Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Peserta AS raih gelaran Miss Universe 2012

Posted: 20 Dec 2012 11:01 AM PST

LAS VEGAS: Peserta Amerika Syarikat, Olivia Culpo dimahkotakan sebagai Miss Universe 2012 malam tadi, menewaskan jelitawan dari seluruh dunia untuk meraih gelaran yang menjadi rebutan jutaan gadis.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta Filipina, Janine Tugonon. Pemenang tahun lalu, Leila Lopes dari Angola, memahkotakan Olivia, 20, yang jelas sangat teruja untuk menggantikannya.


Ia adalah kemenangan pertama wanita Amerika sejak 1997 apabila gelaran itu dimenangi Brook Lee.

Peserta Venezuela, Irene Sofia Esser Quintero menduduki tempat ketiga dalam pertandingan itu.


Tempat keempat dirangkul peserta Australia, Renae Ayris dan kelima dimenangi peserta Brazil, Gabriela Markus.


Gelaran Miss Congeniality diberikan kepada peserta Guatemala, Laura Godoy.

Pertandingan yang bertujuan memilih wanita paling cantik di dunia itu diadakan di Las Vegas tahun ini dan menyaksikan 89 peserta bertanding dalam tiga kategori iaitu pakaian renang, gaun malam dan sesi soal jawab.


Pertandingan itu ialah edisi ke-61. Ia diadakan di Sao Paolo, Brazi tahun lalu dan pertandingan berkenaan dianjurkan bersama oleh rangkaian televisyen NBC serta mogul hartanah Amerika, Donald Trump. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


9 bulan tinggal atas pokok

Posted: 20 Dec 2012 11:00 AM PST

MUMBAI: Seorang suami dayus tinggal di atas pokok sejak sembilan bulan lalu dan enggan turun kecuali isterinya meminta maaf kerana bersikap curang terhadapnya.

Bagaimanapun, si isteri tidak juga memohon maaf, malah tidak pernah menjenguk suaminya sepanjang tempoh sembilan bulan itu.


Sanjay berkahwin dengan Tara di Baragaon, Varanasi tahun lalu sebelum berpindah ke Mumbai. Namun, Mac lalu, ketika pulang lebih awal dari kerja, dia mendapati wanita yang baru dikahwininya itu berasmara dengan seorang jiran di rumah mereka. Kecewa dan rasa terhina, Sanjay menuntut Tara memohon maaf atas kecurangannya tetapi wanita terbabit enggan. Sanjay bertindak membawa isterinya pulang ke kampung sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah mereka. Bagaimanapun, Tara ingkar dan mengatakan dia ingin kembali ke Mumbai sebelum meninggalkan rumah ibu bapanya.

Dalam percubaan terakhir untuk memenangi semula hati isterinya, Sanjay memanjat pokok jambu di pinggir kampung dan tinggal di atas pokok itu sejak kejadian berkenaan.


Sanjay berkata, dia hanya akan turun dari pokok itu jika Tara meminta maaf dan pulang ke pangkuannya. Walaupun dipujuk keluarga, Tara enggan mengubah pendiriannya.


Pada awalnya, Sanjay enggan makan dan meneruskan hidup hanya dengan memakan jambu. Namun, apabila semuanya sudah habis dipetik, Sanjay terpaksa menelan egonya dan bergantung kepada ibunya yang setia membawakan makanan untuknya dari rumah. "Sanjay memanjat pokok berkenaan pada 9 Mac lalu dan sejak itu berada di atas pokok berkenaan.

"Apabila kami cuba memujuknya supaya turun, dia mengancam untuk membunuh diri," kata ibunya, Kushma Dev kepada The Asian Age. "Dia makan dan tidur di atas pokok, malah turut membuang air di situ. Kami selalu datang menemuinya dan bertanya jika dia memerlukan apa-apa," katanya.


Beberapa penduduk kampung bagaimanapun mendakwa melihat Sanjay turun ke bawah dan bersiar-siar apabila dia menyangka tiada sesiapa melihat perbuatannya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Ferrari GTO RM125.2j

Posted: 20 Dec 2012 09:25 AM PST

LONDON: Hanya enam bulan lalu, kereta Ferrari 250 GTO hijau keluaran 1962 yang dibuat untuk Sir Stirling Moss bertukar tangan pada harga AS$35 juta (RM106.9 juta), menjadikannya kereta paling mahal pernah dijual.

Rekod itu akan bertahan lama jika seorang peniaga Amerika Syarikat tidak dikenali berjaya menjual kereta Ferrari 250 GTO miliknyapada harga A$41 juta (RM125.2 juta).


Ia adalah tanda-tanda bahawa pasaran untuk kereta perlumbaan paling terkenal Enzo Ferrari akan menjadi lebih hebat. Ditawarkan untuk dijual oleh broker London, tidak ada maklumat terperinci mengenai yang mana satu daripada 39 Ferrari GTO yang akan dijual. Ia juga adalah satu daripada siri GTO 29 I dan satu daripada 22 versi pemanduan kiri. Broker itu mendakwa ia mempunyai 'riwayat yang hebat dan dijaga dengan baik oleh pemilik dahulu dan sekarang'.

Ini bermakna ia belum digunakan untuk tujuan pemanduan lasak di litar.


Ketika Ferrari membina V-12, GTO yang berkelajuan 170 batu sejam untuk perlumbaan dan berjaya mencatat kemenangan di Le Mans serta seluruh dunia, tidak pernah disangka kereta itu satu hari kelak akan bertukar kepada barangan yang disanjung. Malah sedekad selepas zaman kegemilangannya, GTO sering dianggap seperti kereta sport lusuh oleh pengumpul kereta. Hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila hartawan dunia mula menganggap mengumpul kereta sebagai kesenian, kehebatannya menjadikan harga kereta itu melambung tinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Misteri harta Sukarno

Posted: 20 Dec 2012 09:24 AM PST

JAKARTA: Isu harta peninggalan bekas Presiden Indonesia, Sukarno, kembali menjadi perhatian ramai apabila ada individu di Austria mendakwa boleh mendapatkannya dari sebuah bank di Switzerland.

Akhbar Austria, Kronen Zeitung, edisi 17 dan 19 Disember memuatkan mengenai dakwaan harta berkenaan.


Akhbar itu juga melaporkan, seorang perunding bernama Gustav Jobstmann mengaku boleh membantu mendapatkan harta berkenaan.

Menurut Jobstmann, harta Sukarno itu bernilai AS$180 bilion (RM550 bilion) dan kini tersimpan dalam peti kebal Union Bank of Switzerland (UBS).


"Saya memiliki dokumen penting bagi menyokong kewujudan harta berkenaan," katanya. Jobstmann berkata, dia menghubungi seorang daripada waris Sukarno, Seno Edy Sukanto, untuk memaklumkan mengenai isu berkenaan.


Katanya, dia berjanji membantu waris bekas presiden itu mendapatkan harta berkenaan dengan syarat mereka melabur semua kekayaan itu di Austria.

Sementara itu, versi dalam talian akhbar sama menyatakan, jika dakwaan Jobstmann itu benar, ia adalah rahmat yang sangat besar kepada Austria. Penulis berita itu, Klaus Loibnegger, berkata Austria memang memerlukan banyak pelaburan bagi mengembangkan ekonominya. Kronen Zeitung adalah antara akhbar tertua di Austria dan ia mula diterbitkan sejak 2 Januari 1900. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Muhammadiyah bimbang isu bakso haram

Posted: 20 Dec 2012 09:23 AM PST

JAKARTA: Isu status halal bakso di Indonesia membimbangkan kerana boleh menyebabkan umat Islam terjebak mengambil makanan haram.

Ketua Umum Muhammadiyah, Din Syamsuddin, berkata peniaga yang bertanggungjawab mencampurkan daging lembu dan babi perlu menyedari bahawa tindakan mereka itu menyalahi agama. Katanya, perbuatan itu sama seperti memerangkap pengguna dan mengajak mereka melakukan amalan haram. "Mereka juga menyebabkan peniaga bakso yang jujur terkena kesannya," katanya.


Din berkata, peniaga tidak sepatutnya mencari keuntungan dengan menyukarkan orang lain. Isu bakso haram itu ditimbulkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) beberapa hari lalu.

Percampuran daging halal dan haram di pasar menyebabkan MUI sukar memperakui banyak produk bakso di negara itu.


Din berkata, kerajaan turut bertanggungjawab mengatasi masalah berkenaan.


Katanya, Badan Pemantau Ubat-ubatan dan Makanan (BPOM) perlu mengawasi proses penghasilan produk bakso, bermula dari peringkat paling asas hingga ke proses penyembelihan haiwan. "Undang-undang Halal juga perlu disegerakan," katanya. - Republika.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Ahli parlimen desak Bieber minta maaf

Posted: 20 Dec 2012 09:23 AM PST

MANILA: Sekumpulan ahli parlimen mahu bintang pop Kanada, Justin Bieber, dihalang masuk ke Filipina jika dia enggan meminta maaf kepada ikon tinju serta ahli politik negara itu, Manny Pacquiao.

Tujuh daripada 255 ahli parlimen itu berkata, Bieber, 18, perlu meminta maaf kepada Pacquiao selepas mengkritik petinju itu ekoran kekalahannya di gelanggang kepada pencabar dari Mexico, Juan Manuel Marquez.


"Jika Bieber enggan meminta maaf, kami akan menggerakkan usaha supaya dia dianggap sebagai orang yang tidak dikehendaki di Filipina.

"Dengan status itu, Bieber tidak boleh mengadakan persembahan di sini," kata kumpulan berkenaan. Bieber mentertawakan Pacquiao selepas petinju itu tewas kepada Marquez pada 9 Disember lalu. Menggunakan Instagram, Bieber memperolok gambar Pacquiao yang terbaring tidak sedarkan diri dengan memasukkan imej watak animasi Disney, Simba, dengan dialog "Ayah bangun!" Ahli parlimen terbabit berkata, tindakan Bieber itu menyinggung perasaan ramai orang di Filipina. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


4 polis maut, 3 parah kena tembak

Posted: 20 Dec 2012 09:22 AM PST

JAKARTA: Suspek militan menembak mati empat anggota polis dan mencederakan tiga yang lain dalam insiden terbaru Poso, semalam.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar, berkata penyerang melepaskan tembakan ke arah polis separa tentera yang meronda di Poso, Sulawesi, ketika anggota keselamatan terbabit menyiasat sebuah kawasan disyaki kem dikuasai militan. "Sebelum ini polis menggagalkan beberapa rancangan pengeboman di kawasan itu, selain pernah bertempur dengan militan.


"November lalu, polis menembak mati seorang suspek militan selepas dia membaling bom ke arah pihak berkuasa," katanya. Dalam kejadian semalam, kata Boy, polis terbabit maut selepas ditembak di kepala dan dada.

Daripada tiga yang cedera, katanya, dua dalam keadaan parah. "Penyerang adalah individu yang terbabit dalam aktiviti melatih militan dan lokasi mereka sentiasa berubah-ubah," katanya. Boy berkata, sepucuk raifal daripada polis yang terbunuh itu dilarikan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Guru ‘baka baru’ mula bertugas di sekolah Pattani

Posted: 20 Dec 2012 09:22 AM PST

PATTANI: Kumpulan guru "baka baru" mula menjalankan tugas di Pattani bagi menggantikan kelompok terdahulu yang meminta dipindahkan keluar dari selatan Thailand yang dilanda konflik.

Gabenor Pattani, Pramuk Lamul, berkata kumpulan terbaru guru itu adalah hasil daripada projek Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan yang ditugaskan untuk meningkatkan taraf pendidikan lima wilayah di selatan Thailand. Kata Pramuk, keadaan di Pattani semakin baik hasil pelbagai langkah keselamatan yang diperketatkan. Ekoran beberapa serangan baru-baru ini, kira-kira 1,300 sekolah di Pattani, Narathiwat dan Yala menggantung pembelajaran atas faktor keselamatan. Bulan lalu, seorang guru besar ditembak mati di Nong Chik, Pattani, menyebabkan tiga guru di situ berpindah ke sekolah lain. Di Narathiwat, 118 guru memohon berpindah ke sekolah lebih selamat di wilayah berkenaan, manakala 80 lagi meminta ditukarkan ke wilayah lain.


Di sesetengah sekolah, tugas mengajar diambil alih anggota tentera setempat. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


44,000 korban konflik Syria

Posted: 20 Dec 2012 09:21 AM PST

BEIRUT: Lebih 44,000 orang terbunuh di Syria sejak tercetusnya revolusi antikerajaan Mac tahun lalu yang berubah menjadi pemberontakan berdarah selepas kerajaan melancarkan kekerasan.

"Seramai 44,063 orang terbunuh dalam tempoh 21 bulan," kata Pengarah Pemerhati untuk Hak Asasi Kemanusiaan Syria, Rami Abdel Rahman.


Dia berkata, 30,819 adalah orang awam, 1,482 askar penentang, 10,978 tentera kerajaan dan 784 lagi tidak diketahui identiti mereka.

Kumpulan itu mengatakan askar penentang yang memerangi rejim pimpinan Bashar al-Assad terdiri daripada orang awam.


"Ribuan orang awam adalah askar penentang," katanya. Jumlah sebenar mereka yang terkorban dalam konflik itu mungkin lebih tinggi.


"Sebahagian besar daripada beribu-ribu orang yang hilang di penjara Syria dikhuatiri sudah mati.

"Tambahan pula, baik kumpulan penentang mahupun kerajaan tidak mendedahkan bilangan sebenar anggota mereka yang terbunuh kerana bimbang menjejaskan reputasi masing-masing," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


Iran dakwa mampu hasil pesawat lebih canggih

Posted: 20 Dec 2012 09:21 AM PST

TEHERAN: Iran mendakwa mampu menghasilkan pesawat tanpa juruterbang yang lebih canggih berbanding ScanEagle milik Amerika Syarikat (AS).

Dakwaan itu dinyatakan Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Ahmad Vahidi selepas negara itu berjaya merampas pesawat milik AS terbabit.


Laman berita Irib melaporkan, Ahmad Vahidi menegaskan Iran kini dalam proses mengeluarkan pesawat tanpa juruterbang yang lebih canggih berbanding ScanEagle. Beliau berkata demikian dalam sidang media kepada wartawan semalam. "Kami mempunyai pelbagai jenis pesawat tanpa juruterbang yang lebih canggih daripada ScanEagle dan ia dalam pembinaan," katanya.

Menurutnya, kemajuan teknologi Iran itu akan dipamerkan pada Hari Teknologi Angkasa.


Ketika ditanya mengenai rancangan mengadakan latihan ketenteraan di perairan selatan, Ahmad Vahidi berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan persediaan dan menguji senjata baru dan latihan baru ketenteraan. "Kami merancang menjalankan latihan ketenteraan sebagai persediaan menjaga keamanan rantau ini.


"Matlamat kami jelas dan Republik Islam Iran memiliki kekuatan dan kemampuan yang pasti menimbulkan kebimbangan pihak asing," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/21


No comments:

Post a Comment