yang akan berlangsung selama tiga hari di i-City, di sini, bermula 29 Disember ini.

Selain pelbagai program khusus untuk golongan muda, karnival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk kegiatan riadah seisi keluarga termasuk permainan air, persembahan tarian dan kebudayaan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.


Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata aktiviti lain termasuk pertandingan memasak, bayi merangkak, bintang kecil dan pertandingan pakaian muslimah, cheongsam serta sari.

"Terdapat juga pameran daripada agensi kerajaan dan pameran kerjaya daripada badan korporat dan swasta," katanya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Hijaukan bumi kita

Posted: 20 Dec 2012 01:26 PM PST

KUALA PILAH: Seramai 120 peserta daripada kalangan Ahli Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) Seremban dan pelajar Universiti Al-Madinah Cawangan Shah Alam menjayakan aktiviti menanam pokok sempena kempen alam sekitar di Hutan Lipur Ulu Bendol (HLUB), dekat sini, baru-baru ini.

Program anjuran PBDB dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan itu adalah sebahagian aktiviti Remaja Perdana Rakan Muda yang disokong Kementerian Belia dan Sukan.


Pengerusi PBDB, Zaharuddin Abd Majid berkata, selain aktiviti menanam 150 pokok, peserta turut bergotong-royong membersihkan kawasan hutan lipur berkenaan selain Taman Ular Sawa terletak berhampiran.

Katanya, program itu mendedahkan golongan remaja dan belia kepentingan memulihara alam sekitar selain menyemai rasa sayang dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.


"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili golongan muda, PBDB berharap menerusi aktiviti seperti ini dapat membantu agensi kerajaan berkaitan, sama-sama memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara.


"PBDB akan terus berusaha menarik lebih ramai remaja dan golongan belia menyertai aktiviti seperti ini pada masa depan bagi memastikan kempen hijau yang disaran kerajaan dapat direalisasikan sepenuhnya," katanya selepas majlis perasmian penutup program yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Terdahulu, Abdul Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, memuji usaha PDBD kerana berjaya menarik penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan berharap program diteruskan dari semasa ke semasa dengan penyertaan lebih ramai anggota masyarakat.


Beliau berkata, HLUB antara destinasi pelancongan terkenal di negeri ini apabila dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negeri dan sewajarnya kebersihannya dijaga.

"Saya yakin menerusi program ini bukan saja memupuk semangat cintakan alam sekitar dan kebersihan di kalangan golongan belia tetapi juga dapat menjaga imej hutan lipur ini yang sering dikunjungi orang ramai serta pelancong.


"Program ini juga dapat mengetengahkan fungsi Jabatan Perhutanan kepada golongan belia dalam memelihara dan menguruskan hutan serta kepentingan alam sekitar kepada kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Tiang himpit selekoh

Posted: 20 Dec 2012 01:25 PM PST

SERI ISKANDAR: Penduduk kampung berhampiran Felcra Nasaruddin Belia, di sini, bimbang berikutan kewujudan beberapa tiang elektrik yang didakwa terlalu hampir dengan jalan utama.

Seorang penduduk, Mohd Yusof Mat Hussein, 51, berkata, jalan berkenaan mempunyai selekoh tajam dan pemandu yang melalui kawasan itu terdedah bahaya terutama ketika hujan lebat.


"Jika hilang kawalan, pengguna jalan raya melanggar tiang berkenaan. Ini membahayakan keselamatan mereka," katanya.

Menurutnya, jalan itu adalah laluan utama penduduk keluar masuk ke Felcra Nasaruddin menyebabkan kedudukan tiang elektrik itu perlu diubah ke tempat yang lebih sesuai.


"Jalan ini adalah jalan utama dan sentiasa menjadi laluan pelbagai kenderaan termasuk lori yang membawa muatan sawit.


"Kedudukan tiang yang terlalu hampir dengan jalan itu mengundang bahaya apabila ada yang cuba mengelak dan memasuki jalan bertentangan," katanya.

Katanya, keadaan itu makin membimbangkan apabila waktu malam terutama kepada pemandu motosikal.


"Jalan ini berselekoh dan apabila hari hujan ia agak membahayakan berikutan boleh berlaku pelanggaran dengan tiang elektrik berkenaan jika tergelincir.

"Perkara ini tidak harus dipandang remeh kerana membabitkan isu keselamatan penduduk," katanya.


Sehubungan itu, katanya, pihak berkaitan perlu mengambil inisiatif mengalihkan tiang berkenaan lebih jauh daripada jalan raya.


"Kami berharap tiang ini dapat dialihkan dengan segera kerana boleh mengundang bahaya kepada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


‘Singapore Street’ serba ada

Posted: 13 Dec 2012 11:30 AM PST

SEREMBAN: Kedudukannya hanya terletak pada laluan kira-kira 100 meter panjang tetapi ia begitu popular bukan saja dalam kalangan penduduk di negeri ini, malah negeri berhampiran kerana keunikannya menjual 1001 barangan keperluan harian pada harga rendah dan munasabah.

'Singapore Street' yang terletak di tengah-tengah bandar ini begitu unik kerana deretan 14 kedai lama itu menjual aneka barangan termasuk keperluan harian yang dijual secara runcit dan borong hingga menyebabkan ia bagaikan sebuah pusat beli-belah.

Antaranya alat tulis, barangan plastik, aluminium, pinggan mangkuk, percetakan, barangan elektrik, barang mainan, permainan komputer, alat perhiasan diri dan ringkasnya semua barangan terdapat di situ termasuk keperluan untuk semua bangsa.

Singapore Street dikatakan dibuka sebelum Perang Dunia Kedua, malah ada premis di situ yang mencecah usia seabad.


Lokasinya terletak di belakang Wisma Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan iaitu bangunan kedua tertinggi selepas Wisma MAA di bandar ini.


Dengan harga dikenakan lebih murah berbanding di premis lain, Singapore Street bukan saja menjadi tumpuan peniaga kecil, pasar malam malah suri rumah tangga.

Disebabkan bekalan yang pelbagai, pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai bangsa, tidak kira had umur, yang kecil, tua dan muda, setiap hari tertumpu di premis perniagaan di situ bagi mendapatkan barangan yang mereka inginkan.

Walaupun banyak pusat beli-belah moden dibina di bandar ini, Singapore Street tetap menjadi pilihan orang ramai lantaran pelbagai barangan yang mudah diperoleh di situ, hingga ada kalanya peniaga di situ tidak cukup tangan melayani pelanggan.

"Kita tidak perlu bersusah payah buat pasport untuk perjalanan jauh ke Singapura. Di Seremban pun ada," adalah antara ungkapan masyarakat tempatan mengenai Singapore Street yang terletak di Jalan Siow Loong Hin.

Peniaga barangan runcit, Kong Pan Seong, 60, mengakui Singapore Street menjadi tumpuan namun tidak ramai yang mengetahui sejarah bagaimana tempat itu dinamakan begitu rupa.

Dia yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu, berkata suatu ketika dulu banyak lori yang datang memunggah barangan perdagangan di situ dari Singapura hingga menyebabkan masyarakat setempat menamakan kawasan itu Singapore Street kerana kesibukannya.

"Saya difahamkan kedai di sini sudah wujud lebih 100 tahun. Keunikan kawasan ini kerana ia menawarkan 1001 barangan keperluan. Sikap semua peniaga di sini melayani pelanggan dengan baik dan sama rata tanpa mengira kaum menyebabkan orang ramai sukan berbelanja.

"Tidak hairanlah, Singapore Street sangat sibuk setiap hari, malah bertambah sibuk ketika masyarakat majmuk di negara ini bakal menyambut perayaan masing-masing, tidak kira hari raya, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali dan Krismas kerana kadangkala pelancong asing juga turut membeli barangan di sini.

"Kalau cuti sekolah pun sibuk juga, tapi musim perayaan banyak orang datang cari bekalan tepung dan bahan untuk membuat kuih selain barangan plastik," katanya.

Kong berkata, walaupun jalan itu ditukar nama kepada Jalan Siow Loong Hin mulai 1970-an bersempena dengan nama seorang tokoh tempatan, kebanyakan penduduk setempat lebih mengenali Singapore Street.

Seorang lagi peniaga, Zuliawati Abdullah, 38, dari Pedas, Rembau, berkata semua barangan perniagaannya dibeli di Singapore Street kerana harganya lebih murah berbanding di tempat lain.

Dia yang menjalankan perniagaan makanan ringan sejak lebih 20 tahun lalu, mengakui Singapore Street menjadi pilihannya kerana semua barangan yang diperlukan terdapat di situ.

"Saya mengambil stok secara pukal dari kedai di kawasan ini sejak lebih 20 tahun lalu kerana perbezaan harga yang sedikit memberi keuntungan kepada saya.

"Murah sangat tidaklah, tapi kita dapat jimat 20 hingga 50 sen bagi satu produk makanan ringan. Itu sudah mencukupi," katanya ketika memilih pelbagai barangan makanan ringan pelbagai jenama dari sebuah kedai di Singapore Street.

Bagi Noriati Mohd Shah, 55, dari Ampangan berkata, walaupun dia bukan seorang peniaga, tetapi Singapore Street sering kali dikunjunginya untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan rumah kerana harga di situ boleh melakukan tawar menawar.

Menurutnya, ada kalangan peniaga yang boleh bertolak ansur dari segi harga, bagaimanapun bagi barangan yang tidak boleh ditawar, harganya masih dianggap rendah.

"Saya suka membeli barangan di sini kerana mudah diperoleh disebabkan hampir semua barangan termasuk tradisional seperti tudung saji rotan, periuk, termos air, kerusi, payung dan pelbagai alat mainan kanak-kanak ada dijual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


Tak sabar tunggu surau baru

Posted: 13 Dec 2012 11:25 AM PST

SHAH ALAM: Penduduk Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16, di sini, gembira kerana bakal menerima sebuah surau bernilai RM500,000 dalam tempoh kurang empat bulan lagi.

Penduduk, Solahan Suratman, 50, berkata, penduduk tidak sabar untuk menerima surau berkenaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan membina surau sewaktu majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Rimba Jaya, 13 Januari lalu.


"Selepas Perdana Menteri berjanji memberi dana membina surau yang lebih luas dan selesa, pada awal tahun ini kami semua sangat teruja dan tidak sabar. Semua janji beliau sudah tertunai dan keperluan golongan rakyat tidak dipinggirkan di kawasan ini.

"Mulai tahun depan, penduduk di sini tidak perlu lagi bersesak menunaikan solat dan boleh mengadakan majlis keagamaan di surau sedia ada di bawah pangsapuri ini," katanya pada majlis perasmian pembinaan surau terbabit, baru-baru ini.


Turut hadir Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin; Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Zulkurnain Md Roslan dan Imam Satu Surau Al-Hijrah, Basar Atan.


Surau yang dikenali Surau Al-Hijrah itu boleh memuatkan lebih 400 jemaah dalam sesuatu masa.

Sementara itu, Ahmad Nawawi berkata, surau terbabit juga akan menerima sumbangan berbentuk bahan ilmiah dari pihak Yayasan Al-Bukhary bagi memudahkan penduduk setempat mendalami ilmu Islam.


"Dengan pembinaan surau ini, penduduk boleh mengeratkan silaturahim serta menambahkan lagi ilmu dengan menggunakan bahan ilmiah yang disumbangkan.

"Saya berharap dengan siapnya surau ini kelak, ia tidak dijadikan medan untuk berpolitik dan saya menyeru kepada ahli kariah untuk sama-sama mengimarahkan surau baru ini kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14


No comments:

Post a Comment