Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Percaya magis Rajagobal

Posted: 24 Dec 2012 07:10 AM PST

KEYAKINAN pemain nyata masih menebal dengan kemampuan Datuk K Rajagobal untuk terus memimpin skuad Harimau Malaya bagi misi lebih getir di pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.

Biarpun kemampuan Rajagobal, 56, kini dipertikaikan ramai pihak berikutan kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 baru-baru ini, tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak tetap percaya pengendali skuad kebangsaan itu masih memiliki sentuhan magis.


"Tidak seharusnya kegagalan di Piala AFF diletakkan di bahu jurulatih semata-mata, sebaliknya pemain yang beraksi di atas padang juga seharusnya memikul kegagalan ini bersama-sama.

"Soal pemilihan jurulatih terletak di tangan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tapi saya tetap yakin dengan kemampuan Datuk K Rajagobal untuk terus membimbing skuad kebangsaan. Saya juga yakin pemain lain juga sependapat dengan saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kedudukan Rajagobal hebat dibincangkan sebelum ini apabila ada pihak menggesa agar kerusi panas itu dikosongkan untuk diserahkan kepada individu lain termasuk calon pilihan, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.


Semuanya gara-gara kemerosotan prestasi skuad kebangsaan termasuk terkandas di peringkat separuh akhir Piala AFF di tangan Thailand menerusi agregat 3-1.

Namun jurulatih yang membimbing Harimau Malaya memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF 2010 di Jakarta itu terus mendapat mandat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah untuk meneruskan kontraknya sehingga Disember tahun depan.


Aidil, 25, yang kini menjalani latihan bersama pasukan baru, Johor Darul Takzim berkata, semua pemain sedar bahawa mereka perlu bersaing untuk merebut semula tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan Rajagobal menyatakan akan melakukan rombakan pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia menentang Qatar, pada 6 Februari.

"Setiap kejohanan dan perlawanan, jurulatih akan membuat penilaian semula dengan prestasi semasa pemain dan bagi saya sendiri, saya akan memberikan komitmen terbaik dengan pasukan Johor bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan," katanya yang membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara Liga Perdana musim lalu.


Ketika ditanya mengenai peluang Malaysia untuk merebut dua slot pasukan terbaik Kumpulan D bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia, Aidil tetap optimis skuad kebangsaan mampu memberi tentangan kepada tiga wakil dari negara Teluk, Qatar, Bahrain dan Yaman.


"Ketiga-tiga pasukan ibarat gergasi Asia. Memang di atas kertas tampak sukar, tapi selagi kejohanan belum bermula kita tidak boleh menyerah kalah. Jika kita berusaha, apa saja boleh berlaku," kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Impian kian berkecai

Posted: 24 Dec 2012 07:07 AM PST

MADRID: Kekalahan di Malaga kelmarin mengakibatkan peluang Real Madrid mempertahankan kejuaraan La Liga musim ini hampir berkubur dan mereka perlu segera bangkit untuk memperbaiki prestasi sebelum menerima kunjungan Manchester United bagi aksi Liga Juara-Juara pada 13 Februari ini.

Keputusan Jose Mourinho menggugurkan penjaga gol dan kapten, Iker Casillas sesuatu yang mengejutkan apabila mereka tumpas 2-3 Ahad lalu sekali gus mencetus jurang besar dengan pendahulu liga Barcelona.


Real 16 mata di belakang Barca selepas mengharungi 17 perlawanan dan tujuh mata ketinggalan dengan pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid.

Apabila mereka kembali selepas cuti Krismas, mereka perlu memadam defisit kekalahan 1-2 kepada Celta Vigo apabila beraksi di gelanggang sendiri pada pusingan 16 pasukan terakhir Piala Raja Sepanyol. Jika tersingkir, secara realistik peluang mereka untuk merangkul kejuaraan musim ini hanyalah Liga Juara-Juara.


Mourinho mempertahankan keputusannya meletakkan Casillas sebagai pemain simpanan dengan menegaskan penjaga gol nombor dua, Antonio Adan memiliki prestasi lebih baik berbanding bintang Sepanyol berusia 31 tahun itu.


Kelihatan wira skuad juara Piala Dunia dan Eropah Sepanyol itu gelisah ketika menyaksikan Malaga menumpaskan Real di laman sendiri buat kali pertama dalam tempoh hampir 30 tahun.

Mourinho menafikan kenyataan beliau kini bimbang akan kedudukannya berikutan kekalahan di tangan Malaga itu selepas sekadar seri 2-2 minggu lalu kepada Espanyol di gelanggang lawan.


"Jika saya berasakan pemain sudah hilang semangat, saya secara jujurnya akan terus berjuang," katanya.

"Namun pemain masih mempunyai semangat. Mereka bermain dengan baik menentang Espanyol, mereka bermain baik untuk mendapatkan kemenangan hari ini (kelmarin). Mereka tidak bernasib baik dan keputusan tidak menyebelahi kami." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Casillas tekad bukti kemampuan sebenar

Posted: 24 Dec 2012 07:06 AM PST

MADRID: Kapten Real Madrid, Iker Casillas bertekad untuk membuktikan keputusan Jose Mourinho mengetepikannya daripada kesebelasan utama Real Madrid buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun adalah satu kesilapan.

Casillas, pemain skuad juara Piala Dunia, diletakkan sebagai pemain simpanan ketika tumpas 2-3 di tangan Malaga kelmarin dan tempatnya diambil penjaga gol nombor dua, Antonio Adan.


"Saya tidak suka menjadi pemain simpanan tapi saya menghormati keputusan pasukan. Apa yang perlu saya lakukan adalah terus berlatih dan mendapat semula posisi saya," kata Casillas.

"Mourinho tidak bercakap apa-apa kepada saya sepanjang minggu lalu namun saya menghormati keputusan jurulatih. Saya tidak mempunyai masalah kerana keputusan ini ditetapkan jurulatih dan saya perlu terus berlatih untuk mengembalikan keyakinan. Kami mempunyai persaingan yang sihat untuk merebut tempat." Mourinho yang menyaksikan skuad juara bertahan kendaliannya ketinggalan 16 mata di belakang Barcelona, tetap menegaskan beliau membuat keputusan tepat menggugurkan Casillas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Huntelaar bersama Schalke dua tahun lagi

Posted: 24 Dec 2012 07:06 AM PST

BERLIN: Penyerang prolifik Schalke 04 dari Belanda, Klaas-Jan Huntelaar sudah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun hingga 2015 bersama kelab Bundesliga itu, semalam.

"Saya sudah berfikir panjang dan saya berterima kasih kerana pegawai kelab ini memberikan saya masa untuk membuat keputusan. Tapi sekarang saya sudah membuat keputusan yang saya fikir baik untuk saya," kata Huntelaar, 29, dalam satu kenyataan menerusi laman web rasmi kelab (www.schalke04.com).


"Saya cukup selesa berada di Schalke, kelab dan penyokongnya. Saya membuat keputusan ini kerana saya percaya dengan pasukan ini dan saya percaya kami masih boleh mencapai keputusan baik pada pusingan kedua musim Bundesliga.

"Kami masih berpeluang pada pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Galatasaray," katanya.


Berita itu pastinya memberikan suntikan semangat buat pengurus Schalke, Jens Keller yang dinaikkan taraf daripada menjadi jurulatih skuad remaja minggu lalu menggantikan Huub Stevens hingga tamat musim ini.


Schalke yang muncul juara kumpulan Liga Juara-Juara bergelut di peringkat domestik dengan empat kekalahan dan tanpa sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir Bundesliga menyebabkan mereka menduduki tangga ketujuh, ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu Bayern Munich.

Mereka akan bertandang ke Turki bagi perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Galatasaray pada 20 Februari sebelum beraksi di laman sendiri di Stadium Gelsenkirchen pada 12 Mac.


Huntelaar, yang menyertai Schalke dari AC Milan pada Ogos 2010, muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 29 gol dan menghasilkan 11 gol dalam semua kejohanan musim ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Kedudukan masih kabur

Posted: 24 Dec 2012 07:05 AM PST

LONDON: Frank Lampard mengakui masa depannya bersama Chelsea masih kabur sekalipun pemain tengah itu memantapkan kedudukannya sebagai penjaring gol terbanyak kelab itu dalam liga utama selepas membenam Aston Villa 8-0.

Lampard menandakan penampilan ke-500 dalam kesebelasan utama pada Liga Perdana dengan gol keempat pasukannya, gol ke-130 buatnya bersama Chelsea dalam Liga Perdana, sekali gus membolehkannya mengatasi rekod terdahulu dilakar Bobby Tambling.


Bagaimanapun, pemain tengah berusia 34 tahun itu akan tamat kontraknya hujung musim ini dan setakat ini belum menerima sebarang tawaran kontrak baru daripada kelab itu.

"Saya tidak memikirkannya kerana saya masih dalam kontrak dan saya suka bermain di sini jadi saya akan meneruskannya dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan gembira kerana masih cergas. Saya amat seronok dengan perlawanan ini dan hanya mahu menikmati setiap saat permainan saya. Saya percaya masih mampu memberikan sumbangan," katanya.


"Masalah kelab adalah masalahnya, saya tidak mahu membincangkan mengenainya. Saya berada di sini untuk bermain bola sepak dan membuktikan kepada setiap orang apa yang boleh saya lakukan dan saya akan teruskannya.


"Rekod itu amat bermakna. Permulaannya adalah hebat, saya bertuah bermain dengan sebuah kelab hebat dan pengurus serta rakan sepasukan yang saya miliki, saya amat berbangga dengannya.

"Rekod jaringan itu, saya amat bangga untuk mengatasi seorang pemain hebat seperti Bobby Tambling, seorang pemain legenda yang dipuja di kelab ini." Lampard diberikan tepukan gemuruh oleh penyokong apabila dia digantikan pada babak kedua menentang Villa dengan penyokong menjerit 'tawarkannya kontrak' berkali-kali.


Bekas pemain West Ham United itu sudah menjaringkan 190 gol dalam semua pertandingan bersama Chelsea, tiga gol di belakang penjaring gol kedua terbanyak Kerry Dixon dan 12 di belakang Tambling. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Hanya ‘perkara biasa’

Posted: 24 Dec 2012 07:05 AM PST

SWANSEA (Wales): Ashley Williams menganggap pertembungannya dengan Robin van Persie sebagai perkara biasa selepas Alex Ferguson berkata Williams "mungkin boleh membunuh" penyerang Belanda itu dengan menyepak bola ke arahnya.

Kedua-dua pemain itu bertembung ketika Swansea dan Manchester United seri 1-1 di Stadium Liberty kelmarin, apabila Williams menendang bola dengan kuat ke arah kepala Van Persie yang terjatuh selepas wisel ditiup.


Ferguson berkata kepada Sky Sports News: "Situasi Van Persie anda boleh lihat dengan jelas dia boleh terbunuh.

"Ia satu tindakan memalukan oleh seorang pemain, dia patut digantung dalam tempoh yang lama." Namun, kapten Wales itu membalas: "Ia adalah pandangannya, beliau berhak mengeluarkan pendapatnya. Saya faham kenapa Van Persie amat marah. Saya menendang bola kerana kecewa, tapi saya tidak cuba untuk menyepak ke kepalanya.


"Saya cuba memohon maaf, tapi dia tidak mahu menerimanya. Saya tidak bercakap dengannya sejak perlawanan itu dan saya tidak berjabat tangan selepas itu, tapi ia hanya kerana saya tidak melihatnya. Bagi saya ia bukannya perkara besar.


"Jika saya cuba untuk menendang ke kepalanya secara sengaja, ia mungkin tidak mengenanya! "Bukannya saya mahu menembaknya atau menyepak kepalanya dengan niat." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Kami masih boleh meningkat: Benitez

Posted: 24 Dec 2012 07:05 AM PST

LONDON: Rafael Benitez masih menconteng buku notanya pada hujung perlawanan ketika Chelsea membelasah Aston Villa 8-0 awal pagi semalam dan selepas perlawanan itu, pengurus dari Sepanyol itu berkata pasukannya masih boleh meningkat.

Ketika Chelsea menjaringkan 13 gol daripada dua perlawanan sejak pulang tangan kosong dari Jepun selepas pembabitan pada Piala Kelab Dunia seminggu lalu, Benitez meminta pemainnya supaya memberikan lebih lagi komitmen.


"Saya boleh lihat pasukan meningkat dengan perkara kecil yang kami mahu perbetulkan," kata pengurus sementara Chelsea itu selepas pasukannya melonjak kembali ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

"Tapi kami masih boleh memperbaiki beberapa perkara. Saya katakannya selepas menang dengan lapan gol." Penyerang Fernando Torres, yang menemui semula sentuhan pemusnah dipamerkannya ketika di bawah kendalian Benitez di Liverpool, membuka tirai jaringan dengan tandukan kencang pada minit ketiga di Stamford Bridge.


Gol terus hadir dan Frank Lampard, yang menandakan penampilan ke-500 dalam kesebelasan utama Liga Perdana menjaringkan gol keempat manakala pemain Brazil, Ramires menyumbang dua gol selain satu gol daripada David Luiz, Branislav Ivanovic, Oscar (penalti) dan Eden Hazard manakala Lucas Piazon gagal menyempurnakan sepakan penalti.


"Pemain amat fokus sejak saya tiba," kata Benitez, pelantikannya mencetus kemarahan peminat Chelsea berikutan pemecatan Roberto Di Matteo bulan lalu.

"Mereka sedar mereka mempunyai seorang pengurus baru dan mereka perlu bertindak cemerlang. Kami cuba memperbaiki beberapa perkara dalam setiap sesi latihan tapi saya kagum dengan cara kami bermain.


"Sejak hari pertama, mereka berazam untuk belajar dan meningkatkan permainan," katanya.

Chelsea masih ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United dan tujuh mata berbanding Manchester City, namun bermain kurang satu perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Gilir pemain kunci United

Posted: 24 Dec 2012 07:04 AM PST

LONDON: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson sedar sistem penggiliran pemain adalah kunci kepada persiapan pasukannya bagi menghadapi jadual padat bermula dengan pertemuan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok.

Keputusan hambar sekadar seri 1-1 di Swansea kelmarin menyaksikan United menduduki takhta liga dengan kelebihan hanya empat mata ke atas Manchester City dan sasaran tiga mata penuh apabila bertemu Newcastle dan West Bromwich Albion di tempat sendiri serta Wigan Athletic di tempat lawan selepas ini pastinya menjadi hadiah terbaik buat Ferguson sempena cuti Krismas.


Newcastle yang ketika ini menduduki tangga ke-14 liga, tidak pernah melakar kemenangan di Old Trafford sejak kali terakhir menang 2-0 pada 1972.

Ferguson berasa lega apabila beberapa tonggak pertahanannya dapat kembali beraksi selepas berdepan kecederaan, antaranya termasuk pemain antarabangsa Serbia, Nemanja Vidic yang membuat penampilan kali pertama di Swansea sejak September lalu, begitu juga Jonny Evans.


"Kami akan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari. Kini kami mempunyai beberapa pemain yang dapat kembali semula selepas mengalami kecederaan dan mereka sangat diperlukan sepanjang tempoh itu," kata Vidic. Ferguson memenuhi kata-katanya untuk memaksimumkan skuadnya dengan melakukan pertukaran kombinasi kali ke-26 di benteng pertahanan pada pertemuan di Stadium Liberty.


Masalah utama United di posisi itu terserlah selepas bolos sebanyak 25 gol setakat ini sekali gus muncul pasukan teratas yang bolos begitu banyak sejak Norwich City melepaskan 34 gol pada musim 1992-93.

Ia tidak menghalang Ferguson daripada membuat rombakan.


Ditanya sebelum perlawanan bertemu Swansea adakah beliau akan merombak skuadnya, Ferguson berkata: "Sudah tentu. Ia bukan pasukan yang sama saja. Pastinya akan ada pertukaran pemain pada setiap perlawanan." Semua kelab yang menduduki kelompok atasan liga akan beraksi malam esok kecuali pertemuan Arsenal dan West Ham United yang terpaksa ditangguhkan berikutan kempen mogok pekerja kereta api bawah tanah.

United perlu sedar, muncul sebagai pasukan yang menduduki tangga teratas pada awal saingan, tidak menjamin kejuaraan milik mereka. Sepanjang 20 musim liga di bawah format baru Liga Perdana bermula 1992, hanya sembilan pendahulu pada 25 Disember memenangi kejuaraan.


Norwich City, Aston Villa, Leeds United, Arsenal, Newcastle United, Liverpool dan Manchester United semuanya gagal untuk menjulang trofi selepas meraikan perayaan Krismas di puncak liga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Selesai pertikaian dengan Norwich

Posted: 24 Dec 2012 07:04 AM PST

LONDON: Pengurus Aston Villa, Paul Lambert dan kelab lamanya, Norwich menyelesaikan pertikaian mengenai penghijrahannya dari Carrrow Road semalam, sebulan sebelum kes itu dibawa ke tribunal Liga Perdana Inggeris.

Lambert meninggalkan Norwich sebelum bermula musim ini selepas tiga tahun membantu kelab lamanya itu naik ke Liga Perdana Inggeris dan menduduki tangga ke-12 musim lalu.


Kedua-dua pihak menyaman antara satu sama lain berhubung isu melanggar kontrak.

"Paul Lambert, Norwich City dan Aston Villa bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian berhubung pertikaian penghijrahan Paul Lambert dari Norwich City," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua kelab.


"Villa akan membayar Norwich City jumlah asal seperti yang dipersetujui dalam kontrak antara Paul Lambert dan Norwich City. Sementara Norwich City akan membayar bonus kepada Paul Lambert yang layak untuk diterimanya sepanjang musim 2011-12.


"Ini adalah penyelesaian muktamad membabitkan semua tuntutan dan pertikaian antara semua pihak," kata kenyataan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


Irfan tak mahu cepat melatah

Posted: 24 Dec 2012 07:04 AM PST

TIADA rasa resah menyelubungi benak fikiran pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim meskipun persiapan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu menjelang kempen Liga Malaysia musim depan dilihat agak goyah.

Segala-galanya selepas anak buahnya dikatakan gagal mempamer aksi memberangsangkan pada saingan Piala Gabenor Aceh 2012 yang berakhir Sabtu lalu yang menyaksikan Selangor terkandas pada saingan separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada juara Liga Perdana Indonesia (IPL), Semen Padang.


Seolah-oloh bersetuju dengan pandangan itu, ketua jurulatih Semen Padang, Suhatman Imam melabelkan Negeri Sembilan, pasukan yang ditemui anak buahnya pada perlawanan persahabatan antarabangsa Piala Nusantara kelmarin, mempamer aksi lebih baik berbanding Selangor dan juara Liga Super Malaysia, Kelantan.

Namun Irfan tidak cepat melatah, sebaliknya menganggap ia adalah pandangan peribadi Suhatman dan beliau menegaskan lebih mengetahui kemampuan anak buahnya.


"Terkejut juga saya lihat kenyataan itu, tapi tidak mengapalah sebab itu pandangan beliau. Lagipun ketika itu (perlawanan separuh akhir), saya hanya mempunyai 14 pemain dan tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Forkey (Doe) dan Asraruddin (Putra Omar) berbanding pihak lawan.


"Saya tidak pernah berasa bimbang kerana sepanjang aksi persahabatan termasuk saingan Piala Gabenor, saya tidak dapat mengumpulkan semua pemain.

"Hanya baru tadi (semalam) saya dapat bertemu dan mengumpulkan semua pemain," katanya.


Suhatman menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, Negeri Sembilan yang ditewaskan pada perlawanan persahabatan kelmarin sebuah pasukan yang bersifat kolektif, bergerak sebagai sebuah pasukan dan lebih baik berbanding Selangor serta Kelantan.

Jelas Irfan, anak buahnya akan menghadapi tiga lagi perlawanan persahabatan selepas ini iaitu bertemu Sabah esok sebelum menentang Perlis dan Kedah masing-masing pada 28 dan 30 Disember ini.


"Tiga aksi persahabatan terakhir ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menguji semua pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/24


No comments:

Post a Comment