Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Raja ‘saintis’ kekal

Posted: 18 Dec 2012 08:05 AM PST

KEGAGALAN mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 belum cukup untuk menggugat kedudukan Datuk K Rajagobal selaku ketua jurulatih kebangsaan apabila beliau terus diberi mandat membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.

Perkara ini diputuskan pada satu mesyuarat yang dipengerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bersama Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad dan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal.


"Satu mesyuarat sudah dijalankan pagi tadi (semalam) dan hasil daripada mesyuarat itu, Rajagobal dikekalkan hingga kontraknya tamat Disember 2013. Ini satu berita gembira untuk pasukan kebangsaan," menurut sumber dalaman FAM.

Keputusan yang dicapai itu sekali gus melenyapkan spekulasi mengenai pemecatan Rajagobal, 56, selepas kredibilitinya dipertikai ramai pihak berikutan kegagalan skuad kebangsaan mara ke final Piala AFF apabila tumpas dengan agregat 1-3 di tangan Thailand pada separuh akhir minggu lalu.


Kegagalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati peminat tempatan memandangkan prestasi Harimau Malaya tampak merosot dalam tempoh dua tahun selepas bergelar juara Asia Tenggara apabila tersingkir di pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan juga ranking yang jatuh merundum.


Ada pihak menyarankan agar tugas membimbing Harimau Malaya diserahkan kepada jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee namun dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat yang dirahsiakan pihak FAM itu semalam, ia sekali gus menjawab segala persoalan berhubung kedudukan Rajagobal.

Difahamkan keputusan FAM itu didorong faktor kejayaan lampau Rajagobal yang membantu Malaysia menamatkan penantian 20 tahun negara dengan memenangi pingat emas Sukan Sea Laos dan kejuaraan pertama Piala AFF 2010 di Jakarta.


Malah bagi badan induk bola sepak tanah air itu, kekalahan kepada pasukan hebat seperti Thailand bukanlah satu kegagalan, tambahan pula dengan masalah kecederaan pemain yang dihadapi Rajagobal pada perlawanan itu.

Subahan yang juga Naib Presiden FAM sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Rajagobal untuk terus mengendalikan skuad kebangsaan meskipun misi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia dilihat lebih sukar berbanding mempertahankan kejuaraan Asia Tenggara ini.


Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia menentang Qatar pada 6 Februari sebelum bertemu Yaman dan Bahrain dalam saingan Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Hammam umum lepas jawatan

Posted: 18 Dec 2012 08:01 AM PST

PARIS: Mohamed Hammam mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Fifa dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Beliau menegaskan menerusi kiriman e-mel sudah meletak jawatan 10 hari lalu selepas Jawatankuasa Etika Fifa membuka siasatan baru tuduhan rasuah terhadapnya.


Fifa memberi tindak balas terhadap kenyataan Hammam dengan berkata, sudah menerima surat peletakan jawatan itu namun menegaskan, jawatankuasa terbabit tetap mengadili individu yang dituduh 'meskipun sudah meletak jawatan'.

Atas dasar itu juga, Fifa berkata, laporan itu menunjukkan "berlaku ulangan pelanggaran Perkara 19 (Konflik Kepentingan) Kod Etika Fifa, edisi 2012, merujuk kepada tindakan Mohamed Hammam semasa memegang jawatan Presiden AFC dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Fifa 2008-2011 yang mewajarkan penggantungan sepanjang hayat terhadapnya daripada semua aktiviti membabitkan bola sepak." Hammam, 63, dari Qatar dituduh cuba membeli undi untuk mendapatkan jawatan tertinggi Fifa pada 2011 hingga digantung Fifa daripada semua aktiviti bola sepak.


Penggantungan itu bagaimanapun disekat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berpangkalan di Lausanne pada Julai kerana kekurangan bukti.


Hammam yang masih digantung sementara ketika ini medakwa sudah bosan dengan dakwaan yang direka-reka itu.

"Bagi saya, keputusan CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) menunjukkan Fifa tidak cukup bukti yang kukuh," kata Hammam.


"Keputusan ini juga sudah disahkan Mahkamah Siasatan bagi Jawatankuasa Etika Fifa yang gagal mengemukakan bukti baru biarpun sudah melabur jutaan dolar untuk siasatan itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Gol Molina julang Betis

Posted: 18 Dec 2012 08:01 AM PST

MADRID: Jorge Molina membawa Real Betis hampir ke kedudukan empat teratas La Liga dengan jaringan tunggalnya ketika menang 1-0 ke atas Celta Vigo, kelmarin.

Penyerang itu berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan sebelum merembat leret ke penjuru gawang sembilan minit sebelum tamat permainan.


Penjaga gol Betis, Adrian juga menjadi penyelamat pasukan apabila menghalang tandukan Mario Bermejo di atas garisan gol pada minit terakhir perlawanan manakala rembatan susulan Bermejo tersasar pada masa tambahan.

Pasukan dari Andalusia itu menduduki tempat kelima dengan 28 mata ketinggalan dengan perbezaan jaringan dengan Malaga tapi 18 mata di belakang pendahulu, Barcelona.


Barca yang belum tewas, membelasah pesaing terdekat Atletico Madrid, 4-1 di Nou Camp dengan dua gol sumbangan Lionel Messi membolehkan mereka menjarakkan kedudukan kepada sembilan mata dan 13 mata di depan juara bertahan Real Madrid yang terikat 2-2 dengan Espanyol.


Perlawanan lain menyaksikan Deportivo La Coruna kekal di kedudukan tercorot dengan 12 mata selepas diikat Valladolid, 0-0. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Song cabar dua bintang Ivory Coast

Posted: 18 Dec 2012 08:00 AM PST

ACCRA: Ivory Coast berada di kedudukan kukuh untuk meraih Anugerah Terbaik Tahunan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) selepas dua bintangnya yang pernah memenangi anugerah sebelum ini dicalonkan bersama pemain tengah Cameroon.

Finalis dalam kategori paling berprestij itu adalah pemain Shanghai Shenhua, Didier Drogba, Yaya Toure dari Manchester City dan pemain tengah Barcelona, Alexandre Song dengan acara gilang gemilang itu berlangsung di Accra.


Pemain tengah, Toure, 29, adalah penyandang anugerah itu sementara Drogba, 34, menang dua kali sebelum ini. Kemenangan kali ketiga akan membolehkan dia menghampiri rekod Samuel Eto'o dari Cameroon yang memenangi empat trofi.

Kemenangan Drogba juga akan menjadi rekod baru anugerah terbabit yang diperkenal pada 1993, iaitu dua pemain berbeza dari negara sama memenangi anugerah dua tahun berturut-turut.


Song, 25, dicalonkan buat kali pertama berpeluang memecah dominasi Ivory Coast selepas menunjukkan aksi cemerlang bersama Arsenal sebelum berpindah ke Barcelona.


Bagaimanapun dua pemain Ivory itu memiliki kelebihan dengan aksi mantap sejak 12 bulan lalu.

Drogba membantu Chelsea muncul juara Liga Juara-Juara selain berada dalam pasukan kebangsaan yang tewas tipis pada final Piala Negara-Negara Afrika.


Toure pula menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City selain cemerlang dalam kejohanan Negara-Negara Afrika. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Lupa memori pahit

Posted: 18 Dec 2012 07:59 AM PST

LEEDS: Rafael Benitez mahu skuad bintang Chelsea melupakan memori pahit tumpas pada final Piala Kelab Dunia dengan bangkit menjinakkan Leeds United pada perlawanan suku akhir Piala Liga, awal pagi esok.

Skuad kendalian Benitez kembali dari Jepun 48 jam sebelum berkunjung ke Elland Road selepas tewas kepada kelab dari Brazil, Corinthians pada perlawanan akhir Piala Kelab Dunia, Ahad lalu.


Chelsea sebelum itu tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara dan tewas dalam perebutan Perisai Komuniti di tangan Manchester City Ogos lalu ketika Roberto Di Matteo masih menjadi pengurus.

Bagi pengurus sementara Chelsea, Benitez yang menyaksikan pasukannya ketinggalan 13 mata kepada pendahulu Liga Perdana, Manchester United, Piala Liga dianggap peluang terbaik merangkul gelaran musim ini memandangkan hanya Swansea, Aston Villa dan pasukan Liga Dua, Bradford layak ke separuh akhir.


"Saya sudah katakan sebelum ini, kami mempunyai lima piala untuk diburu, sekarang tinggal empat," kata Benitez.


"Kami kembali, bermain menentang Leeds dalam Piala Liga dan kemudian Aston Villa hujung minggu ini dan kami perlu menguatkan mental. Kami perlu sedia menghadapi cabaran seterusnya." Pemain tengah Chelsea dari Sepanyol, Juan Mata berharap pasukannya mengembalikan kegembiraan penyokong selepas keputusan kurang memberangsangkan sejak beberapa bulan lalu dengan mencatat kemenangan ke atas musuh lama, Leeds.

"Saya harap kami boleh menikmati saat menggembirakan dengan menjulang lebih banyak trofi buat kelab dan untuk anda," katanya.


"Kami masih bersaing merebut empat piala dan kami akan memberikan aksi terbaik untuk memenangi semua piala itu." Benitez akan melakukan rombakan bagi perlawanan menentang Leeds apabila John Obi Mikel, Ramires dan Gary Cahill menjalani penggantungan perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Fellaini digantung tiga perlawanan

Posted: 18 Dec 2012 07:59 AM PST

LONDON: Pemain tengah Everton, Marouane Fellaini digantung tiga perlawanan semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menanduk muka pemain Stoke, Ryan Shawcross.

Fellaini tidak dihukum pengadil Mark Halsey yang terlepas insiden pada minit ke-59 itu ketika Everton seri 1-1 dengan Stoke di Stadium Britannia, Sabtu lalu.


Pemain berusia 25 tahun itu didakwa selepas Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris mengkaji semula tayangan video pertembungannya dengan pertahanan Stoke, Shawcross yang mengawasi pemain Belgium itu sebelum sepakan sudut.

Kenyataan FA turut merujuk kepada dua lagi insiden pertembungan antara Fellaini dan Shawcross namun Hasley mengesahkan beliau menyaksikan kedua-dua insiden itu dan menganggap ia bukan satu kesalahan besar.


Fellaini memohon maaf berhubung tindakannya itu dan pengurus Everton, David Moyes turut mengecam insiden membabitkan pemainnya.


"Saya mohon maaf kepada Shawcross, rakan sepasukan dan penyokong yang menyaksikan perlawanan itu," kata Fellaini.

Fellaini tidak akan beraksi bersama Toffees sepanjang tempoh perayaan Krismas ini termasuk perlawanan menentang West Ham pada 22 Disember, Wigan pada 'Hari Boxing' dan Chelsea pada 30 Disember.


Dia tidak akan diturunkan hinggalah kunjungan ke Newcastle pada 2 Januari dan ketiadaannya satu kehilangan besar buat Everton yang mengejar kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Espinoza dapat permit sertai Wigan

Posted: 18 Dec 2012 07:59 AM PST

LONDON: Pemain tengah Honduras, Roger Espinoza diberi lampu hijau menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Wigan Athletic bulan depan selepas mendapat permit kerja di Britain.

Keputusan panel Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris itu membolehkan pemain berusia 26 tahun itu menyertai Latics apabila kontraknya bersama kelab MLS, Sporting Kansas City tamat hujung bulan ini.


Meskipun Espinoza dilahirkan di Honduras, dia berpindah ke Kansas ketika berusia 12 tahun.

Walaupun mendapat kerakyatan Amerika Syarikat pada 2008, dia memilih untuk mewakili Honduras dan sudah meraih 25 cap.


Pengurus Wigan, Roberto Martinez yang bertandang ke London untuk mendengar kes itu berkata: "Kami membuat persiapan rapi dalam kes Espinoza dan ia keputusan yang menggembirakan kerana dia akan menyertai kami Januari ini." "Kami memantaunya sejak 16 Jun 2010 ketika dia membuat penampilan pada Piala Dunia menentang Chile." Espinoza yang menyertai rakan sepasukan Honduras, Maynor Figuera di Stadium DW berkata: "Saya mengimpikan untuk bermain di England dan amat gembira dengan kesungguhan kelab merealisasikan impian ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Sengat Walcott

Posted: 18 Dec 2012 07:58 AM PST

LONDON: Theo Walcott akhirnya berjaya memenuhi impian untuk beraksi di posisi penyerang tengah Arsenal dan membuktikan kepada Arsene Wenger apabila berjaya meledak gol ketika membelasah Reading 5-2, awal pagi semalam.

Dilapor bosan beraksi di bahagian sayap sebelum ini, peluang diberikan kepadanya kali ini dilihat sebagai usaha memujuk Walcott menyambung kontrak baru bersama kelab itu yang tamat hujung musim ini.


Arsenal bersedia menawarkan Walcott kontrak lima tahun dengan gaji �75,000 (RM371,000) seminggu seperti yang dilapor media British, namun pemain antarabangsa England itu belum menyatakan kesediaannya dan masih berpeluang menandatangani prakontrak bersama pasukan baru pada 1 Januari ini.

Keputusan Wenger meletakkan Walcott di posisi itu buat kali pertama ketika menggunakan formasi 4-4-3, dilihat sebagai usaha terakhir memujuk pemain berusia 23 tahun itu menyambung kontrak baru bersama juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu.


"Jika anda lihat kenyataan saya dua tahun lalu, saya katakan dia boleh bermain di bahagian tengah dan ia memang posisi sesuai buatnya," kata Wenger selepas perlawanan di Stadium Madjeski yang menyaksikan mereka melonjak ke tangga kelima liga.


"Saya rasa ia peluang baik buatnya dan daripada apa yang saya saksikan ketika sesi latihan, dia boleh mengisi posisi itu." Posisi terbaru diberikan kepada Walcott itu bagaimanapun kurang berkesan kerana pasukan meraih kemenangan mudah ke atas lawan yang menduduki tangga tercorot liga dan kemenangan itu nyata melegakan Wenger selepas disingkirkan Bradford pada saingan Piala Liga minggu lalu.

Bekas pemain Southampton itu mensia-siakan sepakan percuma pada minit keenam sebelum sekali lagi terlepas peluang terhidang pada minit ke-21 ketika berada pada kedudukan satu lawan satu dengan penjaga gol Reading, Adam Federici.


Rakan sepasukan Walcott, Lukas Podolski dan Santi Cazorla membuktikan mereka begitu berbisa apabila membantu Arsenal mendahului 4-0 selepas hampir sejam dengan Walcott sekali lagi hampir menjaringkan gol pada minit ke-56.

Namun selepas Reading mengurangkan defisit gol, Walcott akhirnya berjaya menjaringkan gol 10 minit sebelum tamat menerusi rembatan kaki kiri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


Balotelli heret City ke tribunal

Posted: 18 Dec 2012 07:58 AM PST

MANCHESTER: Penyerang Manchester City, Mario Balotelli mengheret kelabnya ke tribunal Liga Perdana Inggeris, minggu ini.

Balotelli merayu untuk menolak keputusan kelab yang mendendanya dengan potongan gaji dua minggu bernilai �340,000 (RM1.6 juta) kerana masalah disiplin.


Pemain dari Itali itu mengheret kes itu ke Liga Perdana Inggeris selepas permohonan rayuan dalamannya sebelum ini ditolak.

City serta Liga Perdana Inggeris bagaimanapun belum memberikan sebarang komen terhadap perkara itu.


Balotelli didenda City musim lalu selepas sering mencetuskan masalah disiplin.


Pemain berusia 22 tahun itu digantung lapan perlawanan pada kempen musim lalu dan terlepas keseluruhan 11 perlawanan sepanjang musim 2011-12.

Dia dibuang padang kerana menerima dua kad kuning di Liverpool, digantung sekali lagi kerana mengasari pemain Tottenham, Scott Parker dan dilayangkan kad merah di Arsenal.


Pengurus City, Roberto Mancini hilang sabar dan berkata beliau mungkin akan menjual pemain itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


KOM tidak sekat

Posted: 18 Dec 2012 07:58 AM PST

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan menyekat atlet untuk beralih ke sukan lain sekiranya ia menjadi pilihan kerana bagi KOM kepentingan negara perlu diutamakan.

Sebelum ini, pemenang pingat emas baling tukul besi Sukan Sea 2011 Indonesia, Tan Song Hwa dilihat mencuba nasib untuk menyertai sukan berbasikal menerusi program 'Ride With Pride', acara yang memberi peluang kepada atlet daripada sukan lain untuk dinilai kemampuan mereka.


Timbalan Presiden KOM, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, sekiranya Song Hwa mampu menyumbang sesuatu dalam sukan itu, mengapa hasratnya itu harus disekat. "Tidak mengapa jika olahraga kehilangan satu pingat emas tapi jika dia dapat memberikan emas untuk sukan berbasikal, nilainya masih tetap sama. Namun saya yakin jika kami kehilangan Song Hwa, KOM pasti dapat mencari penggantinya satu hari nanti.

"Tiada guna memaksa atlet supaya kekal bersama olahraga. Kami perlu fikirkan kepentingan negara terlebih dulu kerana dia seorang atlet yang mempunyai nama. Sumbangannya kepada sukan berbasikal sama juga dengan sumbangannya kepada olahraga. Tiada masalah yang timbul," katanya. Nada positif itu disuarakan Wan Hisham yang menegaskan KOM sememangnya merestui pilihan Song Hwa kerana atlet itu yang juga penyumbang pingat emas di dua temasya Sukan Sea, bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dengan semua kelulusan untuk beralih angin, terletak di tangan MSN.


Sementara itu, belum ada kata putus berhubung kemampuan Song Hwa bersama 23 atlet lain yang mencuba bakat mereka dalam acara berbasikal trek, awal bulan lalu.


Menurut ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, Song Hwa mencatatkan keputusan cemerlang dalam program tiga hari itu namun beliau perlu melihat semula data ujian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan. Beasley berkata, keputusan berhubung atlet yang layak hanya akan dimaklumkan pada Januari selepas beliau meneliti semua keputusan dengan dua atlet terbaik lelaki dan wanita berpeluang menjalani latihan pusat bersama pelumba sedia ada di Melbourne manakala selebihnya meneruskan latihan di MSN.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18


No comments:

Post a Comment