Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bomba padam guna air longkang

Posted: 11 Dec 2012 11:48 AM PST

KLANG: Sebuah kilang kitar semula tong dram hampir musnah dalam kebakaran di Batu 5, Jalan Kapar, semalam.

Dalam kejadian jam 1.48 tengah hari itu, kilang berkeluasan 2,000 meter persegi hampir musnah selepas api marak dan membakar sebahagian bangunan kilang.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, tiga jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pihaknya mengalami kesukaran memadam kebakaran itu kerana kawasan terbabit tiada sumber air dan menggunakan air dari longkang berhampiran.


"Kami menggunakan air longkang kerana kawasan itu tiada pili bomba dan tekanan air yang rendah menyebabkan operasi mengambil masa tiga jam bagi memadam keseluruhan kebakaran.


"Api dapat dikawal sepenuhnya jam 5.05 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Mohamad Sani berkata, seramai 12 anggota bomba dan penyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Siasatan Tinggi, Ishak Bakar ditugaskan bagi memadam kebakaran itu.


Katanya, punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


4 rakyat kita parah di Taiwan

Posted: 11 Dec 2012 11:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Empat rakyat Malaysia parah manakala 10 penumpang lain cedera ringan selepas bas pelancong dinaiki mereka terbabit kemalangan di Lebuh raya Alishan, Chiayi County di selatan Taiwan, kelmarin.

Kemalangan terbabit berlaku di Kilometer 39.5 Lebuhraya Alishan yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Persekutuan No 18 yang menghala Alishan iaitu kawasan pergunungan yang menjadi tarikan pelancong.


Bas itu dipercayai hilang kawalan selepas mengalami masalah brek menyebabkan kenderaan terbabit merempuh pembahagi jalan sebelum terbabas.

Difahamkan, pemandu bas terbabit yang cedera ringan di tangan dan kaki cuba memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada sebuah kereta untuk memotong namun gagal akibat brek tidak berfungsi.


Pemandu terbabit menarik brek tangan menyebabkan bas terbabit hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan kemudian membelok ke dinding batu di sebelah kiri dan terbalik.


Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay berkata, kemalangan itu membabitkan bas pelancong yang membawa 14 penumpang terdiri 10 warga Malaysia, tiga Singapura dan seorang Filipina.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis Taiwan mendapati bas terbabit melanggar tembok penahan di lebuh raya berkenaan, tetapi tidak terjatuh dalam gaung.


"Polis belum mengetahui punca sebenar kejadian namun tiada kehilangan jiwa berlaku. "Semua mereka yang tercedera dihantar ke St Martin De Porres Hospital dan Chiayi Christian Hospital, Chiayi," katanya.

Mangsa yang terbabit kemalangan itu ialah Thien Yum Sang, 60, Ng Chiow Kion, 60, Thien Yun Ping, 57, (parah), Ching Bit Ha, 53, (parah), Thien Yun The, 63, Catherine Hiew Vui Fong, 38, (parah), Wong Chi Khyun, 37, (parah), Lee Geok Tian, 38, Thien Jack How, 39, dan Thien Yu Xuan, sembilan tahun.


Beliau berkata, wakil Malaysia di Taiwan kini cuba mengesan keluarga mangsa melalui syarikat pelancongan yang mengendalikan pelancongan berkenaan untuk memaklumkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Lelaki kalah judi kena tikam

Posted: 11 Dec 2012 11:43 AM PST

KUALA LUMPUR: Angkara hutang judi Internet, seorang pemandu teksi ditikam di perut dalam kejadian di Jalan Riong, Bangsar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, lelaki berusia 30-an itu kalah berjudi di sebuah pusat judi Internet berhampiran sebanyak RM3,000 sebelum cuba melarikan diri ke sebuah restoran berdekatan.


Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40-an berkata, ketika dia makan bersama rakan sekerja, dia nampak pemandu teksi itu berjalan dari pusat judi Internet ke arah teksinya.

Menurutnya, pemandu teksi itu diikuti pekerja premis pusat judi itu dari belakang dan selepas lelaki itu masuk dalam teksinya, pekerja premis itu menariknya keluar sebelum membawanya ke restoran tempat kejadian untuk berbincang.


Katanya, pemandu teksi berkenaan mengambil pisau pemotong daging untuk keselamatan diri dan lari ke teksinya semula untuk melarikan diri.


"Namun dia terlambat apabila suspek menahannya sebelum menikam mangsa beberapa kali di perut.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan menghubungi polis dan pemandu teksi berkenaan berjaya diselamatkan dan pekerja premis judi itu ditahan polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah ketika ditemui di tempat kejadian mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Mahu jaga zuriat sendiri

Posted: 11 Dec 2012 11:25 AM PST

KUALA LUMPUR: "Kami akan jaga bayi bakal lahir ini kerana dia zuriat pertama kami, walaupun ada orang yang tawarkan diri untuk menjaganya selepas bersalin.

"Ramai orang hubungi saya, ada juga menelefon dari Terengganu semata-mata memujuk kami serahkan anak kepada mereka, tetapi kami tidak rela berpisah dengannya," kata Siti Nursyuhadah Syed Hasyim, 19, bakal ibu muda yang menumpang teduh bersama suami di surau Perumahan Awam Sri Johor, di sini.


Menurutnya, dia dan suami, Omar Bashri, 36, tidak akan menyerahkan anaknya kepada mana-mana pasangan dan bertekad membesarkan sendiri zuriat yang dijangka lahir 28 Disember ini.

Syuhadah berkata, dia semakin gembira apabila banyak pihak tampil membantu selepas kisah penderitaannya dengan suami tersiar di Harian Metro, Isnin lalu.


Katanya, antara bantuan yang diterima daripada orang ramai ialah barangan bayi dan makanan untuk mereka meneruskan kehidupan, selain sokongan moral.


"Ada yang datang bawa lampin pakai buang, malah kami menerima kunjungan daripada pasangan yang tidak memiliki cahaya mata dari Shah Alam memberi pakaian bayi untuk anak bakal lahir ini.

"Hari ini (semalam) pula, kami terima lawatan daripada Baitulmal untuk membantu dari segi kewangan. Saya rasa gembira dan tidak risau apabila anak kami lahir ke dunia nanti," katanya selepas menerima kunjungan Skuad Jejak Asnaf (SJA) diketuai Penolong Pengurus Kanan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Faridilatras Abd Rahman.


Faridilatras berkata, selain tawaran bantuan bayaran sewa rumah selama setahun ditanggung Baitulmal, bahagian itu juga menawarkan pasangan berkenaan bantuan kewangan RM400 sebulan dalam masa terdekat sebaik urusan dokumentasi selesai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


MAIWP bantu ringan beban Pak Ya

Posted: 11 Dec 2012 11:24 AM PST

KUALA LUMPUR: Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu meringankan beban ditanggung pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong dan isteri, Datin Alisah Ali yang kini hidup kesusahan.

Penolong Pengurus Kanan Baitulmal, Faridilatras Abd Rahman berkata, bahagian itu akan menjelaskan tunggakan bayaran sewa rumah, selain bantuan perubatan Alisah yang menghidap kanser paru-paru.


"Kami akan meringankan beban mereka dengan bekalan susu tambahan yang disyorkan doktor, selain memastikan bantuan kewangan yang diterima dilanjutkan sehingga tahun depan.

"Baitulmal juga akan pantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa untuk pastikan bantuan itu dapat membantu pasangan terbabit," katanya yang melawat pasangan itu bersama Skuad Jejak Asnaf di Flat Sri Perak, Sentul, semalam.


Harian Metro bulan lalu melaporkan keperitan hidup pelakon veteran berkenaan bersama isteri kerana tunggakan sewa rumah tidak dijelaskan di samping harga makanan tambahan Alisah terlalu tinggi yang tidak mampu ditanggung mereka.


Sementara itu, Yahya berkata, dia terkilan kerana selepas Harian Metro menyiarkan artikel masalah dihadapinya, tiada langsung pihak ambil tahu mengenai kehidupan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Panggil 10 saksi beri keterangan

Posted: 11 Dec 2012 11:23 AM PST

GEORGETOWN: Lebih 10 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan seorang wanita Indonesia dirogol dan dipukul dua anggota polis dalam satu kejadian di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata semua saksi termasuk saksi bebas yang dipanggil sudah direkodkan keterangan untuk dijadikan rujukan dalam siasatan yang dilakukan secara adil.


Menurutnya, melalui kaedah siasatan yang dilakukan selama ini, pihaknya percaya tiada cara untuk menyembunyikan fakta atau sebarang maklumat daripada orang awam.

"Percayalah pada polis kerana kami akan melaksanakan tanggungjawab secara adil dan jika kesalahan itu dilakukan mana-mana pihak termasuk anggota polis sendiri. Maka hukuman yang tegas akan dikenakan," katanya.


"Beri kami masa untuk melengkapkan siasatan dan apabila selesai nanti, kami akan umum keputusan siasatan tanpa menyembunyikan mana-mana fakta," katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Jenayah dan Kepolisan di Malaysia kali ke-8 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis percaya wanita berusia 26 tahun itu cuba melemparkan tohmahan untuk menjatuhkan imej polis kerana banyak percanggahan dan direka-reka mengenai kejadian yang konon menimpanya.


Wanita itu kononnya mendakwa menggunakan perkhidmatan feri ke Butterworth sebelum menaiki teksi dan kemudian ditahan sebuah kereta peronda polis dinaiki dua anggota yang kemudian merogol dan memukulnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


8 lanun tergamam

Posted: 11 Dec 2012 11:23 AM PST

JOHOR BAHRU: Sekumpulan lapan lanun yang baru mencederakan tiga kru kapal yang cuba dirompak berhampiran Tanjung Stapa, Pengerang, dekat sini, diberkas pihak berkuasa selepas ditinggalkan seorang rakan mereka yang melarikan diri dengan sebuah bot kayu, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi pada kedudukan tiga batu nautika di selatan Tanjung Stapa, semua sembilan lanun terbabit yang menaiki bot kayu pada mulanya menghampiri kapal membawa muatan minyak, MT Merlion 2 sebelum lapan daripada mereka menaiki kapal berkenaan.


Suspek bersenjatakan parang menawan 12 kru kapal itu termasuk mencederakan tiga daripada mereka.

Bagaimanapun, kumpulan lanun itu terkejut apabila rakan mereka yang menunggu dalam bot kayu tiba-tiba melarikan diri dan bersembunyi selepas mengetahui dihampiri pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada ejen kapal itu memaklumkan sebuah bot kayu menghampiri kapal itu.


"Berikutan itu, kami menghantar sebuah kapal dan empat bot laju ke lokasi kejadian sebelum mendapati sebuah bot kayu tiba-tiba memecut melarikan diri.

"Anggota APMM mengepung MT Merlion 2 sebelum menaiki kapal untuk melakukan pemeriksaan seterusnya menahan kelapan-lapan lanun warga asing itu jam 4.15 pagi," katanya ketika ditemui di Jeti APMM Stulang.


Menurutnya, kumpulan lanun berusia antara 23 dan 46 tahun itu ditemui bersembunyi di anjung dan dalam kabin kapal berkenaan.

"Mereka didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut menemui sebilah parang manakala senjata tajam lain dipercayai sudah dibuang ke laut bagi menghilangkan bukti.


"Kapal berkenaan didaftarkan di Sains Kitts and Nevis dengan 12 kru terdiri 11 warga Myanmar dan seorang warga Singapura," katanya.


Katanya, akibat cubaan rompakan itu, tiga kru kapal cedera di kepala, tangan dan sesak nafas dan dibawa ke jeti sebelum dihantar ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Pengelih.


"Mereka masih dirawat dan dilaporkan trauma akibat kejadian itu manakala lapan lanun yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan untuk direman bagi membantu siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan," katanya.


Orang awam mempunyai maklumat kegiatan lanun boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim (Pomar) Wilayah Selatan di talian 07-219901/10 atau 999.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Lelaki rompak RM1.4 juta dikenal pasti

Posted: 11 Dec 2012 11:22 AM PST

KUCHING: Suspek kes pecah rumah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri di Taman Malihah, di sini, dipercayai mengetahui kediaman mangsa dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) apabila bertindak mematikan suis sebaik menemui wang tunai RM1.4 juta yang didakwa hilang itu.

Ini berikutan, rakaman CCTV diteliti pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam menunjukkan suspek berlegar-legar dalam rumah ahli perniagaan berusia 55 tahun sambil menyelongkar setiap bilik bagi mencari barangan berharga.


Bagaimanapun, imej hanya sempat dirakamkan ketika suspek memasuki sebuah bilik, sebelum suis CCTV dipadamkan bagi mengelak identitinya diketahui.

Suspek berbaju-T dan bertopi dikatakan membawa beg galas memasuki rumah itu ketika ahli perniagaan dan keluarga bercuti di Jakarta.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sebaik memecah pintu belakang menggunakan sebatang besi, suspek mengumpil jeriji besi di dapur sebelum memasuki rumah mangsa.


"Berdasarkan CCTV rumah mangsa, polis dapat mengesan wajah ketika suspek memasuki rumah. Kami dapat mengesan dan siasatan masih dijalankan bagi memburu suspek," katanya.

Harian Metro baru-baru ini melaporkan kegembiraan ahli perniagaan dan keluarga sekembali bercuti di luar negara tidak berpanjangan apabila mendapati rumah mereka dimasuki pencuri menyebabkan kerugian kira-kira RM1.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


Sapu duit derma surau

Posted: 11 Dec 2012 11:21 AM PST

SERIAN: Seorang penjenayah memecah masuk Masjid Daerah Serian di sini dan melarikan wang derma berjumlah RM1,500 sebelum kejadian disedari petugas masjid pada jam 7.30 malam, kelmarin.

Menurut sumber, petugas berusia 45 tahun itu terkejut apabila mendapati pintu bilik pengurusan terbuka manakala almari cermin di tepi dinding pula pecah.

Hasil pemeriksaan, dia kemudian mendapati sebuah laci meja di bilik berkenaan terbuka dan wang sumbangan jemaah berjumlah RM1,500 ketika menunaikan solat Jumaat minggu lalu, turut lesap.

"Petugas terbabit yang juga seorang ustaz memeriksa bilik imam dan mendapati ada lubang di siling dipercayai angkara pencuri yang menceroboh bilik berkenaan.


"Penjenayah dipercayai naik ke atas siling bagi memasuki bilik pengurusan tanpa menyedari pintu bilik imam dan bahagian pengurusan tidak berkunci," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


4 penyokong bola sepak ditahan polis

Posted: 11 Dec 2012 11:20 AM PST

KUALA LUMPUR: Empat penyokong bola sepak ditahan polis ketika perlawanan separuh akhir pertama skuad Harimau Malaya menentang Thailand, malam Ahad lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, empat lelaki berusia 25 hingga 27 tahun itu ditahan kerana cuba merempuh masuk ke dalam padang dan menyalakan suar ketika perlawanan berlangsung.


"Hasil tangkapan terbabit, menjadikan jumlah tangkapan sepanjang tahun ini 32 orang. Daripada jumlah itu, lima individu dituduh di mahkamah, dua individu tiada tindakan diambil dan selebihnya masih dalam siasatan.

"Selain tangkapan, polis turut merampas beberapa peralatan dicurigai antaranya dua buku lima, tiga bom asap, empat mercun dan 47 suar," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.


Menurutnya, dalam tangkapan terbaru itu, keempat-empat lelaki terbabit dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu tindakan mahkamah selanjutnya.


Mohan berkata, ke semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30-an itu disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12


No comments:

Post a Comment